Setiap pasangan yang berkahwin, sudah tentu inginkan cahaya mata. Kalau boleh, ada anak lelaki dan perempuan. Bahagianya. Namun, tidak semua yang kita inginkan itu dapat. Setiap kali lahirkan anak, jantina anak sama sahaja. Baik lelaki berderet atau pun perempuan sahaja.

Mungkin itu rezeki yang dia telah tentukan. Semua lelaki atau semuanya perempuan, itu adalah rezeki. Bersyukur kerana diberi zuriat. Sedangkan ada yang kahwin berpuluh tahun, belum lagi dikurniakan anak. Jadi, usahlah merungut sebab setiap anak itu ada rezeki dan Dia lebih mengetahui segalanya.

Perkongsian daripada Mohd Fadli Salleh, mampu menenangkan pasangan suami isteri yang dikurniakan anak lelaki berderet atau perempuan berderet. Bersyukurlah.

 Berderet Anak Lelaki – Keluarga Jadi Kuat

 “Bang. Lelaki lagi,” ujar puan isteri sedikit kesedihan.

“Tak apa lah. Lelaki pun anak juga,” balasku.

“Tapi saya tak dapat beri anak perempuan kat abang. Tak apa ke?” balas puan isteri makin sayu.

Aku pandang matanya. Genggam erat tangannya. Tangan yang aku kahwini 11 tahun lepas itu hangat terasa. Lalu aku berkata,

“Anak ni rezeki Tuhan. Kita tak perlu merungut walau lelaki semua. Orang lain berapa ramai berdoa agar ada anak. Ramai juga yang berdoa agar dapat jodoh.

Lagi pun anak-anak lelaki ni, buatkan keluarga kita kuat. Awak keluar nanti, penuh bodyguard iring. Jenazah kita nanti tak perlu orang lain pikul. Setiap penjuru, anak-anak kita”.

“Tapi bang. Kalau abang…” kata-katanya terhenti.

Aku gelengkan kepala tanda tak nak dia teruskan berkata-kata. Aku tahu ayat seterusnya.

Ayat gurauan ramai kawan-kawan selalu berkata,

“Agaknya ‘kilang’ ini produce lelaki sahaja. Kena cari ‘kilang’ lain kot baru boleh produce perempuan”.

IKLAN

Itu ayat gurauan. Sedikit pun aku tak terkesan.

Tak Perlu Ambil Risiko

Namun adakah jika kahwin lagi satu anak yang bakal dikandung itu 100% pasti perempuan? Tidak kan?

Bahkan kemungkinan nak mengandung pun belum tentu lagi. Habis kenapa nak ambil risiko cari yang lain?

Satu cukup. Cukup untuk menjaga aku dan anak-anak. Dua walau banyak belum tentu menjanjikan bahagia.

Bahkan jika ada yang berkata, jika kahwini dia pasti dapat anak perempuan pun akan aku tolak. Walau pasti.

Kahwin Lain Belum Tentu Dapat

Memang kalau boleh, kita nak anak biar berpasang. Biar ada lelaki, biar ada perempuan.

Namun apa salahnya kalau lelaki semua? Nanti cari la menantu perempuan pula. Lagi pun aku tak risau, aku dah ramai ‘anak-anak’ perempuan di sekolah nun.

Paling ditakuti bila kahwin dua tiga adalah keadilan. Adil ni tak nampak mata kasar. Bukan boleh timbang atas penyukat.

IKLAN

Sikit terlebih sana, sini terasa. Malaikat pula menulis. Ah, cari bala belaka.

Andai satu pun aku tak mampu nak jaga dengan sempurna, tak pernah aku mimpikan ada dua, ada tiga.

Walau kewangan itu mampu, walau nafkah zahir dan batin ada kemampuan, namun cukuplah.

Cukuplah satu pada aku.

Bukan Takut Isteri

Orang bergurau katanya takut bini. Salah tu.

Berkahwin satu bukan tanda takut bini. Ia tanda setia, tanda menghargai, tahu kemampuan diri dan ia tanda sedar, yang satu itu pun kita tak menjaga hati mereka 100%, apa lagi mahu tambah dua tiga.

Orang yang berminat nak tambah ramai, silakan. Jika rasa mampu zahir, mampu batin, dan mampu adil, silakan.

Tidaklah aku menolak poligami. Itu sunnah nabi saw. Mana mungkin kita menolak sunnah kekasih Allah.

IKLAN

Cuma aku sedar. Sunnah lain banyak lagi tak terikut. Nak ikut sunnah yang tak mampu nak pikul buat apa? Ikut sunnah ni dapat pahala sepatutnya.

Namun jika ikut sunnah tapi tidak adil, tidak mampu, menyakiti dan melukai antara satu sama lain, bukan dia. Bukan begitu caranya.

 Milik Ibu

Anak semua lelaki? Alhamdulillah. Syukur pada Allah. Semua milik ibunya. Kembali taat pada ibu walau sudah beristeri nanti.

Bakal mengusung jenazah kami. Bakal imamkan kami solat 5 waktu, solat terawih bahkan solat jenazah kami.

Ia merupakan kebanggaan kami. Ia bukan alasan untuk mencari lain agar dapat anak perempuan.

Isteri dan anak ini amanah Maha Besar dari Tuhan. Nak didik mereka agar menarik tangan kita ke syurga tidak mudah.

Yang sedia ada ini, perlu aku didik sebaik mungkin. Tidak ingin aku mencari lain.

Cukuplah satu bagiku. Cukuplah satu.

@The Arumi’s
#MFS
– Family man –

MW: Tak kisah anak lelaki atau anak perempuan, yang penting kita sebagai ibu dah ayah daapt menjaga dan membimbing mereka menjadi anak-anak yang soleh dan kebanggaan keluarga.

Sumber: Mohd Fadli Salleh

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI