
Isi Kandungan
ToggleCara mandi wajib yang betul adalah sangat penting dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan.Ini kerana jika asas mandi wajib tidak betul, maka ibadat lain yang dilakukan juga tidak sah.Antara sebab yang diwajibkan berniat mandi ini adalah keluar air mani,selepas haid atau nifas serta selepas malakukan hubungan intim antara suami isteri.
Sebenarnya,tidak kiralah mandi menggunakan apa juga cara, sama ada air paip, air kolah, air perigi mahupun air sungai yang penting air tersebut ialah air mutlak.Tidak perlu pun mandi lama-lama, asalkan mandian itu sempurna.Untuk itu, ilmu cara mandi wajib ini perlu dipelajari.
Panduan mandi wajib ini boleh digunakan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan yang dirujuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai rujukan.
Cara-Caranya:
1. Niat ketika air sampai ke tubuh
2. Membaca “Bismillah”
3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.
Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”
Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”
Bagi wanita yang mandi untuk haid atau mandi junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)

9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan
10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.
Video Cara Mandi Wajib Yang Ringkas,penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus;
Sumber: Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dari 85 kg Ke 58 kg, Diet Keto Selamatkan Tulang Belakang Aida Narina

Apabila doktor memberi kata dua tentang risiko yang bakal dihadapinya, seperti mendapat ‘wake up call’ , wanita ini perlu segera mencari jalan demi kesihatan dirinya sendiri . Aida Narina Abdul Ghaffar 35, memulakan diet keto seawal tahun 2018 apabila dirinya disahkan doktor menghidap severe slip disc. Dengan beratnya yang mencecah 85 kg ketika itu, dia berdepan dengan risiko pembedahan di bahagian tulang belakangnya. Baru berusia pertengahan awal 30-an wanita ini berdepan dengan risiko serius yang memerlukan satu usaha dilakukan bagi masa depannya.
“Saya memulakan diet sejak awal tahun 2018 kerana disahkan menghidapi severe slip disc yang menghalang pergerakan (tidak boleh duduk atau diri) dan disarankan oleh doktor untuk mengurangkan berat sebanyak minima 20kg. Jika tidak, satu pembedahan di bahagian tulang belakang perlu dilakukan.
“Sejak itu, saya mengawal pemakanan dan mengamalkan teknik suku-suku separuh dan tinggi protein serta serat. Alhamdulillah saya berjaya menyingkirkan 10 kg berat badan dalam tempoh tiga bulan.
“Kemudian saya mengamalkan diet rendah karbo, pengambilan protein yang sederhana dan tinggi serat serta lemak dari tumbuhan seperti buah zaitun, kelapa dan kekacang atau nama lain diet Keto serta Intermittent fasting (puasa selama 16 jam dan ruang waktu makan selama 8 jam) dan berjaya hilang lebih 15kg sehingga hari ini,”kongsinya gembira apabila usahanya itu membuatkan berat badannya kini mencapai angka 58 kg.

Diet Keto
Menurut Aida lagi, dia memilih diet ini kerana ia bersesuaian dengan gaya hidupnya. Konsep pemakanan secara diet keto dapat memberikan tenaga yang lebih untuk Aida melakukan aktiviti-aktiviti latihan kecergasan seperti indoor cycling, spinning, tinju dan HIIT training.
“Matlamat utama diet ini adalah untuk mendapatkan tubuh dalam keadaan metabolik yang dikenali sebagai ketosis. Ketosis berlaku apabila badan kita telah kehabisan stok glucogen (gula atau karbo) sehingga perlu mencari sumber bahan bakar lain. Hati akan mula memproses lemak menjadi Keton untuk dijadikan sumber bahan bakar utama tubuh untuk melakukan kerja.
“Pemakanan rendah karbo atau Keto diet dan Intermittent fasting banyak memberi impak positif kepada saya dari segi lebihan tenaga dan mental fokus yang lebih baik selain dapat menurunkan berat badan secara konsisten (2kg setiap bulan) dan menurunkan paras kolestrol serta gula dalam badan.
“Apa yang menyeronokkan apabila melihat perubahan positif di mana saya berjaya menyingkirkan sebanyak 15 kg berat badan dari berat terdahulu. Saya juga tidak lagi mengalami masalah sakit tulang belakang yang serius.
“Saya kini lebih bertenaga dan mampu melakukan senama sebanyak tiga ke empat kali dalam seminggu tanpa masalah. Perubahan besar dalam hidup saya, membuatkan saya mahu mengekalkannya gaya hidup sebegini dan tidak mahu lagi dibelenggu dengan masalah kesihatan yang membimbangkan,”ujar isteri kepada Muhammad Nurazlan Jamaluddin dan ibu kepada Cayden Yusuf dan Isaac Emre.

Mahu menjadi inspirasi kepada orang lain
Perubahan sosok tubuhnya yang ketara menyebabkan ramai kenalannya teruja mahu mengetahui rahsia Aida. Wanita yang dahulu bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas di Damansara Perdana kini merupakan seorang pengusaha makanan sihat khususnya menyediakan makanan rendah karbo serta mesra Keto.
Aida memanfaatkan medium media sosial sepenuhnya bagi berkongsi produk makanan sihatnya di @bitesandpieces.my dan kini beliau juga merupakan seorang jurulatih kecergasan serta penasihat pemakanan sihat.
“Sejak ramai yang bertanya tentang diet yang saya amalkan, saya mengambil inisiatif dengan berkongsi resipi-resipi menarik di dalam Instagram dan juga Facebook berunsurkan menu rendah karbo dan mesra keto.

“Saya juga mula menawarkan produk makanan keto friendly seperti kek, roti dan pizza secara online di instagram @bitesandpieces.my. Ramai yang sukakan roti serta kek rendah karbo kami kerana rasanya sedap dan manis walaupun tidak menggunakan gula putih dan tepung.
“Keupayaan diri mengubah gaya hidup membuatkan saya teruja mahu membantu mereka di luar sana menikmati hidup dengan cara yang sihat. Saya secara peribadi ingin menjadikan tahun 2020 sebagai tahun permulaan untuk membantu orang lain menjadi lebih sihat dan mahu berubah ke arah lebih baik. “Stop fighting and start helping” adalah pegangan saya hari ini,”kongsinya optimis.
Kongsi Aida lagi, dia mula menjinakkan diri sebagai jurulatih pemakanan dan aktiviti sihat sejak awal tahun ini menerusi satu program terkenal untuk peserta menurunkan berat badan serta mengubah gaya hidup mereka. Selain itu Aida juga banyak memberi kata-kata semangat dan mengajak teman-temannya untuk workout bersama-sama di studio supaya sentiasa kekal aktif.
Sebelum menutup bicara, wanita ini mengimpikan usaha kecilnya ini dapat menginspirasi lebih ramai wanita di luar sana untuk hidup lebih sihat.
“Saya bercadang mahu mengambil sijil dalam bidang berkaitan dan dapat menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang aktiviti kesihatan. Dalam masa terdekat saya mahu mengambil sekurang-kurangnya dua sijil sebagai jurulatih peribadi bertauliah. Selain itu saya juga mahu mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan banyak lagi produk-produk makanan rendah karbo/ tiada gula atau keto-friendly selain memperkenalkan kebaikan makanan ini kepada masyarakat di luar sana,”kongsi wanita ini tentang sisi juangnya untuk hidup lebih sihat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dilema… Maduku Bakal Jadi Besanku!

Isi Kandungan
ToggleDia pasrah dan reda ditakdirkan berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah, sebagai isteri muda, dia ‘sedar diri’ dan menjaga hubungan dengan madu, demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Namun kini, timbul dilema baru apabila anak kandungnya menjalinkan hubungan cinta dengan anak angkat madunya. Patutkah dia merestui atau melarang saja?
Luahan hati ini wanita ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan memiliki tiga orang cahaya mata. Masing-masing berusia 25, 23,19 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya merupakan isteri kedua.
Perkahwinan saya dan suami atas kebenaran isteri pertama suami. Saya sedar bukan mudah untuk seorang wanita berkongsi kasih dan sebab itu juga saya sentiasa mengingatkan diri agar menjaga kelakuan supaya tidak timbul pertelingkahan bersama isteri pertama.
Tanpa Zuriat
Suami mengahwini saya setelah perkahwinannya bersama isteri pertama tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Kata suami, isteri pertama menghadapi sedikit masalah dan tak mampu mengandung. Saya pula tak pernah bertanya lebih lanjut demi menghormati perasaan suami.
Mungkin sebab itu juga madu dengan rela mengizinkan suami berkahwin lagi demi untuk mendapatkan zuriat. Selain itu mereka turut memelihara sepasang anak angkat, yang merupakan anak saudara madu saya sendiri.
Walau pun hubungan kami tidak rapat dan sangat jarang berjumpa, tapi menghormati ‘privacy’ masing-masing sejak awal perkahwinan dulu lagi. Saya sedaya upaya tidak akan mengganggu suami ketika berada di rumah isteri pertama dan begitu juga dirinya. Ini penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Rapat
Walau pun saya dan madu sangat jarang berjumpa namun anak-anak saya rapat dengannya. Sejak kecil suami sering kali membawa anak-anak ke rumah madu terutama ketika cuti sekolah atau ketika saya perlu out station.
Walau pun ada pembantu rumah, tapi suami lebih suka bawa anak-anak ke rumah isteri pertama dan saya pula tak kisah bila melihatkan anak-anak gembira di sana. Kata mereka, ibu (madu saya) melayan mereka dengan baik. Itu membuatkan saya percaya madu saya itu ikhlas melayan anak-anak.
Sehingga sekarang, kadang kala anak-anak ‘hilang’ dari rumah, dan bila ditanya, rupanya ke rumah ibu mereka dan saya okay saja. Anak-anak juga rapat dengan anak angkat suami yang sering kali juga bertandang ke rumah saya.
Bahkan anak sulung saya, Irman, satu universiti dengan anak angkat suami yang sulung, Aira. Mereka sebaya. Jadi, sering kali juga Irman ambil dan balik bersama Aira.
Mengejutkan
Ramadan ke-17 lalu, saya dikejutkan dengan satu pengakuan daripada Irman. Katanya dia nak bawa teman wanitanya ke rumah untuk berbuka bersama. Sudah pasti saya tak melarang kerana dia sudah dewasa untuk bercinta.
Hari itu, saya memasak hidangan istimewa untuk menyambut kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba muncul Aira dan adiknya bersama Irman. Tapi saya taklah terkejut kerana Ramadan ini mereka belum datang berbuka di rumah. Saban tahun mereka pasti datang. Cuma agak hairan kenapa datang ketika ayah mereka di rumah ibu Aira? Terasa tak sedap hati pula…
Ternyata naluri saya tepat bila merasakan ada yang tak kena. Rupa-rupanya teman wanita yang Irman maksudkan adalah Aira! Saya terkedu waktu itu dan tak tahu nak cakap apa. Macam-macam saya fikir. Ternyata hubungan rapat di antara mereka telah membibitkan rasa cinta. Lebih terkejut kerana adik-adik mereka semua tahu dan tolong rahsiakan daripada saya, suami dan madu selama ini. Irman meminta saya untuk berterus terang dengan ayahnya dan ibu Aira. Dia benar-benar jujur sukakan Aira. Hati saya berbelah bagi.
Memang mereka boleh berkahwin kerana tak ada sebarang pertalian darah. Tapi saya risau kalau ibu Aira tak dapat terima anak tirinya sebagai menantu. Saya juga tak dapat bayangkan madu saya bakal menjadi besan saya. Tentu janggal sedangkan selama ini kami sangat jarang bertemu muka demi menjaga hati masing-masing.
Lebih penting lagi, apakah suami juga merestui? Puan, tak tidur malam saya dibuatnya. Tiap kali pandang wajah suami, mulut saya terkunci untuk meluahkan. Tapi saya juga kasihan pada Irman dan Aira yang ikhlas saling menyayangi. Sehingga kini mereka berdua mengharapkan saya untuk berterus terang dengan suami. Puan, saya buntu dibuatnya.
Mama Kay, Setiawangsa.
Saranan Kaunselor
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Puan Yang dirahmati Allah. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada puan kerana memberi satu contoh yang terbaik kepada pasangan yang berpoligami tentang cara layanan dan memahami peranan dan perasaan madu dan suami.

Tidak ramai orang yang mampu melakukan seperti yang puan lakukan. Kredit kepada puan dan ini patut dicontohi oleh ramai wanita yang bergelar isteri, khusus kepada yang berpoligami. Sesungguhnya kehidupan ini boleh diurus dengan baik jika masing-masing hormat menghormati antara satu sama lain, berbaik sangka dan mengamalkan akhlak terpuji. Inilah yang dituntut dalam agama kita.
Ujian Hidup
Namun, apabila dinamakan kehidupan, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Malah menyebabkan kita menghadapi masalah dan amat sukar untuk dirungkaikan. Teramat jarang kita mendengar bakal besan kita adalah madu kita sendiri.
Sememangnya pernikahan dibolehkan kerana ia bukan anak kandung suami. Dan apabila dikatakan percintaan pula antara lelaki dan wanita, teramatlah sukar untuk mereka melupakan antara satu sama lain jika ibu bapa meminta mereka memutuskannya. Pasti ada halangan besar untuk membatalkan hasrat mereka.
Nasihat
Puan yang dirahmati Allah. Pertama sekali cuba di peringkat puan dengan menasihati kedua-dua mereka. Sama ada secara berseorangan atau bersekali. Terangkan bahawa adalah sukar di kalangan masyarakat kita untuk menerima hakikat perkahwinan anak sendiri dengan anak angkat walaupun ianya dibenarkan dalam Islam.
Terangkan juga ini tidak akan menyenangkan hati ibu dan ayah, termasuk puan sendiri. Beri masa pada diri masing-masing untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu, dan mengenali orang lain dalam kehidupan. Beritahu mereka juga bahawa dalam hidup ini apa yang kita suka sangat tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya.
Belajar terima ujian dalam hidup iaitu untuk melupakan perasaan cinta terhadap seseorang, kerana hidup ini bukan cinta semata-mata. Ada perkara yang lebih utama. Puan hanya boleh menasihati dan mencuba…minta mereka juga mencuba. Minta mereka lakukan solat istikharah untuk mereka membuat pilihan yang terbaik untuk mereka, dan juga untuk keluarga dan agama.
Terus Terang Pada Suami Dan Madu
Jika untuk tempoh yang ditetapkan tiada perubahan, dan mereka juga tidak mampu melupakan pasangan, maka puanlah yang perlu menyatakan ini kepada suami dan suami yang akan memberitahu madu puan. Biar suami yang buat keputusan, puan hanya mengikut. Mungkin puan boleh menjangka apa yang akan berlaku, mungkin buruk, mungkin juga dalam kawalan. Namun yang paling ditakuti adalah jika mereka bertindak di luar jangkaan yang mengundang murka Allah…nauzubillah.
Hidup ini memang ada dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada kita. Dalam kejayaan kita mendidik anak pun masih ada ujian yang kita tidak mahu ianya berlaku. Namun takdir Allah tu adalah untuk menjadikan kita lebih beriman.
Pohonlah petunjuk daripada-Nya agar dilindungi daripada apa yang tidak diingini. Cuba sebaik mungkin untuk memahamkan mereka memberi peluang kepada hati untuk mengenali orang lain dalam kehidupan mereka. Namun jika ditakdirkan mereka bersama walau apa cara sekali pun dilakukan untuk memisahkan mereka, maka berlapang dada, terima dengan rela hati atas ketentuan-Nya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kata Kaunselor, 3 Tanda Ini Sikit-Sikit MAKAN Perasaan Isteri ‘Macam Kanser’

Isi Kandungan
ToggleBagi seorang isteri, perkahwinan dan rumah tangga adalah segala-galanya. Mereka akan berkorban apa sahaja untuk rumah tangga dengan harapan untuk bahagia. Ada isteri yang bertuah kerana benar-benar merasa bahagia. Ada pula yang meratap hiba kerana perkahwinan itu sudah menjadi neraka dunia.
Namun ramai juga isteri yang tidak pasti perasaan sendiri. Adakah dia bahagia atau sebenarnyasedang sengsara? Bunyinya kedengaran mudah tetapi bisik emosi ini sukar ditafsirkan walaupun oleh tuan punya badan itu sendiri.
Tanda-tanda Emosi Isteri Tak Bahagia
Oleh itu dalam nota kali ini saya kongsikan beberapa tanda-tanda yang sebenarnya memakan perasaan seorang isteri dari dalam. Ianya umpama sel kanser. Hadirnya tidak terasa sehinggalah selepas segala-galanya sudah reput dan terlambat.
Setiap wanita terjun ke alam perkahwinan dengan anggapan dan harapan tinggi kepada pasangan mereka. Anggapan itu terbina hasil daripada analisa sendiri, ‘promosi’ daripada bakal suami atau hasil cadangan daripada rakan-rakan atau keluarga. Semuanya sudah tentu yang baik-baik dan hebat.
Dengan anggapan- anggapan semua itu benar maka tinggilah juga harapan anda untuk bahagia.
Pertama : 2 Tahun Kahwin, Dah Kenal Corak Sebenar Suami
Ramai isteri mengaku bahawa dalam masa dua tahun sahaja, mereka sedar bahawa banyakdaripada apa yang dilihat pada suami tidak secantik yang dipandang. Tidak ada manusia yang sempurna.
Masalah timbul apabila anda terlalu mengharap yang lelaki itu memenuhi segala-gala anggapan dan harapan yang anda bina sebelum berkahwin.
Anda mengungkit dan memprotes kelemahannya sehingga terlupa kebaikan yang tersembunyi. Jika itu yang kerap kali berlaku sekarang maka anda menempah status sebagai isteri yang tidak gembira dalam perkahwinan sendiri.
Kedua : Hati Kecil Mula Meratap Setiap Malam Sebab..
Perkahwinan perlukan pengorbanan. Itu semua orang tahu tetapi pengorbanan itu perlu dilakukan dalam had dan sempadan yang sewajarnya. Ada orang cakap dalam sesebuah rumah tangga pengorbanan dan kebodohan’ itu sempadannya senipis kulit bawang.
Tidak ada erti pengorbanan itu jika hati kecil anda meratap setiap malam kerana sedih dengan pengorbanan yang tidak dipedulikan itu. Anda bukan isteri yang bahagia sekiranya merasa begitu. Sekiranya hal ini sedang berlaku pada anda maka rujuklah kepada pihak yang boleh memberi bantuan.
Hak-hak anda sebagai wanita dan juga sebagai isteri adalah jelas dan perlu dipertahankan. Itu beza antara isteri yang derita dan isteri yang bijaksana.
Ketiga : Selalu Termenung Sendirian Seolah Bermimpi Di Siang Hari
Selalukah anda termenung sendirian dan tertanya-tanya ‘adakah aku gembira atau derita dalam perkahwinan ini?’ Apakah bunyi jawapannya? Adakah anda seperti merenung dua helai kertas laporan dengan terlalu banyak contengan tebal markah merah berbanding dengan markah biru?
Gerak rasa emosi berada di dalam zon separa sedar minda. Ianya tidak boleh dikawal. Anda boleh berpura-pura gembira tetapi bayangan sedih dan hiba dalam mimpi adalah apa yang sebenarnya bersarang tebal dalam fikiran.
Jika anda selalu bermimpi sedih atau ngeri maka itulah bisikan emosi sebenar anda dalam perkahwinan itu. Izinkan saya bertanya, dalam dua minggu lepas bagaimana mimpi anda? Mimpi
yang seronok atau mimpi yang menakutkan?
Orang cakap perkahwinan itu ialah saling melengkapi. Benar sekiranya itu satu perkahwinan yang bahagia. Itu tidak bermakna kita mesti menunggu orang lain datang melengkapi kekurangan yang kita ada sebelum kita boleh merasa bahagia. Seperti yang saya katakan tadi, itu hanya harapan yang belum tentu menjadi kenyataan.

Ini Apa Yang Isteri Perlu Fikir-Fikirkan
Bagaimana jika orang itu datang bukan datang melengkapkan tetapi lebih merosakkan apa yang telah anda miliki? Realitinya kita sendiri yang sebenarnya bertanggungjawab membina kebahagian itu.
Anda boleh mengharap dia berubah menjadi lebih baik tetapi adakah anda mesti merosakkan diri jika dia tidak mahu berubah? Bersedih, meratap dan mengutuk diri kerana merasa diri gagal mengubah perkara yang tidak mampu kita ubah adalah perkara sia-sia.
Sebab itu kita disuruh berusaha dan kemudian berserah kepada Allah SWT untuk menentukan. Namun sebagai hamba-Nya kita diperintahkan untuk redha atas apa takdirnya. Jika takdirnya itu seperti yang kita mahu maka bersyukurlah. Sekira tidak maka sesungguhnya itu adalah yang terbaik dan Dia juga yang Maha Mengetahui.
Penulis : Dr Syed Yusainee Yahaya, merupakan Kaunselor Profesional, Relationship Coach yang juga kolumnis Nota Untuk Isteri di Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI