Bercinta bagai nak ‘rak’ tetapi akhirnya berpisah. Jawapan paling mudah ‘tiada jodoh antara kita’. Berpisah tanpa ada anak, tidak menimbulkan sebarang masalah sebab mereka boleh membawa haluan masing-masing dan mungkin dapat membina hidup yang baru.

Tetapi bagaimana pula berpisah dengan mempunyai anak, bukan seorang tapi dua atau tiga orang anak. Keliru dan bingung. Anak-anak pula tidak tahu mana satu ingin diikut, ayah atau ibu. Akhirnya, berpisah, seorang ikut ayah dan seorang ikut ibu. Sedih bila memikirkan perkara ini, Anak-anak yang menjadi mangsa.

Ada kebanyakan bapa faham, orang yang selayaknya untuk menjaga anak-anak, tentunya ibu. Tetapi, tidak kurang juga sesetengah kes yang berebut jagaan anak. Kupasan lanjut tentang topik ini bersama Tn Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak.

IKLAN

Faktor Anak-anak Terpisah

Antara faktor-faktor yang menyebabkan anak-anak terpisah dan perlu diputuskan di mahkamah ialah:

Keegoan Ibu Bapa

  • Bila ibu dan bapa berpisah, anak-anak itu akan jadi ‘subject matter’ untuk melepaskan nafsu marah antara satu sama lain. Secara tidak langsung, anak-anaklah yang menjadi mangsa atas keegoan ibu bapa. Lebih teruk lagi, sukar untuk mereka berjumpa antara satu sama lain.

Umur Mukallaf

  • Dalam undang-undang, anak yang sudah mukallaf iaitu bagi lelaki berumur tujuh tahun ke atas dan perempuan berumur sembilan tahun ke atas, boleh menentukan pilihan masing-masing untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Walaupun itu bukan keutamaan sebelum mahkamah benarkan pilihan dilakukan, tetapi selalunya, memang ada yang memilih untuk tinggal bersama bapa dan ada yang memilih untuk tinggal bersama ibu.

Diculik Sebelum Perintah Keluar

  • Apabila berlaku perceraian, tidak akan ada sebarang perintah jagaan dikeluarkan di mahkamah sehinggalah timbul isu dan salah satu fail kes jagaan anak di mahkamah. Namun begitu, masalah yang sering berlaku apabila kes ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Jadi, inilah yang menyebabkan salah satu pihak yang tidak bertanggungjawab akan ‘menculik’ anak mereka daripada pihak satu lagi. Akhirnya, anak-anak pula yang menjadi mangsa.

Hasutan Keluarga

  • Masalah ibu bapa bercerai tidak menjadi persoalan tetapi keadaan lebih rumit apabila ia melibatkan ahli keluarga yang lain. Biasanya, ibu bapa mentua turut menjadi isu kerana tidak sanggup berpisah dengan cucu kesayangan.

Ibu Bapa Berkahwin Lain

  • Selain itu, faktor ibu bapa terpisah disebabkan ibu atau bapa mereka sudah berkahwin dengan pasangan lain. Lebih merisaukan lagi, bila pasangan yang dikahwini itu mempunyai anak tiri bersama. Ada sesetengah pula, bapa akan mengambil anak lelaki dan membiarkan anak perempuan bersama ibu.

TINDAKAN TERBAIK

Jangan kerana perpisahan ibu bapa, anak-nak jadi mangsa. Cuba fikir sejenak dan lakukan perkara ini:

IKLAN

Kurangkan Ego

  • Nafsu marah dan ego setiap pasangan yang berpisah hendaklah buang jauh-jauh. Jangan kerana angkuh, anak-anak menjadi mangsa. Kasihankan perasaan anak-anak. Kesihatan mental dan fizikal mereka mampu terjejas apabia ada perpisahan dengan adik beradik. Jangan sampai ego ibu bapa, masa depan anak hancur.

Bincang Secara Baik

  • Walaupun mungkin perlu turun naik mahkamah, penyelesaian secara baik itu adalah paling utama. Hitam putih itu adalah sekadar panduan dan paling penting hitam putih itu dapat diterjemahkan dalam bentuk rundingan damai. Anak-anak juga tidak akan berpisah kerana perintah mahkamah.

Sabar Tunggu Keputusan

  • Meski pun kita tahu, proses undang-undang ini ada prosedur yang perlu diikut dan dituruti, yang paling penting adalah kesabaran. Sabarlah dalam berjuang untuk keadilan di mahkamah. Tidak perlu sampai untuk ‘menculik’ perasaan anak-anak sehingga memisahkan adik-beradik.

Sokongan Keluarga

  • Sebagai ibu bapa mertua, sepatutnya perceraian anak-anak itu tidaklah melibatkan kepada perpisahan cucu-cucu. Bagi peluang dan ruang kepada anak yang bercerai itu untuk mereka kendalikan masalah mereka.
  • Sokongan moral yang baik kepada anak-anak supaya cucu kita sentiasa terbela kebajikannya meski pun bercerai. Keluarga ini sifatnya perlu membantu, maka bantulah sekadar yang mampu.

Kesimpulan

Kita perlu ingat, dalam menentukan jagaan anak, mahkamah akan pertimbangkan tentang kebajikan anak-anak daripada pelbagai sudut. Salah satu daripadanya adalah, terjejas atau tidak jika anak-anak itu berpisah.

IKLAN

Fikirkanlah kebajikan anak-anak walaupun bercerai. Jangan sebab ibu bapa yang bercerai, anak-anak jadi mangsa. Anak-anak juga ada perasaan sayang.

Sumber: Khairul Fahmi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI