Sememangnya dari urusan kematian, mandi jenazah, solat dan pengebumian semuanya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) uruskan, oleh itu hargailah setiap pengorbanan mereka.

Sekiranya terdapat sedikit kesalahan ketika mereka menguruskan pesakit, berbaik sangkalah. Jangan panjang-panjangkan aduan hingga ke pihak atasan.

Percayalah apa yang berlaku kadang-kadang di luar dugaan mereka. Mungkin terlalu penat melaksanakan tugas, terbeban dengan kerja lebih waktu kerana tidak cukup kakitangan tentu sahaja melelahkan.

Oleh itu, hargailah pengorbanan barisan hadapan dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan terdekat adalah takdir yang ditentukan Allah.

Ikuti perkongsian Muharrik Daie ini dan cuba fahami apa yang disampaikan:

Meninggal Keseorangan Atas Stretcher

Abang ipar aku telah pergi meninggalkan dunia. Mati. Asbabnya Covid-19. Hakikatnya ajalnya sampai. Kalau tak kena Covid pun Abang ipar aku tetap akan meninggal mungkin dengan asbab yang lain.

Sebab janji, waktu dan tarikh meninggalnya telah ditetapkan di azali lagi. Kita wajib beriman dengan qada dan qadar Allah. Abang ipar aku meninggal di atas stretcher. Keseorangan, tiada teman. Itu yang doktor beritahu.

Meninggal keseorangan, di atas strecher pun atas kehendak Allah. Dan tempat itu juga telah ditetapkan. Itu pun kita kena akui dengan iman dan akidah yang kita faham. Jadi, orang yang berakidah tidak ada masalah dalam soal begini.

Rezeki Arwah Meninggal Begitu

“Sampai hati KKM biarkan abang meninggal begitu Mal.” Rungut kakak aku pada aku.

“Itu sudah rezeki arwah kak.” Jawab aku ringkas.

“Kalau ya pun, masukkanlah dia dalam wad. Akak sudah pesan pada nurse itu ketika akak balik dari hantar abang tadi.” Ujar kakak aku sambil mengesat air matanya.

Aku diam membatu, tak nak jawab sikit pun dan aku biarkan akak aku dengan perasaannya. Biar dia menangis sepuas-puasnya. Aku tahu, bila air matanya sudah banyak keluar ia akan berhenti.

Kalau aku layan dan pujuk. Pasti dia akan mengajukan perasaan tak puas hatinya pada pihak hospital. Aku nak mengajarnya redha.

Redha Apa Yang Berlaku

Redha dengan apa yang terjadi, walau di sisi manusiawinya, dia tetap rasa makhluk yang bersalah. Pihak hospital yang bersalah!

IKLAN

Tapi bagi aku, pihak hospital tak salah pun. Bukan abang aku saja yang mereka nak layan, malah ribuan lagi pesakit covid menjadi patient mereka. Memang tak terlayan. Waktu kalut ini kalau nasib baik, patient dapatlah masuk wad.

Kalau nasib tak baik, duduklah di atas kerusi roda atau strecher menunggu giliran dimasukkan ke wad. Katil memang tak cukup. Itu yang kita kena faham sangat-sangat.

Aku lihat wajah nurse (jururawat) dan doktor pun rasa kasihan sangat. Sudah tak rupa orang wajah-wajah mereka. Mungkin bertugas sehingga 14 jam sehari. Atau mungkin lebih.

Letihnya Frontliner

Aku boleh bayangkan betapa berkecamuknya perasaan mereka. Dan letihnya zahir batin mereka menghadapi suasana ini. Berat mata memandang, berat lagi mereka memikul.

Itu belum lagi balik ke rumah hendak layan anak dan isteri atau suami. Mungkin dapat tidur sekejap saja untuk rehat. Esok rutin sama akan mereka lalui. Bayangkan, sudah dua tahun mereka hadapi suasana ini. Hanya mental dan semangat yang kuat saja boleh lalui tugas getir ini.

Bila aku baca berita ada seorang individu itu komplain pada media, bapa dia tidak dilayan dan mati kerana tak di beri oksigen dan selimut. Aku senyum saja.

Aku rasa tuduhan itu melampau, sebab kalaulah patient itu benar-benar perlu oksigen, sudah pasti diberi oleh doktor. Malah aku yakin mereka hanya akan memberikan oksigen kepada yang betul-betul memerlukan saja kerana oksigen pun terhad.

Tidak mungkin mereka biarkan patient mati tercungap-cungap begitu saja.

Baca Juga Di Sini:

IKLAN

Kasihan Frontliner Berpanas, Ustaz Masak, Bungkus Sendiri Dan Sedekah Makanan

“Anda Semua, Tolonglah Bertimbang Rasa. Kesianlah Dekat Frontliners. Mereka Pun Ada Famili” Ummi Nazeera

Lima Bulan Bekerja Siang Malam, ALHAMDULILLAH Frontliner KKM Diberi Cuti Rehat

Sebaik Bebas Covid-19, Dr Zulkifli Hadiahkan Frontliner Buku Doa, Amalan Sepanjang Rawatan

‘Saya Bukan Hero..’ Kerana Ini Dr Say Teruskan Niat Jadi Frontliner

Complain Tak Mampu Hidupkan Yang Mati

“Tak nak buat aduan ke Mal?” Tanya akak aku setelah berhenti menangis.

“Tak payahlah kak, abang pun sudah meninggal. Tak ada untung apa pun. Saya percaya hospital sudah pantau dan jaga elok tadi. Cuma ajalnya sudah sampai macam itu, hendak buat macam mana. Komplen pun bukan abang boleh hidup balik.” Tegas aku.

Akak aku menjeling aku. Aku tahu dia masih tak puas hati dengan pihak hospital dan nasihat aku. Tapi aku tetap terus memberi semangat untuk menyejukkan hatinya. Aku tak mahu dia ikutkan perasaan sedih dan geramnya.

Perempuan biasalah. Emosinya kena dicontrol. Jika tidak, macam- macam boleh berlaku. Dengan aku mungkin dia hormat. Tak berani hendak lawan cakap tapi kalau adik-beradik lain pasti diherdiknya.

IKLAN

Dari Urusan Kematian, Mandi Jenazah, Solat & Pengebumian Semua KKM Uruskan

Sewaktu pengebumian, aku dan kakak aku hanya dapat pandang dari jauh saja. Kami tidak dibenarkan melihat kecuali setelah selesai pengebumian.

Sewaktu pihak hospital sedang mengali kubur dan menguruskan pengembumian, aku bisik pada kakak aku …

“Kak tengok kak, dari urusan kematian, mandi mayat, solat dan pengebumian dan sebagainya semua KKM uruskan. Letih mereka kak. Akak tak kasihan ke? Layanan bagaimanakah yang kita nak lagi?

“Hargailah pengorbanan mereka semua. Tak perlulah akak komplen-komplen dan simpan sesal dalam hati. Cukuplah. Kita tamatkan di sini. Semuanya sudah selamat diatur Allah. Kita doakan abang dan semua mereka yang telah membantu kita.” Ujarku sambil meramas bahu kakak yang aku sayangi.

Hargailah Pengorbanan Frontliner

Akak aku hanya mengangguk sambil mengesat sisa air matanya. Air mata terakhir bukti kasih pada suaminya yang telah pergi dan juga redhanya dia pada Allah atas ujian yang Allah timpakan padanya.

Sunyilah dia selepas ini tanpa usik senda teman syurganya.
Aku pula, hanya menangis di dalam hati. Menangis sedih abang ipar yang aku sayangi pergi. Dan menangis mengenang kan giliran aku yang akan pergi. Mungkin esok atau lusa. Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba. Mati itu benar dan banyak ibrahnya buat yang masih hidup.

Apa yang penting bagi aku dan bagi kita semua adalah, jagalah akidah kita dalam apa pun suasana. Bersabarlah dalam apa pun ketentuan Allah buat kita.

Kepada semua staf frontliners hospital dan sebagainya, kalian semua hebat. Jasa kalian semua memang tidak terbalas. Nasihat aku buat kalian semua, jaga niat dalam bertugas. Pastikan benar-benar berniat berkhidmat untuk Allah. Syurga menanti kalian. Amin.

#muharrikdaie

Mingguan Wanita : Kadang-kadang apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan, jadi lebih baik belajar untuk redha. Renung-renungkan.

Sumber : Ustaz Muharrik Daie

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI