Nampak urus rumah sangat mudah dan senang. Tak penat otak pun, cuma tangan dan kaki bergerak, berbanding dengan kerja di pejabat, memang berbeza.
Jangan ingat urus rumah senang dan mudah. Selesai kerja rumah, mak-mak boleh rilek tengok tv dan ‘me time’.
Sebenarnya, urus rumah tak akan habis. Bermula seawal pagi sampailah ke malam. Memang tak pernah habis. Ada saja yang perlu mak-mak lakukan. Ini belum lagi fikirkan tentang hidangan apa untuk keluarga, basuh baju, jemur dan lipat.
Boleh dikatakan dari perkara kecil sampailah perkara besar dalam urus rumah, semuanya di bahu isteri. Suami? Nampak macam pulang kerja hanya goyang kaki di kerusi sambil menonton tv.
Ingat, urus rumah bukan hanya di bahu isteri sahaja, suami pun memainkan peranan penting. Seperti yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini, ada benarnya. Baik isteri atau suami, masing-masing ada tanggungjawab tersendiri.
Tahu, kan? Isteri kamu penat. Setiap hari fikirannya tertumpu untuk keselesaan suami dan anak-anak. Setiap perincian, walau sekecil mana pun dia akan fikir.
Pasal makan, dia tahu sangat makanan apa yang suami suka, apa yang anak-anak suka. Jika ada bercanggah kemahuan, dua-dua pun dia masak. Tak apa penat sikit, asalkan semua makan berselera. Di sebalik itu semua, kemahuan dirinya sendiri tak tertunai, kerana makanan yang dia suka, suami dan anak-anak tak suka.
Ads
Cuba buka almari dan lihat. Semua baju dia dah susun elok. Ikut jenis, kegunaan dan pasangan pakaian yang sesuai. Baju suami digosok rapi. Panas atau hujan, jarang baju kerja tak tergantung elok bergosok dalam almari di pagi hari. Baju sekolah anak-anak bersih, walaupun setiap kali pulang sekolah comotnya bukan main. Kalau koyak, dia baiki.
Tandas – Bersih. Shampoo untuk rambut. Sabun cecair untuk basuh tangan dan badan, begitu juga sabun bau badan untuk ketiak. Pencuci mangkuk tandas. Sabun muka. Ubat gigi.
Dapur – bersih. Sabun cuci baju. Peluntur. Pewangi. Sabun cuci pinggan. Pencuci untuk lantai. Semua benda ni, siapa uruskan? Siapa periksa habis atau tidak? Semuanya tentulah kalau bukan isteri.
Alat-alat penjagaan diri dan kesihatan, isteri juga yang uruskan. Dia beli termometer, nasal aspirator, nasal irrigator, minyak panas, ubat demam, plaster luka, bandage, pengetip kuku, sikat, dental floss, pencuci luka dan ubat-ubatan. Lepas itu, dia simpan teratur. Anak-anak tak sihat, mesti dia perasan dahulu.
Sekali pun ada pembantu rumah, siapa yang ambil tahu semua perkara ni? Isteri juga. Balik kerja, dia periksa sendiri semua perkara ini. Paling tidak dia tanya pada pembantu rumah. Dia pesan pembantu rumah itu dan ini agar semuanya elok.
Jangan Jadi Cerewet
Banyak yang perlu difikir dan dikerjakan oleh si isteri. Jadi tak usahlah jadi suami yang terlalu cerewet. Hargai semua benda-benda kecil yang isteri fikir dan lakukan untuk suami dan anak-anak. Uruskan rumah bukan mudah. Kalau ada yang baik, maka puji, jika tak baik, diam-diam dahulu. Kalau nak tegur, pastikan anak-anak tak dengar. Apatah lagi orang lain.
Begitu juga suami, tentunya dia pun penat.
Pagi, bangun tidur, walaupun lebih lambat dari isteri, perkara pertama dalam fikiran dia adalah kemandirian keluarga.
Ads
Bil air dah bayar atau bil eletrik? Ansuran rumah, kereta, bil pembentungan, bil internet, telefon, cukai pintu dan sebagainya dah bayar? Gaji pembantu rumah? Kalau tak bayar semua utiliti ini, maka terganggulah urusan harian. Bayangkan tak ada eletrik, air, pembentungan tak dibersihkan. Serabut kepala.
Kereta, ada minyak tak? Air radiator dan wiper cukup ke? Minyak stereng, enjin, kotak gear dan minyak brek semua masih ada? Alignment dan balancing roda dah dibuat? Tekanan angin tanya optimum tak? Insuran kereta dan cukai jalan dah bayar? Kereta isteri sekali dia selalu periksa. Suami fikir benda-benda ini untuk keselamatan keluarga.
Dia kerja hari-hari, fikir pasal perancangan kewangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Simpanan KWSP untuk simpanan masa tua, kecemasan. Caruman PERKESO untuk perlindungan di tempat kerja. Insuran/takaful kesihatan dan nyawa isteri dan anak-anak. Duit simpanan untuk anak-anak belajar. Kena rancang baik-baik.
Tanggungjawab Bersama
Lelaki, nampak sahaja macam dia tak kisah pasal keluarga, balik kerja dia suka-suka baring depan televisyen, meminta air itu, makanan ini, minta nak keluar jumpa kawan. Sebenarnya suami kisah pasal kebajikan dan keselamatan keluarga. Cuma fitrah lelaki tidak suka tunjukkan keprihatinan.
Banyak perkara yang difikirkan dan diuruskan oleh suami. Jadi tak usahlah sambut suami pulang kerja dengan leteran. Lagi-lagi depan anak-anak. Tak elok aibkan suami depan anak-anak. Jika nak tegur, elakkan biarlah ketika tiada orang lain dan ketika suami dalam mood yang baik.
Lelaki ni egonya tinggi, kalau di aibkan, memang dia akan melenting.
Dalam institusi keluarga, masing-masing ada peranan dan tak ada istilah ini kerja kau, ini kerja aku. Isteri kena buat kerja suami dan suami kena buat kerja isteri. Barulah sama-sama memahami kepayahan perkara-perkara yang diuruskan oleh pasangan masing-masing.
Ads
Ajar juga anak-anak ambil tahu tentang hal-hal pengurusan rumah dan pengurusan kewangan.
Akhir sekali, jangan pernah membanding pasangan kita dengan pasangan keluarga lain. Ia sesuatu yang sangat menyinggung pasangan. Setiap keluarga ada kekuatan dan kelemahan sendiri.
Jika ada kelemahan, sama-sama baiki. Jika ada kekuatan, sama-sama suburkan.
MW: Betul tu, masing-masing ada peranan dan tanggungjawab dalam memastikan kelancaran dalam hidup berumah tangga.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Bila kita tengok agak susah untuk melihat air mata suami. Ada pun mungkin sebab kejadian-kejadian sedih yang mungkin berlaku pada ahli keluarga. Selepas itu, rasanya susah nak lihat air matanya.
Kalu dibandingkan dengan isteri atau wanita, air mata ini memang sinonim dengannya. Kadang-kadang perkara yang remeh pun dia boleh mengalirkan air mata.
Begitu juga dalam rumah tangga, dalam tempoh perkahwinan itu, pernah tak, anda melihat pasangan anda menitiskan air mata? Hanya yang kelihatan adalah air mata isteri sahaja. Mahalnya air mata suami. Ikuti kupasan tentang isu ini bersama Puan Asniza Mamat, Pegawai Psychology Kanan, Pusat Asasi UIA.
Puan Asniza Mamat
Lumrah Wanita
Bagi wanita, menangis itu melegakan. Mudah menangis bukanlah dikaitkan dengan sifat keanak-anakan sebaliknya, ia adalah ruang luahan apabila kata-kata tidak mampu untuk digambarkan.
Lelaki juga seperti wanita. Mereka memiliki sensitif spot (soft spot) yang tersendiri dan apabila spot ini disentuh dan ditekan keterlaluan ia juga boleh membuat dia menangis, cuma sukar untuk dia tunjukkan secara terang-terangan.
Sebenarnya, lelaki sukar memperlihatkan air mata mereka kerana sifat semula jadi lelaki untuk melindungi dan menjadi benteng yang kuat walau pun dalam hati mereka juga remuk dan parah.
Ada lelaki menangis kerana tekanan orang yang dia sayang, keluarga atau isteri, ada yang menangis ketika bermunajat pada Allah, ada yang menangis kerana dikhianati sahabat. Cuma kadang ia mudah terlihat dan kadang sukar disebabkan memilih untuk tidak diperlihatkan
Hati Sudah Terguris
Ketahuilah, apabila suami menangis, itu tandanya dia sudah buntu, lemas, tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika hati mereka terguris dengan kata-kata yang terlalu tajam dan penghinaan juga mampu membuat mereka menangis terutama dari seorang isteri.
Apabila suami menangis, bermakna hatinya sangat terguris. Bergantung pada situasi mereka, menangis itu tanda sayang yang sangat dalam dan apabila suasana mampu dipulihkan mungkin hubungan masih berjalan dengan baik atau sebaliknya.
Tawan Hati Suami
Bagi isteri, jika sifat diri membuatkan jatuhnya air mata suami, segeralah memohon maaf kerana maaf itu adalah ‘master eraser’.
Berbincanglah dari hati ke hati dengan matlamat kebaikan bersama bukan untuk menang atau mencari salah. Lelaki suka bila dirinya didahulukan dan diutamakan. Sesuai dengan fitrah seorang ketua keluarga.
Nasihat Untuk Isteri
Sebagai isteri perlu belajar memahami suami, bagaimana didikannya, tahap pengetahuannya dan suai padankan bagaimana peranan yang perlu dimainkan isteri agar mampu menjadi pasangan yang didambakan bukan menghambarkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Walaupun pasangan yang ada cukup terbaik tapi tetap akan nampak ‘lompong’ dan kekurangan dan tidak sempurna.
Keadaan inilah yang membuatkan rumahtangga jadi tak bahagia dan porak peranda, lebih-lebih lain ada yang cuba nak bandingkan dengan orang lain.
Baik suami atau isteri, tak perlulah nak bandingkan sebab pasangan yang kita ada sekarang ini dah cukup terbaik dan sempurna. Lengkapilah kehidupan rumahtangga dengan bahagia.
Inilah yang dialami oleh sesetengah lelaki yang bergelar suami. Dia merasakan pasangannya tidak sempurna dan lebih suka bandingkan dengan wanita lain.
Bila mata lelaki dah diuji, mulalah rasakan isteri belum cukup terbaik dan mencari kesalahan pasangan. Tak perlu begitu, dengarlah apa yang dinasihatkan oleh Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah ini.
Mata lelaki, kadangkala diuji. Dilihatnya ada lagi wanita di luar sana yang jauh lebih sempurna berbanding isteri di rumah.
Walhal, isteri yang kalian ada sekarang, dah cukup terbaik sebenarnya.
Hargai & Saling Melengkapi
Kita tak menghargai apa yang ada di depan mata, sebab itu selalu merasa ada ketidaksempurnaan pada isteri.
Jika kalian rasa isteri kalian tidak sempurna, maka sudah menjadi tanggungjawab kalian untuk menyempurnakannya. Perkahwinan ini adalah buat 2 jiwa yang saling memerlukan.
Kekurangan dia ditampung oleh kelebihan kita dan kekurangan kita ditampung oleh kelebihan dia. Saling melengkapi dan saling menyempurnakan. Di situlah baru wujudnya perkahwinan yang sempurna.
Kalau kalian hanya mencari sempurna saja, memang payahlah nak jumpa. Mulai sekarang, kalian kenalpasti mana yang tak sempurna, di situ perbaiki, lengkapi dan usaha untuk jadi yang sempurna.
Marilah menuju kesempurnaan, dengan itu kamu beroleh keharmonian. Keharmonian untuk mengecap syurgaNya kelak.
Mingguan Wanita : Tak perlu nak bandingkan atau rasa dah bosan dengan pasangan sebab dialah yang kenal luar dalam pasangan. Perbaiki dan bahagiakan pasangan kita.
Sebaknya, ajal yang ditakdirkan buat bayi perempuan comel Aamina Inayah yang berusia 17 bulan ini. Kemalangan yang tidak dijangka berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.Aamina dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di garaj kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra, Gua Musang, semalam.
Kejadian berlaku pada 5 petang dan mangsa Aamina Inayah Mohd Hafezul, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), 30 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu pengasuhnya berusia 54 tahun cuba mengalihkan kenderaan Toyota Fortuner yang berada di luar garaj itu.
Katanya, ketika itu pengasuh bayi berusia 20 tahun berkenaan berada di dalam rumah, dan tidak menyedari bayi terbabit keluar dari rumah.
“Dia (pengasuh) yang menyedari kehilangan bayi itu mencarinya dan terdengar suara menangis sebelum melihat bayi berkenaan terbaring di tepi hadapan kenderaan terbabit.
“Pengasuh bersama ibunya mengangkat bayi itu lalu dikejarkan ke HGM, tetapi mangsa meninggal dunia setengah jam ketika menerima rawatan,” katanya.
Baru Seminggu Duduk Rumah Pengasuh
Difahamkan, bayi itu tinggal di rumah pengasuhnya sejak seminggu lalu berikutan bapanya bekerja, manakala ibunya pula bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.
Sementara itu, pengasuh terbabit ketika ditemui di Bilik Mayat HGM, berkata mangsa baru boleh berjalan dan dia tidak menyangka tragedi terbabit berlaku.Katanya, dia sentiasa mengawasi pergerakan Aamina Inayah, tetapi ketika itu mungkin terlalai apabila tidak menyedari dia keluar ke garaj kereta.
“Biasanya bapa bayi itu datang mengambilnya pada 5.15 petang setiap hari, dan saya amat sedih dengan kemalangan itu,” katanya.
Anak Kedua
Sementara itu, dalam keadaan terkejut, bapa daripada pengasuh bayinya yang maut dirempuh kereta, Mohd Hafezul Abdullah, 35, bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) sebelum mengesahkan anak perempuannya, Aamina Inayah yang berusia 17 bulan meninggal dunia.
Dia mengakui sangat sedih atas pemergian anak kedua kerana bayinya itu dapat menghilangkan kesunyian di rumah berikutan isterinya kini berada di Arab Saudi kerana bekerja sebagai jururawat.
“Saya sudah hubungi isteri saya, Kharina Sharing, 33, di Arab Saudi bagi memaklumkan berita sedih ini dan dia akan pulang segera serta dijangka tiba ke Gua Musang, hari ini.
“Jenazah bayi saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman KESEDAR Putra selepas solat Asar petang ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HGM, hari ini.
Baru Pandai Berjalan
Dalam kejadian pada jam 5 petang semalam, Aamina Inayah dilanggar kereta Toyota Fortuner yang dipandu ibu pengasuh, Che Jah Yaacob, 54.Che Jah ketika itu sedang mengalih keretanya yang berada di luar rumah ke dalam garaj.Ketika kejadian, pengasuh Nor Syamimi Ibrahim, 20, berada di dalam rumah dan tidak menyedari kehilangan Aamina yang baru pandai berjalan sejak tiga bulan lalu.
Nor Syamimi bergegas mencarinya dan terdengar bunyi suara bayi menangis sebelum menemui mangsa terbaring di atas lantai di depan rumah rumahnya.Pengasuh bersama ibunya segera membawa bayi itu ke HGM sebelum disahkan meninggal dunia setengah jam selepas kejadian.
Terima Takdir Allah
Mohd Hafezul yang bekerja di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, berkata anak keduanya itu baru sahaja ditinggalkan di rumah pengasuh sejak seminggu lalu.Katanya, anak pertama yang berusia lapan tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2.
“Saya selalu menghantar anak jam 7 pagi sebelum mengambilnya semula jam 6 petang setiap hari selepas pulang bekerja dan saya tinggal di perumahan Bandar Utama.
“Apapun, saya terima takdir Allah kerana sudah sampai ajal anak saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufi Maidin ketika dihubungi mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada pengasuh dan ibunya.
MW: Salam Takziah buat keluarga bayi perempuan ini. Sememangnya ajal dan maut merupakan satu takdir dan ketentuanNya, namun buat para pengasuh semoga lebih berhati-hati, setiap anak asuhan merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.