Kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun manalah dia tahu ular itu berbisa atau tidak. Hendak mengadu pun belum pandai. Tetapi itulah yang berlaku pada Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus
Pada awalnya dia hanya mengadu jatuh dan ibunya ingatkan anaknya terseliuh. Rupanya kaki anak bengkak kerana dipatuk ular ketika berbasikal sendirian. Mujurlah cepat di bawa ke hospital dan anak ini selamat.
Mengadu Jatuh, Ingatkan Terseliuh
Aktiviti berbasikal menjadi mimpi ngeri buat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Pulai Mutiara, Gelang Patah di sini, apabila kaki kanannya dipatuk ular yang melingkar di rantai basikal.
Ibu kanak-kanak itu, Aida Dalila Damia Zulkipli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam ketika Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus, 3, bermain sendirian di pekarangan rumah.
Menurutnya, dia tidak mengetahui anaknya dipatuk ular sehinggalah melihat kaki anak kedua itu bengkak dan menelefon suami untuk pulang serta membawa Nur Safia ke hospital.
“Sebelum itu Nur Safia minta nak main basikal dan tak lama kemudian masuk ke dalam rumah serta cakap dia terjatuh, tetapi dia main macam biasa dengan kakaknya di dalam rumah.
“Cuma selepas itu, dia mengadu kaki sakit dan minta disapukan minyak. Saya pula tidak syak apa-apa dan menyuruhnya mandi dahulu. Selesai mandi, dia masih bermain dengan kakaknya sebelum datang kepada saya untuk menyapu ubat.
Ads
“Ketika itulah saya melihat kakinya sudah bengkak tetapi tidak fikir lain, sebaliknya bimbang dia terseliuh atau patah. Saya menelefon suami yang bekerja supaya pulang dan kami ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terkejut Kepala Ular Di Bahagian Rantai Basikal
Aida Dalila berkata, semasa menyapukan minyak pada kaki anaknya, dia melihat ada kesan gigitan dan bertanya berulang kali sama ada Nur Safia benar-benar jatuh atau sebaliknya.
Katanya, dia kemudian terkejut apabila terlihat kepala ular di bahagian rantai basikal anaknya yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
Ads
Menurutnya, suaminya yang pulang segera memukul ular itu dengan dengan kayu dan mereka membawa Nur Safia ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Gigitan Ular Tidak Kena Abdomen
“Alhamdulillah Nur Safia dalam keadaan baik dan pemantauan 24 jam dilakukan doktor mendapati darahnya baik (tiada bisa) dan gigitan ular tidak mengena abdomen.
“Lebam yang sehingga lutut itu juga sudah berkurangan, cuma kakinya masih bengkak. Dia masih dalam pemantauan,” katanya yang memberitahu rumah sewa didiami empat bulan itu berdekatan kawasan paya.
Dia juga memberitahu pakar ular yang hadir memaklumkan ular menggigit Nur Safia berkemungkinan spesis ular kapak bakau.
MW: Semoga Nur Safia kembali sihat dan sembuh seperti biasa. Biar pun mak, ayah rasakan anak selamat bermain sendirian tetapi jangan ambil mudah kerana malang tak berbau. Harapnya kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.
Dikala satu dunia berusaha mencari ‘penawar’, vaksin bagi menangani COVID-19, pasangan suami isteri Saintis Islam ini dikatakan telah menemui dan berjaya menghasilkan vaksin Covid-19. Vaksin tersebut menunjukkan kadar keberkesanan lebih 90 peratus sembuh melalui company mereka BioNTech dengan kerjasama syarikat farmaseutikal USA Pfizer.
Pasangan saintis beragama Islam, merupakan dua individu di sebalik penghasilan vaksin oleh syarikat pharmasutikal gergasi dunia, Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) bagi menangani pandemik Covid-19.
Dr Ugur Sahin, 55, dan isterinya Dr Ozlem Tureci, 53, kini menjadi perhatian dunia atas kejayaan mereka.Memetik laporan New York Times, ibu bapa mereka berasal dari Turki dan berhijrah ke Jerman semasa mereka kecil.
Dilaporkan, vaksin yang dihasilkan pasangan itu dikatakan 90 peratus berkesan susulan ujian terhadap 40,000 orang. Pasangan ini mengasaskan syarikat biotek, iaitu BioNTech di Jerman dan mempunyai 1,800 kakitangan, kebanyakannya saintis.
Mereka berdua bukan sahaja memegang status doktor dan saintis hebat, malah dikategorikan sebagai jutawan.Ini kerana, dikatakan syarikat BioNTech mereka bernilai 21 bilion dollar di pasaran saham Jerman.
Walaupun bergelar jutawan, suami isteri ini menjalani kehidupan seharian seperti insan biasa, malah langsung tidak mempunyai kereta dan hanya berbasikal ke pejabat.Sementara itu, kediaman mereka hanya sebuah pangsapuri sederhana mewah yang terletak tidak jauh dari pejabat.
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Alber Bourla berkata, Dr Ugur meletakkan kajiannya lebih utama daripada perniagaan dimiliki.
“Dr Ugur ini sangat unik. Beliau hanya pentingkan sains (dan hasil kajian syarikatnya) dalam hidupnya.
“Beliau langsung tidak berminat bercakap tentang bisnes,” katanya.
Oleh kerana terlalu sibuk dengan penyelidikan, Dr Ugur sehingga hari ini belum menandatangani sebarang perjanjian dengan Pfizer walaupun sudah bekerjasama sejak awal tahun ini.
Turut dilaporkan, tidak wujud kerisauan antara Alber dan Dr Ugur kerana kerjasama mereka dijalin atas rasa percaya satu sama lain.
MW: Tahniah atas kejayaan menghasilkan vaksin ini. Semoga ia dapat dimanfaatkan buat ummah dan seluruh pesakit COVID-19, sekaligus menamatkan pandemik ini.
Dek kerana penat sangat nak memasak. Isteri ini Puan Amira Aziz order saja makanan segera secara online untuk dia dan anak-anak. Yang jadi lucunya, bila rider makanan sampai depan rumah, tengok-tengok suami sendiri yang hantar.
Sudahnya, terkantoilah dengan suami sendiri yang dia tak masak hari itu.
Apa pun, mereka suami isteri ini sama-sama bekerja dan faham akan situasi yang dihadapi oleh pasangan masing-masing. Dan kisah sweet ini dikongsikan oleh Puan Amira dalam grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.
“Nie bukan masak tak jadi.. nie kantoi tak masak dengan suami.
Suami saya rider mcd..hari nie tiba-tiba malas nak masak.. cakap dengan anak-anak kita order mcd jew laa hari nie. Anak-anak pun suka laa..saya ingat kan dapat dekat rider lain..saya tunggu jugak rider tu call saya..tapi tak call-call.. tunggu dalam setengah jam dengar bunyi hon.. sekali keluar tengok suami sendiri yang hantar order tu.. patut laa dia tak call..hehe”
Perkongsiannya itu mendapat 85k tanda suka dan lebih 6K komen, membuatkan Puan Amira menegaskan sekali lagi dalam postingnya itu yang dia bukannya ibu yang malas masak.
“Saya cuma penat.. sebab saya pun berkerja jugak.. bila balik kerja saya sambung tengok anak-anak dekat rumah.. sebab suami saya buat order sampai malam..takut orang salah faham pulak.. ingat saya pemalas”
Pasangan suami isteri ini adalah pekerja di restoran makanan segera McDonald. Yang mana, Puan Amira bekerja sebagai pekerja sambilan dan suaminya penghantar makanan.
Katanya, “ Aku dengan laki aku dua-dua ada SKM(Sijil Kemahiran Malaysia) boleh jew minta kerja hotel.. tapi masing-masing tak nak terikat dan kena ikut shift.. sebab kita orang dah ada anak-anak.. walaupun kitaorang dua-dua kerja.. anak-anak kitaorang yang jaga sendiri.
Alhamdulillah rezeki aku dapat masuk pagi jew.. tu pun dah kira rezeki kan..suami aku kerja tak ada waktu.. pukul berapa dia nak pergi, pukul berapa dia nak balik.. ikut suka dia.. pun kira rezeki jugak kan.. anak-anak pun membesar dekat rumah sendiri, membesar depan mata kitaorang.. aku tak malu pun aku hanya pekerja mcd jew.. walaupun gaji tak banyak mana..j anji kerja aku Halal dan Allah pun permudahkan banyak urusan kami laki bini.”
MW : Alhamdulillah.. semoga keluarga Puan Amira dilimpahi rezeki yang banyak. Sebenarnya beruntung dapat besarkan anak-anak depan mata dengan tangan sendiri ini.
Makan apa sahaja tapi secara sederhana dan pilih bahan lebih sihat. Pasangan suami-isteri ini mendedahkan apa yang diperlukan untuk menurunkan berat sebanyak 200 paun atau lebih 90 kilogram.
