
Yusry kongsi momen manis sebagai seorang ayah, anak sulung genap 10 tahun. Momen bergelar ibu bapa sememangnya penuh warna dan cepat berlalu. Itulah yang diluahkan oleh pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim apabila anak perempuannya kini sudah menginjak usia 10 tahun.
Yusry Kongsi Momen Manis Sebagai Seorang Ayah, Anak Sulung Genap 10 Tahun
Menurut Yusry, seakan tidak percaya puterinya kini sudah mencapai usia dua angka kerana dalam hatinya, anak kesayangan itu masih lagi seperti bayi kecil yang pernah ditatang penuh kasih sayang sejak lahir.
Dalam perkongsian di Instagram, Yusry menceritakan memori indah melihat anaknya melangkah buat kali pertama dan menyebut kata pertama yang ditujukan kepadanya sebagai ‘daddy’.
Demi meraikan hari istimewa itu, Yusry turut meluangkan masa dari jadual penggambaran untuk menikmati makan tengah hari bersama keluarga. Lebih manis, si kecil yang diraikan meminta semua ahli keluarga mengenakan warna kegemarannya iaitu merah jambu, namun dia sendiri memilih tidak memakai warna tersebut agar tampil lebih menyerlah sebagai ‘birthday girl’.
Menutup coretannya, Yusry menitipkan ucapan penuh kasih sayang buat anaknya agar tidak cepat membesar, sambil meluahkan rasa cinta sebagai seorang ayah. Isterinya, pelakon Lisa Surihani, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kebaikan buat puteri kesayangan mereka.
Momen ini nyata menjadi kenangan manis yang menggambarkan kehangatan kasih sayang sebuah keluarga. Untuk info, Yusri dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012. Pasangan ini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
Sumber: Instagram Yusry Abd Halim
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Dah Operation, Tak Recover Dengan Baik..’ Malam Ini Sharnaaz Jemput Solat Hajat Untuk Jebat

Jebat Jayden, anak sulung pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila Mohd Noor diuji mengalami jangkitan pada saluran kencing. Sudah pun selesai jalani pembedahan namun akui bapanya, masih belum recover dengan baik.
Bagaimana pun, bapa ini bersyukur kerana anak lelakinya itu menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari.
“Untuk yang belum tahu, Jebat kena UTI, dan ada block di salur kencing dia. Dah selesai jalani operation. Namun, tak recover dengan baik. Tapi syukur, sedikit demi sedikit nampak perubahan positif hari demi hari.” Tulisnya di instagram.
Bimbang dengan keadaan anak, Sharnaaz menjemput orang ramai yang berkelapangan dan berdekatan untuk hadir ke Masjid Asy-Syakirin (KLCC) malam ini.
“Selepas solat tarawih lebih kurang jam 10 lebih. Dijemput solat tarawih bersama.. sama-sama bantu di bulan mulia ini.” pintanya lagi.
Ramadan Ini Baba Akan Sentiasa Di Sisi Jebat
Dalam perkongsiannya sebelum ini, iaitu sebelum pembedahan, Sharnaaz memaklumkan Jebat ini seorang anak yang manja. “Doakan anak saya selamat. Jebat Jayden dalam keadaan kurang baik.”
“Doalah di bulan mulia ini. Terima kasih untuk Jebat Jayden Ahmad b Sharnaaz Ahmad.”
“Anak yang baik, anak yang sangat manja, anak permata baba dan mummy. Sakit cek adalah untuk kekuatan cek di masa depan. Baba sayang hang dunia akhirat. Baba will always be next to you.. thru thick an thin.”
“Ramadan ni Baba will always be there for u ok sayang.” Dan Sharnaaz mengotakan janjinya. Ahad lalu, Sharnaaz terpaksa membatalkan semua majlis yang sepatutnya di hadiri kerana keadaan anaknya yang tak stabil dan perlukan rawatan susulan kecemasan.
Pada 30 Ogos tahun lalu, anak sulung pasangan ini dilahirkan. Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumahtangga pada 31 Mac 2017.
Sumber/Foto : Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Lafaz Cerai Menerusi Aplikasi WhatsApp, Lufya Tak Terima Seperti Didakwa

Kemelut rumah tangga yang melanda pelakon dan penyanyi Lufya Omar, 34 dengan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz sampai ke jalan perpisahan. Dr Che Muhammad Baharum membuat pengumuman menceraikan isterinya, atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar menerusi aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.
Berita pilu ini disampaikan ketika beliau dalam sesi temubual di portal MHETV. Apabila kedua-dua pihak tidak menemui jalan penyelesaian untuk memulihkan kembali hubungan mereka.
Dakwa Dr Che Muhammad, dia bersetuju menunaikan permintaan Lufya untuk bercerai yang mana ianya diminta isterinya itu dalam WhatsApp ketika mereka sedang membincangkan isu rumah tangga.
Jelas Dr Che Muhammad dalam temubual itu, “Cukuplah ini sahaja penjelasan daripada saya dan terlalu peribadi untuk saya kongsikan tentang hal lain. Banyak hati yang perlu dijaga dan diharapkan tidak timbul sebarang spekulasi lain.”
Lufya Bingung, Tak Terima Lafaz Cerai Seperti Didakwa
Bagaimana pun dalam temubual bersama Berita Harian Online, Lufya mendakwa yang dia dalam keadaan bingung dengan tindakan suaminya. Kerana sama sekali dia tidak tahu menahu mengenainya.
Dakwan Lufya, “Saya langsung tak terima lafaz cerai seperti didakwanya dilakukan terhadap saya menerusi WhatsApp.”
Malah dakwanya lagi, dia juga tak menerima sebarang dokumen berkaitan penceraian yang dimaksudkan oleh suami. Bagaimanapun, jika perpisahan menjadi titik akhir kemelut rumah tangga mereka.
Lufya akur mengenainya.
“Saya terima ketentuan-Nya jika suami mahu menceraikan saya, tetapi biarlah menerusi saluran betul dan melakukannya sebagai lelaki budiman.”
“Jika dia mengambil saya dengan cara baik, maka pulangkan dengan cara yang sama. Jangan cakap dia sudah melafazkan cerai menerusi WhatsApp.”
Jadilah Lelaku Yang Bertanggungjawab
Bagaimana pun, kata Lufya untuk suaminya agar jadilah lelaki yang bertanggungjawab.
“Dia kena fikir, dirinya mempunyai anak. Semua ini adalah untuk kebaikan dan hormatilah cara sepatutnya bagi melepaskan wanita yang kamu kahwini.”
Hasil perkahwinan antara kedua pada 26 November 2016, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Laana Haura yang sudah pun berusia dua tahun.
Rumah tangga pasangan ini dikatakan berdepan dengan masalah pada Oktober lalu malah dikatakan mahu mengakhirinya dengan jalan perpisahan. Lufya menafikan khabar angin itu.
Namun, Jumaat lalu Lufya meluahkan di instagramnya mendakwa suami gagal menjalankan tanggungjawab sejak tiga bulan mendirikan rumah tangga, sebelum membuat keputusan untuk memadamkan status yang dimuat naik.
MW : Mendoakan semoga kemelut rumahtangga pasangan ini dapat diselesaikan secara baik.
Sumber/Foto : Berita Harian Online, Astro Awani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lumpuh Separuh Badan, Wanita Ini Pernah Terbaring Umpama Mayat Hidup

Suraya Abu Hassan, 26 tahun, tidak pernah menyangka bahawa dirinya akan mengalami lumpuh separuh badan.
Segala-galanya bermula dengan sakit kepala yang dialami secara tiba-tiba. Namun, dia tidak menghiraukannya kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun 2009.
Setelah tiga hari menamatkan peperiksaan, sekali lagi dia mengalami masalah yang sama. Kali ini lebih teruk kerana dia hampir pitam. Kejadian itu berlaku ketika dia menemani emaknya, Saayah Zaini ke Pekan Sehari berdekatan rumahnya.
Mereka kemudiannya balik ke rumah. Keadaan Suraya yang semakin membimbangkan menyebabkan emaknya membawa dia ke Klinik Desa Felda Lepar Utara, Pahang. Namun setelah bertemu doktor, Suraya hanya diberikan ubat tahan sakit.
Sebaik kembali semula ke rumah, badannya menjadi lembik. Kali ini bapanya Abu Hassan Zakaria segera membawanya ke hospital Temerloh.

Pembedahan
Doktor di Hospital Temerloh telah mengesyorkan agar Suraya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan scan oleh doktor di HKL mendapati ada air yang tersumbat pada otaknya.
Doktor segera melakukan pembedahan membuang air di bahagian kanan otaknya. Kesan pembedahan membuatkan Suraya tidak boleh bercakap lebih kurang 2 bulan lamanya.
“ Saya terbaring seperti mayat hidup. Itu yang saya rasakan ketika itu. Anggota badan terutamanya sebelah kiri tidak boleh bergerak. Perasaan saya pada ketika itu usah cakaplah.
Asyik menangis. Kalau diingatkan saat-saat tersebut memang menyedihkan,” ujar Suraya mengimbau kisah hampir Sembilan tahun lalu.
Walau lumpuh sebelah badan, Suraya masih mampu berjalan. Namun begitu langkahnya agak lemah. Nasib baik dia tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Sambung Pelajaran
Lumpuh sebelah badan menyebabkan cita-cita Suraya tidak kesampaian. Lama juga dia mendiamkan diri di rumah tanpa melakukan sebarang kerja atau bergaul dengan ramai orang.
Dia mengakui keadaanya itu bukan sahaja memberi kesan pada dirinya malah emak dan ayahnya turut menerima tempiasnya.
“ Emak dan ayah risau tengok keadaan saya. Saya sedar saya perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa risau mereka itu. Dahulu saya fikir selepas SPM saya mahu menyambung pengajian. Saya mahu masuk Universiti. Cita-cita saya mahu jadi guru. Itu yang saya sedih bila jadi lumpuh sebelah badan.
Pada suatu hari saya, abang saya telah mengesyorkan saya belajar di PLPP Bangi yang kebetulan tidak jauh dari rumah dia. Saya setuju dan mengambil kursus IT dan Pembantu Tadbir.
Saya duduk di asrama. Itulah pertama kali saya berada berjauhan daripada keluarga. Di situ juga saya sedar masih ramai lagi OKU seperti saya. Malah ada yang lagi teruk daripada saya.
Melihatkan kesungguhan kawan-kawan OKU di sana telah menambah keyakinan saya untuk mengubah nasib. Saya akhirnya berjaya menamatkan kursus di sana.”
Jadi Guru Tadika Pasti
Sejak menamatkan pengajian di PLPP, Suraya telah mendapat kerja sebagai guru di sebuah Tadika Pasti yang terletak di Felda Lepar Utara Satu .
Tadika ini terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap kali pergi kerja, Suraya akan memandu sendiri kereta yang telah diubahsuai. Ternyata kekurangan diri bukan penghalang buat dirinya untuk berdikari.

Jadi guru menyeronokkan Suraya. Setiap hari dia perlu melayan kanak- kanak berusia 4 tahun. Keletah mereka menghiburkan hatinya.
“ Kadang-kadang ada juga mereka bertanya pada saya apabila mereka melihat saya berjalan dalam keadaan tidak teratur. Kak Su, kenapa jalan macam itu? Itu antara soalan yang biasa saya terima dari mereka. Saya hanya mampu senyum sahaja apabila mendengar soalan tersebut.
” Tugas saya di tadika itu mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mewarna. Apabila tengok kanak-kanak ini saya rasa gembira. Kecacatan tidak menghalang kerjaya saya.
Paling penting saya perlu ada kesabaran. Saya perlu sabar menghadapi dugaan dan berusaha untuk membangunkan diri. Itu paling penting.”
Penyelidik UM Ajar Suraya Melakukan Regangan
Prihatin terhadap nasib insan yang kurang bernasib baik telah membuatkan sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya.

Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamakan ‘Be Able’ yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana.
‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016 dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UM Cares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan dan Pakar Prostetik dan Ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Nasrul Anuar Abdul Razak yang mengetuai delegasi penyelidik ini berkata, walaupun perjalanan mereka ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik ini.
“ Objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dan menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan.
Melihatkan keadaan Suraya ini saya percaya dengan latihan regangan yang betul dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi.”
Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten.

Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal.
Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.
Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI