Ajal dan maut semuanya ketentuan tuhan.Berita kemalangan maut melibatkan empat buah kenderaan di Kampar,Teluk Intan pagi semalam, cukup menyayat hati.Tragisnya salah seorang mangsa kemalangan tersebut yang terkorban merupakan wanita yang sedang sarat mengandung dan hanya menunggu hari sahaja untuk melahirkan anak kelimanya.Malah dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan.
Ketika kejadian Allahyarham Faridah Md Nayen, 38, dalam perjalanan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanan kandungannya dengan menumpang kenderaan jirannya yang turut maut dalam kemalangan itu.Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 32 Jalan Langkap – Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat di Teluk Intan.
Redha Ketentuan Tuhan
Suaminya, Ahmad Ismail, 45, berkata, dia menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 11.30 pagi tadi daripada sepupunya yang memaklumkan hanya kemalangan kecil.
“Sebaik terima panggilan saya bergegas ke Hospital Teluk Intan, namun semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, sebelum kejadian isterinya bersama tiga yang lain yang juga jiran sebelah rumah sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Tanjung Keramat menuju ke Klinik Kesihatan Desa Tanjung Keramat terletak kira-kira 1 kilometer.
“Saya reda dan terima kehendak tuhan ini… kami menunggu kelahiran anak kelima namun tuhan lebih menyayangi mereka dan anak itu turut meninggal dunia dalam perut kandungan,” katanya sayu.
Ahmad Ismail, 45 tahun
Arwah Ibu Penyayang
Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Firdaus Ahmad, 15, ternyata tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui susulan kehilangan insan tersayang.
Ads
“Ibu adalah seorang yang sangat penyayang, namun sentiasa tegas dalam pelajaran.
“Hasrat ibu adalah untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran dan arwah sering menasihatkan saya supaya rajin belajar serta mahu saya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi.
“Saya ingin memenuhi hasrat arwah yang mahu saya memperoleh keputusan cemerlang itu,” katanya.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kemalangan mengakibatkan tiga wanita maut iaitu suri rumah, Farah Ain Salim, 19; pesara Fuziyah Sarjuni, 62 dan Faridah Md Nayen, 38 yang sarat mengandung 35 minggu.
Kemalangan membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga itu turut mengakibatkan anak kepada Farah Ain iaitu Nur Afrina Miqaila berusia lapan bulan cedera dan seorang lelaki berusia 43 tahun luka di hidung.
Ads
4 Kenderaan Terlibat
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 10.50 pagi membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda jenis Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga.
“Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dan Suzuki Swift dinaiki tiga wanita dan seorang bayi perempuan yang kedua-dua kenderaan itu dari arah Langkap hendak menghala ke Kampar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai terlanggar belakang Suzuki Swift berkenaan yang hendak membelok ke kanan masuk ke simpang Klinik Desa Tanjung Keramat.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terlanggar Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke dalam parit,” katanya.
Ads
Lori dipandu lelaki berusia 36 tahun, terperosok ke dalam parit.
Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbabas dan terlanggar Proton Saga yang berada di belakang Ford Ranger sebelum terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan.
“Penumpang Suzuki Swift, wanita berusia 19 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandunya berusia 62 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 38 tahun meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Mohd Marzukhi berkata, lelaki berusia 43 tahun yang pemandu Ford Ranger tidak cedera, manakala penumpangnya yang juga seorang lelaki luka di hidung.
“Pemandu Proton Saga yang turut terbabit dalam kemalangan itu terselamat tetapi masih belum dikenal pasti identitinya.
“Pemandu lori berusia 36 tahun juga terselamat dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Salam takziah buat semua keluarga mangsa yang terlibat. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan serta redha dengan ketentuan ini. Ajal maut, ketentuan tuhan. Hargailah insan tersayang. Siapa sangka rutin biasa yang dilakukan setiap bulan, jadi asbab itulah pertemuan akhir dengan keluarga.Buat yang memandu terutama kenderaan besar, lebih berhati-hatilah di jalan raya, jangan akibat kecuaian ramai mangsa terkorban.
Sebelum bergelar usahawan jutawan, Siti Mariam Abd Samad, Pengasas Faith Fleur, jenama produk kecantikan rambut terkenal pernah melalui satu titik getir dalam hidupnya.
Sehinggakan akuinya tahun pertama berniaga, keuntungan yang diperoleh itulah dijadikan pusingan modal untuknya menambah stok produk dan melangsaikan hutang lebih ratusan ribu ringgit.
Tidak terfikirkan untuknya mahu membeli emas. Malah, masih menggunakan kereta sewa untuk urusan perniagaan.
“Baju pun selekeh.” kongsi graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini.
Kejayaan wanita kental ini tidak bermula dengan kesenangan. Sebulan sebelum mendirikan rumah tangga, Siti Mariam yang lebih mesra dengan gelaran Ctymary ini memutuskan untuk berhenti kerja.
“Sebelum kahwin dan selepas kahwin, saya diuji. Paling terasa selepas berkahwin. Suami saya, ketika itu hanyalah pekerja pasar malam saja. Dan saya tinggalkan kerjaya jururawat itu sebelum berkahwin dengan keadaan saya yang dikelilingi hutang.
Hutang PTPTN saja RM72,000. Saya buat personal loan. Buat juga loan dengan kedai perabot. Saya ada kad kredit. Total semua itu seratus ribu lebih.”
Ujian Hidup Bertimpa-timpa
Memandangkan dirinya yang tidak bekerja, tentulah tiada pendapatan untuknya melunaskan hutang-hutang yang dibuat.
Sampai satu tahap, kereta yang digunakan juga mahu ditarik oleh pihak bank. Terdesak memikirkan kesempitan itu, Ctymary terpaksa meminjam Ah Long.
“Ketika itu saya berada ditahap yang diuji bertimpa-timpa.” Kesukaran hidup membuatkan dirinya tidak mampu untuk menjalani hidup dengan ketenangan.
“Pihak bank telefon, kedai perabot pun telefon, Ah Long wasap tak henti-henti. Saya jadi takut bila tak bayar hutang.”
Tidak cukup dengan itu, penghutang pula mencari ibunya yang menjadi penjamin. Malah, mengugut mahu menyita rumah.
“Sampai mak saya menangis call. Saya pun jadi serabut. Sudahlah tak ada duit ketika itu. Saya pula tak bercadang untuk mencari kerja.” Akuinya ketika diuji sebegitu hebat pun, dia masih belum lagi ada kesedaran untuk mengubah kehidupannya.
Masih lagi mengharapkan belas ihsan ahli keluarga. Tekanan dan bebanan hutang yang dialami begitu menekan jiwanya.
“Apa saya lakukan… waktu tu dah terduduk. Dan ada banyak perkara yang terjadi. Sampai kereta yang saya pakai accident, total lost.
Saat ’Terduduk’ Itulah Mahu Ubah Kehidupan
“Masa itu, saya dah kerja semula di KPJ Damansara. Menangis-nangis kerana tiada kenderaan nak pergi kerja. Tak lama itu dapatlah pinjam motor Honda EX5 daripada abang. Selepas sebulan lebih, dia ambil semula.
Saya sedih waktu itu. Ketika ‘terduduk’ itulah saya kata pada diri saya sendiri. Memang semua orang tak boleh nak bantu aku. Dan memang saya ada ibu bapa, 12 adik beradik. Bukan setiap masa mereka akan tolong. Mereka pun ada famili sendiri.”
Ketika itu, hubungan dengan suami juga menjadi tegang. Suaminya yang cuma bekerja di pasar malam cuma mampu mendengar. Dan membantu apa terdaya.
Tetap akhirnya, dia perlu bertanggungjawab menanggung beban hutangnya itu.
Bertitik tolak dari situlah timbul kesedaran untuknya mengubah hidup. Mendorongnya untuk bangkit. Tiada cara lain, melainkan berniagalah cara paling cepat untuknya menjana pendapatan.
“Ketika itu saya dah mula buat bisnes online. Tetapi bisnes biasa saja. Tidaklah fokus sepenuhnya.”
Semakin lama mendalami perniagaan, dirinya semakin fokus. Bisnesnya juga semakin teratur. Ctymary mencatat setiap duit yang keluar dan yang masuk. Begitu juga dengan modal dan keuntungan dicatat dan diasingkan dengan baik.
Untung Berniaga Untuk Bayar Hutang
Setiap keuntungan yang diperoleh, disimpan. Dan pada tahun pertama berniaga, Ctymary melangsaikan hutang-hutangnya secara sedikit demi sedikit, tetapi konsisten.
“Saya bayar kad kredit dulu. Sikit-sikit, dalam dua ribu, tiga ribu sampai selesai. Bukan bayar lump sum.
Selesai bayar kad kredit, saya bayar personal loan. Paling penting, kenal pasti hutang-hutang itu dan rancanglah dengan baik hutang mana yang perlu diselesaikan dahulu.
Apabila perniagaan semakin maju, dari membayar sikit demi sedikit itulah akhirnya menjadi banyak. Dan lama kelamaan, selesailah hutang itu.”
Pengalaman getir sebegitu memberi pengajaran agar menitik beratkan soal aliran wang keluar masuk secara harian.
Faith Fleur Bermula Dengan 2000 Botol Serum Rambut
Bermodalkan RM200 yang ada ditangan, Ctymary mula berniaga produk orang lain. Kepandaian berniaga membolehkan dia menjual hingga 600 botol serum sebulan. Sekaligus melayakkan dirinya daripada seorang ejen jualan kepada master stokis.
Bagi membolehkan sasaran jualan mencapat target bulanan, Ctymary membangunkan team niaganya sendiri. Selepas 5 bulan berniaga produk orang lain, akhirnya dia memulakan perniagaan dengan jenamanya sendiri iaitu Faith Fleur.
“Saya gunakan untung yang daripada produk jualan terdahulu tu untuk memulakan produk baru.
Pada bulan pertama sebanyak 2000 botol serum dapat dikeluarkan. Waktu itu, daripada 11 orang penjual produk lama cuma 5 ke 6 orang yang mahu turut serta dengan saya.”
Sebab nak kembangkan lagi bisnes, makin agresif Ctymary membuat live. Perkongsian di live membuatkan ramai yang mula mahu ikut serta. Dari situ, modal pun bertambah.
Berkat kerja keras itu, Faith Fluer telah pun miliki 3000 ejen jualan di seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
Tahun Pertama Berniaga, Ctymary Faith Fleur Tak Membeli Emas, Kereta.. Baju Pun Selekeh
“Pada tahun pertama Faith Fleur keluar, memang untung itu digunakan kepada modal. Untuk saya upgrade stok. Kerana bagi orang bisnes, stok adalah aset. Stok adalah duit.
Semakin bertambah stok, team pun jadi seronok kerana adanya ready stok. Sebab itulah ramai yang masuk, kerana stok sentiasa ada.
Dan di tahun pertama itu, saya masih lagi menyewa Honda Jazz dengan bayaran sewa RM2800 sebulan. Sebab memudahkan saya nak angkut produk, saya bayar sajalah.
Tak silap, hujung tahun 2018 barulah saya membeli Hilux. Itulah kereta pertama dari bisnes saya.”
Perjuangan bisnes di tahun pertama itu benar-benar mengentalkan hati wanita ini. “Melalui modal untung itu, saya restok produk, tanpa menggunakannya membeli emas, kereta.. baju pun selekeh je.”
Hari ini, Ctymary boleh menarik nafas lega. Kerja kerasnya mengemudi legasi Faith Fleur membolehkan dia dan suami, Muhammad Abdul Halim Bahadorisam memiliki Wisma Ctymary di Bandar Saujana Putra, Selangor.
Faith Fleur di bawah Ctymary Resources juga mengorak langkah membuka tiga warehouse di Kota Kemuning, Bintulu dan Kota Kinabalu, Sabah.
Faith Fleur Tak Terjejas Waktu Pandemik
Ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, perniagaan yang dijalankan wanita ini tidak terjejas.
“Bila pandemik, panik juga. Dengan kilang tutupnya.. team saya pula ketika itu dalam 3000 orang. Bila kilang tak jalan, ofis pun tak boleh buka.
Walaupun sebenarnya saya ada stok. Tapi disebabkan PKP, tak bolehlah nak buat pembungkusan dan sebagainya.
Ketika itulah saya hubungi mentor saya, Datuk Wira Dr. Azizan Osman untuk berkongsi kesulitan. Pesannya, agar saya menggunakan apa yang ada di tangan saya ketika itu.
Waktu itu, stok semua tak ada. Tiba-tiba saya mendapat idea. Kenapa tidak saya buat pre order dengan harga sale. Alhamdulillah, dari tahun 2020 itu sehingga sekarang, Faith Fleur belum terkesan disebabkan pandemik.
Kerana, kita online bisnes. Walaupun pre order orang tetap membeli. Apabila sektor dibuka semula, saya selesaikan barang pre order itu. Dan ketika itulah saya buat bekalan ready stok dengan banyak.”
Berniaga Perlu Ada Bimbingan
Akuinya dalam memastikan perniagaan terus bertahan, yang paling penting adalah bimbingan.
“Kalau saya tiada bimbingan, tiada mentor. Saya pun lost juga. Dengan bimbingan Datuk Wira, saya percaya yang saya boleh buat walau apa keadaan pun.
Ambil masalah itu sebagai peluang. Sebab itulah, kami boleh survive.”
Kongsinya lagi, dalam berbisnes, daya pemikiran kenalah betul. Ambil peluang dan jangan mengalah. Perlunya mencari jalan penyelesaian.
“Kalau tak boleh menjual, kedai tak boleh buka.. cari cara bagaimana nak buat duit. Dan dengan bimbingan saya boleh melakukannya.”
Solusi Menyelesaikan Gaji pekerja
Antara lain yang terjadi ketika pandemik tentunya bagaimana majikan mahu membayar gaji pekerja. Tentunya dalam PKP, perniagaan terpaksa ditutup malah kakitangan tidak boleh bekerja di premis.
“Saya twist skop kerja pekerja. Dalam 20 orang staf yang saya ada itu, saya minta mereka untuk membuat live di sosial media.
Jadi, orang mula nampak bisnes kita. Ada juga cabarannya, bila ada staff yang tidak boleh bercakap ketika live. Tapi, kalau mereka nak gaji, mereka kena buat.”
Melalui pendekatan sedemikian, Faith Fleur tetap menjadi bestseller di kalangan para pengguna.
Strategi pemasaran yang tepat dan betul, memberi informasi yang berkesan kepada pengguna. Membolehkan keluaran produk kecantikan rambut ini kekal di hati pengguna.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan banyak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
Rahsia mereka?
Apa yang mereka lakukan?
Ilmu-ilmu yang diamalkan?
Siapa yang susah senang bersama mereka?
Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Sejak semalam tular di media sosial, kes buli pelajar MRSM Kuantan. Pengguna Facebook, Nazrah Mohamed mendakwa anaknya antara yang terlibat menjadi mangsa buli di asrama.
Tulisnya lagi, kes yang berlaku sejak 17 Jun lalu masih belum mendapat sebarang tindakan daripada pihak pengurusan MRSM berhubung kes buli pelajar MRSM berkenaan.
Ibu mangsa, berkongsi kronologi pembulian dan wujudnya budaya gangterism di asrama anaknya berada. Bukan saja baju sekolah diconteng dan digunting.
Malah, rambut anaknya turut digunting ketika tidur.
Beberapa gambar bukti pembulian terhadap mangsa turut dikongsikan. Lebih membimbangkan mangsa didakwa menerima nota-nota ugutan dan tindakan meninggalkan tanda seolah-olah memberi amaran kepada pelajar di bilik asrama terbabit.
2 Laporan Polis Diterima
Susulan daripada perkongsian tular itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan pihaknya sudah pun menerima dua laporan polis.
Laporan kes buli itu membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan semalam. Dan diterima daripada pihak warden dan ibu penjaga berkenaan.
Kes masih disiasat lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.
Hentikan Tuduhan Terhadap Mangsa, Keluarga Dan Warden
Mengulas mengenai kes buli yang berlaku di MRSM Kuantan, guru terkenal, Mohd Fadli Salleh meminta kepada orang ramai agar menghentikan tuduhan terhadap mangsa, keluarga mahupun warden terlibat.
“Kes buli di MRSM Kuantan ni bukan kes buli biasa. Ada unsur psychopath. Sabar semua. Jangan cepat maki hamun mana-mana pihak. Takut last sekali plot twist. Sabar je, saya rasa kes ini akan selesai dalam masa terdekat. Akan ada saksi tampil nanti ni.”
Ini berikutan terdapatnya andaian dari kalangan netizen yang terkesan dengan berita itu lalu membuat pelbagai andaian sendiri.
Ada yang menuduh orang lain yang buat, ada juga mengatakan disebabkan makhluk ghaib dan alam bunian. Pesannya, agar masing-masing bersabar dan hentikan tuduhan melulu.
Sememangnya kes buli di sekolah tidak seharusnya di pandang sebelah mata. Emosinya bukan saja melibatkan mangsa, malah orang sekitarnya juga.
Semoga kes buli pelajar-pelajar MRSM Kuantan ini mendapat jalan penyelesaian dalam masa terdekat.
Seperti yang dikongsikan ibu mangsa di laman sosial facebooknya.
Kes telah berlarutan di MRSM Kuantan Rasmi dari bulan Jun 2022 sehingga ke hari ini. Kami masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius yang mana anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism. Sebagai ibubapa kami tidak boleh berdiam diri. Berikut adalah kronologi kes-kes yang berlaku di MAKTAB RENDAH SAINS MARA KUANTAN.
17 Jun 2022 (Jumaat)
Uniform sekolah anak saya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng bersama-sama sehelai baju batik sekolah pelajar senior di dalam blok asrama puteri yang sama. Anak saya telah membuat aduan kepada pelajar senior Form 5 dan roll call diadakan untuk mencari pelaku tersebut tetapi tidak berjaya.
19 Jun 2022 (Ahad)
Uniform kuning anak saya berwarna kuning dijumpai di ampaian telah digunting di bahagian lengan. Anak saya telah menelefon dan maklumkan berkenaan kes berkenaan dan memberitahu pelajar senior sedang cuba menyiasat sendiri terlebih dahulu untuk mencari pelaku sebelum memaklumkan kepada warden.
Uniform Pelajar MRSM Diconteng, Digunting
20 Jun 2022 (Isnin)
Saya menelefon Ketua Warden untuk follow up kes tersebut malangnya Ketua Warden terkejut dan tidak mengetahui perkara tersebut. Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut. (Soalan: Adakah ini prosedur MRSM untuk kes-kes serius seperti ini membiarkan pelajar senior handle sendiri tanpa memaklumkan kepada warden???)
22 Jun 2022 (Rabu)
Saya call Ketua Warden untuk follow kes di atas dan dimaklumkan mereka masih tidak dapat mencari pelaku.
26 Jun 2022 (Ahad) – pagi
Sehelai lagi uniform biru sekolah anak saya telah dijumpai diconteng selepas dia mengangkat baju di ampaian. Perkara sama juga berlaku kepada rakan sebilik anak saya yang mana baju PJ nya telah diconteng.
26 Jun 2022 (Ahad) – petang
Anak saya terjumpa dinding tandas telah diconteng dan terus memaklumkan kepada pelajar senior. Pelajar senior seterusnya memaklumkan kepada warden.
Buntu Tak Dapat Cari Pelaku
26 Jun 2022 (Ahad) – malam
Anak saya telah dipanggil oleh 5 orang warden dan mereka menekan anak saya dan dipaksa mengaku bahawa semua baju diconteng, digunting dan contengan di dinding tandas dilakukan oleh anak saya. Sedangkan anak saya adalah salah seorang MANGSA dan telah melaporkan semua kejadian kepada senior dengan segera apabila kejadian tersebut berlaku kepadanya. Sebaliknya, pihak maktab mengambil ringan aduan anak saya dan tiada kenyataan bertulis diambil oleh pihak maktab apabila menerima aduan-aduan tersebut. Pihak maktab dan warden buntu tidak dapat mencari pelaku sehingga menekan anak saya sebagai pelaku.
3 Julai 2022 (Ahad) – pagi
Rakan sebilik anak saya terjumpa selipar disusun di hadapan pintu bilik mereka dan pintu tandas telah diconteng. Mereka sebilik telah mengambil gambar dan memaklumkan kepada senior berkenaan perkara tersebut.
14 Julai 2022 (Khamis)
Saya menelefon Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar (TPPP) untuk bertanyakan perkembangan kes-kes tersebut. Sebaliknya TPPP maklumkan anak saya telah dirujuk kepada kaunselor sekolah dan mengalami anxiety dan mempunyai stress level yang sangat tinggi berdasarkan perbualan anak saya bersama-sama kaunselor. TPPP juga menyatakan anak saya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut. (Soalan: Atas kapasiti dan kepakaran apakah pihak maktab terus declare anak saya ada anxiety dan depression?)
15 Julai 2022 (Jumaat)
Saya telah mengambil anak pulang ke rumah dan dia telah menceritakan dia dipaksa mengaku oleh warden untuk semua kejadian tersebut.
Bawa Anak Jumpa Pakar Psikiatri Kanak-kanak
17 Julai 2022 (Ahad)
Saya telah membawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak untuk kami benar-benar memastikan tahap kesihatan mentalnya. Berdasarkan klinikal interview, doktor menyatakan anak saya sihat walafiat dan tiada ciri-ciri anxiety, depression dan stress seperti yang digambarkan oleh TPPP. Doktor juga mencadangkan agar anak saya menjalani ujian-ujian tertentu untuk mengesahkan tahap kesihatan mentalnya. Doktor juga mengambil kenyataan anak saya berdasarkan cerita anak saya atas apa yang terjadi di sekolah. Segala yang diceritakan oleh anak saya kepada doktor adalah konsisten sama seperti yang diceritakan kepada kami.
19 Julai 2022 (Selasa)
Anak saya telah menjalani semua ujian-ujian yang dicadangkan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan keputusannya ialah anak saya PERFECTLY FINE, SIHAT WALAFIAT!!! Berdasarkan keputusan tersebut, kami, suami isteri mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak Pengetua, Pengurusan maktab dan warden untuk mendapat penjelasan dan mengetahui perkembangan kes-kes conteng baju dan gunting baju anak kami.
22 Julai 2022 (Jumaat) – petang
Kami telah berjumpa dengan Tuan Pengetua, Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar, Ketua Warden, Kaunselor dan seorang lagi warden. Daripada perjumpaan tersebut, Pengetua mengakui memang ada kesilapan dari pihak maktab dalam menjalankan sisasatan berhubung kes-kes tersebut sehingga anak kami dipersalahkan sedangkan anak kami adalah MANGSA. Kenyataan daripada Pengetua, TPPP, warden dan Kaunselor juga tidak konsisten.
Buat Laporan Polis
22 Julai 2022 – malam
Kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab keatas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab. Kami juga telah failkan aduan di dalam SISPAA di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
25 Julai 2022 (Isnin)
Kami telah memfailkan aduan di SISPAA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan MARA adalah di bawah KPLB.
5 Ogos 2022 (Jumaat)
Kami menerima maklumbalas dari pihak MARA dan ianya sangat mengecewakan kerana siasatan BERAT SEBELAH hanya kepada warden maktab. Anak saya tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Maklum balas MARA juga berbeza dengan kenyataan Pengetua yang mana MARA menyatakan pihak maktab telah mengikut prosedur yang betul tetapi Pengetua mengakui kesilapan dipihak maktab ketika siasatan dijalankan.
7 Ogos 2022 (Ahad) – Pagi
5 helai t-shirt aktiviti maktab berwarna biru telah dijumpai oleh pelajar seniors di ampaian telah digunting melibatkan 4 orang pelajar termasuk baju anak kami. Pihak warden telah mengambil kenyataan bertulis daripada pelajar-pelajar terlibat.
5 Helai Unifors Sekolah Digunting Lagi
8 Ogos 2022 (Isnin) – Pagi
5 helai uniforms sekolah berwarna kuning telah digunting membabitkan anak kami dan 4 orang rakan sebiliknya termasuk sehelai tudung sekolah berwarna putih kepunyaan anak kami yang telah digunting. Sekali lagi pelajar-pelajar terbabit telah dipanggil memberi kenyataan bertulis kepada warden berhubung kejadian tersebut. Anak saya menelefon dan maklumkan kejadian tersebut. Saya telah maklumkan kepada IO yang mengambil report kami berhubung 2 kejadian tersebut. Pihak polis telah datang ke maktab dan menemubual warden serta anak saya dan rakan sebiliknya. Pihak polis juga mengarahkan pihak maktab membawa anak saya ke balai untuk diambil keterangan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh kami pada 22 Julai 2022 yang lalu. Bayangkan anak kami yang belum pun sampai usia 14tahun terpaksa memberi keterangan di balai selama 2jam setengah. Ni semua disebabkan tindakan pihak maktab yang lembab dan sambil lewa sehingga kami terpaksa membuat laporan polis. Kami telah mengambil anak kami pulang ke rumah untuk direhatkan pada hari yang sama. Pada sebelah malam, kami dimaklumkan oleh salah seorang parent Form3, anaknya telah terjumpa nota berbaur ugutan di dalam biliknya di asrama. Bilik anaknya itu berhadapan dengan bilik anak kami. Nota-nota tersebut ada ditujukan kepada anak kami, El. Kami terus maklumkan kepada Ketua Warden, Pengetua, TPPP, Exco-exco Muafakat dan IO yang mengendalikan kes anak kami. IO nasihatkan untuk pihak sekolah membuat laporan polis.
11 Ogos 2022 (Khamis)
Kami menghantar anak kami pulang semula ke maktab untuk menghadiri kelas seperti biasa.
12 Ogos 2022 (Jumaat)
Anak kami menelefon pada jam lebih kurang 6.50 pagi dan memaklumkan rambut dia dan 2 orang rakan biliknya telah digunting pendek ketika mereka tidur malam tadi. Anak kami dan pelajar terlibat terus memaklumkan kepada senior dan senior seterusnya maklumkan kepada warden. Dalam masa yang sama, kami maklumkan kepada IO yang mengendalikan kes kami. Seperti kes terdahulu, IO menasihatkan agar pihak maktab membuat laporan polis di balai.
Sehingga saat ini, kami masih menunggu update dari pihak maktab dan pihak polis.
Pihak MRSMKu begitu lembab dalam mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSMKu tidak boleh diterima sama sekali!
Kes Masih Berulang
Kes-kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan body contact. Adakah pihak MRSMKu nak tunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru nak bertindak?!
PIhak MARA juga lambat dalam memberikan response dan lambat bertindak walaupun aduan telah dibuat! Pengetua, TPPP, YDP Muafakat, NYDP Muafakat dan sebahagian EXCO Muafakat MRSM Kuantan lambat bertindak dan mengambil sambal lewa kes-kes yang berlaku di dalam maktab ini. Mungkin kesemua mereka menunggu sehingga ada kematian baru nak bertindak!
Kami menuntut pihak MRSM Kuantan mencari pelaku tersebut SEGERA dan mengenakan tindakan keras ke atasnya. Kami juga mahu perkara ini diselesaikan dengan SEGERA memandangkan ia telah melibatkan body contact dan ianya bukan lagi kes gangsterism atau perbuatan khianat tetapi kes JENAYAH yang semakin menjadi-jadi di dalam MRSM Kuantan. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak maktab dan MARA masih lambat bertindak.
Warga emas ini, Ismail Hamat, 67 antara salah seorang daripada 150 orang penduduk Kampung Tok Puchong, Kota Bharu, Kelantan yang tak dapat menahan air mata kegembiraan. Selepas 30 tahun, impian mendapat bekalan air bersih, akhirnya tertunai juga.
Sebagai permulaan bekalan dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah pun mula disalurkan ke sembilan kediaman. Masing-masing yang menerimanya begitu teruja melihat air bersih keluar dari paip air di dalam dan luar rumah.
Bayangkan, sebelum ini, Ismail terpaksa berulang-alik beberapa kali membawa tong 10 liter atas motor. Semata-mata mahu ke mesin air bertapi syang jaraknya anggaran 300 meter dari rumahnya.
Semuanya demi dapatkan bekalan air bersih.
Kalau dulu, nak mandi pun sayang. Sudahlah air itu dibeli di mesin air. Jadi, cuma boleh guna untuk minum dan memasak saja. Dengan adanya air bersih ini, bolehlah keluarga ini mandi lebih puas.
Kadangkala, waktu belum ada air bersih ini.. Ismail dengan ditemani cucu perempuannya akan naik basikal. Ambil air dekat masjid.
“Hanya Allah saja yang tahu perasaan kami sebaik melihat air bersih keluar daripada paip dan disebabkan terlalu teruja, saya berkumur beberapa kali dan membasuh muka kerana ia tidak lagi masin serta payau seperti air telaga tiub sebelum ini.”
30 Tahun Ini Susah Senang Keluarga Ismail Hadap
Waktu belum ada bekalan air bersih, kesukaran ini terpaksa mereka tanggung. Pinggan mangkuk jadi berkarat, sebab cuci guna air telaga tiub yang dibina di sekitar rumah. Basuh baju pun, baju jadi warna kuning. Telaga tiub ini juga sedikit berbau, masin dan payau.
Ismail juga bersyukur sungguh dengan air bersih inilah nanti mereka enam beranak dapat meneruskan kehidupan seperti orang normal yang lain.
Kalau tiba waktu hujan lebat atau motosikal rosak, tekanan nak dapatkan air bersih makin berganda. Boleh dikatakan, separuh dah usia Ismail ini digunakan untuk mengangkut air.
Duit pun banyak dihabiskan untuk tujuan itu. Disebabkan masalah air ini, anak cucu pun jarang datang melawat. Sebab mereka tak nak bebankan Ismail sama.
Lagi-lagi keluarga Ismail menjaga dua daripada anaknya istimewa. Ahmad, 39 yang ada masalah mental dan tak boleh bercakap sejak bayi. Dan Mohd Suhaimi, 31, sejak tiga tahun terlantar akibat alami strok haba.
Dengan bantuan dan ikhtiar kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society inilah. Kira-kira 150 penduduk kampung berjaya menikmati bekalan air bersih yang berpuluh tahun dinantikan mereka.
MW : Tak boleh bayang 30 tahun tanpa bekalan air bersih, baru sehari pun dah resahnya macam mana. Inikan bertahun-tahun lamanya. Alhamdulillah.. akhirnya kesukaran penduduk dapat diatasi.
Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa 'berjuang' tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.