Yusry kongsi momen manis sebagai seorang ayah, anak sulung genap 10 tahun. Momen bergelar ibu bapa sememangnya penuh warna dan cepat berlalu. Itulah yang diluahkan oleh pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim apabila anak perempuannya kini sudah menginjak usia 10 tahun.
Yusry Kongsi Momen Manis Sebagai Seorang Ayah, Anak Sulung Genap 10 Tahun
Menurut Yusry, seakan tidak percaya puterinya kini sudah mencapai usia dua angka kerana dalam hatinya, anak kesayangan itu masih lagi seperti bayi kecil yang pernah ditatang penuh kasih sayang sejak lahir.
Dalam perkongsian di Instagram, Yusry menceritakan memori indah melihat anaknya melangkah buat kali pertama dan menyebut kata pertama yang ditujukan kepadanya sebagai ‘daddy’.
Demi meraikan hari istimewa itu, Yusry turut meluangkan masa dari jadual penggambaran untuk menikmati makan tengah hari bersama keluarga. Lebih manis, si kecil yang diraikan meminta semua ahli keluarga mengenakan warna kegemarannya iaitu merah jambu, namun dia sendiri memilih tidak memakai warna tersebut agar tampil lebih menyerlah sebagai ‘birthday girl’.
Ads
Menutup coretannya, Yusry menitipkan ucapan penuh kasih sayang buat anaknya agar tidak cepat membesar, sambil meluahkan rasa cinta sebagai seorang ayah. Isterinya, pelakon Lisa Surihani, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kebaikan buat puteri kesayangan mereka.
Momen ini nyata menjadi kenangan manis yang menggambarkan kehangatan kasih sayang sebuah keluarga. Untuk info, Yusri dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012. Pasangan ini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
Pelakon popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, malam ini.
Suasana senja yang mendamaikan menjadi saksi kepada sebuah ikatan suci, apabila akad nikah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga, sahabat dan kenalan rapat pasangan berkenaan dalam suasana sederhana tetapi sarat makna.
Pasangan ini memilih tema Islamik Al-Zauj, yang membawa maksud dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Simbolik tema itu dizahirkan melalui dekorasi dan suasana senja yang tenang, seolah-olah menggambarkan perjalanan baharu yang bakal ditempuh dengan keberkatan Ilahi.
Lebih istimewa, tarikh keramat ini dipilih oleh Amira sendiri bersempena ulang tahun kelahiran Fattah. “Perkahwinan ini adalah hadiah terindah buat suami saya,” ujar Amira dengan senyuman penuh syukur.
Dalam majlis itu, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai, bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan, simbol kesederhanaan namun tetap memuliakan adat.
Fattah tampil segak dalam persalinan putih rekaan pereka ternama Rizman Ruzaini, manakala Amira menyerlahkan keanggunan dengan busana putih rekaan Teh Firdaus.
Keanggunan mereka seolah-olah lengkap dengan kehadiran para tetamu yang turut mengenakan persalinan serba putih. Putih, yang menjadi lambang kesucian dan kebersihan hati, menjadikan suasana majlis lebih harmoni, damai dan penuh syahdu.
“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” kata Fattah selepas selesai akad nikah.
Sementara itu, Amira turut meluahkan rasa syukur kerana kini sah bergelar isteri kepada aktor kesayangan ramai itu. “Doakan yang baik-baik buat kami, semoga perjalanan baru ini sentiasa dalam rahmat Allah,” tuturnya penuh kelembutan.
Majlis ini mendapat sentuhan dekorasi daripada Reka Teemor, dengan pengasasnya Faiz sabari dan Rozana Mumtaz menjelaskan bahawa konsep Al-Zauj dipilih bagi menzahirkan hasrat pasangan yang mahukan sebuah majlis berkonsep Islamik, sederhana namun harmoni.
“Al-Zauj membawa makna dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Fattah dan Amira memang mahukan konsep Islamik, jadi kami ketengahkan tema ini dengan tambahan elemen senja atau sunset yang menambah keindahan.”
Cahaya jingga senja yang meresap ke dalam majlis memberi simbolik cinta abadi. Indah, hangat, namun tetap menenangkan.
Terdahulu, Fattah mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal bernikah pada 14 September, tarikh sama ulang tahun kelahirannya, ketika pelancaran single terbaru Amira bersama Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Perjalanan cinta ini tentunya tidak sepi daripada ujian. Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fazura pada 27 November 2017, sebelum berpisah pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.
Penyanyi manis bersuara lunak, Amira Othman mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan usahawan ternama, Fattah Amin.
Dalam temu ramah, pelantun lagu Dalam Sujudku itu berkongsi, persiapan majlis sedang giat berjalan dan dia memohon doa agar segala urusan dipermudahkan.
“Alhamdulillah, ketika ini saya masih melakukan persiapan. Mohon doa daripada kalian agar semuanya baik-baik. Saya percaya doa orang ramai juga menjadi asbab kami dipertemukan jodoh,” tutur Amira penuh syukur.
Menghitung hari menuju detik bergelar isteri, bekas peserta Akademi Fantasia Musim ke-10 itu menyerahkan sepenuh keyakinan kepada Allah. Amira mengakui dirinya sedar akan cabaran rumah tangga, namun tetap bertekad untuk menjadi versi terbaik dirinya dalam melayari bahtera perkahwinan.
“Tidak adil untuk trauma menjadi penghalang. Kita perlu percaya takdir kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Perkahwinan itu bermatlamatkan syurga, saya yakin pasti ada ujian, tetapi saya mahu melangkah dengan penuh tawakal,” kongsinya lagi.
Momen lamaran mereka juga penuh simbolik dan romantis. Ketika majlis pelancaran muzik Amira bersama Irfan Haris, Fattah tiba-tiba muncul dari belakang pentas. Irfan kemudian menyerahkan replika kunci kepada Fattah, yang akhirnya diserahkan kepada Amira, tanda janji dan komitmen untuk hidup bersama.
Dengan penuh emosi, Fattah meluahkan kata-kata yang menyentuh hati:
“Daripada rakan sekerja, ke rakan serumah.”
Acara penuh emosi itu turut disaksikan ibu bapa Amira, Othman Abdul Kadir, 62, dan Nora Haji Arshad, 58, yang duduk di barisan penonton sambil menerima sorakan gemuruh hadirin.
Pasangan ini memilih 14 September 2025, tarikh istimewa bersempena ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35, untuk mengikat janji suci di sebuah hotel di Johor Bahru.
Adik bongsu Amira, Irfan Haris, turut berkongsi rasa terharu di Insta Story, “Congratulation Kak Yaa, Ales happy for Kak Yaa. Alhamdulillah.”
Sebuah pertemuan, sebuah doa, dan sebuah janji. Kini Amira dan Fattah bersedia melangkah ke fasa baru dengan harapan cinta mereka menjadi jalan menuju syurga.
Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.