Ipar adalah adik-beradik kepada pasangan kita. Berbanding lelaki, biasanya wanita yang sering kali menghadapi masalah dengan ipar-duai. Tak semua, TAPI ADA! Banyak penyebabnya hingga hubungan antara ipar-duai itu dingin.
Bukan Sekadar Penyatuan Dua Hati
Perkahwinan bukan saja penyatuan dua jiwa antara kita dengan pasangan saja, malah ia membawa kepada maksud lebih meluas terutama berkaitan keluarga kedua-dua pihak.
Membina hubungan yang baik dengan keluarga mentua itu tidak hanya tertumpu kepada mak dan bapa mentua saja malah ia perlu dilakukan bersama ipar-duai, biras, sepupu dan ahli keluarga yang lain.
Jangan Remehkan Hubungan Dengan Ipar-Duai
Menjalinkan hubungan baik dengan ipar-duai tidak boleh dianggap perkara remeh kerana tanpa sedar pelbagai masalah boleh terjadi sekiranya hubungan dengan ipar-duai tidak dilakukan seikhlas hati.
Tak dinafikan, mungkin akan sering kali terjadi kita bercanggah pendapat dengan ipar-duai kita namun ia perlu ditangani dengan baik. Jangan hingga berbalah sehingga saling tak bertegur sapa. Itu hanya akan memburukkan perhubungan.
Sebagai orang yang baru masuk ke dalam sesebuah keluarga, sebenarnya kita sendiri kena main peranan untuk ambil hati keluarga pasangan. Bukan saja mak ayah tapi juga ipar-duai.
Berbanding ipar-duai lelaki, biasanya jarang mengalami masalah ini, berbanding wanita. Entah kenapa, mungkin wanita ni kaya dengan emosi kot. Apa pun, buang rasa malu atau ego dan cuba wujudkan kemesraan dengan ikhlas.
Walau pun sudah lama berkahwin, jangan berhenti untuk memberikan imej baik kepada ipar-duai. Sebenarnya banyak faedah bila baik dengan ipar-duai yang merupakan adik-beradik suami.
Ads
Jadi Pendamai
Tak nafikan, ada wanita yang kurang rapat dengan mentua atas macam-macam sebab. Namun, kehadiran ipar-duai (anaknya) boleh membantu mengharmonikan hubungan itu.
Jika kita baik dengan mereka, sudah pastinya mereka akan sentiasa menyebut hal-hal yang baik saja tentang diri kita di hadapan mak dan ayahnya. Bahkan, ada masanya akan ‘backing’ kita juga kalau ada masalah dengan abang/adiknya yang merupakan suami kita. Mereka ini boleh dijadikan ‘team’ kita bila ada masalah dengan pasangan. Betul kan?
Ambil Hati Ipar-Duai
Banyak cara nak ambil hati ipar-duai, bukan sekadar belikan hadiah mahal-mahal saja ye. Tanya khabar pun dah cukup menunjukkan kita menganggap mereka itu antara orang penting dalam hidup kita.
Kalau mampu, hadiah boleh dijadikan sebagai ‘pemanis’ hubungan. Sesekali, mungkin ketika hari jadinya, boleh belikan hadiah untuknya.
Atau boleh masak hidangan yang disukainya bila dia datang ke rumah kita. Itu bermakna kita prihatin pada dirinya. Ada masanya kalau lapang, boleh juga keluar bersama. Ia boleh bantu eratkan hubungan.
Ads
Kalau mereka ada masalah, jangan lokek hulurkan bantuan. Tak boleh bagi duit, pendapat dan sokongan pun dah memadai…
Jangan jadi kaki sibuk
Ini paling penting. Sebagai ipar, jangan sesekali mencampuri urusan rumah tangga ipar-duai. Jangan juga mencuba untuk memberi nasihat jika tidak diminta kerana ia mungkin boleh memburukkan keadaan. Langkah terbaik ialah hindarkan diri daripada masalah.
Jangan Terlalu Percaya
Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh percaya tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya terutama sekiranya ia membabitkan soal peribadi kita suami isteri. Jaga rahsia keluarga anda sebaiknya khususnya yang membabitkan soal maruah diri. Kadangkala kita kena ‘simpan’ sikit kisah rumah tangga kita kerana kita kena sedar hati manusia boleh berubah. Tengah baik okay, tapi kalau satu hari nanti hubungan tak berapa baik, macam mana?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap daripada kita telah ditentukan rezeki masing-masing. Begitu juga dalam kehidupan adik beradik, mungkin ada ahli keluarga kita ditakdirkan lebih daripada adik beradik yang lain atau ada yang hanya cukup-cukup makan. Semuanya ini adalah rezeki masing-masing.
Kehidupan kita dengan adik beradik lain tidak sama. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, begitu juga rezeki mereka. Ada yang pandai, punya bekerja yang baik dan mungkin juga ada yang lemah dalam pelajaran dan pekerjaan hanya cukup-cukup makan.
Sebenarnya, semua ini telah diaturkan olehNya. Ada sebab semua ini. Malah, kalau rezeki kita lebih daripada adik beradik lain, tak perlulah mendabik dada dan menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, raikan mereka dan bantu adik beradik lain.
Jaga adab, keharmonian dalam keluarga dan jangan sombong, ada sebab Allah pilih kita ini. Seperti yang dikatakan oleh Anie Alja dalam perkongsiannya.
Lebih Daripada Adik Beradik – Berjuang Cari Rezeki
Semasa kita kecil bersama adik beradik lain, pernah tak perasan dalam keluarga sendiri siapa yang paling cantik, pandai, nakal dan paling mak sayang. Semuanya yang ‘paling’ lah. Tentu ada kan!
Bila kita semakin meningkat dewasa, kita tahu siapa yang paling berjaya, alim atau paling mak percaya dengan rahsia.
Seorang itu paling garang, ada paling sabar, paling kuat mengelat. Begitu jugalah saya dan suami, kami paling ‘kononnya’. Rezeki lebih sikit daripada adik-beradik lain.
“Cik Anie bolehlah… ada bank bergerak.” Usik anak buah baru kahwin.
Bila sedar, kita ‘lebih’ dalam keluarga yang adik-beradik masih berjuang mencari rezeki, kena jaga adab bila bersama mereka. Berusaha sedikit beradab untuk menjaga harmoni antara kita sesama keluarga. Ini amalan acik dan suami bersama anak-anak;
Apa yang saya dan keluarga amalkan adalah:
1. Kurang bercerita tentang benda material bila berjumpa. Kami tukar kereta baru, tak terus bawa balik kampung. Mak tak tahu, adik-beradik tak tahu. Sampaikan mak mertua pernah tertanya, ‘kenapa kereta ni lebih besar ya… tapi macam sama, warna pun sama.’
Anak-anak pun turut gelak. Suami menjawab, “Budak-budak dah besar mak, cari yang luas sikit.” Jawapan yang sama suami bagi pada sesiapa sahaja yang perasan dengan kereta kami.
Dia tak jawab, “Oh … kalau sayang anak-anak, kena beli kereta yang filosofi ‘zero casualty.”
Kalau inilah cara kita berbasa-basi dengan adik-beradik, memanglah mereka menyampah dan meluat. Bukan salah adik-beradik, salah kita sebab saja menunjuk-nunjuk.
2. Bila kakak ipar bercerita membeli-belah di Nilai 3, buat langsir tiga jam, siap satu rumah. Acik buntang mata, kagum. Jangan ‘ek eleh’ kan mereka. Mereka tengah suka, raikan sajalah. Tak kurang sesen pun duit kita.
Sekali mertua buka cerita, acik buat langsir tak macam cucu tu. ‘Acik Anie pergi kedai… dia pilih kain, pilih corak jahitan, orang datang mai ukur kat rumah dan PASANGKAN sekali.’
Kagum betul dia bercerita. Suami pandang acik terpaku, acik angkat bahu. Dan anak-anak buah jawab, ‘Alaaa…. nenek shopping dengan acik anie, bolehlaaa….’ Gelak berderai cucu-cucu. Nenek pun gelak kena sindir.
3. Pesan pada anak-anak, jangan bercerita benda tak perlu. Nak berlagak dengan harta material, cari kawan setara. Dia pergi Norway, kita balik daripada New York. Baru sepadan. Kalau kita balik dari Disney HK, jangan kongsi dengan sepupu balik dari Bukit Merah Lagoon. Jangan tunjuk jam disney, reben kelapa mickey, nak tunjuk jugak, beli sorang satu. Pakai sesama. Semua boleh meraikan barang Disney walaupun setakat sepet rambut.
4. Jangan kongsi dalam media sosial, our where and about. Acik tepek foto dalam FB tapi setting ONLY ME. Mereka tak perlu tahu semua itu. Kita tak boleh agak, siapa suka, siapa tak suka. Kita memanglah gedik sebab mampu. Orang tak mampu tapi teringin, mulalah syaitan akan masuk jarum. Jadi, kalau kita berakal, tutup lubang syaitan itu. SEAL IT, kata suami Acik.
Kadang-kadang kita tengok adik seorang ini macam susah, tetapi berjalan makan angin tak habis-habis. Bila sembang, selalu tak cukup duit.
Sebagai manusia, kita akan buat pengiraan dalam kepala. Sama juga kalau kita mewah menunjuk tak malu-malu, adik-beradik buat kenduri, minta derma, mak masuk hospital, adik bongsu nak masuk asrama, kita kering hati nak hulur seratus dua. Mereka pun ada kalkulator dalam kepala.
“Amboi, bukan main menunjuk kereta besar. Makan hotel saja, tak kan mak masuk hospital bagi RM50? Paling-paling RM500 atau kalau betul dah gigih menunjuk sangat, RM5K, celah gigi saja kot.” Agak-agak ‘berasap’ tak dengar ayat itu.
Allah Pilih Kita
Acik punyai point, kalaulah rezeki lebih daripada adik-beradik, jaga adab dalam hubungan sesama adik beradik. Kita ada lebih, sebab Tuhan pilih kita. Tak tahu sampai bila. Dia nak rentap, sekali saja, boleh papa kedana dibuatnya.
Acik selalu fikir rezeki adalah MEDIUM kita dan manusia lain. Jadi sebagai medium, jangan perasan kita saja pandai cari duit. Orang lain pun kuat cari rezeki, lagi kuat daripada kita ttapi dah rezeki takat tu. Tuhan bagi rezeki dia cara lain; mungkin ilmu, hati tenang, tidur nyenyak, anak-anak cerdik, mak ayah memahami.
Jadi, janganlah sombong. Rezeki kita hanya apa yang kita makan dan pakai. Jujur, setakat mana banyak kita mampu minum dan makan? Jangan perasan, orang meluat pada kita sebab kita kaya… tolonglahh.
MW: Perkongsian yang cukup menarik. Memang betul pun apa yang dikatakan ini.
Pengorbanan dan kasih sayang seorang mak tu memang tak berbalas dan tak ternilai. Kita akan benar-benar tahu bagaimana sayangnya mak pada anaknya apabila, kita sendiri menjadi mak.Selagi ‘syurga’ kita ada di dunia ini, hargailah dia. Sayangilah mak sementara dia masih ada kerana apabila seorang mak itu telah kembali kepada pencipta Nya, maka akan hilanglah satu RAHMAT yang ada.
Mak tu, Walau dia kata lantaklah kamu, tapi otaknya masih fikirkan hal kamu.
Mak tu, Walau dia kata taknak makan sudah, tapi sedar-sedar lauk kegemaran kamu ada kat atas meja.
Mak tu, Walau dia kata kamu buat salah kamu tanggung sendiri, tapi dia yang tak tidur malam fikirkan masalah kamu, tahu-tahu dia yang bagi jalan untuk kamu selesaikan masalah kamu.
Mak tu, Walau dia kata kamu jahat, degil, sampai dia penat bagi nasihat, tapi dalam setiap solatnya ada doa untuk kamu.
Mak tu, Walau kamu dah ada keluarga sendiri, tapi dia masih risaukan kesihatan kamu.
Mak tu, Walau kamu dah besar panjang dan tinggal jauh darinya, tapi dia masih gembira jika dapat masakkan dan sendukkan nasi ke pinggan anak-anaknya.
Mak tu, Walau katanya dia dah tua nak rehat taknak masak dah, tapi dialah paling sibuk memasak bila tahu anaknya nak balik makan.
Mak tu, Walau nampak dia letih, tapi hatinya paling gembira bila lihat anaknya makan masakannya dgn penuh selera.
Mak tu, Walau mulutnya kata dia ok, tapi hatinya Allah je yang tahu.
Mak tu,Walau dia makin tua makin lupa, tapi dia tak pernah lupa janji anak-anaknya.
Mak tu, Walau dia kelihatan tenang dikala kamu sedang susah, tapi dialah yang sebenarnya paling sedih.
Mak tu,Walau dia kelihatan kuat, tapi dialah paling lemah bila anaknya susah.
Mak tu,Walau dia cakap dia tak suka apa yang kamu buat, tapi dalam diamnya dia cuba mengikut apa yang kamu mahu.
Mak tu, tiada gantinya walau berapa harta yg kita ada. Tiada gantinya walau dia buruk atau miskin. Tiada gantinya walau siapapun kamu. Tiada gantinya walau kau dapat mak angkat, mak mertua atau mak apapun yang dilihat jauh lebih sempurna, namun Mak kita takkan pernah sama dengan sesiapa. Sebab dia mak kita. DIA MAK KITA.
Sayangilah mak sementara dia masih ada. Kerana doanya tiada hijab. Hilanglah satu rahmat bila Mak kembali kepada Pencipta-Nya.
Nukilan seorang anak & mak
Farizal Radzali
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Kata-kata daripada seorang mak adalah ‘keramat’, doanya pada anak tiada hijab. Sayangilah ‘syurga’ kita di dunia sementara masih ada. Buat yang telah tiada mak, selalulah doakan kesejahteraannya di alam sana.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!