
Isi Kandungan
ToggleWanita jangan selalu cakap tak kisah, ajar lelaki soal tanggungjawab sebelum nikah. Satu benda yang makin kerap kita dengar dalam kalangan wanita zaman sekarang – “Saya tak kisah kalau lelaki tu tak ada duit hantaran.”
Wanita Jangan Selalu Cakap Tak Kisah, Ajar Lelaki Soal Tanggungjawab Sebelum Nikah
Ataupun, “Tak apa, janji dia ikhlas.” Kedengaran macam mulia, tapi sebenarnya berisiko besar kalau dari awal kita sendiri longgarkan garis sempadan tanggungjawab seorang lelaki.
1. Jangan Normalisasikan Lelaki Tak Sedia
Realitinya, perkahwinan bukan sekadar akad nikah dan majlis sanding. Ia tentang tanggungjawab sepanjang hayat. Kalau dari sebelum kahwin pun lelaki tu tak mampu atau tak serius nak usaha sediakan duit hantaran – walau tak perlu jumlah ribu-riban – macam mana nanti bila masuk fasa suami isteri yang menuntut lebih banyak komitmen kewangan?
Kita bukan suruh lelaki jadi kaya raya. Tapi kita kena pastikan dia faham, jadi suami bukan hal main-main. Bukan sekadar sayang dan cinta.
2. Duit Hantaran Bukan Sekadar Duit
Hantaran bukan sekadar bayaran. Ia simbol komitmen, usaha, dan penghargaan seorang lelaki terhadap wanita dan keluarganya. Bila wanita cakap “tak kisah duit hantaran”, ramai lelaki akan anggap “lega, tak payah fikir”. Dari situ, mereka mula selesa ambil jalan mudah.
Lama-lama, benda ni akan ‘terbawak’ masuk ke dalam perkahwinan. Mula-mula tak kisah hantaran, lepas tu tak kisah nafkah, tak kisah tanggungjawab lain. Akhirnya, wanita juga yang akan pikul beban sendiri.
3. Ajar Dia Dari Awal
Bukan soal jadi ‘materialistik’. Tapi ajar lelaki yang nak jadi suami untuk bertanggungjawab. Kalau sekarang dia tak ada duit, tapi ada usaha, ada kesungguhan – itu lebih penting. Kita nak pasangan yang ada ‘drive’, bukan yang cepat mengalah.
Jangan terlalu nak jadi “low maintenance” sampai abaikan hak sendiri. Suami yang tahu tanggungjawab dia dari awal akan lebih bersedia untuk jadi pelindung dan pembimbing yang sebenar.
4. Perkahwinan Bukan Tentang Berkorban Seorang Diri
Ramai wanita yang terlalu ‘give’ sampai lupa diri. Sayang tu sayang juga, tapi jangan sampai gadai maruah dan hak semata-mata nak cepat kahwin atau takut lelaki lari.
Jangan terbiasa dengan ayat “tak apa” atau “saya faham” bila sepatutnya kau berhak bersuara. Sebab nanti bila dah kahwin, lelaki yang terbiasa dimudahkan semua perkara takkan tiba-tiba berubah jadi bertanggungjawab tanpa dididik dari awal.

Jangan rendahkan nilai diri sendiri atas nama cinta. Jadi wanita yang tahu apa hak dia, dan bantu bakal suami jadi lelaki yang sebenar-benar lelaki. Tanggungjawab bukan beban, tapi amanah. Dan kalau dari awal pun dia tak bersedia – mungkin dia belum layak jadi suami lagi.
Baca artikel lain juga: Suami Mesti Jalankan Tanggungjawab Jadi Pemimpin Rumah Tangga, Jangan Biar Isteri Jadi Nakhoda Kapal
Isteri Tak Berkira Bantu Belanja Rumah, Suami Jangan ‘Pindahkan’ Tanggungjawab
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Dalam Iddah, Jangan Cepat Sangat Nak Kahwin Lain

Isi Kandungan
ToggleKita asyik bercerita tentang iddah isteri. isteri tak boleh bersolek dalam tempoh iddah,
tidak boleh keluar rumah, kena jaga cara pemakaian dan sebagainya. Sedangkan langsung tak bercakap tentang iddah untuk suami. Sampaikan orang cakap, tanah kubur isteri merah, suami dah kahwin lain. Atau bila bercerai hidup, terus bekas suami cari pengganti.
Sebenarnya, iddah untuk suami tak ada dalam syarak dan dia berhak untuk berkahwin tetapi suami perlu tahu halangan supaya keadaan ini tidak menganiaya kepada isteri yang diceraikan. Nak tahu lebih lanjut tentang iddah suami, Encik Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak, Firma Khairul Fahmi & Associates dan Timb. Setiausaha PGSM Kedah ada jawapannya.
Iddah Suami – Tiada Dalam Syarak
Sebenarnya iddah untuk suami ini tidak ada di dalam syarak, ini kerana mana-mana lelaki yang bercerai sama ada rajie atau bain, boleh menikahi mana-mana perempuan selagi tiada halangan syarak.
Jika ada halangan, itulah yang dikatakan lelaki juga mempunyai tempoh ‘beriddah’ iaitu
menahan sebentar sebelum berkahwin dengan wanita lain.
Antara halangannya adalah :
1. Apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang
keempat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut
hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh iddah isterinya yang diceraikan tersebut.
2. Seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.
3. Apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini
perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh iddah isterinya berakhir terlebih dahulu.
Perlu diketahui, iddah bagi lelaki ini bukan sahaja bertujuan untuk halangan mengikut syarak tersebut, tetapi sebenarnya bertujuan untuk memelihara hak isteri yang baru diceraikan secara talak rajie juga.
Sebab itu, sekiranya seorang suami ingin berkahwin dengan wanita lain sedangkan tempoh iddah isterinya belum berakhir, suami tersebut perlu membuat Permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah. Ini kerana suami tersebut masih boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dan mungkin suami boleh ambil kesempatan untuk berpoligami sekiranya dibenarkannya untuk berkahwin dengan wanita lain semasa iddah isterinya.
Muhasabah Kembali
Sebaiknya, jika suami isteri telah bercerai dengan talak rajie, ini adalah waktu untuk
kedua-duanya bermuhasabah kembali dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi diri dan anak-anak (jika ada).
Jika sekiranya memang sudah tiada jalan untuk berbaik semula, seharusnya suami isteri cuba menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi berada di dalam tempoh iddah.

Selain suami menunaikan nafkah iddah isteri, isteri pula menjaga batas seperti seorang
isteri. Kedua-dua pihak perlu mengelakkan daripada timbulkan fitnah di mata masyarakat
seperti keluar bergembira bersama kawan-kawan, mencaci maki antara satu sama lain di media sosial atau apa-apa perkara lain yang tidak elok dilihat di sisi syarak seperti seolah-olah bergembira atas perpisahan. Ini sangat tidak digalakkan di dalam Islam.
Panduan Untuk Isteri Dan Suami
Suami dan isteri seharusnya bersama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan khasnya di dalam hukum syarak bagi mendekatkan diri dengan AllahS.W.T dan sentiasa memperbaiki atas kelemahan diri.
Sekiranya berlaku sebarang perselisihan, perlulah dibawa berbincang dengan baik.
Berilah ruang untuk suami isteri mendengar dan bertolak ansur.
Dapatkan khidmat kaunseling di pejabat agama dan bertanyakan kepada orang yang arif tentang hukum syarak dan perundangan Islam bagi memudahkan untuk kita lebih faham tentang hak dan batas mengikut syarak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Punyalah Pemalas Anak Menantu Duduk Serumah, Sampai Nak Kalih Baju Berlipat Mak Basuh Pun Mak Kena Buat

Isi Kandungan
ToggleSuami isteri ini ke sebuah kedai dobi, di sana dia bertemu dengan seorang ibu yang sedang mendobi pakaian anak menantu ibu ini. Tanpa sengaja, ibu tadi meluahkan rasa hati sayu dengan sikap anak menantu tak kenang budi yang duduk sekali dengannya.
Macam-macam rasa bercampur baur saat membaca perkongsian Ws Adli W Muhammad ini. Apabila anak-anak mula menjadikan ibunya hamba, maka hilanglah nikmat bakti pada orang tua dalam hidup seorang anak itu. Awas ya! anda sebenarnya sedang menempah satu tiket ke alam seksa kubur yang amat berat.
Seorang Ibu Tua Dan Kedai Dobi Layan Diri
Sejak beberapa hari lalu, cuaca tidak menentu di kawasan kami. Disebabkan itu, saya dan isteri membasuh baju di rumah, kemudian bawa baju yang belum kering tu ke kedai dobi layan diri untuk dikeringkan.
Saya suka pergi sebelah pagi. Sebab pagi jarang orang ada. Tak lah berebut nak guna dan menunggu lama. Biasanya, kalau saya pergi, memang kami sahajalah yang adanya.
Jadi, hari itu saya dan isteri pun pergi ke satu kedai dobi ni. Masa sampai, saya lihat ada seorang makcik di dalamnya. Duduk di atas kerusi sambil sebelah tangan sedang memegang telefon. Ralit makcik tu menghadap telefon bimbitnya.
Saya masuk dan memberikan salam. Makcik mengangkat muka, menjawab salam dan memberikan senyuman kepada kami berdua.
Saya tengok pada mesin, makcik gunakan dua mesin basuh. Dalam hati saya, agaknya banyaklah tu dibasuhnya. Sedang isteri mengisi pakaian kami dalam mesin dryer, saya pula menukar duit kertas.
Selesai, saya dan isteri pun duduk sepertimana makcik.
Makcik mula memandang kami. Senyum. Kami membalas.
Kemudian, isteri saya pun bertanya “Seorang je makcik?” Makcik menjawab kembali “Ya seorang sahaja. Yang lain sedap tidur lagi.”
Puas Dah Berdepan Nasihat Panas Duduk Dengan Orang Tua
Kami berdua tersenyum. Saya lihat jam di telefon, dah jam 7.00 pagi. Lambat belaka bangun agaknya anak-anak dia.
Isteri saya bertanya lagi “Makcik duduk mana?” Makcik menjawab dengan mengatakan dia duduk di sebuah kampung yang memang kami tahu mana tempatnya.
Makcik pula bertanya “Duduk mana ni? Kerja apa?” Isteri saya menjawab “Duduk di Paya Pulai makcik. Duduk dengan mak dan ayah. Suami saya cikgu sekolah rendah, saya cikgu KAFA” Makcik senyum. Makcik berkata lagi “Oh, duduk dengan orang tualah ya? Macamana, okey ke?”
Isteri menjawab “Alhamdulillah makcik. Okey. Seronok pun seronok. Dulu, masa muda-muda duduk jauh dengan mak dan ayah. Ini dah ada peluang, mak dan ayah minta tinggal dengan dia orang.” Isteri saya tertunduk malu menjawab.
Maklumlah, kami dah puas berhadapan dengan orang yang mengata-ngata pasal duduk dengan orang tua sendiri ni. Manalah tahu, kot-kot makcik pun nak bagi nasihat panas macam orang lain.
Makcik berkata “Boleh ke encik duduk dengan mak mentua? Mak mentua kan, ke mak tu mak kandung?” Saya pun menjawab “Tu mak mentua saya. Alhamdulillah, kami senang hati duduk dengan mak ayah kami. Mak ayah kami pun alhamdulillah, tak ada masalah. Kalau pergi mana lama-lama bercuti, adalah dia orang menelefon minta kami balik segera, sunyi katanya. Hehe”.
Makcik diam. Kepalanya tertunduk. Mukanya sayu.
Anak Menantu Makcik Semua Pemalas..
Dia berkata perlahan “Untunglah. Makcik tak macam tu” Saya dan isteri memandang sesama. Kemudian saya bertanya “Kenapa makcik?”
“Makcik ni, semua benda makcik buat. Anak menantu dua pasang duduk dengan makcik. Cucu ada 7. Masalahnya, semua pemalas. Masak malas, basuh baju malas, kemas rumah malas, semualah malas. Makcik ni bukan rajin juga, tapi tak lah semalas dia orang tu.
“Balik kerja, tahu cari makan kat dapur. Pepagi, tanya mana baju anak dia orang. Mana skaf, mana seluar, mana tali pinggang. Semua tanya makcik. Itu belum pakaian dalam bakul. Selagi makcik tak bawa keluar ke mesin basuh, selagi tu lah duduk dalam bilik.
“Ini kita dah basuh, lipat pun malas. Penuh atas kerusi di ruang tamu. Dahlah lipat malas, nak mengalihkannya pun tidak. Semua makcik kena buat. dia orang tahu, bila lapar cari makan di dapur. Kemudian duduk depan tv, tengok cerita macam-macam.
“Dah tu, satu benda lagi, binatang tulah. Menghadap telefon siang malam. Gelak-gelak. Entah apa-apa. Duduk beramai-ramai menghadap benda alah tu. Kita ni, nak berborak pun tak dilayan. Sepatah, dijawab sepatah. Banyaknya, bila ditanya, tak berjawab. Senyum sorang-sorang depan telefon.
“Agaknya, memang kiamat dah nak dekat. Ni lah salah satunya. Mak ayah jadi hamba anak-anak.” jelas makcik dalam nada suara sederhana kuat. Kekal memandang ke lantai.
Saya dan isteri terdiam. Kelu.
Kalau Mak Tegur.. Anak Menantu Tarik Muka, Lepas Marah Dekat Anak
Saya kemudian bertanya lagi “Makcik tak tegur ke? Tak kan biarkan sahaja macam tu?”
“Nak tegur apanya. Tegur karang tarik muka. Tak nak makan. Jadi membazir pula makanan tu kita masak banyak-banyak. Bila kita kata kita letih, dia siap suruh kita masuk tidur. Pergi berehat katanya. Kita ni masuklah bilik, tidur. Ingatkan bila bangun semua jadi eloklah.
“Tak juga. Macam itulah gayanya. Makcik pernah berkeras sekali. Tapi anak-anak dia orang jadi mangsa. Nak marah beria ke kita dia tak berani. Jadi marah anak-anak. Pukul anak-anak. Suruh anak-anak buat itu ini. Perintah macam-macam. Tak jadi kita menengoknya. Sakit dada ni.” makcik mengeluh panjang selepas bercakap begitu.
Saya dan isteri memandang sayu kepada makcik. Perlahan saya bercakap, tapi boleh didengari “Maaf makcik. Saya rasa makcik ni berlembut sangat dengan anak makcik tu. Tak boleh dibiarkan. Yang merananya badan makcik. Makcik bukan daya pun nak buat semua.
Lagi satu, makcik memang tak payah beria nak buat semua tu. Biarkan sahaja. Bertimbun baju sampai tinggi gunung ke, lantaklah. Pandailah dia orang membasuhnya.
Makcik kena keras sikit. Jangan bagi muka. Bab dia pukul anak tu, makcik sound direct sahaja. Jangan simpan-simpan. Susah-susah, makcik suruh sahajalah anak makcik tu duduk tempat lain.
Tak salah makcik nak tolong. Tapi tolong tu pun kena beringat. Tak salah makcik nak masak untuk mereka, tapi yang lain tu, pandai-pandailah dia orang semua ambil kerja tu.
Dah Duduk Dengan Mak Ayah, Takkan Nak Suruh Semua Diaorang Buat
Masalahnya, kita suka diam. Pendam. Lepas luahkan perasaan pada dinding, pada siling. Duduk baring termenung fikirkan hal begini. Perangai orang kita ni, tak berani nak tegur depan-depan. Bukan makcik sahaja, kami pun sama. Tegur salah, tak tegur pun salah. Sibuk nak jaga hati orang. Bimbang hati orang lain terluka.

Padahal, diri kita ni bukan sekadar terluka, dah terbelah bagai dah hatinya. Patutnya, kita sama-sama kena faham. Semua dah besar. Kepala otak pun baik berfungsi. Bukan gila.
Dah duduk dengan mak dan ayah, tak akan semua benda dia orang nak buat macam kita kecil-kecil dulu. Kitalah ambil tanggungjawab pula. Basuh baju sendiri. Kemas rumah. Biar mak dan ayah tu berehat. Makan pakai mak ayah pun anak-anak kena jaga. Beli. Belanja. Dah namanya duduk sekali.
Biar mak ayah melayan riuh-rendah suara cucu. Biar dia orang lapang hati menghadap muka kita. Biar dia orang gembira lihat kita sepertimana melihat wajah kita kecil-kecil dulu. Bagi mak ayah rehat. Sudah-sudahlah nak bagi mak ayah buat macam-macam.
Makcik kena berkeras. Tak boleh dibiarkan. Sampai bila nak macam ini? Pakaian tu, pakaian dia orang ke?” saya menutup bicara dengan soalan kepada makcik.
Suasana sepi. Sunyi. Yang berbunyi hanyalah mesin-mesin basuh dan kipas di atas.
“Ya, semua dalam mesin tu dia orang punyalah. Makcik dah tak daya. Makcik pergilah sini. Encik, dik, maaflah makcik berkongsi hal keluarga sendiri. Buka aib keluarga sendiri. Tak terniat pun. Apa yang encik cakap tu, nanti makcik bincang dengan suami. Memang, memang makcik dah tak daya. Umur pun dah 60 lebih.” tertunduk lagi makcik berkata.
Saya berkata ringkas “Makcik kena buat. Kena keras.”
Saya dan isteri sama-sama menundukkan kepala. Selepas itu, kami semua tidak lagi berbicara.
Mak Ayah Bukan Hamba.. Bukan Juga Orang Gaji Kita
Kalian,
Mak dan ayah kita bukan orang gaji kita. Bukan tukang masak kita. Bukan hamba kepada kita. Itulah nikmat agung kurniaan Allah untuk kita semai segala bakti selama mereka masih bernyawa. Mereka telah serahkan segalanya hidup dan mati untuk kita, harta dan wang ringgit membesarkan kita.
Malanglah, andai mereka dijadikan orang-orang suruhan bagi menyenangkan segala kerja kita, memudahkan segala jalan hidup kita. Mereka, insan agung duduknya di atas, bukan boleh dikacau- bilaukan kedudukannya, diremeh tenyehkan hati-hati mereka dengan perilaku yang menghancur-luluhkan hati kedua-duanya.
Mak dan ayah, satu-satunya kurniaan Allah kepada kita. Tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh dijual beli. Yang ada hanya untung dan rugi. Untung dan rugi itulah, kita tahu mana letak duduknya.
Selaut kasih kepada mak dan ayah, tetap tidak mampu menandingi segala jasa dan pengorbanan mereka kepada kita.
Sumber/Foto : WS Adli Muhammad, Pengajaran dan peringatan hidup dari seorang ibu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Buang Fibroid, Suami Berhenti Merokok, 9 Tahun Berkorban Demi Zuriat

Isi Kandungan
TogglePasangan yang dah bertahun berkahwin, tetapi belum direzekikan cahayamata, zuriat cukup teruji emosinya. Dengar pertanyaan tentang anak pun, boleh buat air mata melimpah. Dalam hati rabaknya, usah ceritalah.
Suami isteri perlulah terus kuat dan cekal hati. Jangan sesekali berputus asa dengan rezeki anak dari tuhan. Pasangan suami isteri ini, Eddie Dieana juga teruji sama. Sembilan tahun menanti dengan penuh kesabaran. Akhirnya tuhan berikan cahayamata, dan usaha ini telah mereka lakukan.
Isteri Menggigil Nampak Double Line
Tarikh yang sama pada hari ni, 7/4/2019 (ketika status dikongsikan),
cuma bezanya perkara ni berlaku tahun lepas.
Masih terngiang-ngiang di telinga saya saat isteri keluar dari toilet dengan suara yang agak gembira bercampur sedih (mungkin terlalu excited).
“B.. Cuba tengok ni. Honey mengandung ke,
tangan Honey menggigil tengok benda ni..”
Aku sebagai seorang lelaki dan suami biasalah,
akan berlakon tenang walau dalam hati bergelodak rasa gembira. Aku seraya menyahut “jangan gembira sangat, tengok esok apa keputusan doktor baru boleh happy. Kadang-kadang benda ni tak boleh pakai.”
Aku sengaja tenangkan keadaan sebab taknak terlalu berharap.
Iyalah, laki mana yang tak happy dah 9 tahun kot tunggu. Baru nak dapat rasa 1 anak.
Depan isteri aku cakap dengan tenang.
“Try whatsapp akak dan adik u tanya. Betul ke kalau macam tu mengandung.”
Lalu aku berlalu masuk ke bilik air,
sambil aku jirus air dekat kepala sambil lalu itulah air mata jantan aku jatuh laju mengalir mengenangkan apa yang isteri aku tunjuk tadi.
Gembira yang teramat sangat,
hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan tu.
Isteri Hamil 5 Minggu, Suami Menangis Gembira
Esoknya..
isteri saya ke klinik ditemani adiknya,
manakala saya ke tempat kerja di Singapura macam biasa.
Tak lama lepas isteri pergi klinik,
bertalu-talu mesej masuk.
Saya tengok whatsapp,
rupanya dari isteri saya.
“B, doktor sahkan Honey mengandung 5 minggu..”
Kali kedua air mata aku berjurai,
walau hanya dengar berita gembira ni.
Aku kesat air mata perlahan-lahan.
Sorok dari kawan-kawan nampak.
Sampai ke hari ini isteri saya tak tahu yang saya menangis kegembiraan.
Mungkin lepas dia terbaca post ni baru dia tahu kot.
Kita hanya merancang,
tuhan lah penentu segalanya.
Di Saat dan waktu yang sesuai,
Dia hadirkan zuriat buat kami.
Usaha Ini Suami Isteri Lakukan Demi Zuriat
Ramai jugak yang PM tanya apa yang saya usahakan sehingga terlahirnya anak ni.
Apa yang boleh saya kongsikan,
saya dan isteri buat rawatan di HSI untuk lihat tahap kesuburan.
Hasilnya doktor cakap kedua-dua nya okay cuma
ada fibroid yang besar tumbuh dalam rahim isteri.
So, isteri saya perlu menjalani pembedahan untuk buang fibroid tersebut.
Lepas dah operate buang fibroid pada tahun 2017,
doktor jangkakan dalam tempoh 2 tahun kami akan dapat anak.
dan tepatlah seperti yang doktor tu ramalkan,
penghujung 2019 lahirlah anak kami.
Antara usaha lain yang kami ikhtiar ialah saya sendiri sebagai suami berhenti merokok pada bulan 11/2018. Sebab doktor pesan,
kalau kita merokok sperma jadi tak berkualiti.
Terima kasih juga kepada Mak, abang dan kakak saya yang juga berdoa di hadapan kaabah supaya kami suami isteri mendapat zuriat tersendiri.
Dikurniakan Anak ‘Kembar’ Tahun
Akhirnya..
setelah 9 tahun menunggu..
kami dah ada zuriat dari hasil perkahwinan kami sendiri.
Dan sekarang kami ada anak bukan 1,
tapi 2 sekaligus tuhan bagi kepada kami suami isteri.

So,
sepanjang saya berjauhan ni,
kedua-dua anak saya ni lah yang menemani saya di sana.
Kebetulan anak lelaki tu muka macam saya.
So, terubatlah rindu isteri saya bila melihat wajah anak saya.
Menurut Eddie, dia dah isteri berkeputusan mengambil anak angkat perempuan. Semasa perjanjian hendak mengambil anak angkat itulah isterinya disahkan mengandung.
Anak angkatnya itu dah dianggap macam anak sendiri malah penyeri hidup mereka. Dan itulah yang dimaksudkan anak-anaknya ‘kembar’ tahun.
Nampak tak,
Allah lahirkan mereka berdua disaat dan waktu yang diperlukan.
Dan disebabkan itulah saya juga sanggup berkorban demi membesarkan mereka dengan penuh kesempurnaan.
Isteri Cuma Minta Semangat Dan Sokongan Dari Kita..
InshaAllah..
Apa yang saya cuba nak sampaikan dekat sini.
Jika isteri anda tidak boleh mengandung sekalipun,
jangan ejek dia,
jangan jatuhkan semangat dia,
kerana sepanjang kami tiada anak,
Hari-hari isteri saya akan tanya,
“Bila kita nak ada anak..”
“Orang sana sini semua dah ada anak..”
“Yang itu baru kahwin dah ada anak..”
“Yang ini baru kahwin dah ada anak..”
Perempuan ni tak mintak banyak,
dia cuma mintak semangat dan sokongan dari kita.
Apa yang saya katakan pada isteri,
“Sabar, Allah lebih tahu bila dan ketika kita akan ada anak.. kalau kita tak ada anak sekalipun,
kasih sayang dan cinta saya kepada awak takkan pudar.. jangan risau.”
Kata-kata semangat macam tu yang isteri mahukan.
Sumber/Foto : Eddie Dieana
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI