Jururawat adalah insan yang paling dekat dengan pesakit terutamanya jika pesakit itu ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ketua Jururawat Azneza Aziz yang bertugas di Wad Perubatan 5, Wad Neuro dan Endokrin Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) punyai kisah yang boleh dijadikan pengajaran kepada semua.

Kerjaya Azneza  sebagai jururawat bermula setelah tamat pengajian kursus kejururawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz PPUKM.

Ajar Pesakit Mengucap Ketika Nazak, Jururawat Ini Hanya Mampu Tahan Sebak
Azneza Aziz

“ Jururawat ini adalah cita-cita saya semenjak kecil. Malah masa kecil dahulu saya selalu main-main jadi jururawat. Kini sudah hampir 17 tahun saya berkhidmat. Cabaran yang paling besar saya alami adalah apabila berhadapan dengan orang yang meninggal dunia.

” Sebenarnya semasa mula bekerja, perkara sebegitu amat susah untuk saya hadapi. Ditambah pula saya jenis orang yang akan menangis kalau melihat  pesakit meninggal dunia. Memang sedih. Peristiwa yang paling saya ingat sekali adalah seorang pesakit wanita yang tua.

 

“Wanita tersebut menghidap penyakit buah pinggang. Setiap pagi seperti biasa saya akan melihat pesakit. Saya akan bercakap dengan wanita tersebut. Tetapi pagi itu, saya hendak beri dia sarapan pagi. Tiba-tiba saya lihat dia sudah meninggal dunia. Sedih juga perasaan saya mengetahuinya kerana sewaktu kematiannya anak-anak tidak ada di sekeliling.

 

“Perkara yang paling sukar saya hadapi juga adalah apabila hendak mengajar mengucap kepada pesakit yang dalam keadaan nazak. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk menahan sebak dan air mata yang mahu keluar apabila berada dalam situasi sebegitu.

 

“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan juga seorang jururawat untuk mengingatkan pesakit sementara warisnya tidak ada di sisi, ujarnya yang mengakui pengalaman itu sangat berharga.

Ajar Pesakit Mengucap Ketika Nazak, Jururawat Ini Hanya Mampu Tahan Sebak
Bersama sebahagian rakan-rakan jururawat di Wad Perubatan 5

MENANGIS DENGAR TAKBIR RAYA

Azneza masih ingat kali pertama dia menyambut raya sebaik berkhidmat sebagai jururawat.

IKLAN

“Kami mempunyai giliran untuk bertugas di wad semasa hari raya. Jika tahun ini kami dapat cuti raya maknanya tahun hadapan kami kena bertugas. Biasanya jururawat baharu memang kena bertugas pada hari raya.

“Saya ingat lagi ketika masih baharu jadi jururawat memang saya tidak dapat balik raya. Sedih juga pada mulanya. Ditambah pula sebelum bekerja kita sudah biasa pagi raya itu dapat mencium tangan emak dan ayah di kampung yang terletak di Kuantan, Pahang.

“Memang saya tidak boleh mendengar orang bertakbir dan lagu raya sebab saya akan menangis. Saya ingat lagi ketika hari raya pertama saya kerja syif pagi. Bila balik dari kerja petang itu saya terus tidur sebab tidak mahu mendengar takbir sebab takut sebak.

IKLAN

“Pagi esoknya sampai sahaja di wad, suasana raya itu telah terasa apabila waris yang datang melawat pesakit mengenakan berbaju raya. Mereka turut membawa juadah raya. Masa itu barulah saya rasa seronok,”ceritanya.

SUAMI DAN ANAK-ANAK MEMAHAMI

IKLAN

Perasaan sedih itu semakin lama semakin berkurangan setelah lama bekerja. Apabila dia telah berkahwin dan kemudian gilirannya perlu bekerja di pagi raya, Srikandi bernama Azneza menerimanya dengan hati terbuka.

“Pagi saya bekerja, pada sebelah petang saya dan suami balik beraya di kampung yang terletak di Raub. Dapatlah juga merasa suasana raya. Kalau orang lain dapat bersalam dengan emak dan ayah pagi raya, saya pula hanya dapat melakukannya pada waktu malam.

“Suami dan anak faham situasi saya. Biasanya sekarang kalau saya bekerja pada hari raya, mereka akan menunggu saya dan kemudiannya kami beraya bersama-sama di KL. Suami sudah faham, kalau berkahwin dengan seorang jururawat, itulah yang dia lalui,”katanya.

Ajar Pesakit Mengucap Ketika Nazak, Jururawat Ini Hanya Mampu Tahan Sebak
Kebajikan pesakit jadi keutamaan Azneza

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI