Sebelum ini kewujudan Riena Diana di dalam industri tidaklah dikenali ramai. Pelakon yang bakatnya digali oleh produser Shila Rusly menerusi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 tidak menyangka, percubaannya membawa watak bimbo mendapat penerimaan baik ramai. Nur Qamarina Diana Zulreal, 23 tahun bersyukur kerana kebebasan yang diberi dalam membawa watak Lailer membuka ruang untuk dia membina tapak dalam seni lakonan tempatan.
Demam ‘Kampung People’ baru sahaja reda…walaupun begitu ramai yang mengharapkan drama 13 episod berkonsep santai komedi disambung tayangannya untuk musim kedua. MW sempat merisik sendiri kepada ‘Lailer’ sama ada Kampung People bakal kembali bersiaran atas permintaan peminatnya atau sebaliknya.
MW : Watak Lailer yang dijayakan Riena membuatkan ramai penonton di luar sana mula mengenali Riena. Adakah ini percubaan pertama Riena membawakan watak komedi?
RIENA DIANA : Riena mula berlakon dengan membawakan watak sebagai Dr Qhadeeja dalam drama Nur sebelum ini. Selain drama Nur, saya juga pernah muncul dalam drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, Dekatkan Jarak Kita, Cinta Lemon Madu dan Vila Ghazara.
Sebagai pelakon baru, sebaik menerima naskah Kampung People saya rasa ia satu eksperimen watak yang berbeza yang diamanahkan pengarah, Wan Hasliza. Saya diberi ruang untuk mencorakkan watak ini dan sengaja saya menjadikan slang King Coco, sisi bimbo lakonan Sharifah Sakinah serta peluang berlakon dengan pelakon yang versatile seperti Elly Mazlin sebagai satu ilmu baru berkarya. Saya tak sangka watak Laila atau Lailer dalam sebutan slangnya mendapat sambutan ramai.
MW : Sewaktu membawa watak Lailer apa yang merisaukan Riena?
RIENA DIANA : Sewaktu episod pertama Kampung People ditayangkan, sebenarnya saya bersedia sekiranya keesokkan harinya lakonan saya itu dikecam. Sebaliknya saya dikejutkan dengan sambutan baik dan menerima komen-komen positif dari penonton.
Pengarah mencadangkan saya bertutur dalam bahasa Melayu mengikut slang mereka yang berjinak-jinak bercakap dalam bahasa Inggeris. Mahukan sesuatu yang lain, saya menambahkan huruf S dibahagian hujungnya dan bereksperimen dengannya. Alhamdulillah ramai yang suka dengannya.
MW : Cara Riena menjayakan watak komedi ini cukup spontan dan bersahaja. Adakah Riena akan membawakan lebih lagi watak komedi selepas ini?
RIENA : Ramai juga yang tak menyangka, saya mampu membawakan watak komedi . Malah sepanjang 13 episod drama tersebut disiarkan, saya ingat orang akan benci dan meluat. Saya juga gembira apabila drama ini trending tiap kali disiarkan. Sesungguhnya penghargaan ini, memberi impak besar buat perjalanan karier seni saya.
Sebaik tamatnya tayangan drama Kampung People baru-baru ini, saya mendapat undangan daripada beberapa produser lain untuk watak komedi. Tetapi atas komitmen dengan pihak lain,saya terpaksa menolak tawaran itu sebaiknya.
MW : Boleh kongsikan perjalanan karier Riena sebelum bergelar pelakon?
RIENA : Saya merupakan produk Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017. Penglibatan saya dalam bidang seni atas kecenderungan dan minat sendiri. Sebelum menyertai saringan uji bakat di DFKL saya pernah ke beberapa sesi uji bakat lakonan. Rezeki tidak berpihak pada saya.
Sewaktu DFKL umumkan sesi pencarian bakat lakonan baru, tanpa membuat persiapan yang berlebih-lebih seperti sebelumnya. Saya nekad untuk mencuba. Kebetulan juri yang mengendalikan sesi saya hari itu adalah produser Shila Rusly. Kebetulan ketika saya tiba di kaunter pendaftaran, nombor giliran sudah habis. Saya tekad bertemu sendiri Shila Rusly dan memohon jasa baiknya untuk memberi peluang kepada saya diuji bakat.
Dia minta saya meyakinkannya dan memberi ruang kepada saya untuk diujibakat. Walaupun tanpa ada nombor giliran…siapa sangka rezeki akhirnya menyebelahi saya. Sesungguhnya saya berterima kasih pada Shila Rusly kerana membuka ruang untuk saya terjun dalam dunia lakonan tanah air.
MW : Perancangan Riena untuk tahun istimewa 2020?
RIENA : Mungkin kedengaran agak klise, saya bercadang untuk mengikuti lebih lagi kelas berkaitan lakonan dan perniagaan. Selaku pelakon baru saya rasakan masih banyak ilmu lakonan yang perlu digali. Begitu juga dengan ilmu perniagaan, saya selaku baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan kosmetik; Mariposa mahu menambahkan banyak lagi input berkaitan ilmu niaga.
Sebolehnya saya mahu bidang lakonan dan bisnes saya berlangsung baik sempena kedatangan tahun istimewa ini. Saya juga menunggu naskhah lakonan terbaru untuk terus berkarya. Watak komedi, serius atau apa sahaja…saya akan berusaha menjayakan sebaiknya.
MW : Untuk peminat Kampung People yang merindui kelibat Lailer, Jackfer dan Yummy…agaknya akan ada tayangan musim kedua ke tak lama lagi?
RIENA : Tentang itu saya tak berapa pasti, semuanya bergantung kepada produser dan pihak lain yang berkait.Doakan kalau ada rezeki, Lailer akan membuat kemunculan semula insya-allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI