Wahai anak-anak, elajarlah menghargai mak ayah selagi mereka ada di sisi. Kelak Allah sudah ambilnya semula, cuma rasa rindu yang cuma jadi kenangan.
Andai pernah telan rasa kelat dalam hubungan, buang jauh-jauh dan maafkan. Mak ayah ini cuma pinjaman. Sampai masa, mereka akan pergi.
Untuk sampaikan rasa sayang dan menghargai selagi orang tua ada, cuba cukupkan mereka dari sudut yang saudara Muhammad Hassan kongsikan ini…
Bahagiakan Mak Ayah Dengan Cara Ini
Yang masih ada mak ayah. Pastikan:
1 keperluan dapur, bil air,bil eletrik disempurnakan oleh kita. Sekarang segala bil dah boleh buat pembayaran melalui online. Keperluan lain upah je runner beli beras,tong gas.
2 Usahakan bilik tidur mereka ada penghawa dingin. Tilam,selimut,cadar yang baru dan selesa.
Ads
3 Pastikan rumah tidak bocor terutama rumah kampung.
4 Pastikan kenderaan mereka selesa,ada penghawa dingin,brake yang baik,minyak hitam ditukar mengikut jadual.
5 Pastikan rumah mereka ada penapis air yang baik.
6 Pastikan mereka makan ubat mengikut jadual. Dan pastikan mereka tidak mengambil apa-apa supplement yang merugikan.m atau fake. Terutama rawatan-rawatan yang melibatkan peralatan.
Ads
7 Pastikan mereka tidak terlepas jadual temujanji dengan doktor di Hospital.
8 Jangan lupa untuk bertanya khabar mereka setiap hari, setiap minggu.
9 Jika mereka ada hutang berusaha untuk selesaikan hutang.
10 Pastikan dalam doa kita tidak terlepas nama mereka.
Ads
11 Tunaikan hajat mereka. Ada ibu bapa setiap tahun azam untuk tunai umrah. Ada ibu bapa setiap bulan nak ziarah anak-anak. Tunaikan.
12 Mohon maaf segala salah silap kita. Jangan sikit pun berdendam terhadap mereka. Jangan sikit pun sakiti hati mereka. Mereka syurga buat kita.
Tiada apa yang bernilai bagi mak ayah melainkan anak-anak yang soleh solehah,yang dapat mandikan jenazah mereka, yang dapat solatkan jenazah mereka. Yang dapat sedekahkan amal buat mereka.
Bahkan mendoakan mereka setiap masa. Paling kurang pun setiap kali selepas solat fardhu jangan lupa untuk mendoakan mereka. Moga syurga balasan buat mereka diatas penat lelah mendidik dan membesarkan kita.
AMIN.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam tak sedar, ada yang terbuat. Ceroboh mahupun terguna hak orang lain tanpa kebenaran. Tak perlu pusing jauh, lihat contoh mudah yang disampaikan Azlan Noor ketika beliau mahu membeli pomade di pasaraya.
Bagaimana tindakan silapnya itu, akhirnya menjadi titik pengajaran yang paling bagus untuk ramai orang.
Bila bicara soal hak orang lain, tak kira la kecil atau besar, benda tu tetap bukan kita punya. Maka haram kita ‘ceroboh’ dan guna tanpa kebenaran.
Itulah yang saya pernah lalui.
Satu hari tu kami singgah Mydin. Teringat nak beli pomade sebab yang lama dah habis. Terus tuju ke bahagian tu. Target nak ambil brand ni, tapi tak ada pulak. Terpaksa fikir semula nak ambil mana.
Tiba-tiba surihati muncul di sebelah dan sama-sama pilih. Saya ambil satu jenama X, buka penutup dan bau. Dia pula ambil satu jenama Y,
“Yang ni best bau dia. Tapi bukan pomade la.”
Saya ambil dari tangannya dan hidu.
“Betul. Sedap ni.”
Saya tutup dan letak semula. Masih berkira-kira.
Masa tengah fikir tu, tiba-tiba saya capai semula jenama Y yang Surihati tunjuk tadi. Saya buka, ambil sedikit dari bekas dan calit di tapak tangan. Saya gosok kedua tapak tangan. Tak berminyak dan tak melekit.
Saya letak semula di atas rak display.
Tapi entah kenapa saya pilih jenama X tadi. Saya ambil dan letak dalam bakul beroda seterusnya beredar mencari barang lain.
Masa tu lah, tak semena-mena, datang lintasan dalam hati,
“Aku dah guna barang bukan milik aku. Lepas tu letak semula. Macam mana kalau orang lain beli barang yang aku dah guna tadi? Aku sedap-sedap ambil barang yang orang tak guna lagi.”
Langsung rasa tak sedap hati.
Saya terus bagitahu surihati, saya nak ambil yang tadi sebab dah guna. Dia senyum dan setuju.
Dalam hati tetap rasa bersalah sebab terguna barang yang belum dibayar.
Kalau kita tengok sekeliling, boleh jumpa bermacam lagi contoh pencerobohan ke atas hak orang lain. Antara yang pernah saya jumpa,
1. Bungkusan barang yang dibungkus elok oleh penjual, sesuka hati saja dikoyakkan. Tapi bila nak beli, diambilnya yang masih berbalut kemas. Selagi tak beli, barang itu masih kepunyaan penjual. Hatta buku sekalipun.
2. Ambil barang nak beli tapi last minit cancel. Barang tu tadi ditinggalkan merata-rata bukan pada tempat asalnya. Tak pasal-pasal dah susahkan pekerjanya untuk kemaskan balik barang tu. Buatnya sambil dia kemas sambil sumpah seranah, free-free dapat doa kecelakaan dari orang yang dizalimi.
3. Ada yang bila lalu di tempat makanan, ringan sangat tangan ambil buah senyap-senyap dan makan di situ juga. Tanpa minta kebenaran dan belum bayar lagi.
4. Potong barisan semasa beratur. Tak kita nak naik bus, nak beli barang atau nak masuk lift. Patut orang boleh dapat, tapi sebab kita dan sailang, orang lain melepas.
5. Parking double park ni biasa. Padahal petak parking dah ditanda elok. Nak jugak masuk senget makan dua petak. Terpaksa orang lain parking tepi jalan. Menyusahkan orang lagi. Parking OKU? Malas cerita lah. Yang acah OKU lagi ramai dari yang betul-betul OKU.
6. Merokok ditempat awam ni paling susah. Bila tegur, beribu alasan. Mula nak melawan, lagak macam samseng. Tak gentlemen kot depan anak-anak dan isteri orang. Orang lain ada hak untuk bernafas udara yang bersih. Bayangkan anak-anak kecil pun terpaksa tanggung derita sebab ego dan sikap keras kepala perokok.
7. Guna kabel orang dalam untuk dapat sesuatu projek atau tempat. Yang tak layak, senang-senang dapat. Yang sepatutnya layak dan patut dapat, terpaksa telan rasa marah dan kecewa. Betul dah itu rezeki kau. Tapi sanggup ke makan rezeki pijak orang macam tu?
Benda-benda ni walaupun nampak kecil, susah nak ubah sebab berkait dengan mentaliti. Cumanya kita boleh lihat kesannya dari dua sudut. Jangka pendek dan jangka panjang.
Jangka pendek,
Hasil yang kita dapat melalui kezaliman atas hak orang lain itu dah hilang berkatnya. Dan dibawa balik kepada anak dan isteri.
Kesan dari benda yang sedikit tu, rumah tangga bahagia jadi neraka dunia. Anak-anak yang patut menyejukkan jiwa, bertukar jadi beban sampai tua. Kawan-kawan mula menjauh. Maruah keluarga dan diri hilang. Hanya malu yang tinggal.
Jangka panjang,
Bila ambil hak orang lain tanpa kebenaran, mungkin tuan punya tak tahu dan kita boleh lepaskan diri. Tapi kat sana nanti, makan tak habis la nak menjawab. Silap haribulan segala amalan kita tergadai, dosa orang pulak kita yang tanggung.
Kembalikan semula rasa perlu untuk tanggungjawab atas setiap tindakan kita buat.
Mulakan dengan diri sendiri. Tak perlu tunggu orang mulakan atau tegur. Kita fikir sendiri mana buruk dan baik.
Sebab kita punya otak dan akal.
Yang bezakan kita dengan haiwan ternakan.
Sumber/Foto : Azlan Noor, yang banyak berkongsi stori-stori inspirasi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hari ini rutin harian Haikal agak sibuk, dari pagi hingga ke petang sudah lima jenazah dia uruskan untuk upacara pengebumian. Baru sahaja ingin berlalu ke kereta, tiba-tiba rakan sekerja meminta bantuan Haikal, satu lagi jenazah yang baru tiba. Keadaan mayat amat teruk kerana terlibat dalam kemalangan langgar lari.
Urus Jenazah Tanpa Waris
Biar pun lelah, Haikal cuba melawan perasaannya. Lagi pun memang ini tanggungjawabnya dalam menguruskan jenazah yang tidak mempunyai waris. Sudah hampir 10 tahun dia bergelumang dengan bidang tugas ini.
Selain Haikal, dia turut dibantu oleh beberapa staf pejabat agama yang lain. Tanpa berlengah, setibanya di hospital, Haikal terus ke bilik mayat dan mengambil mayat tadi untuk diuruskan.
Melihat keadaan mayat, Haikal jatuh kasihan kerana terdapat banyak luka dan kesan jahitan kerana mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori. Maklumlah dia pesakit mental, pemandu lori tersebut meninggalkan dia begitu sahaja. Badannya yang tegap dan gemuk membuatkan badannya kelihatan amat bengkak.
Segala urusan berlangsung seperti biasa, setelah selesai mandi seterusnya jenazah dikapankan sempurna. Tiada perkara di luar dugaan berlaku.
Luar Biasa
Allah itu Maha Besar. Ketika mahu mengangkat jenazah ke kereta jenazah, satu kejadian luar biasa berlaku. Mulanya Haikal memarahi orang yang tidak bertanggungjawab yang memakir kenderaan betul-betul di depan bilik mayat.
Situasi ini membuatkan mereka perlu mengangkat jenazah hampir 200 meter untuk sampai ke van jenazah. Tetapi saat diangkat menggunakan pengusung, Haikal jadi keliru. Mana tidaknya, jenazah yang mungkin beratnya hampir 100 kilogram, teras cukup ringan, umpama daun kering. Tetapi Haikal hanya mendiamkan diri.
Jenazah Terlalu Ringan
Seterusnya setibanya di tanah perkuburan, tanpa membuang masa Haikal dan rakan-rakannya mengangkat jenazah ke kuburan. Masih sama, jenazah sangat ringan seolah-olah tidak mengangkat apa-apa. Biar pun jenazah dikebumikan selepas maghrib tetapi keadaan malam itu seolah-olah terang-benderang.
Paling ketara ketika menurunkan jenazah ke liang lahad, bauan harum menerpa seluruh kawasan tanah perkuburan. Masing-masing yang datang kelihatan takjub dengan segala yang berlaku. Mungkin ketika di dunia, almarhum diuji Allah kerana mengidap penyakit mental.
Pengakhiran lelaki ini cukup indah sekali apabila mayatnya menjadi terlalu ringan dan liang lahadnya berbau harum. Masya-Allah.
Benarlah orang gila atau pesakit mental ini tiada dosa kerana gugur dari segi syarak. Sudah tentu segala keistimewaan ini Allah kurniakan pada yang berhak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Urusan jaga anak ni boleh jadi panas kalau ada yang tegur. Tambah pula kalau yang petik isu ini ahli keluarga sendiri yang dapat peluang jaga anak-anak, tak bekerja dan memang suri rumah.
Ya, duit pun penting untuk kukuhkan ekonomi rumah tangga. Tetapi kalau sampai mak dah sebut kata-kata ‘azimat’ ini, rasanya kita sebagai anak kena lah berusaha mencari pengasuh.
Kalau ikutkan memang risau nak bagi orang sebab macam-macam kes dera yang terpampang di dada akhbar dan media sosial. Namun, nak tak nak kita kena serahkan pada orang dan yakin dengan ketentuan Allah.
Seperti yang Puan Intan Dzulkeflikongsikan, mak-mak ini kadang rela jaga cucu sebab nak tolong anak sendiri. Tetapi pernah tak kita cuba duduk dan tanya dari hati ke hati. Nah, jemput renungkan.
“NAK, AMBIL LAH MAID, MAK DAH TAK LARAT JAGA ANAK KAMU…”
Duduk berbual dengan ibu ketika pulang ke kampung, sempat ibu berkongsi luahan kenalannya yang rasa sangat penat menjaga cucu-cucunya.
Yang sebaknya, anak-anak ibu yang malang itu, suami isteri bekerjaya hebat, ada rumah sendiri, berkereta import. Namun, anak-anak selang setahun berderet diletakkan di rumah nenek yang sudah sakit lutut untuk menjaga keletah mereka.
Selama ini memang mereka duduk serumah dengan si ibu. Tambahan pula setelah bapa meninggal dunia.
Niatnya memang baik, untuk temankan ibu. Namun, pelaksanaannya lebih kepada mem’bibik’kan ibu.
Setelah bertahun duduk bersama, si ibu lega apabila anak berkata sudah membeli rumah sendiri. Fikirnya anak akan membawa semua anak-anak ikut sekali. Rupanya, hanya yang kecil sahaja dibawa bersama, itupun kerana malam menyusu badan. Yang lain akan ditinggalkan sepenuhnya dalam jagaan nenek.
Tambah berat hati si ibu, apabila dikhabarkan tahun depan akan bertambah lagi cucu yang bakal dijaganya.
Allahuakbar.. hingga akhirnya tercetuslah dari mulut si ibu;
“Nak, carilah maid. Mak dah tak larat nak jaga anak kamu.”
Ini bukan kali pertama saya dengar kisah begini. Lebih dari tiga orang kaum ibu bercerita dan meluahkan perasaan mereka ‘terpaksa’ menjaga cucu-cucu kerana ibubapa kandung terlalu lepas tangan.
Anak-anak buat drama, menakutkan ibu mereka bagaimana sekiranya pengasuh dera cucu mereka. Kemudian acah-acah tak nak balik kampung kerana boikot tindakan si ibu yang sudah ‘surrender’ menjadi pengasuh cucu. Akhirnya, si ibu mengalah jua akhirnya, kerana kasih diri sendiri terkorban.
Ada pula yang duduk bersama ibubapa dan menjadikan ibubapa sebagai pengasuh anak-anak tanpa bayaran, malah kadang duit pampers dan susu anak-anak pun atuk nenek yang keluar belanja.
Bila ibubapa ‘sound’ agar jangan beranak lagi, sesetengah anak ni pergi ke media sosial dan ‘membawang’ tentang ibubapa. Katanya apa hak ibubapa nak larang dia suami isteri beranak, seolah tidak sedar diri bahawa hidup dan anak-anak boleh kata ditanggung oleh ibubapa.
Kemudian kita mengeluh kerana keberkatan hidup seakan menjauh benar.Sesetengah ibubapa yang sudah tua dan kesihatan tak berapa baik, mereka cepat serabut bila dengar suara budak-budak menangis, menjerit, bergaduh. Bayangkanlah mereka terpaksa hadap semua ini setiap hari tanpa rela.
Sesekali pulang ke kampung itu tak apalah. Bukannya lepas tangan terus. Anak-anak itu tanggungjawab kita, bukan sekadar beranak semata, yang lain-lain serahkan kepada atuk nenek. Bukan semudah itu. Kita yang kena tanggung di dunia dan jawab di akhirat kelak.
Muhasabah saya sebagai anak juga.
Darjat ibu bapa pada kita anak-anak sangatlah tinggi. Doa ibu Allah angkat tanpa hijab. Jika kita melukakan hati ibu, jangan tertanya mengapa hidup rasa serabut.
Jangan sesekali lupa, kita hidup untuk akhirat juga. Fikirkanlah apa nasib kita di akhirat bila hidup di dunia selalu menyusahkan ibubapa?
Adik beradik yang sayangkan abang/kakak/adik yang membibikkan ibu bapa, tegurlah abang/kakak/adik itu.
Buat semua suami isteri yang bercadang nak menambah anak, fikirkanlah semua hal bersalin, berpantang, susu anak, pengasuh semua itu terlebih dahulu. Jangan dah bersalin baru hendak fikir, oh rupanya kami tak mampu nak jaga anak ini. Lalu lepaskan amanah berat itu buat ibubapa yang sudah tua.
Astaghfirullah.
Rasulullah SAW dalam satu hadis bersabda, antara tiga orang yang celaka ialah orang yang masih ada ibubapa namun masih tak dapat masuk syurga, kerana tak berkhidmat kepada mereka.
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibubapa”.(An-Nisaa 4:36)
Ingat wahai anak-anak.
Ibu bapa adalah harta tak ternilai. Mereka jalan kita ke syurga. Doa mereka doa yang makbul. Maka, perlakukanlah mereka dengan sebaiknya jika mahu selamat dunia akhirat. InsyaAllah.
Muhasabah saya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.