HARAPAN

Setelah Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihanraya Umum ke-14 semalam, pelbagai harapan dikongsi oleh rakyat agar Malaysia ditadbir urus dengan lebih baik.Nukilan harapan yang dikongsikan oleh wanita ini, sebenarnya mewakili harapan setiap rakyat Malaysia agar kerajaan baru yang dipiih dapat melaksanakan tugas dengan lebih telus dan bertanggungjawab serta dapat mengotakan perkara-perkara yang telah dijanjikan.

Berikut antara perkongsian harapan yang dikongsikan oleh  Pnut Syafinaz;

Dari lubuk hati nurani seorang rakyat Malaysia

Sebagai penjawat awam, saya bekerja dengan kerajaan, kalau selama ini kami bekerja dengan kerajaan Barisan Nasional, hari ini kami sudah bertukar majikan. Kerajaan Pakatan Harapan ialah kerajaan baru pilihan rakyat Malaysia. Ya, Malaysia sudah membuat keputusan, dan kami penjawat awam akan terus bekerja dengan kerajaan yang baharu.

PAKATAN HARAPAN

Ia satu kejayaan, kejayaan menjatuhkan BARISAN NASIONAL yang sudah bertapak berpuluh tahun di negara kita. Satu perkara kita kena terima hakikatnya, apa yang kita nikmati hari ini, adalah hasil usaha keras pemimpin kita terdahulu, pilihan atok, nenek, emak ayah kita sekian lama. Tidak semua yang buruk diberi, ada juga banyak kebaikan dan manfaat kita dapat, tetapi dunia berputar, zaman teknologi ini, semua maklumat di hujung jari sahaja, segala yang ‘tidak kena’ mudah diketahui, Gelombang anak muda negara yang rata-rata celik teknologi dan mereka ni menguasai majoriti pengundi negara, dan semalam mereka ini telah bersuara. Kalau kita lihat, hampir semua bandar besar di negara kita PH menang. bukan menang kecil, tetapi menang besar, malah ada yang sangat besar majoritinya.

PH membawa harapan. Harapan golongan anak muda ini, harapan seluruh rakyat Malaysia, ramai pulang mengundi di kawasan masing-masing. Ramai yang boleh sahaja menukar tempat mengundi, tetapi ramai masih mahu kekal pulang ke negeri masing-masing untuk ‘bersuara’. Ada orang kata, susah payah balik kampung, kos minyak tol, kenapa tak tukar tempat mengundi? Ada yang menjawab “tempat kami kerja sekarang memang kuat PH, dan tiada masalah untuk memang, negeri kami ni masih samar-samar, kami mesti balik, kalau bukan kita balik ubah, siapa lagi,” Ye ke tahap itu semangat mengundi kali ini.

Buktikan Tadbir Lebih Baik

PH kena sedar, dan pemimpin PH kena sentiasa beringat, mereka sudah berikrar, berjanji dan nampaknya ikrar dan janji mereka disambut rakyat Malaysia. Jadi ini masa untuk kalian bekerja, buktikan seperti mana kalian buktikan di Selangor dan Pulau Pinang, negeri ini ditadbir lebih baik, lebih telus dan lebih disenangi. Ini masanya kalian membuktikan pada semua rakyat Malaysia yang telah memberi kalian majoriti yang besar untuk menang. Rakyat Malaysia memberi kejutan besar, dengan melenyapkan BN di negeri-negeri yang dahulunya kubu kuat BN, ini sangat mengejutkan bukan hanya kepada BN, malah pimpinan tertinggi PH sendiri.

IKLAN

Saya harap PH meletakkan calon menteri pilihan rakyat dalam barisan kabinet, bukan menteri atau menteri besar pilihan parti. Belajar dari kesilapan Kedah. Rakyat memilih Mukhriz sebagai MB Kedah, tetapi beliau ditolak oleh parti. MB pilihan parti diletakkan dengan alasan rakyat menolak Mukhriz. Akhirnya rakyat beritahu, kami mahu Mukhriz. PH letaklah calon yang benar layak, untuk barisan Menteri dan Menteri Besar yang layak dan disukai rakyat. Kalian membawa harapan rakyat, bukan harapan pimpinan tertinggi semata-mata.

Wanita Ini Kongsi HARAPAN Dari Lubuk Hati Nurani Seorang Rakyat Malaysia

‘Tempoh Percubaan’ 5 Tahun

Sebenarnya PH ini pun dalam ‘tempoh percubaan’ 5 tahun rakyat beri masa untuk kalian buktikan rakyat tidak salah memilih. 5 tahun ini untuk kalian menambah baik sistem pentadbiran, 5 tahun untuk kalian ubah sistem pendidikan, 5 tahun untuk kalian ubah eknonomi negara, 5 tahun untuk kalian untuk kalian rombak bidang kesihatan dan peruabatan, 5 tahun kalian KENA buat orang percaya, 5 tahun bukan 5 bulan. Bukan satu tempoh yang panjang sebenarnya, tidak banyak yang mampu dibuat dalam tempoh 5 tahun, tetapi ada banyak perkara juga yang boleh dilakukan dalam tempoh ini.

IKLAN

Apa pun kerajaan BN dahulu juga kita kena akui jasa kepimpinan mereka juga, apa yang kita nikmati hari ini (yang baik dan yang buruk) juga hasil pemerintahan mereka juga. Terima kasih pemimpin dahulu, semoga pemimpin BN yang benar ikhlas berjuang untuk rakyat, akan terus bersama-sama kerajaan PH bekerjasama demi rakyat. Dan pada PH, ampa semua dah lama jadi pembangkang, bila dah jadi pemerintah jangan belakangkan juga pilihan rakyat yang memilih BN dalam PRU 14.

Kepada wakil rakyat BN, jadilah pembangkang yang hebat. Kita perlukan ‘check and balance’ dalam sistem pemerintahan negara. Jadilah pembangkang yang mendengar suara rakyat, jadilah pembangkang yang rajin mengkaji, memberi idea yang bagus, memberi hujah yang bernas, menjadi ‘pembangkang’ yang membangkang apa perkara yang dirasakan kerajaan buat tidak kena dan tidak sesuai. Tidak semua yang kerajaan buat itu sesuai untuk dilaksanakan, maka tugas pembangkang, membangkang dan menolak.

Magis Tun Mahathir

Disebalik semua yang berlaku ini, ada suatu magis yang kita kena akui. iaitu TUN MAHATHIR. Bertahun PH cuba jatuhkan BN, mereka tidak mampu, tetapi dengan adanya ‘atok’ umur 93 tahun ini, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, turun mengundi. Aura Tun masih kuat, terlalu kuat.

IKLAN

Kita pulang bersama-sama meredah lebuhraya yang beliau usahakan pada zamannya, kita pulang memandu kereta buatan Malaysia, juga hasil usahanya. Kita naik kapal terbang, yang beroperasi di KLIA, juga hasil usaha beliau, kita belajar dulu dapat biasiswa JPA, pinjaman JPA, juga pada zaman beliau, kita nikmati kemudahan internet yang bagus, hasil usaha beliau bangunkan MSC dan Cyberjaya dan hari ini beliau sekali lagi mencipta sejarah bersama-sama kita. itulah dia TUN MAHATHIR. Semoga dia kembalikan apa kita nikmati dahulu kepada anak dan cucu kita, itu hak mereka di bumi Malaysia.

Selamat Maju Jaya kepada kerajaan Malaysia, Selamat Maju Jaya kepada barisan pembangkang baharu negara. Kalian semua dipilih rakyat, dan tidak mustahil rakyat juga akan menolak semula kalian 5 tahun akan datang!

Jadi buktikan kepada kami semua, kalian mampu dan boleh!

Don’t talk, just act!
Don’t say, just show!
Don’t promise, just prove!

Sumber: Pnut Syafinaz

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI