
Wanita Malaysia di Dubai kongsi detik cemas saat serangan berlaku. Dalam suasana umat Islam menyambut Ramadan penuh ketenangan, realitinya berbeza buat sesetengah wanita di perantauan. Terutama di kawasan yang terkesan dengan konflik geopolitik.
Bagi seorang wanita Malaysia di Dubai, Nasreen Zaky, 34, pengalaman Ramadan kali ini bukan sekadar tentang ibadah dan rindu kampung halaman, tetapi juga detik mencemaskan apabila situasi keselamatan di kawasan sekitarnya berubah secara tiba-tiba.
Baca juga: Ramadan Di New Zealand: Kisah Menyentuh Hati Kak Tad Rindu Bazar Ramadan Di Perantauan
“Dengar Bunyi Kuat, Rumah Rasa Bergegar”
Nasreen berkongsi, insiden yang berlaku sekitar dua minggu lalu benar-benar menguji emosi dirinya sebagai ibu kepada anak kecil.
“Memang terkejut. Kami dengar bunyi kuat macam jet dan letupan. Rumah pun rasa bergegar,” katanya.
Ketika itu, laporan mengenai pelancaran misil oleh Iran ke arah kem tentera Amerika Syarikat di beberapa kawasan sekitar UAE mula tersebar, walaupun maklumat rasmi tidak diperincikan secara meluas.
Dalam keadaan tidak pasti, Nasreen dan keluarga memilih untuk berkurung di dalam rumah demi keselamatan.
“Anak pun takut, menangis. Kita sebagai ibu memang cuba tenangkan keadaan walaupun dalam hati sendiri berdebar,” ujarnya jujur.
Situasi Semakin Membimbangkan, Ambil Keputusan Pulang Awal
Terbaharu, berdasarkan perbualan terkini, Nasreen mengesahkan bahawa keadaan yang semakin tidak menentu mendorong mereka untuk mengambil keputusan pulang lebih awal ke Malaysia.
“Sempat balik hari tu, I awalkan flight. It was getting a bit scary dekat Dubai, so we decided to balik awal. Alhamdulillah sampai dengan selamat,” kongsinya.
Menurutnya lagi, beliau kini berada di Malaysia dan dalam keadaan selamat bersama keluarga.
“Alhamdulillah semua okay. Dekat Malaysia sekarang,” katanya ringkas.
Suami Bekerja Dari Rumah, Elak Risiko

Sebelum keputusan pulang dibuat, suami Nasreen dibenarkan untuk bekerja dari rumah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
Langkah ini sedikit sebanyak memberi kelegaan, namun rasa bimbang tetap ada, lebih-lebih lagi apabila tinggal jauh dari keluarga di Malaysia.
“Perasaan takut itu memang ada. Lagi-lagi bila kita jauh dari keluarga, rasa homesick itu jadi lebih kuat,” katanya.
Ramadan Di Dubai, Sederhana Tapi Bermakna
Dalam keadaan tegang, kehidupan Ramadan tetap diteruskan seperti biasa oleh wanita Malaysia di Dubai ini sebelum beliau pulang ke tanah air.
Menurut Nasreen, suasana Ramadan di Dubai tidak semeriah di Malaysia, namun masih ada komuniti yang menghidupkan suasana.
“Bazar ada, tapi tak macam di Malaysia. Kita memang akan rindu makanan macam kuih pelita, roti john, nasi kerabu,” katanya.
Walaupun begitu, terdapat juga peniaga tempatan yang menjual makanan Malaysia, walaupun harganya agak mahal — sekitar 25 hingga 30 AED untuk satu hidangan.
Waktu berpuasa juga sedikit berbeza, dengan tempoh sekitar 14 jam, dan faktor cuaca panas memberi cabaran tersendiri.
“Minggu awal puasa memang badan rasa penat, sampai demam sebab cuaca panas dan perubahan rutin,” jelasnya.
Dari Wanita Bekerjaya Ke Suri Rumah
Wanita Malaysia di Dubai ini mula menetap di sana sejak tahun 2022 selepas suaminya mendapat peluang pekerjaan. Sebelum itu, beliau bekerja dalam bidang pemasaran di Malaysia Airlines.
Peralihan daripada wanita bekerjaya kepada suri rumah bukan sesuatu yang mudah.
“Awal-awal memang rasa sunyi dan tertekan. Tambah pula anak masih kecil, jadi fokus lebih kepada keluarga,” katanya.
Namun, sokongan daripada suami dan komuniti rakyat Malaysia di Dubai membantu dirinya menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Baca juga: Puasa di Norway: Pelajar Malaysia Luah Rasa Sunyi 2 Tahun Ramadan & Syawal Tanpa Keluarga
Kekuatan Seorang Ibu Di Perantauan
Bagi Nasreen, kekuatan terbesar datang daripada keluarga kecilnya.
Walaupun diuji dengan situasi luar jangka, wanita Malaysia di Dubai ini memilih untuk kekal tenang demi anak.
“Kita tak boleh tunjuk terlalu panik. Anak akan ikut emosi kita,” katanya.
Dia juga menasihatkan wanita yang ingin berhijrah ke luar negara supaya membuat kajian terlebih dahulu dan bersedia dari segi mental.
“Setiap pengalaman orang berbeza. Tapi yang penting, kena kuat dan tahu apa yang kita cari,” tambahnya.
View this post on Instagram
Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




