Setiap kali raya memang ditunggu-tunggu oleh anak. Sebabnya masa inilah untuk mereka mengumpul duit raya. Bukan main seronok mereka beraya rumah jiran semata-mata untuk dapat duit.
Sementelah mak ayah pun turut tumpang seronok mengira duit raya anak. Bila dah habis musim raya, mulalah anak-anak berangan untuk beli apa barang yang memang dihajati sejak dulu dengan menggunakan duit itu.
Tidak kurang juga mak ayah akan simpan dalam akaun anak, ini untuk dikumpulkan dan kegunaan buat anak-anak bila besar atau masa-masa tertentu nanti.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah mak ayah ambil peluang untuk menggunakan duit raya itu, kononnya anak masih kecil dan tak tahu nak beli apa. Akhirnya, mak ayah pula yang ‘terpakai’ duit itu.
Jangan ambil mudah dengan mak yah yang pakai duit raya anak. Ingat, itu hak mereka dan kalau terpakai atau terguna, mak ayah wajib ganti. Sedangkan, kalau duit itu untuk kegunaan anak itu sendiri, ia tidak menjadi permasalahan.
Perkongsian daripada Syazmee Sapian boleh memberi manfaat buat mak ayah yang kerap kali menggunakan duit anak. Walaupun raya setahun sekali, inilah masa untuk mengajar anak-anak mengumpul duit raya bagi simpanan mereka akan datang. Jika mereka nak membeli dengan duit itu pun tak menjadi masalah pun.
Duit raya anak-anak adalah HAK SEPENUHNYA anak tersebut. Kalau mak ayah menggunakan duit tersebut tanpa kebenaran samalah juga seperti kita menggunakan duit orang lain tanpa kebenaran.
Kita sebagai mak ayah hanyalah sebagai orang yang diamanahkan untuk menguruskan harta anak-anak kita.
Mereka yang memberikan duit raya kepada anak-anak kita sudah pasti meniatkannya untuk kegunaan anak tersebut.
Mak ayah tidak boleh menggunakan secara suka hati duit anak-anak tanpa sebarang keterdesakan.
Ads
Namun jika sudah digunakan atau terguna, tetap WAJIB untuk digantikan semula takat yang telah kita gunakan.
Gunakan duit raya anak untuk tukar sportrim kereta, beli telefon bimbit baru atau apa sahaja, jelas menjadi suatu kesalahan.
Kita sebagai mak ayah sudah pasti mahu menjadi suri tauladan yang terbaik dari segenap aspek buat anak-anak.
Oleh yang demikian, jadilah mak ayah yang amanah, bertanggungjawab dan jujur dalam menguruskan harta anak-anak kita sendiri.
Adalah lebih baik, dengan duit yang anak-anak perolehi, kita didik mereka dengan ilmu pengurusan duit.
Ads
Beritahu anak-anak berapa pendapatan mereka. Takat mana boleh dibelanjakan.Yang mana untuk simpanan masa depan.
Berapa pula bahagian untuk dilaburkan.
Anak-anak suka mak ayah yang banyak berinteraksi dan bercerita dengan mereka.
Syazmee Sapian
Daddy Anggun
MW: memanglah kita sebagai mak ayah fikir, anak-anak masih kecil dan tak reti nak guna duit itu. Tapi, boleh saja mak ayah simpan untuk masa depan mereka. Jangan kita pulak guna sesuka hati.
Sebut sahaja emas, mak-mak mesti terkesima. Seronoknya memang lain macam. Tapi lebih mengujakan lagi bila suami pula yang hadiahkan emas yang tak disangka-sangka. Bukan tak boleh beli sendiri tapi rasanya lebih bermakna bila suami yang belikan.
Sebagai isteri terutamanya yang suka dengan barangan kemas, keterujaannya memang lain macam. Sebut sahaja apa jenis, dia akan tahu. Namun, ada juga mak-mak yang tak gemar dengan barang kemas. Itu pilihan masing-masing.
Berbalik pada hadiakan emas untuk isteri. Tidak salah rasanya sesekali suami belikan untuk isteri. Rasanya, mana-mana isteri tentu terharu, tak kisahlah jenis atau bentuk asalkan daripada suami.
Sudah tentu, apa yang diberikan ini sebagai tanda kasih dan penghargaan buat isteri yang banyak berkorban untuk keluarga.
Namun, isteri di luar sana, janganlah mengharapkan barang kemas daripada suami semata-mata dan suami pula janganlah sampai berhutang semata-mata nak beli barang kemas.
Seperti apa yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Samhan ini, cukup menarik. Suami berikan sesuatu yang istimewa kepada isteri sebagai tanda pengorbanan yang dilakukan demi keluarga.
Sekali imbas bila melihat wajahnya saja memang ketara sungguh menanggung beban kepenatan. Dalam fikirannya sekarang memang hanya nampak katil dan bantal.
Masuk kerja dari 7 malam dan hanya akan pulang ke rumah jam 11 pagi keesokkan harinya. 16 jam kerja tanpa rehat apatah lagi tidur. Itu hakikatnya kerja seorang doktor. Penat tolak tepi!
Aku pimpin tangan dia. Tangan inilah yang hampir 10 tahun menjaga perut aku. Menjaga pakai aku. Menjaga anak-anak aku.
Ketika aku diuji dengan ketumbuhan pipi, insan inilah yang sentiasa setia di samping. Sanggup tidur di lantai berlapikkan alas nipis tanpa sekali pun merungut sakit badan.
Sentiasa menceriakan aku dan berbicara bercerita walaupun sepatah pun aku tak mampu membalas kerana leher ditebuk untuk aku bernafas.
Ketika itu aku bukan sesiapa pun. Hanya seorang lelaki yang terlentang di katil dan miskin. Iya, dalam akaun bank memang kosong. Yilek.
Peritnya ketika itu hanya Allah yang tahu.
Pembedahan yang bakal dibuat memakan kos RM20,000. Bingung mana nak cari duit sebanyak itu. Aku belum kerja. Baru habis belajar. Simpanan memang langsung tak ada.
Kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa. Mungkin dia tahu yang dia juga sedang diuji. Jika mahu tinggalkan aku pun aku takkan persalahkan.
Tapi dia kuat, tabah dan terus setia. Kekal menunggu pada lelaki yang langsung tak ada apa apa ini.
Melihat ketabahan dan kesetiaannya, aku tekad berjanji pada diri ini aku tidak sesekali sia-siakan hidup dia. Akan aku semai cinta ini biar mekar hingga hujung nyawa.
“Nak pergi mana ni?”
“Abang nak beli emas”
Tak banyak cakap aku tarik tangan dia masuk ke kedai.
“Pilih yang mana berkenan. Jangan tengok harga. Yang mana sayang berkenan, ambil”
Sengaja aku pesan awal-awal. Bimbang dia teragak-agak untuk buat pilihan. Risau harga mahal. Apalah sangat seutas dua emas jika nak dibandingkan dengan pengorbanan dia pada aku. Kesetiaan dan sokongan dia di setiap apa yang aku lakukan.
Dr Samhan. Lelaki ini tidak berada dimana dia berada sekarang jika bukan kerana sosok tubuh ini. Sungguh!
Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.
Benar, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Michelle Obama (isteri Obama) pernah berkata,” Obama jadi Presiden USA hari ini kerana berkahwin dengan saya. Jika saya berkahwin dengan bekas teman lelaki saya, pasti dia yang jadi Presiden USA dan bukan Obama”
Benar. Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban. Kadang yang tampak diluar bukanlah yang sebenarnya.
Wajah isteri itu sangat enak dipandang. Mendukung di waktu-waktu gelap dan memberi kekuatan untuk melaluinya.
Nasihat saya pada para suami, hargailah pengorbanan seorang isteri. Beri layanan sebaik mungkin. Jika mampu, belikan emas untuknya sebagai tanda kasih padanya. InsyaAllah rezeki datang mencurah-curah. Jika masih belum mampu pasanglah niat, satu hari aku nak hadiahkan emas untuk isteri. Allah akan permudahkan.
Dr. Ahmad Samhan -belajar menghargai isteri-
p/s: Bukanlah emas dan permata yang didambakan oleh seorang wanita yang bernama isteri. Tapi, seorang suami patut berikan walaupun seutas sebagai tanda kasih sayang atas segala pengorbanannya. Jika masih belum mampu, niatkan satu hari aku mampu hadiahkan. Insya Allah ,Allah permudahkan.
MW: Isteri tidaklah mengharapkan semua itu tapi kalau suami mampu apa salahnya. Mahu tersenyum sampai ke telinga isteri dapat hadiah yang tak disangka-sangka.
Sejak dulu sampailah sekarang, masalah harta pusaka sering menjadi perbualan dan rebutan pada setiap keluarga. lebih-lebih lagi apabila suami meninggal dunia. Mulalah timbul jumlah harta si mati, siapa pewaris yang wajib atau faraid yang perlu diberikan kepada ahli keluarga.
Lebih menyedihkan apabila suami meninggalkan isteri yang hanya suri rumah tangga sepenuh masa. Segala perbelanjaan dan keperluan rumah hanya bergantung pada suami. Jadi, apabila suami meninggal tiada lagi punca pencarian, yang ada hanyalah harta yang ditinggalkan itu.
Ini belum lagi tentang mak ayah yang meninggal dunia. Ada pula pergaduhan tentang harta pusaka antara adik beradik pula. Bila tidak ada jalan penyelesaian, mak kes ini mulalah dibicarakan dan akan mengambil masa agak lama untuk diselesaikan, jika ada keperluan yang tidak mencukupi syarat.
Sebenarnya, masalah perebutan harta pusaka ini boleh diselesaiakan dengan cepat, jika semua pihak saling bekerjasama. Bagi suami yang meninggal dunia, ahli keluarga sebelah si mati kenalah bertolak ansur kepada balu yang akan menjalani kehidupan mendatang bersama anak-anak.
Malahan, dalam menyelesaikan masalah ini, baik ahli keluarga si mati mahu pun balu perlu tahu dan faham tentang harta pusaka yang ditinggalkan itu. Beberapa salah faham yang perlu isteri tahu tentang harta yang ditinggalkan seperti yang dikongsikan oleh Azizul Azli Ahmad.
1. Wanita beranggapan jika suami meninggal rumah yang mereka duduk akan jadi milik mereka sepenuhnya.
Hakikatnya, kediaman itu menjadi pusaka dan akan dibahagikan secara Harta Sepencaraian dan barulah secara faraid.
2. Wang yang ada dalam KWSP atau Tabung Haji yang dinamakan atas nama isteri sepenuhnya, isteri boleh ambil semuanya beli beg harmes!
Secara hakikatnya, isteri berperanan sebagai pemudah cara atau pemegang amanah saja untuk duit itu dibahagikan secara faraid. Bukan hak mutlak isteri.
3. Pusaka Tunai oleh suami yang meninggal bagi anak anak bawah umur diperolehi secara terus oleh isteri.
Sebenarnya, isteri tidak boleh langsung mengambil bahagian anak anak ini, bahagian isteri hanya 1/8 dari jumlah yang ditinggalkan sahaja.
4. Buat rumah atas tanah suami dengan duit isteri, isteri akan dapat rumah tersebut jika suami meninggal.
Rumah itu tetap menjadi pusaka dan akan diberikan secara faraid. Isteri cuma dapat 1/8 dari rumah itu.
5. Semua harta suami akan jadi hak isteri jika meninggal.
Terdapat hak ibu bapa suami, bahagian bapa saudara jika tiada anak lelaki dan baitulmal dalam kes kes tertentu.
Pesan pada suami tercinta, untuk elak semua harta jadi pusaka dan dibahagikan secara faraid. Buatlah Hibah Bersyarat atau Bertangguh.
“Jika saya dah meninggal semua harta ini kepunyaan awak dan anak”.
Azizul Azli Ahmad
TENTANG HIBAH
Hibah merupakan satu alternatif pengurusan harta yang boleh memupuk kasih sayang dan mengukuh ikatan silaturrahim dalam keluarga. Sesuatu hibah diiktiraf dan menjadi sah sekiranya memenuhi rukun hibah yang ditetapkan oleh jumhur fuqaha’ iaitu pemberi hibah, penerima hibah, barang yang dihibah dan sighah (ijab dan qabul).
Terdapat dua jenis hibah yang wujud dalam pasaran iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat.
HIBAH MUTLAK ialah apabila seseorang menghibahkan hartanya dalam bentuk yang biasa dan tanpa ditetapkan sebarang syarat untuk menguatkuasakan hibah tersebut. Ia akan memberikan tiga kesan berikut:
a.Harta yang dihibahkan berpindah milik kepada penerima hibah berkuatkuasa serta-merta.
b.Hak milik penerima hibah adalah kekal dan tidak dihadkan tempohnya.
c.Hilangnya hak milik penghibah terhadap ‘ayn dan manfaat harta yang dihibahkan.
Hibah secara mutlak adalah mudah kerana secara konstruktifnya, sesuatu harta yang telah dihibahkan itu jelas telah dipindahmilik dan tidak tergolong sebagai harta pusaka.
(Kredit: SINAR HARIAN)
HIBAH BERSYARAT
Akad hibah dibuat semasa hidup tetapi pindahmilik harta hibah hanya akan dibuat selepas kematian pemberi hibah. Selagi Pemberi Hibah masih hidup, pemberi hibah masih boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya sendiri dengan persetujuan penerima hibah. Tetapi sekiranya penerima hibah mati dahulu maka harta hibah tersebut akan kembali semula kepada pemberi hibah (ruqba). – (Kredit: ROSLINA SABIYAH & CO)
MW: Sebenarnya untuk memudahkan cara, baik ahli keluarga si mati atau si balu kena saling berbincang agar tidak berlaku perebutan harta. Bagi ahli keluarga si mati kenalah faham keadaan balu pasangan yang mungkin memerlukan perbelanjaan demi meneruskan hidup bersama anak-anak, melainkan jika si mati sudah membuat sebarang wasiat sebelum meninggal.
Nak mencipta bahagia dalam rumah tangga itu sebenarnya mudah. Asalkan suami isteri sama-sama jalankan tanggungjawab masing-masing. Saling memahami dan tidak berlebihan dalam menuntut haknya. Lagi-lagi bab rumah kemas ini. Ada ‘check and balance’ nya, saling mengimbangi antara satu sama lain.
Dan bagusnya pasangan ini, Izyan Izdihar Shaarani apabila masing-masing faham peranannya. Baik suami, isteri mahupun anak-anak tidak memaksa antara satu sama lain. Saling berkadaran dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan dalam rumah.
Bagusnya!
Saya isteri yang bekerja.
Saya bekerja jauh dari rumah. Sampai rumah dah maghrib. Hari hari begitulah jadual saya.
Sampai rumah katakanlah 7.30pm. Dalam jadual saya, pukul 10 adalah waktu anak masuk tidur. Jadi, saya hanya ada masa 2 jam setengah untuk buat semua ni,
Kalau saya nak pastikan saya mampu buat kesemua 17 perkara tu dalam tempoh 2 jam setengah, sorang-sorang, dengan berkualiti, saya tak sepatutnya duduk di planet bumi. Saya sepatutnya sudahpun menjadi bidadari sorga.
Jadi, sebab saya rasa mustahil saya boleh buat semua tu setiap hari dalam tempoh 2 jam setengah, maka saya memilih untuk buat semua itu dengan timeline saya sendiri. Dan mengikut cara saya yang saya mampu. Yang penting tetapkan objektif:
1. Anak dan suami dapat perhatian sewajarnya 2. Rumah tidak terlalu bersepah 3. Perut masing-masing kenyang 4. Kami semua dapat habiskan masa yang berkualiti bersama walaupun sekejap 5. Kami semua gembira
Apa-apa sahaja yang saya buat atau tak buat, saya pastikan kelima-lima objektif tersebut tercapai. Rasa mampu masak, masak. Tak mampu masak, order. Yang penting tak ada yang mengamuk lapar.
Rasa larat kemas rumah, kemas. Larat sapu, sapu, larat vacuum, vacuum. Tak larat, kemas meja aje sudahlah. Kemaskan yang superficial je, kemaskan kawasan yang nampak jelas di mata: atas sofa, atas meja, depan tv. Yang lain, esok esok lah buat. Apa yang penting, rumah tak sehingga ke tahap tongkang pecah.
Basuh kain biasanya memang mudah, tekan tekan je. Tapi nak jemur tu kadang dah tak larat. Kalau kami laki bini masih larat, sidai. Tak larat, suami bawa je pergi laundry, keringkan. Kalau suami pun dah tertidur, tak larat nak bangun pergi laundry, aku biarkan aje. Esok aku tekan balik mesin tu, ha basuh lagi sekali. Benda boleh rileks, buat apa stress.
Baju? Alah..larat lipat, lipat. Tak larat saya susun je bakul bakul tu dalam bilik baju. Tutup pintu. Settle. Ada masa lapang, hujung minggu, lepak dalam tu sambil pasang lagu, slow slow lipat lah. Bukan jadi serbuk pun baju baju tau kalau lambat lipat. Chill aje udah.
Sapu sampah dan vacuum? Larat, buat. Tak larat, kutip sampah yang besar-besar. Lap pakai kain lap kalau ada benda yang tumpah tumpah bawah meja, dah. Kalau nak mop bagai kau tunggu ajelah hujung minggu. Nak berkilat sangat lantai tu setiap masa nak buat apa? Cermin?
Iron baju? Kalau larat iron semua hujung minggu, iron. Tak larat iron je sikit-sikit. Kalau tak sempat sebelum tidur, esok subuh aku bangun awal sepuluh minit dari biasa, ha iron. Apedehal.
Yang penting, ini. Bagi saya, ini yang wajib:
1. Spend time dengan anak. Kita dah tinggalkan dia sepanjang hari. Biarkanlah dia nak bergelumang dengan kita selama 2 jam setengah tu. Itu je masa yang kita ada dengan dia. 2. Ajar anak mengaji. Seboleh boleh kami suami isteri cuba untuk tak skip rutin yang ini. 3. Spend quality time together. Setengah jam pun jadi. Waktu dinner, wajib duduk semeja. Sembang, gelak, bahan each other. Kalau sempat, kami tengok Netflix sesama. Sekejap pun tak apa. Dapat tengok satu episod naruto pun jadi. 4. Buat breakfast pagi-pagi (cipta menu yang boleh dibuat dan dimakan segera) untuk anak dan suami. Saya suka spend time dengan anak dan suami sebelum masing-masing berpisah ke destinasi masing-masing. Sekejap pun jadi. Sebab nak jumpa semula nuuu maghrib nanti.
Keinginan untuk rumah yang berkilat, bersih, dan tersusun macam muzium tu adalah kehendak kita sahaja. Ia bukan keperluan. Kita takkan mati dan menyesal kalau rumah kita bukan rumah yang paling berkilat di daerah kita.
Tapi, memberi masa dan perhatian yang secukupnya kepada anak adalah suatu prioriti yang kita tak boleh tolak ansur dah. Yang itu ya, kita akan menyesal apabila suatu hari nanti, dia rupanya-rupanya dah besar dan tak mahu sembang dan spend time dengan kita dah. Masa tu, kita duduk lah dalam rumah yang berkilat macam muzium tu dengan suasana yang sangat sunyi.
Rumah yang berkilat dan tersusun macam muzium tak boleh beri kita kebahagiaan pun. Ia hanya beri kita kepuasan yang sementara. Sebabnya esok lusa, bersepah balik.
Fokuslah dengan objektif yang lebih utama, kemenjadian anak-anak dan memori yang dicipta bersama untuk dikenang sampai bila-bila.
Tapi betul, saya boleh hidup dengan timeline dan pace macam ni kerana saya dianugerahkan suami yang memahami, rajin membantu, mengambil separuh daripada tugasan rumahtangga bersama dan anak juga sudah boleh membantu banyak benda.
Percayalah,
Kesefahaman itu bukan dicipta overnight sahaja. Ia sudah pun melalui proses pertengkaran, kemerajukan, perbincangan, latihan, mesyuarat, persidangan, dan ngauman ngauman serta sedu sedan yang mendayu-dayu. Tapi, selagi Allah ada dalam setiap perbalahan tu, insyaallah kita suami isteri akan baik-baik sahaja.
Saya teguh dengan modul ‘penat sama-sama, rehat sama-sama’. Jangan mengalah selagi objektif modul tak tercapai!
Tak perlu ada sesiapa yang terkorban pun dalam struggle pengurusan rumahtangga.
Selagi kita suami isteri masing-masing cuba lapangkan dada untuk cuba memahami dan bersifat ihsan towards each other, Allah akan bantu kita.
Doa banyak banyak pada Allah… “Ya Allah, kau berilah ilham kepada suamiku agar dia faham isi hati ku ni Ya allah.” Doa begitu selalu.
Suami ni, dia bukan macam anak-anak, boleh ditengking-tengking kalau tak dengar cakap, bukan boleh dipecah perintah kalau nak minta dia buat sesuatu. Tapi, jika kena caranya, insyaallah dia akan buat apa yang kita harapkan dia buat dengan seikhlasnya juga.
Yang saya tulis ni, bukan tips. Tapi ini kisah hidup saya yang baru sepuluh tahun berumahtangga. Alhamdulillah, segalanya makin tenang, dan kurang dah tunggang langgang.
Bagi yang baru meniti setahun dua tahun tiga tahun empat tahun tu, sabar…sabar..sabar…tenang…banyakkan komunikasi..merajuklah, menangislah, memintalah, bersuaralah…agar akhirnya isi hati kita sampai kepada suami.
Orang lelaki ni otak dia slow sikit bab faham isi hati isteri ni. Kita kena luah luah luah luah luah banyak banyak banyak banyak kali sampailah dia register, oh begitu rupanya yang bini aku nak. Hahahaha!
Rileks k, jangan stress.. mak mak bawak bertenang. Buat apa yang termampu. Kita semua dah usaha dah sebaiknya. Mak mak memang semua akan berusaha pastikan yang terbaik untuk anak dan rumahtangga nya.
Buat saudara mara adik-beradik ipar-duai jiran tetangga dan sahabat handai, jangan sibuk judge rumahtangga orang lain tu tak kemas lah, tak berkilat lah, tak bersih bersinar lah, bini orang tu malaslah, tak rajin masaklah apa lah yee. Itu rumahtangga dia, suami dia, anak anak dia. Dan boleh sahaja objektif dia dan kita tak sama. So SOP pengurusannya pun tak sama. So kita senyap aje sudah. Tak puas hati, kemam aje diam-diam. Tak payah sibuk. Selagi tak ada perkara yang menyusahkan kita, biarkan mereka. Kau sakit mata? Pejam. Kau sakit hati? Ha tu kau punya pasal. Selagi dia tak kacau kau, sudah.
Suami, teruskanlah berbuat ihsan kepada isteri. Percayalah, Isteri anda pasti sedang sentiasa mencuba melakukan yang terbaik untuk anda dan anak-anak, dengan cara yang dia tahu, dan dengan kudrat yang dia mampu.
Kalau ada sesiapa yang hasut fikiran anda agar jangan bantu isteri, biarkan isteri buat sendiri sebab itu tugas isteri, kalau bantu isteri tu tandanya anda takut bini, ha kau pergi hembus auzubillahi minasyaitooonnn nirrrajimmmm kat ubun ubun dia. Kalau nampak tak lut, kau azankan je kat telinga dia bang. Bisikan syaiton sungguh!
Isteri happy, anak anak happy, anda sendiri pun akan happy. Bahagia itu kita yang cipta.
Ciptalah.
(Eh ya Allah, bila aku baca balik, panjangnya! Anda dah baca sampai bottom line ni kira tahniahlah!)
MW : Wah! Bagus tip bab rumah kemas ini.. Apa pun biarlah sama-sama hadap. Barulah tanggungjawab itu jadi ringan dan tak membebankan.
Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2025 akan diumumkan pada 25 Februari 2026 (Rabu) jam 10.00 pagi.Pengumuman rasmi ini...