Musibah…Siapa yang tak pernah disentuhnya, siapa yang selalu aman daripada ujian, siapa yang tiada musuh penyimpan benci, siapa yang terlepas dari mata jahat pendengki, siapa yang tak pernah berdepan dengan pengkhianat yang mengintai?
Di Sebalik Musibah Dan Ujian Allah SWT
Kita semua pasti pernah hadap semua itu, segala onak duri kehidupan yang mendewasakan. Rupa-rupanya Allah SWT mahu mengajar kita makna perjuangan, pengorbanan, jatuh bangun nyawa dan raga. Bagi orang beriman ia tidak sia-sia, ada balasan menunggu mereka.
Allah SWT melalui wahyu kepada Rasul-Nya s.a.w juga membimbing kita agar terhindar daripada sebarang musibah di dunia terlebih-lebih lagi musibah di akhirat. Jika disuruh memilih di antara dua musibah ini tentulah kita lebih takut dan cuak dengan musibah di akhirat. Tapi bila berdepan dengan musibah dunia pun kita sudah begitu ‘koyak rabak’ bagaimana nanti di akhirat? Antara petua untuk mencegah musibah ialah:
Kenali Musuh
Bertahun-tahun dalam perkawinan, cinta dan kesetiaan diuji. Syaitan sentiasa mengawasi, kenalilah musuh kita. Dialah syaitan laknatullah, dia datang menghantar musibah dalam bentuk halus pada diri suami dan isteri sehingga keduanya sentiasa bersangka buruk dalam hal nafkah harta dan jiwa yang cemburu buta.
Musibah juga dikirim syaitan ke dalam darah muda anak-anak kita yang terpukau oleh permainan dunia, hati mereka keras kerana abaikan ilmu agama, semangat beribadah telah layu dipukul dunia yang pandai memuaskan hawa nafsu, hidup lupa tujuan. Keluarga yang mengalami musibah ini jauh dari ketenangan, duit tak dapat membeli bahagia, bila tak ada duit lagi berat ujiannya. Syaitan telah meminta peluang dari Tuhan untuk tenggelamkan manusia ke dasar neraka dan Allah mengizinkannya.
“Iblis berkata: Kerana Engkau (Allah SWT) telah menghukumku sesat, maka aku akan benar-benar menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus.” (Surah al-A’raf ayat: 16)
Senjata Bernama Syukur
Musibah dan ujian itu umpama anak panah syaitan yang terus-menerus meluru pada jantung iman kita. Hanya orang-orang yang bersyukur sahaja yang mampu menangkis senjata iblis laknatullah, kenapa ‘syukur’ yang menjadi penyelamat kita?
Ads
Kerana syukur kepada Allah SWT ketika mengalami musibah akan memberi kekutan untuk tetap bersandar pada Allah SWT, sedangkan syaitan itu amat lemah tipu dayanya. “Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang, kanan dan kiri. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka itu bersyukur.” (Surah al-A’raf ayat: 16-17)
Rupa-rupanya hebat sungguh nilai syukur dalam jiwa manusia, sehinggakan syaitan sebut itu sebagai senjata paling mematikan dan menakutkan mereka. Orang yang bersyukur kepada Allah walaupun dia berada pada titik paling rendah dalam carta imannya, dia tetap ada peluang untuk bangkit. Kerana syukur yang masih tersisa dalam hatinya umpama satu-satunya udara yang membolehkan jantungnya bernafas semula.
Mulakanlah dengan bersyukur, seteruk apapun keadaan kita dihempas musibah jangan sesekali putuskan tali syukur dari jantung hati kita. Jika masih ada syukur maknanya masih ada harapan untuk kita bangkit semula dalam peperangan ini. Syaitan tidak pernah putus asa, kenapa kita yang lebih mulia dicipta Allah SWT daripadanya menyerah kalah?
Istighfar
Ada masanya hati kita tak tenang, walaupun kita telah solat, puasa, bersedekah, bangun malam bermunajat, tetapi hati kita masih rasa sedih oleh sentuhan musibah yang tiba-tiba datang. Tiada yang salah pada ibadah kita, itu semua normal manusia akan mengalaminya hatta Rasulullah SAW juga ditimpa kesedihan oleh kerenah umatnya dari kalangan orang-orang munafik. Allah SWT suruh kita banyak beristighfar untuk mencegah musibah yang lebih besar datang.
“Kami tidak akan menurunkan azab bencana selagimana mereka masih beristighfar.” (Al-anfal ayat: 33)
Ads
Bala bencana pandemik covid 19 kini belum dapat diatasi, masihkah kita berterusan menjaga hati dan lisan kita untuk terus beristighfar?
Sedekah Amalan Tolak Bala
Manusia diuji dengan kelaparan, sakit, kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, dimusuhi, dianiaya, dizalimi, difitnah dengan keji sehingga dia bertemu Allah SWT membawa pahala sabar yang banyak dan habis dosa-dosanya dicuci oleh musibahnya itu ketika di dunia.
Musibah jangan dicari, boleh jadi tangan kita yang menyebabkan musibah itu datang dan boleh jadi tangan kita juga yang mencegah musibah turun. Antara amalan yang boleh menolak bala adalah sedekah.
Al Imam Ibn Qayyim menyatakan: “Sungguh sedekah itu mencegah kematian yang buruk, mencegah mala petaka, sedekah melindungi dari orang yang zalim. Sedekah akan menghapuskan dosa, menjaga harta, mendatangkan rezeki, membuat gembira hati, menyebabkan hati yakin dan berbaik sangka kepada Allah SWT.”
Jika datang ujian Allah SWT tiada yang berubah pada diri kita, tetaplah bersyukur. Semoga di akhirat nanti tiada musibah lagi kena kita hadap kerana di dunia semuanya telah kita bayar dengan sabar.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Datin Shahidah bersyukur bawa mak ayah tunai ibadah Umrah. Begitulah luahan hati seorang anak yang begitu menyayangi ibu dan ayah.
Setiap anak mungkin tidak mampu membalas jasa ibu bapa yang telah membesarkan, namun kita perlu cuba sedaya upaya memberikan kebahagiaan kepada orang tua kita.
Pemilik nama sebenar Datin Nur Shahida Mohd Rashid, 36 yang juga isteri kepada usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri telah berangkat ke Tanah Suci pada 3 November lalu bagi mengerjakan umrah melalui pakej sebuah syarikat umrah yang turut disertai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta beberapa jemaah lain termasuklah ibu dan ayahnya.
Seperti mana luahan perkongsiannya di akaun laman sosial, Shahidah berasa sangat bersyukur kerana dapat mengerjakan umrah bersama ibu bapa tersayang.
Menurutnya lagi ibu dan ayahnya juga turut bersyukur dan bagaikan tidak percaya mereka sudah banyak kali datang ke tanah suci untuk mengerjakan haji dan umrah.
“Alhamdulillah…ada rezeki lagi pergi ke bumi barakah ini bersama kedua-dua ibu dah ayah saya.
“Selalu saja dorang cakap macam tak percaya dah banyak kali datang sini. Haji sudah umrah pun sudah.
“Siapa sangka kan dulu ayah saya hanya pemandu teksi dan juga bekas pengawal keselamatan. mama saya pula kerja sebagai kerani.
Rezeki Orang Tak Sama
“Rezeki orang tak sama. Begitu juga ujian juga berbeza beza. Apa yang kita lihat belum tentu sama dengan apa yg kita fikirkan.
“Banyakkan berlapang dada dgn ujian Allah. Insya Allah bahagia akan datang,” luah Shahidah yang turut membuat hantaran beberapa foto bersama ibu dan ayah kesayangan.
Doakan Semoga Semua Yang Berimpikan Ke Tanah Suci Termakbul
Malah Shahidah juga mendoakan mereka yang mengimpikan ke tanah suci agar hajat mereka termakbul.
“Saya doakan semoga semua yg berimpian utk ke tanah suci ini dapat menjejakkan kaki ke sini.
“Semoga kalian antara insan yang terpilih olehnya,” kongsi Shahidah lagi.
“Semoga Allah Permudahkan Urusan Datin & Keluarga”
Menerusi komen pengikut Shahida di akaun Instagramnya, ramai yang memanjatkan rasa bersyukur dan mendoakan agar dipermudahkan urusan Shahidah dan keluarga tercinta.
Wate Croft – Aamiin allahumma aamiin..alhamdulillah kurnian allah smuga allah permudahkn urusan datin dan keluarga..aamiin
Ainiramli Nbr – Aamiin².. Alhamdulillah.. Mama Dan Abah Datin juga Bertuah Dpt anak mcm datin.. Rezki dikongsi dgn insan Tersyg.. Smoga Asbab kebaikan² ini.. Allah Anigrahkan Rezki penuh barakah utk Datin Sekeluarga
Hamishahbarkat – Assalamualaikum datin bersama ayanda & bonda semoga Allah permudahkan ursan Datin. Doa kan saya juga semoga dapat katanah makkah & madinah .
Mia Amar Amsyar – Datin tlg doakan sy dn pasangan serta ank-anak sy mengerjakan umrah/haji suatu hari nnt…sy teringin sgt-sangat
Nornila Paun – Alhamdulillah,…amin… semoga Allah kabulkan doa datin untuk semua umatNya..semoga Allah kurniakan ana rezeki yang mengembirakan ibunda ana yang tercinta ke tanah haram,aminn yarabalamin.
Sri Diana – Alhamdulillah. Datin dpt bersama dgn ibubapa. Moga terus bahagia doakn saya dpt mengecapi spti datin menikmati anugerah yg Allah beri.
Sumber / Sumber Foto : Instagram
Instagram Datin Nur Shahida Mohd Rashid
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Zakat merupakan kewajipan Rukun Islam ketiga. Zakat secara ringkasnya adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.
Tujuan disyariatkan berzakat adalah mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada. Secara tidak langsung dapat membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”(Surah At-Taubah: 103)
Jenis-Jenis Harta Perlu Dibayar Zakat
Umumnya ramai mengetahui bahawa zakat fitrah dan zakat pendapatan merupakan kewajipan zakat yang perlu ditunaikan. Namun hakikatnya ramai yang terlepas pandang pada pemilikan jenis-jenis harta lain yang turut menjadi kewajipan untuk dibayar zakat. Antaranya seperti Zakat Wang Simpanan, Zakat KWSP, Zakat Perniagaan, Zakat Pelaburan, Zakat Emas & Perak.
Namun demikian, sebelum membuat taksiran perlu penuhi syarat-syarat wajib berzakat ini terlebih dahulu.
1. Islam
Zakat difardhukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang kafir tidak difardhukan menunai zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat.
2.Pemilikan Sempurna
Milik sempurna bermaksud “Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas ( إخْتِيَارُ ) untuk mengurus ( حَقُّ التَصَرُّفِ ) dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan / kawalan undang-undang dan peraturan.”
3.Cukup Nisab
Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu. Segala jenis harta yang mempunyai ‘illah yang sama dengan emas akan dicampurkan kesemuanya bagi tujuan kiraan zakat, seperti jumlah simpanan Tabung Haji, wang simpanan di bank-bank, jongkong/dinar emas dan lain-lain lagi digabungkan untuk mencukupkan nisab 20 mithqal.
4. Cukup Haul
Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang.
Rebut Keberkatan Ramadan Tunaikan Zakat
Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, janganlah berlengah dalam kewajipan menunaikan zakat pada setiap harta yang kita miliki. Perlu ingat setiap harta yang kita kumpul, adanya bahagian orang lain malah akan dipertanggungjawabkan kelak. Jadi berhati-hatilah, jangan disebabkan harta yang dimiliki menjadi punca kesusahan kita di akhirat pula nanti.
Bukan itu sahaja, perlu perbetulkan fahaman dengan menganggap perlu kaya, baru boleh bayar zakat. Hakikatnya, cukup syarat dah wajib tunai zakat. Malah tak perlu bertangguh tunaikan zakat kerana orang yang suka menangguh daripada membayar zakat juga boleh disifatkan sebagai kedekut dan bakhil.
Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan.”(Ali Imran: 180)
Bayar Zakat Secara Online
Dalam keadaan sekarang, musim pandemik COVID-19 mungkin ramai yang risau untuk pergi ke tempat umum mahupun membuat pembayaran secara tunai. Namun jangan bimbang kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS), telah memperkenalkan kaedah mudah bayar zakat tanpa tunai iaitu melalui platform bayaran (online) secara dalam talian dan e-wallet. Kini semuanya dihujung jari, lebih selamat mudah dan pantas!
Boleh taksir zakat sama ada di 23 cawangan LZS atau hendak taksir sendiri pun boleh di: www.zakatselangor.com.my
Menariknya nak semak dan cetak pembayaran zakat yang telah dibuat pun mudah melalui platform LZS di EZAKATONLINE ezo.zakatselangor.com.my
Jadi jangan lupa tunaikan tanggungjawab pada setiap jenis-jenis harta yang dimiliki dengan membayar kewajipan zakat. Ini kerana zakat dapat membersihkan dosa dan setiap harta yang dimiliki ada bahagian orang lain. Bahkan jangan sebab harta menjadi punca kesusahan kita di akhirat kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Orang tua-tua cukup marah kalau bekas minuman atau makanan dibiarkan terdedah tanpa ditutup. Katanya, nanti syaitan akan makan atau ludah, lebih kurang begitulah. Semua ini adalah sunnah dan amalan yang perlu kita buat.
Jangan ingat sebab nak bagi minuman atau makanan dalam bekas itu sejuk, dibiarkan tanpa ditutup. Kita tak tahu apa yang berlaku pada makanan itu. Dari segi mata kasar, mungkin kita tak nampak tapi kita pasti tidak akan ‘lalu’ nak makan makanan itu jika dilihat diberi peluang dibuka hijab mata.
Walau bagaimanapun, ikutlah amalan sunnah supaya tutup bekas minuman atau makanan itu. Ada banyak hikmah bila kita menutupnya. Inilah yang dikongsikan oleh Yatie Eimra. Moga bermanfaat untuk kita semua.
Sindrom mak-mak sangat. Buat air kopi bajetnye nak minum panas-panas, tapi sampai air dah sejuk baru dapat minum.. Mesti ramai kan mak-mak alami pengalaman yang sama. Sibuk uruskan macam-macam perkara sampai dah terlupa nak minum air.
Masa mak-mak tinggalkan air itu, biarlah bertutup atau sekurang-kurangnya letak sudu pun boleh. Pastikan bacalah basmallah masa tutup/letak sudu tu.
Ada nak kongsi cerita sedikit. Masa berubat Fydh (sebabkan gangguan benda-benda yang mengikut), perawat/pengamal perubatan Islam tu ada cerita. Salah sorang pesakit boleh nampak makhluk halus (hijab terbuka) sejak dia kena gangguan. Dia nampak sendiri makhluk-makhluk halus itu masukkan benda-benda kotor, muntah, berak & kencing dalam makanan & minuman yang terdedah. Itu belum lagi makanan terdedah kat gerai makan.. Dia sampai dah tak sanggup nak tengok sebab terlampau jijik.
Bila orang makan makanan-makanan yang dah “kotor” ini.. hati jadi hitam, malas beribadat, mudah/selalu bergaduh. Yang anak kecik lak, anak asyik meragam & mengamuk saja. Yela, kadang-kadang kita ni terlepas pandang bab makanan/minuman anak bilam mana kita sibuk buat kerja masa anak makan kudap-kudap itu.
Tutup makanan/minuman ni sebenarnya sunnah & sangat dianjurkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Sesungguhnya dalam satu tahun terdapat satu malam yang turun pada malam itu wabak penyakit. Tidaklah wabak itu melewati bekas yang tidak ditutup atau bejana air yang tidak diikat, melainkan wabak itu akan turun padanya.” (HR. Bukhari, 3/1195, 3106)
“Tutuplah pintu-pintu serta tutuplah bekas makanan dan minum kalian.” (HR. Bukhari 5624)
“Tutuplah bejana serta tempat makan dan minum, walaupun hanya engkau meletak sepotong kayu di atasnya.” (HR. Ahmad 14597)
Menurut Imam An-Nawawi, ada empat hikmah menutup bekas makanan/minuman ni..
Pertama, menjaga diri dan keluarga dari kezaliman syaitan melalui bejana atau pintu-pintu yang tidak tertutup. Syaitan tidak mampu membuka penutup bejana atau membuka pintu (jika dilakukan dengan membaca bismillah).
Kedua, menghindari bala/penyakit, yang Allah turunkan pada salah satu malam dalam satu tahun.
Ketiga, menghindari najis dan benda-benda menjijikan yang mengenai makanan atau minuman kita yang tidak ditutup.
Keempat, mengelakkan makanan dari dimasuki haiwan/serangga & termakannya tanpa sedar.
(Syarah Shahih Muslim 13/265).
Masa dengar ceramah, ustaz pesan tutuplah makanan & minuman walaupun kita tinggal kejap saja. Kalau tak ada sangat penutup nak digunakan, tutuplah dengan sebatang sudu sekalipun & sebutlah nama Allah masa tutup tu agar tak diganggu jin & syaitan..
Makanan/Minuman Tak Bertutup Semalaman
Ustaz cakap kalau makanan/minuman yang dah semalaman tak bertutup (dengan sengaja mahupun terlupa), masih boleh dimakan/diminum jika
1. Makanan/minuman masih elok/tak basi/takde kekotoran jelas/takde serangga/semut, dan sebagainya (tiada bendasing & kekotoran yang boleh dilihat).
2. Kita YAKIN makanan/air tu masih bersih & tak dimasuki serangga/haiwan (lipas/cicak umpamanya) & YAKIN tak memudaratkan jika makan/meminumnya.
Jadi, jika makanan/minuman yang tak ditutup tu menepati ciri-ciri ni, dibolehkan memakan/minumnya. Doa & tawakal jela pada Allah minta dihindarkan dari segala penyakit dan bahaya (walaupun air nampak bersih, tapi tetap boleh dimasuki habuk & kuman jika terdedah).
Ini berdasarkan sebuah hadis –
Dari Jabir bin Abdillah RA, diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah dihidangkan bekas berisi air nabees yang tidak ditutup. Maka Nabi SAW kemudian mengatakan,
ألا خمرته ولو تعرض عليه عودا
Tidakkah sepatutnya anda tutupi, walau sekadar menggunakan sepotong ranting?!
Lalu Nabi pun meminumnya..
(HR. Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Imam Qurtubi menjelaskan,
دليل أن ما بات غير مخمر ولا مغطى أنه لا يحرم شربه ولا يكره
Hadis di atas adalah dalil bahawa minuman (atau makanan) yang dibiarkan terbuka di malam hari, tidaklah haram diminum dan tidak pula dimakruhkan meminumnya.. (Al-Mufhim 5/284)
Mingguan Wanita : Sibuk macam mana pun mak-mak, kalu tak sempat minum, jangan biarkan terdedah dan tutuplah. Nanti syaitan ludah atau makan yang kita punya.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.