Balu abam bocey menang saman fitnah RM60K, Hidayah pesan pihak sana jangan lengah bayar. Lapan hari lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Ali Puteh untuk mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen, 10 bulan lalu yang mengarahkannya membayar ganti rugi tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh turut memerintahkan perayu atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 34, membayar kos RM5,000.
Dengan ini, pelawak Ali Puteh kekal diperintah membayar ganti rugi RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd. Ali kerana memfitnah wanita itu dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu.
Lapan hari telah berlalu dan semalam menerusi perkongsian di instagramnya, hidayah_hamzah balu kepada abam Bocey, Norhidayah rasa syukur di atas kemenangan itu dan turut menulis agar pihak sana tidak melengah-lengahkan bayaran mengikut perintah mahkamah iaitu RM60,000 yang dimenanginya.
Ads
Alhamdulillah syukur pada Allah, keputusan rayuan saman fitnah Mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada Hidayah.
Semoga pihak di sana tidak melengah- lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah Mahkamah yang telah ditetapkan, semoga Dayah dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yg lebih baik dan sempurna selepas ini.
Sesi persekolahan seawal 7.20 pagi setiap hari ketika ini memerlukan banyak pengorbanan daripada pelbagai pihak. Baik guru-guru, mak ayah mahupun anak anak yang terlibat.
Kerajaan disaran supaya menetapkan sistem persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi bagi meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi.
“Jika di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah.
“Di sekolah pedalaman pula, anak-anak kecil terpaksa jalan becak dan berlumpur. Ada yang terpaksa meredah denai kecil. Ada anak-anak yang terpaksa berperahu ke sekolah sedangkan hari masih gelap,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Malah kata beliau, ada anak-anak yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga kerana bergegas ke sekolah.
“Jika kerajaan prihatin dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya kita lakukan sesuatu yang betul untuk rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi,” katanya.
Untuk rekod sesi persekolahan ketika ini bermula jam 7.30 pagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi melaksanakan cadangan berkenaan, KPM juga disaran mengurangkan sesi persekolahan selama 15 minit bagi sesi pagi dan petang.
“Hanya (dilewatkan) 30 minit. Saya fikir tidak menjadi isu jika KPM kurangkan 15 minit sesi pagi dan 15 minit sesi petang,” katanya.
Mingguan Wanita: Mak ayah setuju tak jika sesi persekolahan dimulakan jam 8 pagi setiap hari. Jadi tidak terlalu tergesa-gesa mempunyai lebih banyak masa untuk bersarapan bersama keluarga di rumah.
Dakwa Tekanan Perasaan Ibu Tekup & Cekik Anak Sampi Mati Selepas Bermalam Dengan Kekasih. Entah apa yang merasuk fikiran seorang ibu sehingga sanggup menyeksa dan membunuh anak sendiri yang masih bayi.
Seorang ibu muda ditahan bersama teman lelakinya kerana disyaki menekup dan mencekik anaknya selepas bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya di sini pada 12 Januari lalu.
Difahamkan, suspek yang berusia 20 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses penceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang merupakan seorang penganggur.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam keterangan awal suspek yang berusia 20 tahun mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya bagi menerima rawatan.
“Sekitar jam 11.30 pagi doktor berkenaan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia satu tahun enam bulan yang dihantar oleh ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wan Kamarul berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya pada Ahad selepas kanak-kanak malang berkenaan disahkan meninggal dunia setelah tiga hari menerima rawatan.
Katanya, sejurus menerima laporan, pihak polis cuba menghubungi kembali ibu mangsa yang merupakan suspek utama, namun gagal malah wanita itu juga tiada di alamat kediaman yang diberikan.
“Hasil maklumat risikan, pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan berjaya menahan suspek sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari.
“Suaminya turut ditahan pada hari sama,” katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.
“Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.
“Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.
“Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya.
Katanya, suami suspek yang berusia 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.
“Teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.
“Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar,” katanya.
Beliau berkata, suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
Anak diuji tumor otak, bapa berkhemah di parkir hospital kerana ingin selalu dekat. Pengorbanan seorang bapa yang kasihkan anak dan isteri. Sanggup melakukan apa saja walau tidurnya tidak selesa.
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa’. Itu perumpamaan tepat buat Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, apabila sanggup tidur dalam kereta di tempat parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini bagi menemani anak bongsunya yang dirawat di hospital itu.
Anaknya, Muhammad Afeef Mikhail, 8, sehingga kini dirawat di hospital berkenaan sejak menjalani pembedahan bagi pengambilan sampel sel serta memasukkan tiub sekitar tengah malam Sabtu lalu, selepas disahkan menghidap tumor otak sehari sebelumnya.
Video kereta Proton Satria milik bapa itu yang dipasang dengan khemah sambungan belakang kereta dan diletakkan di ruangan parkir HRPB, tular di media sosial hari ini.
Bapa kepada tiga anak masing-masing berusia 15, 12, dan 8 tahun itu yang mesra disapa ‘Adi’ berkata, Muhammad Afeef kini stabil selepas pembedahan itu namun masih perlu dirawat dan dipantau di Wad Pediatrik HRPB dengan ditemani isterinya, Aminah Othman.
Katanya, keputusan bermalam di ruangan parkir hospital itu diambil kerana ingin sentiasa dekat menemani anak serta isterinya, selain beberapa kekangan lain termasuk kewangan serta kesukaran untuk mencari lot parkir sekiranya dipanggil doktor.
“Isteri menemani anak di wad dan saya ‘menetap’ dalam kereta sebab tidak mahu berjauhan dengan mereka.
“Keputusan bermalam dalam kereta ini diputuskan bersama isteri selepas mengambil kira tahap kemampuan kewangan kami termasuk untuk berulang-alik dari rumah inap dan sebagainya,” katanya dihubungi NSTP hari ini.
Bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bidor dan menetap di Trolak manakala Aminah hanya suri rumah sepenuh masa Adi berkata, dia juga mengambil cuti tanpa gaji selama seminggu hingga Sabtu ini untuk bersama-sama isteri memantau anaknya.
Katanya, dua lagi anaknya iaitu anak sulung dan anak kedua kini dijaga sementara oleh saudara terdekat.
“Tidur dalam kereta bukanlah lena mana sekadar baring untuk meregang badan dan hilangkan letih.
“Yang penting saya dapat segera sampai jika ada sebarang keputusan atau permintaan doktor yang memerlukan untuk saya sampai ke atas (wad).
“Memang ada kawan sekitar Ipoh yang menawarkan saya duduk sementara di rumah sewa mereka tetapi lokasinya di Tambun dan Pengkalan Station 18 yang mungkin mengambil masa lebih setengah jam untuk saya sampai ke hospital, tidak termasuk untuk mencari parkir,” katanya.
Adi berkata, Muhammad Afeef pada mulanya didiagnos dengan masalah bengkak pada saluran antara bahagian mata dan tulang belakang di Hospital Slim River sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) bagi menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
“Afeef menjalani CT Scan di HTI pada petang Jumaat dan keputusannya diperoleh malam sama, dan malam itu juga saya, isteri, dan Afeef dirujuk pula ke HRPB bagi pembedahan mengambil sampel sel dan memasukkan tiub.
“Saya bermalam dalam kereta di HRPB sejak Jumaat lalu pada malam pembedahan dilakukan. Kini keadaannya stabil, makin baik, dan sehingga sekarang tidak menunjukkan kesan akibat pembedahan.
“Pemantauan masih diteruskan termasuk bagi menunggu keputusan ujian makmal yang akan menentukan jenis tumor dihidapi anak sebelum doktor memutuskan rawatan susulan yang bersesuaian,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Adi Saifullizam di talian 013-7922812.