Jika anda sukar untuk tidur, minumlah jus buah ceri. Dikatakan dengan meminum jus buah ceri 30 minit selepas bangun tidur dan 30 minit sebelum makan malam mampu merangsang pengambilan melatonin. Ceri sumber terbaik melatonin yang mampu membantu mengatur kitaran tidur. Buah ini juga dikatakan mampu membantu masalah jet lag. Ceri yang masam lebih tinggi tahap melatonin jika dibandingkan dengan ceri manis.
Sebenarnya banyak lagi khasiat buah ceri selain baik untuk membantu anda tidur dengan nyenyak.
Warnanya yang menawan membuatkan ceri atau nama saintifiknya prunus avium menjadi pilihan ramai. Buah ceri penuh dengan antioksidan dan menawarkan pelbagai kebaikan untuk kesihatan. Secawan buah ceri atau lebih kurang 21 biji buah ceri dikatakan mengandungi kurang dari 100 kalori dan menyediakan 15 peratus vitamin C yang perlu diambil setiap hari.
Secara umumnya buah ceri yang memiliki rasa buah yang masam mempunyai kandungan zat yang berbeza dengan buah ceri yang memiliki rasa manis. Walaupun kedua-dua jenis buah ceri tersebut memiliki kandungan kalori yang cukup rendah, namun buah ceri masam itu memiliki kandungan vitamin C dan A yang lebih banyak berbanding dengan buah ceri yang manis.
Selain itu buah ceri yang masam juga dikatakan kaya dengan dengan antioksidan, beta karotena, lutein dan zeaxanthin.
Apa lagi kebaikan buah ceri kepada kesihatan tubuh?
Indeks Glisemik Rendah
Buah ceri memiliki indeks glisemik serendah 22. Indeks glisemik (IG) mengukur berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat (seperti nasi) meningkatkan paras gula dalam darah seseorang selepas makanan tersebut dimakan. Ini menjadikan ceri sesuai dimakan sebagai snek ringan jika dibandingkan dengan buah-buahan lain dan sesuai diambi oleh pesakit diabetes.
Perlindungan Daripada Alzheimer
Masukkan buah ceri dalam pemakanan seharian kerana dikatakan ia kaya dengan antioksidan dan mampu merangsang ingatan
Kurangkan Risiko Mendapat Stroke
Ceri yang masam menawarkan kebaikan pada kardiovaskular. Antosianin adalah pigmen yang memberikan buah ceri masam berwarna merah. Ia dikatakan boleh mengaktifkan peroxisome proliferators-activated receptors atau PPAR yang mengatur penglibatan gen dalam metabolisma lemak dan glukos. Menurut penyelidik daripada University of Michigan Health System makan buah ceri mengurangkan risiko kolesterol tinggi, tekanan darah dan diabetes.
Memperlahankan Penuaan Kulit
Kandungan antioksidan tinggi dalam buah ceri dikatakan mampu membantu tubuh melawan radikal bebas yang menjadikan kita kelihatan tua. Menurut saintis, meminum segelas jus buah ceri setiap hari mampu memperlahankan proses penuaan. Jus buah ceri juga dicadangkan sebagai rawatan alternatif untuk kulit.
Kurangkan Sakit Otot
Secawan setengah buah ceria masam atau secawan jus ceri masam dikatakan mampu mengurangkan rasa sakit dan keradangan otot.
Mengatur Tekanan Darah
Buah ceri tinggi potassium yang dikatakan mampu membantu mengatur kadar denyut jantung dan tekanan darah serta mengurangkan risiko hipertensi. Dikatakan phytosterols dalam ceri mampu membantu mengurangkan tahap kolesterol.
Melegakan Osteoarthritis
Rasa sakit dan tidak selesa sendi membengkak mampu dikurangkan jika meminum jus ceri dua kali sehari selama tiga minggu. Kajian ini telah dilakukan pada wanita berusia antara 40 hingga 70 tahun yang mengalami keradangan osteoarthritis.
Kebaikan buah ceri dalam memberikan kesihatan yang baik terhadap tubuh agak banyak. Pertimbangkan untuk menjadikan buah ceri sebagai makanan seharian anda bermula hari ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI