Sesungguhnya kasih ibu memang sepanjang hayat, selagi nyawa dikandung badan. Meskipun sudah berusia 84 tahun, namun warga emas ini dilihat masih gagah menguruskan anak lelakinya yang sakit dan hanya terlantar di katil hampir 21 tahun.
Uruskan Anak Seperti Bayi
Zainun Marto berkata, dia menguruskan Azman Othman, 50, seperti seorang bayi disebabkan anaknya itu sudah hilang keupayaan untuk bergerak akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1999.
Selepas tragedi hitam itu, katanya, tanggungjawab menjaga anak ke-11 daripada 12 beradik terpaksa dipikul sendirian kerana anak-anaknya yang lain tidak dapat menjaga Azman disebabkan mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.
“Saya reda dengan ketentuan ALLAH, saya bersyukur kerana masih beri kesihatan, umur panjang untuk menguruskan Azman.
“Menjaga Azman bukan satu bebanan. Selagi bernafas, saya akan menjaganya dan tidak akan sesekali mengabaikannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong 12, Kubang Buaya di sini pada Sabtu.
Keupayaan Bergerak Hilang
Bercerita lanjut, Zainun berkata, Azman terbabit kemalangan jalan raya menyebabkan kecederaan parah pada kepala dan terpaksa melakukan pembedahan bagi membuang darah beku.
“Doktor sudah memaklumkan pada saya, jika Azman hidup, keupayaannya untuk bergerak akan hilang. Malah, Azman juga tidak dapat mendengar dan melihat, sebaliknya hanya mampu terbaring.
Ads
“Pada waktu itu, saya sudah pasrah. Ini mungkin ujian untuk uji kesabaran makcik sebagai ibu,” katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Harap Ihsan Anak-Anak Lain
Zainun berkata, setiap bulan dia terpaksa membelanjakan hampir RM600 untuk membeli susu formula khas.Bagaimanapun, katanya, bagi membeli lampin pakai buang bagi keperluan Azman, dia mengharap ihsan daripada anak-anak untuk membantu.
“Anak-anak lain banyak membantu dan itu sudah menggembirakan saya dan sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.
Proses Keluarkan Wang KWSP
Sementara itu, Zainun berkata, dia kini dalam proses mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Azman yang pernah bekerja sebagai penghantar barang sebelum ini.
Ads
Bagaimanapun, katanya, dia berdepan dengan beberapa kekangan termasuk untuk menukar kad pengenalan Azman yang masih menggunakan kad pengenalan lama.
“Saya tidak boleh membawa Azman ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menukar kad pengenalan baharu. Dia terbaring dan kalau hendak ke JPN, saya kena sewa ambulans.
“Jadi, saya sudah minta bantuan cucu untuk menguruskan perkara ini dengan JPN pada Disember lalu. Namun sehingga hari ini masih tiada maklum balas mengenai perkara itu. Tiada wakil JPN yang datang untuk memudahkan perkara ini,” katanya.
Ads
Dalam pada itu, nasib menimpa Zainun mendapat perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan/Pekan yang diketuai pengerusinya, Jamilah Aziz.
NGO berkenaan hadir melawat dan menyampaikan barangan keperluan harian kepada Zainun di rumahnya pada Sabtu.Jamilah berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan masalah dihadapi keluarga berkenaan.
MW:Begitulah besarnya kasih dan pengorbanan ibu, sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan.Meskipun sudah berusia 84 tahun, namun warga emas ini dilihat masih ‘gagah’ menguruskan anak lelakinya yang sakit dan hanya terlantar di katil hampir 21 tahun. Semoga ganjaran syurga hendaknya buat wanita ini.
Saat mengandung merupakan antara detik bermakna bagi kaum wanita, lebih-lebih lagi jika ia kehamilan yang pertama mahupun setelah kian lama menanti waktu ini.Namun perlu diingat, dalam keterujaan berkongsi pengalaman dan memuat naik gambar mengandung di laman sosial, wanita perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dikongsikan.Elak berkongsi gambar memakai baju yang ketat, sendat dan melekat pada perut, kerana ia mampu menaikkan nafsu syahwat bagi golongan Si Maiesiophilia.
Memetik laporan di Harian Metro, kebebasan golongan wanita di negara ini yang memuat naik gambar di alam maya boleh mengundang padah apabila hanya dengan sekeping gambar, boleh digunakan untuk memuaskan nafsu seks lelaki secara maya.Antara kelainan seksual yang semakin meluas kini adalah maiesiophilia yang menjadikan segelintir lelaki yang menghidap simptom ini merasa ghairah apabila melihat wanita mengandung.
Gambar Jadi Objek Pemuas Nafsu
Tinjauan di laman sosial Facebook, terdapat lebih 100 halaman kumpulan yang bertindak mengumpul dan menyebarkan gambar wanita berpakaian seksi termasuk ibu hamil untuk dijadikan tatapan lelaki hidung belang yang tidak malu untuk memberi komen gersang.
Membimbangkan apabila ada antara penghidap maiesiophilia menubuhkan kumpulan di aplikasi Telegram dan WhatsApp yang ditubuhkan sebagai medium perkongsian video serta gambar ibu hamil sebagai objek pemuas nafsu.Bukan sahaja gambar wanita itu disebarkan tanpa keizinan malah identiti mereka juga didedahkan sehingga ada lelaki berminat untuk menjejakinya selepas tergoda melihat ‘aset’ milik wanita itu.
Seperti ‘Diperkosa’ Beramai-Ramai
Pembantu tadika mahu dikenali sebagai Hani, 29, berkata, dia pernah menjadi mangsa apabila gambarnya ketika hamil pernah disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan di satu halaman kumpulan Facebook.
Katanya, meskipun kejadian itu berlaku hampir empat tahun lalu namun ia masih segar dalam ingatan apabila mengenang kembali komen yang diberikan terhadap gambarnya itu.
“Gambar itu dirakam ketika saya mengandung anak sulung dan begitu teruja untuk memuat naik di Facebook tanpa berasa apa-apa kemungkinan kerana saya menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang terdedah.
“Seminggu selepas itu saya diberitahu oleh rakan bahawa gambar saya tersebar dan apabila membaca komen yang diberikan saya terasa seperti ‘diperkosa’ beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, komen berunsur lucah dan melampau menyebabkan dia menghantar mesej peribadi melalui Facebook kepada pemilik halaman kumpulan itu supaya memadam gambarnya dan mahu membuat laporan polis.
Kata Hani, bagaimanapun individu itu enggan memadam gambar berkenaan malah menyalahkan dirinya kerana memulakan muat naik gambar itu di Facebook secara terbuka.
“Saya cuba selidik siapa pemilik page (halaman kumpulan) itu kerana saya yakin dia kenal saya kerana kapsyen gambar saya yang disebarkan itu terdapat lokasi tempat tinggal saya.
“Dua hari selepas itu, page itu disekat oleh Facebook. Namun sehingga hari ini saya trauma dan tidak mahu memuat naik gambar lagi di Facebook,” kata ibu dua anak itu.
Tergolong Masalah Sakit Mental
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Ahmad Rostam Md Zin berkata, maiesiofilia tergolong masalah sakit mental yang menyebabkan keghairahan seksual tidak normal (fetishism) termasuk pedofilia, zoofilia dan necrofilia. Katanya, keghairahan terhadap ibu hamil mula menjadi ikutan sejak kemunculan Demi Moore dalam keadaan berbogel di muka hadapan majalah terkenal pada tahun 1991 dalam keadaan sarat mengandung.
“Ia bukan masalah yang kerap ditemui sebelum ini kerana mereka yang menghidapinya tidak mendapatkan rawatan kerana beranggapan tidak menimbul masalah pada orang lain kecuali ia menjadi kes jenayah.
“Namun perkembangan teknologi membolehkan golongan fetishism ini bergabung dan berkongsi tabiat mereka bersama-sama.
“Besar kemungkinan mereka boleh melakukan jenayah apabila kecenderungan mereka tidak boleh dikawal seperti mana kes penghidap pedofilia,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, untuk mengesan penghidap maiesiofilia adalah sukar dan pihak pakar hanya mampu menasihati golongan ibu berhati-hati apabila di tempat awam dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk di alam maya.
“Kena faham bahawa kita sedang menghadapi dengan mereka (penghidap maiesiofilia) yang mempunyai nafsu pelik dan boleh melanggar waras akal.
“Mereka dipandu nafsu dan tidak peduli dengan privasi anda. Jika anda mengalami gangguan seks atau mengesan gambar anda disalah guna, lapor pihak berkuasa dengan segera dan sebarkan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.
Jadi buat kaum wanita dan bakal-bakal ibu, mohon lebih berhati-hati dengan apa yang dikongsikan di laman sosial.Jangan jadikan gambar-gambar kita, diantara koleksi untuk dijadikan ‘bahan’ memuaskan nafsu pelik golongan maiesiofilia ini.
Suami tak ‘wish birthday’, isteri merajuk. Suami tersalah beli barang dapur, isteri dah tarik muka masam berhari-hari. Tak nak bercakap dengan suami, tengok muka lagilah menyampah. Rasa apa saja perlakuan suami serba menyakitkan hati.
Kalau ikut puncanya bukan besar mana pun. Tapi kan sifat isteri memang macam itu. Ada ketikanya dia mudah merajuk. Tapi orang perempuan ni sebenarnya mudah juga reda hatinya. Asalkan suami tahu macam mana nak pujuk, belai, manjakan malah sayangi mereka. Biarlah dah berpuluh tahun kahwin pun, memang itulah sifatnya.
Suami yang faham.. fahamlah. Yang tak mengerti atau buat-buat tak nak mengerti akan berkesudahan membawa konflik dalam rumahtangga. Isteri ini kalau dia merajuk bukanlah nak minta suami belikan intan berlian baru dia reda hati panasnya itu. Dia cuma mahukan perhatian suaminya saja. Tapi.. rupanya ada juga yang makan pujuk dengan ‘intan berlian’.. Tengok video kalau tak percaya.
Sebab itu, merajuk isteri jenis manja-manja selagi boleh pujuk. Pujuklah segera. Peluk ke, cium pipi dia ke, buatkan air untuk dia ke, masakkan makanan kegemarannya ke atau apa sajalah. Sebab suami lagi tahukan macam mana nak pujuk isterinya yang merajuk.
Tapi kalau moodnya nampak lain. Jangan pula buat semua itu. Sia-sia je nanti. Biarkan dia merajuk. Tengok saja reaksi dia dalam dua tiga hari itu. Kalau dah masuk hari ketiga, masih tak bertegur sapa. Haaa.. itu dah masuk kategori ‘DANGER’.
Kena cepat-cepat pujuk. Bila suami mula ada perasaan MALAS MEMUJUK ISTERI. Danger itu makin berganda-ganda. Bimbang jadi konflik dan boleh menuju jalan perpisahan. Nauzubillah..
Kenapa Merajuk Lebih 3 Hari Itu Bahaya?
Rasulullah Pun Pesan…
Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda, ertinya “Tidak halal seorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya (sesama Muslim) lebih dari tiga hari, barang siapa memutuskan lebih dari tiga hari dan meninggal maka ia masuk neraka” (HR: Abu Dawud 5/215, Shahihul Jami’: 7635)
Sebab itu isteri yang sedang merajuk kena cepat-cepat sedarkan diri. Setiap manusia itu bukanlah bersifat maksum (terpelihara dari dosa).Suami kita juga begitu. Tak sempurna mana pun. Samalah dengan kita wahai isteri. Ada masanya pun isteri tanpa sengaja melukakan hati suami. SEDARLAH SEGERA yang pasangan kita itu adalah hadiah terbaik yang Allah beri.
Baik atau buruknya dia, tentu bersebab. Bukan saja-saja pemberian itu. Walaupun ada ketikanya kita rasa “kenapa aku stuck’ dengan dia ni?” ‘Ya Allah.. mana kau nak lari’ Tapi percayalah, ujian Allah itu sangat hebat untuk mereka yang dapat berfikir. Bukankah hidup kita ini memang satu UJIAN ALLAH? Andai jodoh itu sangat kuat anda akan percaya. Dialah cinta terbaik yang tuhan berikan untuk anda.
Tiga Hari Tempoh Bertenang
Kalau dalam mana-mana perundangan pun ada istilah tempoh bertenang. Dalam konsep merajuk dengan suami pun ada istilah yang sama. Suami pula jangan terlalu memaksa isteri untuk segera sembuh hatinya. Sebab apa, orang perempuan bila tengah panas. Siramlah dengan air terjun sekalipun. Dia takkan jadi sejuk.
Bagi masa untuk isteri fikir kembali apa yang patut, apa yang tidak. Isteri ini kadangkala lambat sedikit enjinnya. Nanti bila dia dah mula sibuk dengan anak-anak, kerja rumah bagai lupalah dia yang dia sedang merajuk dengan suaminya. Kadang tu bukanlah lupa sepenuhnya. Tapi isteri yang baik takkan memanjangkan cerita.
IKut Kata Ustaz, Bila Isteri Merajuk Apa Cara Terbaik Memujuk
Kalaulah dah habis cara memujuk, isteri tak juga mahu hilang merajuk. Jangan putus asa. Sebabnya ada 1001 cara nak memujuk isteri yang merajuk ini. Ikut panduan yang dikongsikan oleh ustaz untuk mendamaikan hati pasangan yang sedang makan hati.
Ustaz Kazim Elias
Gunakan Kuasa Pujukan Anak-anak
Ustaz Azhar Idrus
Kalau Dah Habis Cara Sangat… Beri Saja ‘Pitih’
Dah fahamkan, merajuk tu boleh tapi kenapa tak boleh lebih 3 hari? Haa.. buat suami, kalau isteri dah muncung sedepa tu cepat-cepatlah pujuk. Bagi tenang sikit emosi sensitifnya itu.
Video : Youtube
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sememangnya cukup sebak apabila orang yang disayangi pergi meninggalkan kita. Apatah lagi yang pergi merupakan ibu tersayang. Sewaktu perjalanan akhir arwah, anak-anak taburlah bakti terakhir.
Cukup syadu perkongsian seorang anak tentang pemergian bonda tercinta. Menerusi entri di Facebook Leya Sari menceritakan perjalanan akhir arwah ibunya. Sebagai anak ternyata bakti terakhir untuk mak dapat disempurnakan dengan baik mereka adik beradik.
Bakti Terakhir Khas Untuk Bonda Tersayang
Coretan seorang anak mengenai perjalanan bonda tercinta Allahyarhamah Prof. Dr. Zaharah Mohamed Said yang mengadap ilahi pada 2 November lalu sangatlah menyentuh hati. Malah Leya Sari juga akui sewaktu menulis air matanya terus menitis tanpa henti.
“Kepada yang masih ada Mak, pastikan berikan dia layanan VVIP kelas paling atas sementara Mak masih hidup. Jangan abaikan Mak kita walau kita sibuk tahap Menteri. Jangan buat Mak terasa hati. Bangunlah setiap pagi dan bahagiakan Mak kita.
Segera Sinsing Lengan Adik Beradik & Bakal Menantu Mandikan Mak
“Bila dapat tau Mak dah hembuskan nafas terakhir, segera sinsing lengan adik beradik semua termasuk bakal-bakal menantu. Pastikan anak perempuan kena mandikan Mak. Sarung PPE, pakai glove, gosok pelan-pelan badan Mak. Jangan bagi orang berkasar dengan Mak.
“Masa lalukan air, aku bisik. Ya Allah, tangan ni yang selalu suap aku makan. Tangan ni yang pimpin tangan aku berjalan. Lalukan air di di kaki. Kaki ni yang cari rezeki untuk aku adik beradik. Ya Allah yang Maha Baik, Kau gugurkan lah segala dosa dari tubuh Mak ku.
“Bila mayat Mak nak keluar rumah, cepat-cepat anak lelaki semua pegang keranda mak..
“Biar kita pikul.. kalau boleh semua adik beradik lelaki yg pikul..
“Jangan bagi org lain.. Ni Mak kita..
Dulu dia yangg dukung kita..
“Dia yg bawak kita dlm perut dia..
“Takkan mayat dia kita tanak pikul?
Ingat Balik Waktu Kita Baru Pandai Berjalan, Mak Tak Bagi Kita Jatuh
Anak lelaki Allahyarham mengimamkan solat jenazah.
“Waktu jalan bawak mayat Mak ke kubur tu,
“Ingat balik waktu Mak pegang tangan kita. Waktu kita baru pandai jalan. Mak langsung tak bagi kita jatuh. Sekarang kita nak hantar Mak pergi jauh.
“Anak lelaki, pastikan jadi Imam solat jenazah untuk Mak. Tu la kali terakhir kita ‘berjemaah’ dengan Mak kita. Lepas ni Mak dah tak ada lagi kat belakang saf kita.
“Sampai kat kubur, jangan bagi org lain sambut mayat Mak..
“Adik beradik lelaki semua terjun dalam liang. Sambut mayat Mak. Biar kita yg bukak ikatan kafan tu. Biar kita pusingkan mayat Mak mengadap kiblat. Biar kita yang letak bantal tanah kat belakang badan Mak.
Dulu Mak Pastikan Kita Tidur Ada Bantal
Selamat Jalan Bonda kesayanganku Zaharah – Leya Sari
“Dulu Mak pastikan kita tidur ada bantal. Ada selimut… jgn sampai kena gigit nyamuk..
“Ni kita last dapat tengok Mak. Lepas ni takde dah.. Waktu ni kalau kita ada dosa dengan Mak, dah terlambat nak mintak ampun dah. Biarlah kita yg uruskan mayat Mak. Bukan orang lain.
“Cakap dlm hati. Mak ni last aku dapat tengok Mak. Ni last aku dapat pegang Mak. Lepas ni aku tak dapat tengok Mak lagi. Aku tak dapat pegang Mak lagi. Aku tinggalkan Mak kat sini. Mak tunggu aku eh. Sampai masa nanti aku akan jumpa Mak kat sini. Sementara ni Mak duduk kat sini. Aku pulangkan Mak kat Tuhan. Nanti aku doa utk Mak. Aku hantar sedekah untuk Mak.
“Mak jangan risau, aku janji dengan Mak. Dengar bebetul talkin unruk Mak kita tu. Ni la pertama kali dan terakhir kali kita dapat dengar. Balik saja dari kubur Mak, cepat-cepat doa untuk Mak.
“Ya ALLaH. aku redha Kau Ambil Mak aku. Kau ampunkanlah dosa-dosa Mak aku. Dulu dia lahirkan aku. Dia didik aku. Dia sayang aku, Ya ALLaH. Kau sayangilah dia pula. Kau terimalah amal ibadat Mak. Kau luaskanlah kuburnya. Kau naikkan darjatnya Ya Allah. Kau haramkan api neraka buat Mak aku, Ya Allah, jadikan Mak aku hambaMu yang mulia”.
“Pastu, ingat balik semua jasa Mak. Ingat balik apa nasihat Mak. Ingat semua pesan Mak. Mak suruh jaga adik beradik. Jangan gaduh, kesian kat Mak. Dia tak senang kat sana bila anak-anak dia bermusuh.
“Mak cuma boleh menangis saja dari jauh. Kita yang tinggal ni jangan lupa kat Mak. Hantar pahala untuk Mak kat sana. Kesian kat Mak. Kalau kita yang mati, Mak tak berhenti doakan kita sebab Mak sayang anak-anak dia,” luah Leya Sari penuh perasaan.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...