Melalui artikel yang dipetik daripada TODAY, Stephanie dan Brandon Engblom berkongsi cara mereka untuk menurunkan berat badan secara berterusan.
Apa yang dimulakan dengan perubahan sederhana pada pesanan kopi Stephanie telah berubah menjadi penurunan berat badan gabungan hampir 200 paun (lebih 90 kilogram) untuk dirinya dan suaminya, Brandon.
Stephanie, yang tinggal di Duluth, Minnesota, Amerika Syarikat mengatakan bahawa dia dan suaminya yang telah dikahwininya selama dua tahun, bangun pada suatu pagi pada Januari 2020 dan memutuskan sesuatu harus diubah.
Mereka berdua memandang cermin dan pada ketika itulah mereka merasakan itulah saat paling mengecewakan mereka.
Stephanie berkata kepada TODAY, “Berat kami berdua lebih dari 300 paun. Brandon baru saja didiagnosis menderita apnea tidur dan saya merasa sangat teruk. Seluruh badan saya sakit setiap hari.”
“Kami perlu membuat perubahan jika kami ingin menjalani kehidupan yang panjang, bahagia, sihat bersama dan mungkin suatu hari nanti dapat memulakan keluarga.”
Wanita berusia 25 tahun itu berkata, tidak sampai setahun dia telah kehilangan 116 paun (Lebih 52 kilogram). Brandon pula telah kehilangan lebih dari 80 paun (Lebih 36 kilogram).
Pasangan itu mengatakan bahawa tidak ada pelan diet atau pelan senaman ekstrem yang terlibat dengan kejayaan mereka. Sebagai gantinya, apa yang mereka buat adalah mengubah keseluruhan gaya hidup mereka menjadi sesuatu yang dapat mereka ikuti selama-lamanya.
Ujar Stephanie, “Saya mempunyai berat badan berlebihan seumur hidup saya. Saya mempunyai kenangan untuk mencuba pelan diet seperti Weight Watchers atau rendah karbohidrat dan saya pada awalnya dapat menurunkan sedikit berat badan. Tetapi saya tidak akan dapat mengekalkannya dalam jangka panjang. Berat saya akan kembali semula dan ditambah lagi lima paun.”
Pasangan itu mengatakan kesinambungan adalah kunci kerana mereka menyusun rancangan untuk mempunyai kesihatan yang lebih baik.
Stephanie yang bekerja sebagai jurugambar berkata, “Kami mahu ini menjadi sesuatu di mana kami tidak hanya dapat melihat hasilnya dengan segera, tetapi sesuatu yang dapat kita pegang untuk sepanjang hidup kami secara ideal sehingga kita tidak perlu terus ‘bermain permainan’ ini.”
Stephanie mengatakan langkah pertama yang dilakukannya adalah membuang perkara-perkara kecil yang menambah kepada gaya hidup yang tidak sihat.
Ujarnya,”Bagi saya, itu adalah membuang kopi bergula saya dan menggantinya dengan pilihan kalori rendah. Saya masih minum kopi – saya masih mengambil kopi latte – tetapi di sebalik susu penuh dan coklat dan gula, saya minum susu badam dan hanya espresso.”
Mereka masih menikmati hidangan kegemaran mereka seperti pizza dan taco, dengan cara yang lebih sihat.
“Untuk taco, di sebalik memasak dengan daging lembu, kami menggunakan daging ayam belanda atau ayam. Dan kami menggunakan yogurt Greek sebagai ganti krim masam dan sedikit keju dengan lebih banyak sayuran.”
Jelas Stephanie lagi, “Untuk pizza, kami membuatnya di rumah dan menggunakan pepperoni ayam belanda.”
“Anda boleh makan semua yang anda mahukan, cuma perlu secara sederhana. Ia lebih kepada mengenai saiz hidangan dan memerhatikan berapa banyak yang anda makan daripada membatasi diri untuk makan makanan tertentu.”
Bagi Brandon, yang juga seorang peguam berusia 29 tahun, ini semua berkaitan dengan fokus pada protein.
“Ini adalah peralihan besar dari pasta yang benar-benar tinggi karbohidrat dan hal-hal seperti itu, dan beralih ke diet berasaskan protein yang lebih banyak kerana protein membuat anda kenyang lebih lama.
“Anda dapat menikmati makanan yang sangat baik yang berasaskan kepada berbagai jenis protein dan tidak merasa seperti kehilangan makanan yang benar-benar anda inginkan.”
Tip Brandon untuk makanan yang mengandungi protein?
“Kami menggunakan bahan seperti contohnya mi kacang kuda daripada mengambil pasta tradisional – perbezaan jumlah kalori dan protein yang anda dapat daripada itu adalah sangat besar.”
Stephanie dan Brandon memperoleh kejayaan yang lebih besar kerana memiliki satu sama lain sebagai rakan penurunan berat badan.
“Ini mengeratkan hubungan kami. Saya rasa kami hanya menjadi lebih kuat bersama dan melakukan ini dengannya menjadikannya lebih mustahil daripada melakukannya sendiri.”
Ujar Stephanie lagi, dia rasa bertanggungjawab di sosial media. Di antara akaun TikTok dan Instagram, dia mempunyai lebih daripada 120,000 pengikut yang menyokongnya dan mencari motivasi mereka sendiri dari perjalanan penurunan berat badannya.
Stephanie mengatakan bahawa jurnal juga merupakan cara untuk terus bertanggungjawab kepada dirinya sendiri untuk tujuan kesihatannya.
“Saya menyimpan segala catatan mingguan,” jelasnya, “apa yang saya makan, emosi saya, mengapa saya mahu makan. Jurnal adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh semua orang kerana setiap orang harus mempunyai pen dan kertas.”
Stephanie pernah berfikir untuk mengurangkan berat badan, anda harus melakukan senaman yang kuat di gim setiap hari dalam seminggu. Sekarang, dia belajar tentang cara mencari cara lestari yang dia gemari untuk menggerakkan tubuhnya.
“Kami berjalan sekitar satu batu setiap hari dengan anjing kami dan kami berusaha untuk memastikan kami melakukan sesuatu yang aktif,” katanya.
“Ia tidak semestinya menjadi latihan yang sebenarnya setiap hari, kadang-kadang membersihkan rumah atau pergi ke luar atau bermain dengan anjing. Ini adalah sesuatu yang telah kami buat dalam rutin kami sehingga kami tidak melihatnya sebagai senaman. Kami melihatnya sebagai rutin kami sekarang. “
“Sesekali pergi ke gim,” tambahnya, “tetapi kami sebenarnya hanya melakukan senaman ringan – tidak ada yang gila, hanya bergerak lebih banyak.”
Bersenam bukan satu-satunya rutin yang dilakukan oleh pasangan Engblom ini dalam kehidupan mereka.
Jelas Brandon, “Stephanie menjelaskan dengan cukup baik ketika dia memberitahu orang ramai jika Anda akan menurunkan berat badan, Anda tidak dapat melakukannya dari tempat motivasi kerana motivasi adalah pengalaman yang sangat singkat.
“Mungkin Anda memilikinya selama beberapa hari atau sebulan jika Anda benar-benar berdedikasi, tetapi motivasi itu akan pudar, jadi Anda harus mendasarkannya dalam rutin.”
Duo ini telah membuat tugas harian seperti minum air, bergerak dan menjadikan pilihan makanan yang lebih sihat sebagai rutin yang mereka harapkan untuk sepanjang hayat mereka. Dan bukannya merancang untuk mengikuti diet yang ketat untuk mendapatkan hasil yang singkat.
“Pada masa lalu, saya bangun dengan takut akan fakta bahawa saya tidak dapat memiliki perkara-perkara tertentu atau yang perlu saya hadkan,” tambah Stephanie.
“Tapi kali ini, ini adalah hari biasa, ini hanyalah rutin sekarang. Bahkan pada hari-hari saya tidak bermotivasi, saya bertekad untuk mengikuti rutin saya.”
Nasihat pasangan Engblom ini kepada orang lain yang baru memulakan perjalanan penurunan berat badan adalah, buat perubahan kecil.
Ujar Stephanie, “Buat perubahan kecil: Tidak semestinya sekatan sepenuhnya dari awal.
“Sesuatu yang baru setiap hari yang membuat anda selangkah lebih dekat ke matlamat utama anda, sama ada minum air lebih banyak hari ini daripada yang anda lakukan semalam atau tidak makan sos tomato ketika makan malam – hanya sedikit perkara yang boleh anda ubah setiap hari dan bukannya buang terus sekali gus kerana di situlah anda dapat menghadapi masalah. ”
Bagi Brandon, sebenarnya semua ini tentang mengetahui bahawa tidak boleh berpatah balik.
“Bersikap terbuka untuk mengubah set minda anda bahawa ini bukan hanya anda berdiet, ini sekarang hidup anda dan siapa yang akan jadi seterusnya. Anda harus tahu anda akan mengubah hidup anda dengan cara di mana ini adalah normal baru.”