Wanita didakwa bunuh kanak-kanak tujuh tahun sugul di mahkamah, berdepan hukuman 30-40 tahun penjara. Seorang wanita yang didakwa membunuh kanak-kanak berusia 7 tahun kini hanya mampu berserah kepada takdir akan perjalanan hidupnya.
Saniah Osman, 55 tahun berdepan tuduhan membunuh membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Pasir Gudang di sini, Disember lalu kelihatan sugul dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Ads
Ads
Saniah yang juga seorang peniaga dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh Muhammad Aswad Muhammad Fairuz di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara jam 7.30 malam, 29 Disember hingga jam 1.30 pagi, 30 Disember tahun lalu.
Ads
Memetik laporan Harian Metro, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan post mortem, kimia dan DNA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu tertinggal anak dalam kereta sukar kawal emosi, dilihat menangis saat tunggu jenazah di unit forensik. Tiada kata-kata mampu menggantikan perkara yang telah terjadi. Inilah yang berlaku kepada seorang ibu yang tanpa sengaja tertinggal anak kecilnya yang berusia dua tahun di dalam kereta dalam satu kejadian di Seremban hingga membawa kepada asbab anak kecilnya meninggal dunia semalam.
Hari ini, tangisan dan kesedihan mengiringi suasana di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, apabila ahli keluarga kepada kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia di dalam kereta petang semalam menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan.
Paling terkesan pastinya kedua ibu bapa anak syurga ini kerana keduanya dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya tangisan mungkin mampu melegakan perasaan tatkala diuji dengan kejadian sedih begini.
Kedatangan ahli keluarga dan kenalan yang memberikan kata-kata semangat buat ibu bapa kanak-kanak yang meninggal ini menambahkan lagu suasana pilu.
Memetik laporan Harian Metro, ahli keluarga dilihat tiba di unit berkenaan jam 11.45 pagi namun pihak media difahamkan bedah siasat dijalankan jam 2 petang.
Pihak media cuba mendapatkan ahli keluarga, namun mereka kelihatan tidak bersedia untuk ditemubual.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan bedah siasat bermula jam 2 petang di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya belum memutuskan jumlah saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menunggu keputusan punca kematian.
“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada kewujudan pengabaian ibu bapa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah bank di Seremban hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta ketika mahu pulang ke rumah pada jam 5 petang.
Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak jam 8 pagi apabila ibunya terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh.
Polis turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kes bunuh suami isteri di bilik tidur selesai, guru besar alami kemurungan sejak pindah ke sekolah baru. Kejadian tragis suami isteri ditemui mati dalam bilik tidur di Sri Aman, Sibu dalam kejadian 14 Januari lalu kini terjawab.
Bukan kecurian atau rumah dimasuki orang asing sebaliknya kemurungan dikenal pasti punca pembunuhan melibatkan Andy Roy Anak Junran, guru besar di SK Bangkli dan isterinya, Angelin Kibin yang bertugas di Hospital Sri Aman.
Memetik laporan Berita Harian, hal ini dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah. Beliau berkata, berdasarkan keterangan keluarga, kawan dan rakan sekerja, lelaki itu yang juga guru besar dikatakan mengalami kemurungan sejak bertukar ke sekolah di Lubok Antu, Sri Aman.
“Laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu juga tidak menemui asid deoksiribonukleik (DNA) asing. Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam itu, justeru rumusan yang kita boleh buat ialah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri berkenaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berusia 45 dan 44 tahun ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius pada tubuh mereka di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman di mana anak mangsa menemui ibu bapa mereka dalam keadaan berlumuran darah di bilik tidur utama.
Polis yang menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan terbabit yang tidak sedarkan diri pada jam 6.55 pagi.
Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.
Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang bertugas sebagai guru besar dan isterinya berumur 44 tahun, seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Zainal berkata, sepanjang siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi dalam kalangan ahli keluarga, jiran, kawan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa.
Selain itu, beliau berkata, polis turut merakam keterangan pakar patologi yang melaksanakan proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa.
“Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan pecah rumah atau barangan hilang jika ia kes samun.
“Polis kini hanya menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa dan laporan itu nanti mungkin membolehkan kami mengetahui lebih lanjut motif sebenar kejadian itu selain kemurungan,” katanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri meninggal selepas tiga bulan diuji pemergian anak akibat jantung bengkak, lelaki akui hati rasa kosong & berat. Tiada apa yang lebih memilukan saat diuji dengan pemergian insan dikasihi.
Bukan seorang tapi berdua hanya berselang tiga bulan dan kedua-duanya atas asbab yang sama iaitu jantung bengkak. Kesunyian dilalui oleh Wan Fawwaz Aiman Wan Nazdi, 27 selepas diuji bermula dengan anak tunggalnya, Wan Hayder Rizq Wan Fawwaz Aiman akibat jantung bengkak, tiga bulan kemudian isterinya, Nur Hafizah Mohamad Nasir mengikut jejak anak kesayangan mereka meninggalkan dirinya keseorangan.
Dirinya harus akur menerima takdir yang tertulis bahawa dirinya perlu menjalani kehidupan sendiri apabila kedua-dua insan dikasihinya pergi berselang tiga bulan. Takdir yang berat kerana kehilangan dua insan belahan jiwanya.
Lebih memilukan, saat sebelum isterinya dijemput Illahi, arwah yang berusia 27 tahun sering memuat naik video kenangan bersama anak syurga mereka termasuk menyatakan kerinduan terhadap Wan Hayder sebelum mengikut jejak anaknya itu asbab masalah sakit yang sama. Jenazah ibu dan anak itu juga disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Kamloon, dekat sini.
Memetik laporan Harian Metro, berkongsi kisahnya, Wan Fawwaz Aiman yang bekerja sebagai eksekutif kawalan kualiti mengakui berat untuknya menerima hakikat pemergian anak dan isterinya dalam jarak waktu yang dekat.
“Rasa kosong dan gelap dunia ini bila isteri tinggalkan saya (meninggal dunia) kelmarin. Pandangan saya kosong sampai kalau orang nak marah, puji, nak bagi duit pun tak rasa apa.
“Awalnya susah nak terima kerana Oktober lalu, saya kehilangan anak ketika usianya baru setahun enam bulan selepas hampir setahun menderita akibat jantung bengkak.
“Kelmarin, isteri pula meninggalkan saya tapi bila keluarga pujuk, saya cuba reda dan berdamai dengan takdir.
“Pemergian mereka mudah kerana tak sakit lama. Sebelum ini, arwah isteri selalu cakap rindu Hayder (nama panggilan anak) dan nak jumpa anak…arwah kata tunggu ibu sampai dan kini dia pun sudah pergi bersama anak kami.
“Sedih kerana kami sudah siapkan sudut permainan untuk anak tapi ketika masih ada, anak hanya dapat tengok saya tapi tak sempat bermain kerana tak larat ,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi kenangan terakhir, Wan Fawwaz Aiman berkata, dia dan isteri sempat keluar makan sehari sebelum Allahyarham Nur Hafizah meninggal dunia
Katanya, isterinya nampak berbeza kerana hanya mengikut keinginannya untuk makan di luar dan tidak membantah kerana sebelum ini, Allahyarham suka mengingatkan untuk berjimat.
“Arwah okay tapi nampak lain kerana ikut saja apa saya nak dan waktu kami makan char kuey teow, dia mengadu sakit dada.
“Sakit itu masih tak hilang selepas kami tiba di rumah dan arwah sempat minta tolong saya dengan ibu untuk urutkan badannya.
“Bila diajak ke hospital dia tak mahu tapi keesokannya dalam jam empat pagi, arwah bangun dan beritahu nak ke hospital. Kemudian saya beritahunya nak cuci muka dulu… ketika dalam tandas, saya dengar bunyi daripada luar dan bila keluar, isteri sudah rebah.
“Saya terus hubungi ambulans dan isteri disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital kira-kira jam 5 pagi tapi sebenarnya dia sudah tak bernyawa ketika dalam ambulans lagi,” katanya.
Wan Fawwaz Aiman berkata, dia dan isteri sepatutnya ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Julai nanti.
Bagaimanapun, hasrat Nur Hafizah tidak kesampaian walaupun sangat teruja untuk ke Tanah Suci.
“Awalnya isteri tak yakin nak pergi kerana katanya banyak dosa tapi akhirnya dia yang teruja. Malam sebelum meninggal dunia pun, isteri beritahu tak mahu sakit lagi kerana nak buat umrah dulu dan minta janji dengannya jangan kahwin lagi jika terjadi apa apa.
“Tak sangka itu menjadi antara perbualan terakhir kami sebelum arwah meninggalkan saya buat selamanya,” katanya
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!