12 Tahun Diseksa Suami Kaki Judi, Isteri Bertahan Kenang Mentua Terlalu Baik

Sayu kisah benar pengakuan isteri teraniaya bersuamikan kaki judi ini. Dia anak yatim piatu, tidak punya siapa-siapa untuk bergantung hidup. Melainkan suami dan keluarga mentua.

Punya keluarga mentua yang sangat baik dan amat menyayanginya. Sayang sekali, suami tidak pernah serik dari melakukan dosa. Berjudi, ke rumah urut itulah hobi yang sudah menjadi darah daging. Dan kisah pilu ini dicatatkan semula dalam bentuk penceritaan oleh Cik Puan Ammy.

Sajak ‘Kasihannya Perempuan Itu’.. Itulah Kisah Aku

November 2018

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.

Baru-baru ni kawan aku ada shared di ‘whatsapp group’ sajak bertajuk ‘Kasihannya Perempuan Itu’.. Itu lah aku. Yang sering disalahkan dalam setiap perkara. Mungkin disebabkan mas kahwin dan hantran aku hanya senaskah Al-Quran serta sepasang telekung, aku disia-siakan. 

Dewasa aku di sebuah pusat jagaan anak-anak yatim. Ibu meninggal setelah melahirkan aku dan ayah pula meninggal kerana barah paru-paru ketika aku berusia 7 tahun. Sebelum arwah ayah ‘pergi’, ayah telah menghantar aku ke rumah anak yatim kerana padanya selepas dia ‘pergi’ tiada siapa yang akan menjagaku memandangkan ayah seorang mualaf berbangsa Cina.

Dari situ aku belajar untuk bedikari. Aku berjaya mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Cita-cita aku  menjadi seorang pendidik dan untuk meraihnya aku perlu keluar dari situ. Aku perlu bekerja untuk menampung kos belajar di IPT. Pada usia aku 18 tahun, aku mulakan dengan bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran Cina muslim.

Pada usiaku 20 tahun aku berjaya melanjutkan pelajaranku di sebuah kolej swasta. Aku masih lagi bekerja di restoran itu. Siang aku belajar, malam pula aku bekerja. Dari situ lah aku mengenali suamiku merupakan seorang pelanggan tetap di restoran itu. Kadang-kadang dia datang sendirian dan kadang kala bersama keluarga. Hubungan kami berkekalan sehingga aku tamat belajar. Akhirnya kami bernikah. 

Pada bulan pertama aku bergelar isteri, suami aku kemalangan. Syukur kerana hanya mengalami luka-luka kecil sedangkan keretanya remuk. Suamiku menyalahkan aku kerana tidak maklumkan kepadanya bahawa brake kereta tidak berfungsi dengan baik.

Memang kereta itu aku yang sering bawa untuk ke pasar atau ke mana-mana sahaja. Tetapi sewaktu aku menggunakannya, semua dalam keadaan baik. Beberapa minggu selepas itu pula ayah mertuaku jatuh ketika mandi di bilik air. Nasib menyebelahi ayah, keadaannya stabil dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Aku juga disalahkan, aku dimarahi oleh suamiku kerana tidak menjaga ayahnya dengan baik sedangkan pada waktu itu adik iparku (lelaki) turut ada di dalam rumah itu. Semenjak daripada itu, aku sering disalahkan. Apa jua yang berlaku, semua kesalahan diletakkan ke bahu aku termasuk kadang kala keperluan dapur tidak mengcukupi.

Dia akan bertanyakan ke mana perginya duit belanja RM200 yang dia bagi tiap-tiap bulan padaku.

Aku Menjadi Tempat Untuk Suami Melepaskan Marah

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk kembali bekerja, mungkin suami aku tidak mampu lagi menanggung nafkah keluarga sendirian memandangkan ibu, ayah dan tiga orang lagi adiknya tinggal bersama dan kos belanja semakin tinggi. Hidupnya tertekan dan aku jadi tempat dia lepaskan amarah.

Dia izinkan dengan syarat jangan minta dia berpindah, menyewa rumah lain. Aku setuju dengan syaratnya memandangkan ibu, ayah dan adik-adiknya menerima dan melayan aku dengan sangat baik. 

Aku dapat kerja dengan mengajar di sebuah sekolah swasta. Separuh dari gajiku, aku habiskan dengan membantu membeli barang-barang dapur dan keperluan harian. Apabila suamiku melihat aku sudah bekerja dan punyai duit sendiri, dia tidak lagi memberi nafkah padaku. Aku cuba berfikiran positif memandangkan dia lebih memerlukan untuk menjelaskan bil-bil, hutang kereta, motor dan hutang rumah ke bank. 

Sangkaanku tidak tepat, tiba-tiba aku dapat beberapa surat dari bank dan mengatakan semuanya tertunggak. Bergitu juga dengan air dan elektrik, mereka telah datang untuk memotong bekalan. Mujurlah aku ada duit dan aku jelaskan semuanya walaupun hampir mencecah ke 4 angka.

IKLAN

Aku tidak mahu tidur bergelap dan bangun pagi ke kerja dalam keadaan tidak mandi. Bila aku bertanyakan tentang semua itu kepadanya dengan tanpa rasa bersalah dia pukul aku. Buat kali pertama selepas 6 bulan aku menjadi isterinya kaki tangan dia naik ke tubuh aku, mujur lah ada ayah mentua aku menghalangnya dari terus memukul aku.

Kerana Nasihat Suami, Isteri Hamil Dipukul Bertubi-tubi

Semnjak hari itu, aku yang tanggung segalanya. Kos harian, bil-bil dan segala hutang piutang bank kerana aku tidak sanggup melihat ibu, ayah dan adik beradiknya merempat jika rumah ditarik, tidur dalam keadaan gelap dan kami keputusan bekalan air jika bil tidak dijelaskan. Walaupun aku hanya menantu, mereka melayan aku baik ibarat ahli keluarga sendiri itulah impian aku, untuk hidup berkeluarga walaupun hanya menumpang kasih.

Suatu hari ibu ada bertanya pada aku dan dia, bila lagi kami nak ada zuriat. Suamiku tiba-tiba menjadi baran dan menjawab dia tak nak ada anak lagi kerana ekonomi rumah tangga kami belum stabil.

Aku sedih kerana dalam rahim ku pada waktu itu sememangnya sudah wujud satu nyawa yang dipanggil zuriat. Cuma aku tunggu masa yang sesuai untuk bagitahunya. Aku hairan dengan jawapannya, jika dicampur gajiku bersama gajinya, ditolak hutang rumah, kereta, motor dan belanja keluarga memang berlebihan.

Tuhan lebih mengetahui dan Dia tunjuk segalanya padaku. Suatu malam, sedang aku kemas-kemas baju uniform kerjanya untuk dicuci. Aku terjumpa beberapa keping kertas. Aku yakin kertas itu datang daripada pusat-pusat judi dan rumah-rumah urut.

Aku menasihatinya dengan lembut supaya tidak berlakunya perkelahian. Tetapi dia tetap juga mengamuk dan memukul aku dengan bertubi-tubi sehingga aku mengalami pendarahan. Bila melihat aku berdarah banyak, dia segera membawa aku ke hospital.

Alhamdulillah kandungan aku selamat. Melihat keadaan aku begitu, dia memaksa aku untuk menggugurkan kandunganku kerana dia tidak mampu nak tanggung lagi. Aku merayu dan berjanji tidak akan meminta satu sen pun duit darinya jika dia izinkan aku melahirkan anak ini.

Puas aku merayu akhirnya dia bersetuju. Lepas daripada peristiwa itu, dia tanpa segan silu membawa pulang kertas-kertas dan resit-resit judi di dalam poketnya dan dia juga turut pulang dalam keadaan mabuk-mabuk kesan daripada pengambilan alkohol yang berlebihan. Mungkin juga aku berasal dari rumah anak yatim, aku tidak dihargai. 

Kadangkala Cuma Fikri Nak Mati Je

Tak apalah demi anak aku yang sorang ni aku bersabar, dua belas tahun berlalu. Anak pertamaku telah pun genap 12 tahun. Dulu aku down. Kadang – kala fikir nak mati jer. Ke mana lagi arah aku nk pergi. Mak bapak aku pun dah lama meninggalkan aku terkontang-kanting di muka bumi.

Saudara mara entah ke mana. Tapi bila aku baca sajak tu, hari-hari aku baca, aku jadi kuat. Aku tahu bukan aku sahaja yang terseksa. Ramai lagi di luar sana yang senasib. Aku tak tahu kalian ada baca tak sajak tu. Aku nak shared kat sini aku takut yang aku shared tu dah diubah sebab aku tengok ramai yang dah shared dan ada yang dah ubah perenggan dia. 

IKLAN

Doakan aku kuat. Anak aku yang pertama baru habis UPSR.. Dan yang bakal lahir nanti. Kali ini pun aku jugak disalahkan sebab mengandung lagi. Dia kata dia tak mampu nak bagi makan dan belanja, barang-barang dah mahal. Tapi bagi aku, ini rezeki. Aku bekerja, gaji aku tinggi dan aku akan tanggung semuanya sebab memang dari dulu aku tanggung semuanya.

Dia? Hanya tahu makan dan tidur. Gajinya habis ke rumah-rumah urut dan judi. Mujur lah mertua aku sayangkan aku, menjaga aku dalam pantang masa lahirkan anak pertamaku dulu ibarat anak kandungnya sendiri. Aku hanya fikirkan mentua aku ni baik jer dan terlampau sayangkan anak aku yang pertama ini, aku tunggu… Kalau ikutkan hati, nak jer aku lari jauh bawa diri dan anak-anak. 

Baru-baru ini, aku terjumpa kondom yang masih belum digunakan dalam poket baju suami aku. Dia kata tu kawan dia punya dia tolong belikan. Tapi aku tidak percaya. Hati aku terdetik bahawa dia kini sedang berjinak-jinak dengan perempuan jalanan memandangkan tiap kali aku nak clearkan story di browser aku ternampak page-page pelacuran yang suami aku search.

Aku harap tanggapan aku salah dan Allah lindungi aku serta anak dalam kandungan ini daripada penyakit kelamin atau AIDS. Aku tidak berani untuk bertanya lagi bimbang aku akan disakiti. Jadi aku ambil keputusan untuk diam. Doakan aku kuat sehingga aku selamat bersalin awal tahun depan.

09 April 2019 : Status Terkini Aku

Masa beredar dengan pantas sekali. Walaupun hari-hari yang aku lalui amat sulit dan perit, namun demi anak-anak, aku kena kuat. Kini aku sedang berada di ‘labour room’ untuk melahirkan puteri hati yang aku tunggu selama 9 bulan. Doakan semua baik-baik kerana di luar sana tiada waris yang tunggu jika berlaku apa-apa pada aku atau baby. Bukaan still 5 cm. Kenapa tiada waris yang tunggu? Biarlah menjadi rahsia Allah SWT.

Alhamdulillah, aku telah selamat melahirkan puteri hati. Aku sangka tiada waris yang tunggu memandangkan aku dari tempat kerja terus ke hospital. Rupanya ada anak sulong yang setia menanti. Dia  juga yang telah azankan adik perempuannya dengan merdu sekali. Tolong pakaikan aku stoking dan hantar keperluanku. Bila aku bertanyakan tentang papanya. Dia hanya jawab. 

Biar lah bu. Along ada. Along temankan ibu dan jaga adik.”

Jam 7 pm tadi dia balik uruskan uri adiknya. Baru 13 tahun, dia dah pikul tanggungjawab yang sepatutnya seorang ayah lakukan. Semoga syurga buat kamu anak.

10 April 2019 : Along Curi-curi Bawa Motor

Arini Along datang, terpaksa cuti sekolah sebab nak bantu aku ‘discharge’. Uwan dengan atok tunggu baby Umairah pulang kat rumah jer sebab atok sakit kaki. Along datang curi-curi bawa motor. Susah hatiku bila bayangkan keadaan along bawa motor redah ribuan kereta di tengah bandaraya.

IKLAN

Semalam pun bawa motor juga tapi aku tak tahu. Sangkaan aku, semalam along datang dengan teksi jadi aku tidak bertanya banyak padanya. Pagi ni nampak along bawa naik helmet. Along kata helmet semalam kena curi sebab tinggal kat parking.

Ya Allah anak ibu. Along bagitahu, papanya dah ambil kereta semalam di hospital. Aku husnuzon saja, mungkin nak cepat atau guard tak bagi masuk sebab dah malam. Jadi tak dapat tengok Umairah.

Pagi tadi papanya bagi duit suruh along tuang minyak motor, tapi untuk bil hospital papanya minta aku jelaskan sendiri sebab papanya belum gaji. Tak apa aku faham.

Memang dari dulu aku yang uruskan setiap perbelanjaan. Cuma aku bagitahu along, aku tak boleh naik motor dengan dia. Minta dia tolong carikan teksi, kemudian balik dengan aku naik teksi. Motor tu nanti minta papa ambilkan. Doakan aku sihat ya kawan-kawan supaya aku boleh uruskan along dan Umairah. Kesian along..

11 April 2019 : Aku Hanya Isteri Pada Nama

Alhamdulillah. Umairah bebas dari HIV atau AIDS. Walapun masa ‘checkup preggy’ di KK, aku negatif HIV atau AIDS. Tapi aku belum berpuas hati bimbang terkesan pada bayi apabila lahir nanti. Ternyata Allah mendengar rintihanku, Dia lindungi Umairah. Sepanjang kehamilan aku murung, bimbang tentang kesihatan Umairah apabila dilahirkan kelak. 

Tadi papanya ada jenguk Umairah sebelum keluar. Dia usik-usik pipi dan dagu Umairah. Comel katanya. Tapi papanya ingatkanku supaya tidak susahkan dia nanti sebab untuk melihat Umairah lahir ke dunia adalah pilihanku.

Tak mengapa lah, aku tak kisah dengan peringatan papanya tadi kerana papa dah usap Umairah dan katanya Umairah comel dah besar maknanya padaku. Cukup la buat hatiku berbunga.

Walaupun aku isteri hanya pada nama, tanpa nafkah zahir dan batin lagi, aku tetap hormati dia sebagai seorang suami walaupun dia banyak mengecewakan perasaan aku. Semenjak aku hamilkan Umairah, aku langsung tidak pedulikan setiap apa yang dia buat.

Kerana aku takut jika aku dikasarinya. Aku juga akan menolak setiap keinginannya untuk ‘bersama’. Disebabkan itu, dia abaikan aku. Aku doakan dia akan diberi pertunjuk dan hidayah untuk pulang ke pangkal jalan.

Aku tanya along, siapa yang cuci uri. Along jawab, along yang cuci sambil uwan ajarkan. Saya tanya lagi, along tak takut dan geli ke tengok uri. Along jawab.

Geli tu memang lah. Darahkan najis. Tapi kalau along tak buat, siapa nak buatkan, takkan nak biar camtu jer. Uwan sama atok tak sihat. Itukan darah daging along. Redhaa jer la kan bu. “

Sambil senyum tayang gigi kapak dua batang dia yang besar tu. Lucu sungguh anakku itu.

Terima kasih kerana sudi membaca luahan hatiku. Cukuplah sampai di sini dahulu. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doakan kebahagiaan aku dan anak-anak maka seluruh alam akan berdoakan kepada kalian kembali.

Sumber/Foto : Cik Puan Ammy

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI