Setiap tahun, Malika dan suaminya akan ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Bagi Malika, tiada tempat seindah Tanah Suci Mekah, biar pun saban tahun ke sana, kerinduan tetap bertandang. Namun kali ini, mereka akan membawa sekali anak sulungnya, Firdaus yang merupakan anak “istimewa” iaitu masalah pembelajaran.

Tekad Bawa Anak

Selama ini, Malika dan suami selesa pergi berdua tanpa anak kerana bimbang akan keselamatannya anaknya yang sukar dikawal. Tetapi melihat kesungguhan Firdaus untuk ke sana, membuatkan naluri keibuannya tercuit, apatah lagi mereka berkemampuan. Atas nasihat seorang ustaz, mereka memberanikan diri dan menyerahkan segalanya kepada Allah.

Malika dan suami sedari awal mengikut pakej umrah, bagi mereka lebih senang bergerak dalam kumpulan kecil untuk ke mana-mana. Sebelum bertolak, Malika dan suaminya, Amran menceritakan keadaan sebenar Firdaus kepada pegawai pengiring agar mereka sentiasa peka dengan keadaan anak mereka.

IKLAN

Usai segala urusan, maka berangkatlah keluarga ini ke Tanah Suci. Suasana di Tanah Suci amat meriah, kali ini Malika dan ahli rombongan yang lain dapat menginap di hotel berdekatan dengan Masjidil Haram. Jadi, mereka tidak memerlukan banyak masa apabila tiba waktunya ketika ingin menunaikan solat.

Sejak kecil Firdaus memang jenis banyak bercakap, namun sejak tiba di Mekah dia jadi kurang bercakap. Kadang-kadang puas Malika dan Amran bertanya itu dan ini, Firdaus hanya selesa mengangguk dan menggeleng. Seolah-olah seperti ada seketul emas di dalam mulut hingga menyukarkan dia untuk bersuara.

Segalanya Dipermudahkan

IKLAN

Kebimbangan di hati Malika menjadi kurang apabila Amran menjelaskan anak mereka senang diuruskan sepanjang berada di Mekah. Maklumlah mereka tinggal di bilik berasingan, jadi Malika risau akan keadaan anaknya. Jelas Amran, Firdaus tidak perlu dikejutkan untuk bangun untuk solat Subuh. Tetapi Firdaus tidak mahu memegang tangannya ketika berjalan.

Hinggalah satu hari, usai solat isyak, Firdaus hilang dari pandangan mata. Jantung Malika hampir luruh apabila suaminya memberitahu yang Firdaus hilang. Berjujuran air mata Malika dan tidak terbendung perasaannya. Dalam kerisauan hatinya, dia memohon kepada Allah agar menyelamatkan anaknya.

IKLAN

Puas dicari, kelibat Firdaus langsung tiada. Setelah penat dan malam makin larut, pegawai pengiring menyarankan kami pulang ke hotel. Sebaik tiba di hotel, kelihatan Firdaus sedang menunggu Malika dan Amran di lobi hotel. Wajahnya tenang sekali. Rupa-rupanya setelah melihat bapanya seakan khusyuk berdoa, Firdaus ambil keputusan untuk pulang sendiri kerana dia terasa ingin ke tandas.

Ternyata kerisauan Malika terubat, biar pun anaknya cukup istimewa tetapi Allah terangkan hatinya untuk mengingati jalan pulang ke hotel. Jika selama ini Malika merasakan anaknya yang telah berusia 15 tahun tidak mampu berdikari, ternyata jangkaannya meleset.

Firdaus membuktikan dirinya mampu menguruskan diri dan Allah sentiasa ada untuk menjaga anaknya walau di mana berada.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI