
Walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas 30 hari melahirkan anak ketiga, pelakon, pengarah, penulis skrip, penerbit dan penyanyi berbakat, Yana Samsudin tetap hadir ke Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menerima Ijazah Master Eksekutif Pengurusan Korporat, semalam.
Yana yang ditemani ibu dan suaminya, Fadhil Zahari, tampil di Dewan Kompleks Sukan UMPSA dengan penuh senyuman untuk meraikan detik penuh bermakna selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Beliau menerima ijazah daripada Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, dalam sesi kelima majlis konvokesyen tersebut.

Yana Samsudin Tetap Naik Pentas Walau Dalam Berpantang
Menurut Yana, biarpun keadaan fizikalnya belum benar-benar pulih, beliau tetap mahu menghadiri majlis graduasi sebagai simbol penghargaan terhadap segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh pengajian.
“Saya berharap kehadiran ini akan menjadi kenangan manis bukan saja buat diri saya tetapi juga anak dan suami suatu hari nanti. Sepatutnya tarikh hari ini merupakan tarikh bersalin namun, disebabkan ditakdirkan bersalin awal memberikan saya peluang naik ke pentas konvokesyen dengan memakai jubah,” ujarnya ketika ditemui di lobi dewan.

Kejayaan Yana Samsudin Jadi Inspirasi Ramai
Yana Samsudin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan berterusan suami serta keluarga yang banyak membantu sepanjang perjalanan akademiknya. Katanya, dorongan itu menjadi sumber kekuatan untuk menyeimbangkan antara tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan kerjaya seni yang padat.

Beliau mengakui cabaran menamatkan pengajian bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil di samping komitmen kerja dan perniagaan. Namun segalanya menjadi bermakna apabila usaha keras itu akhirnya berbalas dengan kejayaan.

“Terima kasih buat suami yang banyak membantu dan keluarga yang sentiasa menyokong,” tambahnya.
Pesanan Yana Samsudin Untuk Wanita Dan Pelajar
Dalam masa sama, Yana Samsudin turut menitipkan pesanan kepada wanita dan pelajar di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu. Beliau menyeru agar terus berjuang mencapai impian demi kepuasan diri serta peningkatan kerjaya, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia teknologi yang semakin mencabar masa kini.

Kisah kejayaan Yana Samsudin dalam berpantang tetapi tetap naik pentas konvokesyen UMPSA menjadi inspirasi buat ramai wanita untuk terus kuat mengejar ilmu dan kejayaan tanpa mengira keadaan.
Sumber: Facebook Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

