Wanita sedaya mungkin akan cuba mempertahankan rumah tangga yang dibinanya. Namun, bila sayang makin lama makin terhakis dan sabarnya tiada lagi bersisa, maka dia akan mengambil keputusan untuk melangkah pergi. Talak jadi titik noktah.
“Kak Su, suami baru telefon ajak saya rujuk. Saya tak nak. Macam mana ni Kak Su?”
Petikan mesej via whatsapp dihantar klien saya yang baru bercerai talak satu dengan suaminya kurang sebulan yang lalu. Ada emoticon nangis kat hujung persoalan. Sebelum saya kongsikan jawapan kepada persoalan di atas, ingin saya jelaskan maklumat berkaitan rujuk menurut kehendak syariat.
Tiga Rukun Rujuk
Rujuk mempunyai tiga rukun iaitu lafaz rujuk, suami dan isteri. Suami hendaklah seorang yang berakal, baligh, tidak murtad dan ingin melakukan rujuk dengan kehendak dan kerelaan sendiri, bukan paksaan daripada sesiapa.
Seorang isteri pula hendaklah yang sudah disetubuhi kerana isteri yang tidak disetubuhi dan diceraikan, isteri tersebut tidak mempunyai tempoh eddah bererti tidak mungkin berlaku rujuk.
Isteri juga mestilah diceraikan dengan talak rajei dan bukan dengan perceraian secara fasakh, khuluk dan juga talak tiga. Sekiranya suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya, si suami hendaklah menentukan isteri yang dimaksudkan untuk tujuan rujuk tersebut.
Foto: Pexels.com
Secara Kiasan Atau Terus Terang
Bagi sighah atau lafaz rujuk pula, lafaz yang digunakan mestilah menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara terang ataupun kiasan. Paling penting lafaz tersebut tidak dihadkan kepada tempoh masa tertentu dan tidak bergantung kepada syarat-syarat tertentu.
Berdasarkan rukun dan syarat rujuk yang ditetapkan oleh syarak, rujuk telah pun berlaku dalam kes yang saya kongsikan awal tadi. Bererti si isteri dan si suami telah kembali menjadi suami isteri yang sah semula.
Kenapa? Kerana suami telah mengajak untuk rujuk malah meluahkan hasrat rujuk tersebut. Niat dan lafaz telah wujud bererti rujuk telah berlaku. Biarpun si isteri tidak memberikan pengakuan, rujuk tetap berlaku sebab berdasarkan rukun yang dijelaskan tadi juga, rujuk yang berlaku tanpa izin isteri atau tanpa pengetahuan isteri adalah sah kerana hukum syarak menentukan, rujuk tidak perlukan izin atau persetujuan isteri.
Ads
Diajak ‘Bersama’
Bagaimana pula kalau suami tak bercakap atau mengajak untuk rujuk tetapi mengajak isteri untuk bersama melakukan hubungan suami isteri?
Mengambil kira syarat utama tersebut iaitu suami melaksana rujuk secara lafaz soreh atau kiasan, ajakan suami untuk melakukan seks boleh dianggap sebagai kiasan untuk kembali rujuk dan bekas isteri yang melayan kehendak seks bekas suami dikira telah menerima ‘rujuk’ yang dimulakan oleh bekas suami tersebut.
Dengan anggapan dan kepercayaan si suami ingin merujuk dan si isteri bersedia menerima maka hubungan seks yang berlaku adalah sama dengan kedudukan rujuk dengan perbuatan. Hubungan seks tersebut adalah halal.
Namun, apabila anggapan dan kepercayaan si isteri tersalah dan tersasar, atau dengan kata mudah, si suami menyatakan tidak berniat untuk merujuk maka hubungan seks yang berlaku dikira sebagai persetubuhan syubhah. Jika ada anak yang lahir berpunca daripada hubungan seks tersebut, anak tersebut juga dikira sebagai anak syubhah.
Hakikat rujuk disyariatkan bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq rajei meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus.
Namun, Islam mensyaratkan rujuk hendaklah dengan tujuan untuk berdamai dan bukan kerana ingin menyakiti atau menganiayai isteri dan sebagainya. Namun, menepati keperluan masa kini, Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan: “Jika selepas talak rajie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai.”
Ads
Wanita Boleh Bantah Rujuk
Peruntukan ini memberikan hak kepada isteri yang tidak bersetuju dengan rujuk yang dibuat oleh suami dengan alasan dan sebab yang munasabah mengikut hukum syarak, untuk membantah rujuk tersebut.
Tindakan membantah rujuk semua itu hendaklah dibuat melalui suatu permohonan di mahkamah syariah disertakan sebab dan alasan yang munasabah dan sesuai bagi dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pendamai.
Andai kemudaratan adalah lebih besar, hakam boleh dilantik untuk menceraikan isteri bagi pihak suami. Cuma, terus terang saya katakan, amalan di Mahkamah Syariah kini, hakam tidak lagi diberikan kuasa ini. Mungkin mengambil kira kemaslahatan bersama.
Ada Jalan, Jangan Risau!
Jangan risau! Masih ada caranya untuk melepaskan diri daripada rujuk yang anda tidak persetujui. Cara tersebut bergantung kepada sejarah kes anda dan perkembangannya selepas rujuk berlaku.
Yang paling penting, saya merayu, jangan buat main perkara rujuk. Kalau anda tahu rujuk telah berlaku, anda adalah isteri kepada seseorang dan anda haram berkahwin dengan lelaki lain biar suami yang merujuk tanpa persetujuan anda gagal dalam tanggungjawab.
Dalam rumah tangga, tidak semuanya indah, mesti ada perselisihan faham, tak banyak , sedikit pun mesti ada. Sedeangkan lidah lagi tergigit….kan. Tetapi, semua ini adalah asam garam kehidupan. Baik suami atau isteri bukanlah sempurna dan ada kekurangan masing-masing. Kekurangan inilah yang membuatkan hidup bertambah bahagia.
Ada pasangan yang menganggap masalah rumah tangga yang dihadapi tidak boleh diselesaikan dan mula mengambil jalan mudah untuk berpisah. Usah berfikiran cetek, cubalah fikirkan kebaikan yang pernah dilakukan oleh pasangan sebelum ini. Perbaiki diri dan anggaplah masalah suami isteri ini sebagai satu hadiah dalam menerima kekurangan pasangan.
Ada beberapa tip daripada Diyana tahir, Pakar Hubungan Dan Keintiman yang boleh diambil dan dijadikan pandunan buat suami isteri tatkala menghadapi masalah rumah tangga.
Siapa Salah Siapa Betul
Dalam perhubungan ia bukan soal siapa yang salah atau siapa yang betul. Tetapi adalah tentang bagaimana anda dan pasangan bersama-sama dapat menyelesaikan masalah itu. Sudah menjadi lumrah hidup berumah tangga yang akan berhadapan dugaan dan cabaran. Pasti akan ada pasang dan surut tidak mengenal masa dan ketika. Cuma yang membezakan rumah tangga itu adalah apa peranan yang dimainkan oleh setiap pasangan. Adakah anda nak bahagia atau terus menderita? Jika mahu bahagia, pasti ada jalannya.
1. Berhenti Melihat Diri Sebagai Mangsa
Ramai isteri yang mengadu kepada saya apabila hadir orang ketiga dalam rumah tangga mereka rasa kecewa dan dikhianati. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berhenti rasa diri tak cantik dan rasa anda yang bersalah. Bila anda terus menjadi mangsa, anda takkan dapat solusi sebab anda dah menyalahkan benda yang dah pun berlaku. Berhenti fokus kepada masalah dan cari solusi. Fokus kepada apa yang anda boleh ubah dan boleh lakukan. Contohnya jika suami ada menyakiti hati anda, berhenti menyalahkan suami dan gunakan Teknik Telling The Truth (TTT) untuk menjelaskan apa yang anda rasakan secara berhemah. Saya ada share step by step dalam group kembali bercinta dan hasilnya kepada mereka yang buat dah rasa lega. Jangan pendam atau melarikan diri sebab ia akan lebih mengeruhkan keadaan.
Anda kena ingat bahawa anda dan pasangan adalah individu yang berbeza. Setiap orang ada pendapat dan emosi berbeza-beza. Tidak semestinya anda akan faham dia dan dia akan faham anda 100%. Belajarlah untuk menguruskan fikiran dan emosi secara matang. Jika ada kemarahan yang hadir, uruskan kemarahan dengan melakukan terapi maaf agar boleh memaafkan dengan ikhlas.
Cari push faktor kenapa anda perlu berubah. Lihat anak-anak anda. Keluarga anda atau sesiapa sahaja yang mengharapkan anda ketika ini. Paling tidak pun, tanyakan pada diri adakah anda benar-benar sanggup membiarkan diri anda terus dirundung masalah yang sedang anda lalui. Tuliskan dalam jurnal. Macam saya, saya memang gemar menulis. Sebab itu semua buku dan program saya ada ruangan latihan. Untuk ekspresi apa yang saya rasa. Untuk luahkan apa yang tersimpan dalam hati. Menulis juga boleh jadi satu terapi untuk diri anda ya!
2. Lihat Masalah Sebagai Suatu Peluang
Masalah yang hadir dalam hidup anda tu bukan datang sia-sia. Kehadirannya bersebab. Masalah itu sebenarnya adalah satu peluang untuk anda bertumbuh menjadi lebih baik. Jadi, inilah peluang anda dan pasangan untuk go to the next level. Masalah dalam rumah tangga kita bukanlah musibah tetapi ia adalah hadiah dan berkah dari Allah SWT untuk kita go to the next level supaya kita menjadi isteri yang bukan sekadar bercinta dengan suami saja tetapi menjadi pencinta sejati dan pencipta kebahagiaan. Iaitu menjadi pencinta tanpa syarat yang ikhlas melayani dan menerima ketidaksempurnaaan pasangan kerana tidak semua manusia sempurna.
3. Kenali Bahasa Cinta Anda Dan Pasangan
Ramai pasangan tak tahu betapa pentingnya untuk kenali cara dicintai dan mencintai pasangan dengan spesifik. Ia sangat penting agar pasangan dapat rasa dicintai dan disayangi dengan cara yang mereka ingini. Setiap orang mempunyai cara dicintai yang berbeza yang juga disebut sebagai bahasa cinta. Kebiasaannya ramai isteri yang ‘assume’ suami mereka rasa dicintai melalui layanan padahal suami sebenarnya rasa dicintai melalui sentuhan. Tak kurang juga yang hanya fokus kepada membesarkan anak- anak hingga terlupa memuji dan meluangkan masa berkualiti dengan suami seperti yang suami mahukan. Begitu juga sebaliknya isteri yang tak kenal bahasa cinta sendiri dan hanya berharap suami berteka-teki.
Aktiviti Bersama
Jadi penting untuk anda buat suatu aktiviti atau ritual untuk membina dan menjalinkan hubungan yang mendalam antara anda dan suami. Contohnya buat riadah bersama atau pergi dating berdua. Anda juga boleh mulakan dengan mensyukuri pasangan dan menghargai sekecil-kecil perkara yang telah dia lakukan sepanjang anda berkahwin. Bila dah ada hubungan mendalam tu barulah boleh mula melihat kebaikan dan kecantikan diri anda.
Seni inilah yang akan menjadi permulaan kepada hubungan yang harrmoni dan membahagiakan. Bila kita ada hubungan hati yang sangat mendalam dengan pasangan, ia akan menjadi suatu kekuatan, malah akan membangkitkan dan mengintimkan lagi hubungan fizikal.
Ingatlah bahawa anda bukanlah mangsa. Anda adalah pejuang dalam hubungan anda. Bila ada masalah, ambillah peluang itu untuk menyelamatkan rumah tangga anda dan bina kembali perkahwinan anda. Belajarlah untuk menjadi pencipta penyelesaian dan kebahagiaan dalam rumah tangga anda demi anak- anak agar mereka juga dapat merasakan kebahagiaan. Katakan pada diri anda, “kalau bukan aku yang akan menyelamatkan rumah tangga aku, siapa lagi?”
MW: Moga ini memberi panduan dan manfaat untuk kita dalam memperbaiki hubungan suami isteri yang lebih baik lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak ayah di luar sana kena faham sejelasnya, kemurungan adalah sejenis penyakit. Bukan disebabkan seseorang itu tidak ingat atau jauh daripada tuhan.
Sebelum menitipkan nasihat, kenalah faham apa yang pesakit kemurungan itu alami. Tersangatlah ‘struggle’ untuk sembuh dari penyakit ini.
Namun, percayalah jalannya tetap ada. Ibu ini, Ezatul Marini berkongsi kisah dan tip rawat diri. Caranya melawan kemurungan yang dihidap sejak tahun 2016.
Depresi Dan Kemurungan Itu Bukan Kisah Rekaan
Bermula Disember 2017, kita banyak diberitakan tentang gejala depresi dan kemurungan yang menimpa ramai orang. Sudah pasti yang mendapat liputan besar- besaran itu adalah golongan selebriti.
Ada yang memberi komen positif dan ada yang mencemuh. Ada yang mengatakan depresi dan kemurungan ini hanya akan dialami oleh mereka yang jauh dari Pencipta.
Saya ingin kongsikan 1 kisah. Depresi dan kemurungan itu bukan kisah dongeng dan ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja.
2016, saya mulakan tahun tersebut dengan perasaan murung yang akhirnya membawa kepada depresi.
Saya lalui hari-hari dengan perasaan rendah diri yang amat serius, sentiasa merasakan tiada siapa sukakan saya.
Cara orang lain memandang, boleh menyebabkan saya mempunyai lapisan-lapisan tanggapan negatif mengenai diri sendiri.
Senyuman yang dilemparkan kepada saya menimbulkan pelbagai tandatanya dalam diri, pertanyaan jujur dan ikhlas dianggap sebagai sindiran dan soalselidik bak di dalam bilik soal di balai.
Berbulan Bulan Diganggu Perasaan Murung
Perasaan itu bukan menghantui saya untuk jangkamasa sekejap, perasaan itu mengganggu saya selama berbulan- bulan lamanya.
Seksanya hingga saya pernah berkira-kira untuk membuat sesuatu yang di luar jangka. Gejala itu mempengaruhi pekerjaan saya, mengancam perhubungan saya di tempat kerja.
Cuti rehat dan cuti kecemasan itu saya jadikan senjata untuk lari dari segala perasaan yang mengganggu fikiran. Prestasi kerja sedikit terganggu dengan keadaan ini.
Saya tidak bercerita dengan sesiapa. Pada waktu itu, airmata menjadi amat murah… menangis itu jadi cara saya melepaskan perasaan. Setiap hari saya mohon pada Allah, bebaskan saya dari gejala kemurungan itu.
Satu hari, saya gagahkan diri bercerita dengan seseorang, dan Alhamdulillah segala nasihat dan kata-kata semangat beliau menjadikan saya lebih tenang.
Namun proses melepaskan diri dari segala perasaan murung dan depresi itu tidak berlaku dengan cepat. Saya ambil masa juga untuk keluar dari keadaan itu. Rakan- rakan rapat banyak membantu.
Terus terang, semasa mengalami kemurungan, tidak sedikit saya kehilangan kawan-kawan. Mereka yang tidak tahu dan faham keadaan, merasakan saya banyak berubah secara negatif dan mula menjauhi.
Alhamdulillah, kini saya yakin sudah bebas sepenuhnya dari segala rasa murung dan depresi yang pernah ditanggung.
Saya berikrar tidak mahu lagi mengulangi keadaan itu kerana banyak natijah buruk yang terpaksa saya tanggung selama ‘melayan’ depresi dan kemurungan.
Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu saya keluar dari keadaan itu. Saya sangat percaya dengan kuasa bercerita. Luahkan apa yang kita rasa, ceritakan apa yang ada dalam hati kita pada kawan, pada saudara, pada suami dan yang paling penting pada Allah.
5 Cara Ini Bantu Saya Rawat Kemurungan
Di antara cara “rawat” diri sendiri yang saya cuba dan ianya berjaya:
i. Banyakkan Istighfar – saya ingatkan diri yang ini ujian yang perlu saya ” lawan “. Pasti saya banyak berbuat salah mungkin pada Allah atau rakan- rakan maka ujian ini dikirim sebagai teguran.
ii. Bercerita – saya kongsikan keadaan diri dengan beberapa individu. Dalam banyak keadaan mereka membantu dengan memberikan saranan ataupun sekadar menjadi pendengar. Kuasa bercerita ini hebat. Ia banyak membantu mengendurkan banyak emosi ” jahat “.
iii. Al Fatihah – atas saranan seorang rakan saya amalkan menyedekahkan Al Fatihah buat diri sendiri dan keluarga serta rakan- rakan.
iv. Menangis – lepaskan perasaan dengan menangis. Untuk saya, ia amat membantu mengurangkan bebanan perasaan. Menangislah sungguh- sungguh untuk legakan dan lepaskan segala fikiran ” jahat ” yang bermain dalam minda.
v. Pujuk Diri – pujuk hati dan diri. Yakinkan diri ia hanya sangkaan kita sahaja. Bantu hati, perasaan dan minda untuk buang jauh- jauh prasangka.
Ia tidak mudah. Tetapi bantuan dan sokongan pasti membantu dalam mengatasi keadaan ini dari berlarutan.
Sehingga hari ini, ada seorang adik di pejabat yang selalu memastikan emosi saya dalam keadaan baik. Beliau akan selalu melakukan “check and balance ” bagi mengelakkan saya dari terarah semula kepada depresi. Terima kasih dan Alhamdulillah..
Anak ramai atau sikit bukanlah satu perlumbaan yang akhirnya menentukan siapa yang menang, siapa yang kalah. Sebaliknya setiap anak yang dikurniakan adalah amanah yang tidak ternilai, untuk menguji sama ada mak, ayah mampu atau tidak menjalankan tanggungjawab.
Dalam erti kata lain, kalau mak ayah tak mampu beranak ramai, pandailah merancang. Bimbang jika terlalu ramai anak hingga ada anak yang tercicir dan terabai.
Anak Amanah, tanggungjawab atau menyusahkan?
Ikuti perkongsian Nurul Haslinda dan fahami sedalamnya :
Anak adalah anugerah Allah kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Ada yang rezeki orang dapat anak cepat iaitu selepas berkahwin terus bunting pelamin.
Ada juga yang kahwin bertahun-tahun baru dapat anak malah ada yang berkahwin bertahun tidak dapat anak lagi. Ada yang mudah mengandung tapi tak ada rezeki kerana keguguran dan ada juga dapat anak tetapi tidak sihat dan tidak sempurna.
Apapun keadaan itu, semua adalah urusan Allah. Allah yang memberi dan Dia juga boleh mengambilnya.
Setiap Manusia Berbeza Rezeki
Ada orang rezeki dia dapat anak ramai dan ada orang rezeki dia anak tak ramai. Namun atas keupayaan dan kemampuan masing-masing lah untuk menjaga dan mendidik anak-anak sendiri menjadi baik atau sebaliknya.
Kerana setiap anak yang lahir itu ibarat kain putih yang bersih, atas kita sebagai ibu bapa lah untuk mencorak kehidupan mereka. Kalau tak mampu mempunyai anak ramai, pandai -pandailah merancang supaya tidak ada anak kita yang terabai dan keciciran.
Ini tidak kita tengok ada antara mereka yang berebut-rebut nak lawan anak siapa paling ramai, ada yang berlawan sesama adik beradik ipar dan sebagainya padahal dari segi kemampuan memang tak mampu.
Kalau mampu tidak kisah lah kalau nak anak ramai manapun. Tapi Ini tidak mampu dari pelbagai segi. Kesian tengok hidup anak-anak yang terabai. Sepatutnya kita perlu jadikan anak kita anak yang berkualiti bukan semata-mata kuantiti.
Mampukah Mendidik Anak
Memang bangga anak ramai dan kita subur tapi mampukah kita mendidik mereka sama rata? Memberi yang terbaik untuk anak-anak kita kelak? Tepuk dada bukalah minda. Semua itu di tangan kita.
Bagi yang mempunyai anak, ini nak pesan malah pesanan inipun untuk diri sendiri kalau kita marah anak, jangan marah dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh buat mereka hilang semangat dan rasa diri mereka menyusahkan hidup orang lain.
Anak-anak ini, lebih-lebih yang tengah membesar ni, jiwa mereka sangat lembut dan lemah. Mereka perlukan kita untuk memberi semangat kepada mereka.
Jadi sebagai ibu bapa kita didik dan tegurlah mereka dengan cara yang baik dan berhemah supaya kita dapat membentuk akhlak mereka menjadi lebih baik. Menghormati ibubapa dan orang sekeliling mereka.
Jangan suka mengeluarkan perkataan yang tidak elok kelak mereka akan ikut dan terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian mereka seperti mencarut dan macam-macam lagi perkataan yang tidak elok.
Fikir Dahulu Sebelum Marahkan Anak
Memang diakui kadang-kadang kita juga boleh hilang sabar dengan kenakalan anak-anak kita. Betul tak? kadang-kadang tanpa kita sedar kita memarahi mereka dengan teruk dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada mereka.
Lepas tu mesti kita akan merasa menyesal, betul kan? Jika itu yang kita rasa maknanya kita memang seorang yang penyayang sebenarnya. Mengucaplah banyak-banyak sambil merenung anak-anak kita itu. Lebih-lebih lagi waktu mereka tidur.
Kenanglah susah payah kita semasa mengandung dan melahirkan mereka. Malah kehadiran mereka sangat kita nanti-nantikan. Sepatutnya kita bersyukur Allah bagi kira rezeki anak, berbanding dengan orang lain yang sudah lama kahwin malah sehingga akhir hayat mereka tak pernah merasa menjadi ibu atau bapa.
Jadi bila nak marah tu, marahlah dengan percakapan yang baik-baik. Rotanlah dengan tidak mencederakan. Sebab kita berhak mendidik mereka. Masa depan anak-anak kita terletak pada didikan kita masa kini.
Kasihanilah Anak Yang Tak Bersalah
Akhir kata, kita semua tidak sempurna. Malah cara didikan dan ajaran kita semasa kecil dulu tidak sama. Ada yang hidup bahagia dan gembira ada yang dibesarkan dengan kebencian dan kekejaman.
Namun sedarilah tak kan kita nak turunkan cara didikan kita dulu yang tidak elok itu kepada anak-anak kita? Kasihanilah mereka kerana mereka tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa.
Bagi mereka kita sebagai ibu bapa mereka inilah malaikat mereka yang melindungi dan menyayangi mereka. Tenunglah mata anak kalian masing-masing, adakah kita mahukan kehidupan mereka akan datang kucar kacir?
Jika tidak mahu, didiklah mereka dengan cara yang baik dan sempurna. Sesungguhnya yang baik tu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu adalah dari kelemahan diri kita sendiri.
MW: Semoga perkongsian ini menjadikan mak,ayah lebih bertanggungjawab dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Jangan jadikan pengalaman buruk yang lalu merosakkan masa depan anak-anak yang tidak berdosa. Hargailah amanah yang Allah berikan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.