Membebel, satu sikap yang rasanya memang ada pada setiap mak-mak. Mungkin itu satu lcara untuk luahkan perasaan. Tapi tidaklah membebel sepanjang hari. Sekurang-kurang, bebanan yang dihadapi sepanjang hari dapat dilepaskan.
Maklum sahaja dengan perangai anak pelbagai ragam, bersepah sana sini, bergaduh sesama mereka dan sebagainya. Ini belum lagi dengan cara suami yang buat hal sendiri dan kurang membantu isteri di rumah.
Kalau tidak dilepaskan bimbang, lama-kelamaan keadaan isteri jadi mental load. Akhirnya, dengan perasaan yang sukar dikawa ini bolh terjadinya ‘burnout’.
Jangan main-main, bila isteri burnout, macam-macam boleh berlaku di luar kawalan dan inilah menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak kita ingini.
Jadi, kalau rasa diri mak-mak-mak stres terutamanya dengan keadaan rumah yang tidak terurus atau sebagainya, cubalah untuk luahkan perasaan, paling tidak mintalah bantuan suami supaya ia dapat memahami keadaan isteri yang mental load ini.
Itulah yang dikatakan oleh Maryam Jamadi untuk dikongsikan bersama. Mungkin dengan luahan perasaan melalui bebelan ini dapat mengurangkan sedikit bebanan yang dipikulnya.
Rumah bersepah, barang basah dah habis, air tumpah, plastik sampah habis dan terpijak lego.
Suruh anak mandi tapi tak mahu.
Bakul baju kotor dah penuh.
Pinggan tak basuh lagi.
Suami pula asyik main game seharian, anak terbiar.
Tengok fb kawan lain nampak bahagia.
Anak asyik menangis seharian.
Ads
Semua masalah ini boleh berlaku serentak dalam satu hari dan saya pasti tak semua mampu untuk menghadapinya. Bila hadap hari-hari, tunggu masa sahaja untuk meletup! Ini namanya “burnout”.
Keadaan bila emosi, fizikal dan mental berada dalam keadaan teramat penat akibat dari stres yang berterusan.
Bila dah meletup, senang untuk kita bertindak luar kawalan.
Siapa yang suka rumah bersepah, suka anak menangis seharian, duduk dalam keadaan kotor dan tidak cukup.
Mahukan Terbaik
Seorang ibu dan isteri pasti mahukan yang terbaik untuk suami dan anak-anak. Tetapi realitinya setiap orang punya kemampuan masing-masing, kemampuan untuk buat banyak kerja dalam satu masa, cuba untuk abaikan apa orang lain nak cakap, dapatkan bantuan profesional dan kemampuan untuk tenangkan fikiran sendiri.
Orang lain senanglah cakap,
“Kau overthinking sangat”
“Relakslah!”
“Rehat, jangan stres”
“Biar je rumah sepah”
“Biasalah, semua orang stres”
Tak ada orang yang mahu hidup dalam keadaan stres, semua orang pun tahu yang stres tak elok.
Ads
Adakalanya lebih baik kita jadi pendengar yang baik dari penasihat yang mungkin memburukkan lagi keadaan.
Sebab itu bila kita ada pasangan, keluarga atau kenalan yang stres, jangan sesekali cakap “jangan stress”. Tanyalah mana-mana pesakit Depresi atau Anxiety, pasti ayat itulah yang paling dibenci.
Lagi cakap “jangan stres”, lagilah mereka stres.
Bila cakap “jangan sedih”, lagilah mereka rasa nak meraung.
Kalau kami terapis mengendalikan pesakit psikiatri, inilah ayat paling pantang sekali. Kalau sebut, memang habislah sesi terapi macam itu sahaja.
Pinjam Bahu Dan Telinga
Tolong ya, cukup pinjamkan bahu, telinga dan masa sudah memadai.
Isteri-isteri di luar sana, saya harap sangat untuk belajar meluahkan perasaan. Jangan peram perasaan anda.
Kalau tak suka suami main game, beritahu.
Jika jenis tak tahan anak menangis, beritahu.
Kalau jenis pantang rumah bersepah, jangan buka group Deko Rumah.
Begitu juga kalau stres anak buat sepah, susah mandi ataupun tak mahu belajar, bebelkan sahaja.
Tak larat nak menghadap rutin yang sama setiap hari, menangis.
Yang penting, jangan peram perasaan anda sehingga meletup. Ada sebab kenapa manusia ada air mata.
Buang sahajalah air mata kita selagi ia boleh menenangkan hati. Jangan cerita masalah dekat
orang yang tidak sepatutnya sebab ada orang suka bila dengar hidup kita terumbang ambing.
Ads
Suami-suami,
Kalau dengar isteri mengadu penat, bukan sebab dia dah tak mahu buat semua benda.
Isteri membebel bukan sebab dia tak hormat suami, bukan marah anak sebab nakal atau tak sayang anak.
Sebab isteri biarkan rumah bersepah bukan sebab dia pemalas.
Isteri tak masak bukan sebab dia tak suka masak.
Tapi isteri buat semua ini sebab dia sayangkan dirinya sendiri. Dia sahaja tahu apa yang dia mampu dan tak mampu. Lagi-lagi bila dah ada anak.
“Mental load” semakin banyak, masa tidur pun dah kurang, masa untuk mencantikkan diri dah kurang, malah masa nak fikirkan untuk diri sendiri dah kurang.
Saling Berbincang
Suami-suami juga sama, jangan pendam perasaan seorang diri. Itulah gunanya ada pasangan. Sentiasa bincang sesama sendiri, jangan sampai dah meletup baru nak bincang. Waktu itu masing-masing boleh bertindak di luar kewarasan.
Kalau rasa dah tak boleh kawal perasaan atau terasa nak mencederakan diri sendiri atau orang
lain. Mohon dapatkan bantuan profesional.
Semoga bermanfaat.
MW: Bukan isteri saja membebel tapi ada juga suami yang suka membebel. Itulah cara nak luahkan apa yang terbuku, kan!
Mentaliti dan persepsi bahawa kerja rumah adalah tugasan orang perempuan, iaitu isteri dan ibu perlulah diubah.Tidak sepatutnya tugasan ini dibebankan dan digalas sepenuhnya oleh orang perempuan tanpa penglibatan suami dan anak-anak.Sebenarnya kerja-kerja rumah ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual secara harian mahupun mingguan, supaya setiap seisi keluarga,turut merasai tanggungjawab dalam melakukan kerja-kerja rumah. Perkongsian menarik ini dikongsikan oleh Ahmad Affzan Abdullah sebagai panduan.
Berikut antara perkongsian beliau;
Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.
“Baca ni,” katanya.
Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “Artikel apa tu?”
Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam Bahasa Inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.
Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,
“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”
Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.
Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama. Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?
Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu.
Mentaliti Kerja Rumah Tugas Orang Perempuan
Betul, biasanya kita ini ambil mudah.Bila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita.
Kenapa mentaliti kita begitu?
Pinggan, ramai yang lepas makan hanya letak saja dalam sink. Yang lebih teruk, tinggal saja atas meja makan.Maka ibu atau isterilah yang mengutip sampah sarap ini tadi dan membawanya ke dapur
Tandas, semua guna untuk buang segala kotoran dalam badan. Bila mangkuk tandas dan lantai sudah berdaki, semuanya buat tak tahu. Masing-masing beranggapan nanti ibu atau isteri yang akan sental.
Kipas dan aircond, semua nak guna waktu kepanasan. Namun bila berhabuk, masing-masing lebih rela bersin dan terbatuk berbanding ambil inisiatif untuk buang habuk yang terkumpul. Semuanya tunggu ibu atau isteri yang buat.
Beginikah cara kita hidup bersama di dalam rumah? Di bawah satu bumbung?
Buat Jadual Untuk Tanggungjawab Bersama
Maka kami pun buat jadual. Duty roster.
Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan.
Untuk apa?
“Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.”
“Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja.Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas.Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.”
“Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos.Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego. Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami.”
Kita nampak ruang tamu kemas, kita tersenyum dan kata pada diri, itu kita yang kemas sama-sama.Kita nampak tandas bersih, kita juga rasa puas hati kerana kita pun terlibat dalam memastikan tandas itu harum dan tidak jijik.Kita akan geram bila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini.
Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?
Semoga Allah sentiasa menaungi keluarga kita dengan rahmah dan maghfirah-Nya, dan rumah yang kita diami itu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan.
Ahmad Affzan Abdullah.
Pelukis Kaligrafi Eksklusif
Setiap pasangan yang berkahwin tentu mahukan kebahagiaan yang berpanjangan. Jodoh yang berkekalan, rezeki yang murah, anak-anak yang soleh serta solehah dan sebagainya. Semua itu adalah impian sesiapa sahaja. Namun, bagaimana dengan jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan pasangan kaki judi.
Tiada siapa sangka pasangan yang diimpikan itu sebenarnya bukanlah orang yang baik. Mungkin baik dari segi lain tetapi sikap ‘kaki judi’ terlah terbawa-bawa hingga boleh menghancurkan rumah tangga yang dibina. Apakah yang harus dilakukan oleh isteri dan jalan penyelesaian terbaik. Ikuti kupasan lebih lanjut oleh Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak, Firma Khairul Fahmi & Associates dan Timb. Setiausaha PGSM Kedah tentang topik ini.
Bergolok Gadai
Salah satu gejala akhir zaman yang berlaku sekarang adalah bertambahnya pusat-pusat
perjudian dan kebanyakan pula adalah golongan lelaki Melayu yang terlibat dengan masalah ini.
Bukan sahaja di kedai, tetapi masalah perjudian ini boleh diakses melalui internet. Tidak
mustahil, ada yang mengajak sama ‘betting’ di telefon masing-masing. Kesudahannya, ramai yang akan terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga sanggup bergolok gadai harta, barang kemas dan tanah disebabkan ketagihan judi.
Tuntuk Fasakh
Berjudi atau pertaruhan adalah 100 peratus perkara yang diharamkan oleh Islam. Jadi,
disebsbkan perbuatan ini dikategorikan sebagai salah satu perbuatan terkutuk, maka isteri
boleh menuntut fasakh di bawah seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 yang menyebut:
“Seorang perempuan berhak untuk mendapatkan perintah fasakh jika suami berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak”.
Jadi, ada peruntukan undang-undang berkaitan fasakh untuk isteri memohon fasakh di Mahkamah Syariah jika sekiranya ada dakwaan berkaitan dengan suami terlibat dengan perjudian.
Tip Untuk Isteri
Sebagai isteri yang solehah ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk menasihati suami daripada terlibat atau ketagihan berjudi.
a)Kawal Penggunaan Telefon
* Jangan terlepas pandang untuk menyemak telefon bimbit atau komputer suami. Cuba selidik senyap-senyap, apa yang suami main di telefon bimbit. Jika bermain games online tidak menjadi masalah. Tetapi, jika suami bermain games ‘tangkap ikan’ perlu ada sedikit
prasangka.
b)Mengadu Pada Ibu Bapa
* Bagi anda yang masih mempunyai ibu mentua, jangan segan silu untuk mengadu kepada mereka tentang perbuatan anaknya supaya mentua dapat menasihati anaknya. Jika ibu mentua tidak ada, mengadulah kepada saudara paling rapat dengan suami. Elakkan daripada menghebohkan kepada orang lain. Jaga aib suami.
c)Simpan & Kawal Duit Suami
* Bila bercakap simpan duit kita sendiri dan kawal duit suami, mereka beranggapan isteri
queen control. Percayalah, segelintir lelaki susah untuk menguruskan duit sendiri berbanding wanita. Inilah hakikatnya. Walaupun, mungkin anda tidak dapat mengawal duit suami, tetapi sekurangnya tahu setiap akaun suami dan transaksi duitnya.
d)Aduan Kaunselor @ Pejabat Agama
* Tidak tahu kepada siapa yang boleh menasihati suami. Cuba adu kepada kaunselor rumah tangga di Pejabat Agama. Mereka adalah orang terlatih untuk mendengar masalah dan menasihati suami dalam kes sebegini.
e)Lapor Pada Penguatkuasa @ Polis
*Jika perbuatan ini menjadi satu ketagihan, jangan teragak-agak untuk melaporkan kepada polis atau penguatkuasa agama sebagai satu pengajaran. Mungkin ada hukuman setimpal sebagai satu bentuk pendidikan kepada pesalah.
Wahai Suami, Ingatlah!
* Berjudi adalah satu perbuatan keji di dalam Islam. Tidak ada langsung perkara yang baik
tentang ini melainkan kerugian dan kecelakaan dalam hidup.
* Banyak penceraian yang berlaku kerana suami kaki judi. Daripada ini jugalah, ia boleh
mereka kepada pukul memukul anak dan isteri dan tentu sekali ia akan melibatkan kepada
keadaan yang mendesak sehingga meminjam kepada ‘ah long’.
* Ingat, perjudian sekarang bukan hanya ke casino atau bermain daun terup dan nombor ekor. Tetapi, sekarang telah merentasi ke dalam dunia online. Semuanya akan menjadi lebih teruk jika ada keinginan untuk mencuba. Jangan sesekali terdetik di hati untuk mencuba.
* Elakkan daripada terlibat sebelum terlambat.
Gambar Hiasan: Wawa Zainal & Suami
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sememangnya kehidupan seorang ibu tunggal agak mencabar. Tambahan pula jika meneruskan kehidupan di ibu kota yang penuh dengan onak dan duri. Apatah lagi bagi seseorang yang suatu ketika dahulu hanyalah suri rumah dan tiada sebarang pendapatan.
Kemelut kehidupan mereka sangat meruncing apabila terpaksa menguruskan anak-anak tanpa wang ringgit. Malah sumber pendapatan yang sedikit membuatkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan mewujudkan pelbagai permasalahan di dalam keluarga.
Dek kerana itu juga Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Batu Caves, Selangor (WITUS), Zamanila Tukimin, 48 yang berasal dari Ayer Hitam mahu membantu mereka yang senasib dengannya.
“Mereka yang bergelar ibu tunggal haruslah sentiasa berani mengharungi cabaran dan dugaan, sentiasa bersikap positif dan berdiri di atas kaki sendiri tanpa menoleh ke belakang.
“Pelbagai cabaran, kesusahan dan pahit getir sentiasa di hadapi seorang diri tanpa ada perasaan gerun walaupun saya hanyalah seorang wanita. Pepatah mengatakan tangan yang mengoncang buaian dan tangan ini jugalah yang akan menggoncangkan dunia.
“Malah saya juga berazam untuk membantu golongan ibu tunggal yang tiada arah tujuan dengan menubuhkan NGO Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS). Iaitu visi dan misi Persatuan kami adalah melahirkan wanita yang berdikari,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.
Bersama anak-anak kesayangan.
Pernah Hidup Menderita
Mengimbau kembali kisahnya, Zamanila menerangkan pada awalnya dia digantung tidak bertali.
“Oleh kerana saya digantung tidak bertali tanpa apa-apa khabar hampir sembilan tahun hidup bersama anak-anak. Saya hanya memerlukan kurang dari tiga tahun untuk meneruskan kehidupan dan bangkit terus tanpa menoleh ke belakang demi anak-anak.
“Saya bermula dari seorang suri rumah sepenuh masa yang terlalu mengharapkan duit suami dan memberi sepenuh kepercayaan dalam rumah tangga. Di sinilah bermula kisah saya sewaktu mengandungkan anak kedua ketika berusia enam bulan di dalam perut. Di tinggalkan suami tanpa nafkah dan hidup saya sangat menderita.
“Bermula dari situ saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki demi menyara anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjual kuih, mengecat kereta, menjadi penarik kereta dan menjual kereta terpakai.
“Saya juga pernah tidak makan nasi selama seminggu kerana tidak mempunyai wang. Di sebabkan itu saya hanya mampu membeli sebungkus mi segera dan di bahagikan untuk seminggu. Demi anak-anak dan keazaman yang kuat dalam diri saya dan untuk mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik saya nekad dengan melakukan pelbagai kerja sehingga di perkenalkan oleh DBKL dalam kursus kemahiran secara percuma bermula dari urutan tradisional melalui Pusat Rahmat. Disitulah bermulanya pekerjaan baru dan rezeki yang melimpah ruah.
“Pada peringkat awal saya terpaksa memberitahu kepada pelanggan agar mereka membayarkan dahulu tambang teksi memandangkan saya langsung tidak mempuyai wang. Dengan kemahiran juruterapi yang ada, saya membesarkan anak dengan hasil urutan dan saya telah melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menjual kenderaan terpakai. Setelah lima tahun saya cambahkan perniagaan dengan perkhidmatan sewaan bas sehingga sekarang,” ungkap ibu yang cukup tabah ini.
Tidak Pisahkan Ikatan Hubungan Anak & Ayah
Zamanila juga menerangkan walaupun berasa teraniaya namun dia tidak pernah memisahkan hubungan antara seorang ayah dan anak.
“Saya tidak pernah memisahkan anak dan ayahnya. Walaupun saya merasakan yang diri saya sangat teraniaya dengan perkahwinan tetapi ikatan anak dan ayah tidak boleh dipisahkan. Syukur alhamdullilah dua orang anak saya masing-masing sangat memahami saya dan sentiasa ada bersama saya saat susah dan senang,” ujar Zamanila yang berasa cukup bangga apabila anaknya tamat belajar dan diraikan dalam majlis konvokesyen baru-baru ini.
Akui ibu dan anak-anak yang paling banyak membantu dia bangkit dari kehidupan yang penuh pancaroba. Kini wanita ini sudah berjaya dan mengakui mengambil masa lima tahun untuk berada di zon selesa dengan menjalankan perbagai perniagaan termasuklah menguruskan Perniagaan Kereta Terpakai hinggalah Perkhidmatan Sewaan Bas. Malah dia juga beruntung kerana mempunyai seorang sahabat baik yang banyak membantu dirinya dalam perniagaan.
Dipandang Serong
Walaupun hidupnya kini sudah semakin stabil namun dia tidak pernah melupakan pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang membesarkan anak-anak.
“Pengalaman pahit di mana saya sangat menderita dan menghadapi tekanan yang luar biasa kerana sering di pandang serong oleh masyarakat dan kesempitan hidup yang amat ketara.
“Pengalaman manis pula saya tak sangka boleh meneruskan hidup sendirian dan alhamdullilah berjaya. Walaupun dulu saya terlalu bergantung kepada suami dan yang lebih manis dalam hidup saya adalah dapat membantu dan melahirkan wanita yang berdikari yang dahulu senasib dengan saya. Saya juga amat bersyukur dan gembira kerana berjaya mendidik dan membentuk anak-anak saya dengan keperitan lampau sehingga mereka ke menara gading,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Datuk Aaron Aziz terkejut & kecewa! Sebelum ini heboh tentang konflik antara keluarga Aaron dan pempengaruh media sosial, Sharina Richiei ianya bermula selepas tular...