Cara Fikir Suami Jauh Beza Dari Isteri, Bila Tak Faham Itu Jadi Punca Gaduh

Suami bila berfikir memang takkan sama dengan cara isterinya fikir. Sebab itu bila isteri minta lain, lainlah nanti yang suami sediakan. Bila isteri marah-marah, suami bingung.. tak faham kenapa isteri marah-marah,

Sudahnya, terjadilah perbalahan kecil. Yang lama-lama kalau tak dibendung boleh jadi besar. Sebab masing-masing saling menyalahkan. Pengalaman berdepan situasi cara fikir yang tak sama inilah dilalui Puan Rohamiah Muda.

Kisahnya cuma minta suami pasangkan plug dalam rumah saja. Rupanya ada banyak pengajaran yang isteri boleh ambil positif dari kisah ini.

 

Cara Fikir Suami Jauh Beza Dari Isteri, Bila Tak Faham Itu Jadi Punca Gaduh

Minta Suami Baiki Plug, Dah 3 Bulan Masih Juga Belum Bertindak

Abang, plug di dapur dah rosak. Pasang je, satu rumah black out,” adu saya kepada suami lebih kurang tiga bulan lepas.

Erm… .”

Itu sahaja jawapan suami.

Kegunaan utama plug di dapur adalah untuk menghidupkan oven.

Saya menunggu juga, kalau-kalau suami memanggil seseorang untuk membaiki plug di dapur.

Tiada. Sehinggalah Ramadan tiba.

Nak Tak Nak, Isteri Kena Fikir Sesuatu

Jadi, solusinya, saya terpaksa menyambung dua extension ke plug lain untuk panaskan lauk. Wayar itu bersambung-sambung.

Agak leceh juga kerana wayar extension mengganggu ketika saya ingin membuka pintu peti ais.

Itulah tugas saya sepanjang Ramadan. Dini hari, terpaksa sambung dua extension. Kemudian, kemas semula extension yang telah dipasang. Ia memakan masa sebenarnya.

Nak tak nak, terpaksa buat.

Sekali lagi saya mengadu kepada suami, “Abang, susah la plug dapur ni rosak. Nak panaskan lauk pun leceh.”

Ya, nanti baiki,” jawab suami.

IKLAN

Hati sudah rasa gembira dengan jawapan itu.

Saya masih menanti bilakah masanya plug akan dibaiki. Dalam fikiran saya, mungkin esok atau lusa plug itu akan dibaiki.

Tunggu.

Tunggu.

Tunggu.

Ramadan sudah ke penghujung.

Bila Biasa Susah, Lama-lama Jadi Mudah

Abang, bila nak baiki plug?” Saolan saya sudah berubah.

Suami diam. Soalan saya tiada jawapan.

Saya pasrah. Tunggu sahaja. Sampai masa suami pasti akan memanggil tukang baiki.

Saya mengambil tindakan untuk bersabar. Lagipun, saya tidak suka bangkitkan isu yang remeh. Biarlah masa yang menentukan.

Jika ingin menggunakan oven, saya akan menyambung dua extension ke plug lain.

IKLAN

Rupanya, apabila kita biasa dengan kesusahan, ia menjadi mudah.

Soalan saya kepada suami untuk baiki plug seolah sudah dilupakan.

Dan…

Rupanya, apabila kita lupa perkara itu, ketika itulah masalah itu akan berakhir.

Akhirnya, semalam plug dibaiki.

Masya-Allah.

Saya suka sangat!

Sebab plug di bahagian tengah, suami meminta tukang baiki memasang plug dua pin.

Sebelumnya, semua plug tiga pin.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

IKLAN

Cara Fikir Suami Isteri Itu Tak Sama

Sebenarnya kan, inilah perbezaan antara suami dan isteri. Kadang isteri inginkan tindakan yang segera daripada suami.

Tapi, suami berfikir lain. Sampai masa dia akan ambil tindakan. Tapi, mungkin tindakan itu agak lambat.

Rupanya, suami mencari masa yang sesuai untuk baiki semua kerosakan yang ada di rumah. Semalam, setel semua masalah.

Lampu di luar rumah yang terpadam telah dibaiki.

Pendingin hawa di bilik tidur diservis.

Plug di dapur pun telah dibaiki.

Nampak tak?

Pemikiran suami sangat berbeza dengan pemikiran isteri.

Jika isteri tidak bersabar dengan sikap suami, peluang inilah yang akan digunakan oleh syaitan untuk menghasut isteri supaya marah atau menjadi punca pertelingkahan.

Jika kita lihat pergaduhan dalam rumah tangga, ia berpunca daripada isu yang sangat kecil. Contohnya, isu ubat gigi, isu kain baju yang dibiarkan di atas lantai, isu stokin dan sebagainya.

Isu-isu inilah kadang membawa kepada perbalahan antara pasangan.

Inilah pentingnya kesabaran dalam melayari hidup berumahtangga.

Raikan perbezaan antara pasangan. Memang suami dan isteri sangat berbeza dari segi tindakan dan perasaan.

Moga semua yang membaca nukilan ini bahagia hingga jannah bersama pasangan masing-masing. Aamiin.

Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Bercita-cita untuk bercinta hingga ke syurga. Penulis buku Diakah Jodohku.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI