Dalam hidup kita, ujian datang dan pergi. Jangan jadikan ujian sebagai pengakhiran hidup sebaliknya cuba bertenang dan berikhtiar untuk atasinya. Setiap kali diuji, ingatlah bahawa Allah itu sentiasa ada dan berdoa agar Allah permudahkan segalanya.

Walaupun diuji sakit dan kehilangan, berserahlah pada Allah bahawa Dia lah sebaik-baik perancang.

Ikuti perkongsian, Ezatul Marini :

Salam Jumaat

Maknanya sudah tiga Jumaat kami berurusan di Hospital Ampang bermula 14 Februari 2020 untuk CT Scan, 21 Februari 2020 temujanji doktor untuk bincangkan hasil perjumpaan dengan Doktor Muthu dan pasukannya di HKL dan hari ini, 28 Februari 2020 temujanji untuk tentukan tarikh kimoterapi pusingan ke 7.

Perasaannya? Biasa- biasa sahaja, tenang juga. Terima kasih Anum kerana ajarkan konsep tenang itu. Sekarang saya mampu senyum untuk apa sahaja yang berlaku. Why worry ye dak? Allah knows, Allah permits, Allah has the solution. Kita tinggal ikhtiar dan doa. Jangan peluk tubuh sambil kutik- kutik kaki pula bila macam tu.

Apa yang saya belajar sepanjang lebih 13 bulan ini? Sungguh ia jadi perjalanan yang sangat indah bila kita faham. Ramai orang fikir saya kuat. Terlalu kuat menahan rasa dan kekal redha dengan kehilangan suami yang mengejut dalam kemalangan yang turut menjadikan saya kurang upaya berjalan sempurna. Kemalangan yang juga merenggut hati saya bila anak perempuan juga diuji cedera parah. 2 kali dibedah cukup melelahkan.

IKLAN

Diikuti pula hadiah ujian disahkan kanser 9 bulan selepas pemergian suami. Dibedah sekali lagi untuk membuang tumor di bahagian rahim dan menghadap 6 kali kimoterapi dan insya-Allah susulan 3 lagi sesi.

Sebetulnya seperti yang saya pernah coretkan, saya tidak kuat tetapi kekal usaha bersabar. Kerana, bila kita cuba sabar, kita juga akan cuba terima segala yang terjadi dengan lapang dada.

Semuanya Kerana Allah

Alhamdulillah! Allah kirimkan ramai insan‐ insan baik untuk saya terima beberapa perkara:

  1. HANYA ALLAH YANG TAHU

Semua perkara dalam perancangan Allah. Kita takkan pernah tahu apa bakal terjadi walaupun dalam jangka 1 saat dari sekarang. Kita rancang itu, kita rancang ini tapi Allah tahu apa yang terbaik.

IKLAN
  1. MATI ITU PASTI

Syarat mati bukan tua, tidak juga terlantar sakit lama. Syarat mati adalah hidup. Semua yang bernyawa akan bertemu garis penamatnya. Yang perlu kita usahakan adalah bertemu Pencipta dalam keadaan siaga. Siaga dari segi khusnul khotimah, mampu syahadah, sempat bertaubat dan kekal utuh dalam jalan agama.

  1. UJIAN UNTUK DISYUKURI

Syukur diberi ujian, syukur Allah masih cakna dan memilih kita melalui fasa ujian itu. Syukur kerana ujian itu eksklusif, kerana Allah tahu kita mampu. Syukur dan tenang bila kita mampu ingatkan diri Allah tidak akan uji lebih dari kemampuan kita

  1. ALLAH ITU DEKAT

Bila diuji, kita cari Allah. Kalau boleh setiap masa nak jadi hamba Allah yang baik. Fokus ibadat jadi berubah. Bukan lagi fokusnya untuk dapat apa yang kita mahu tapi lebih kepada mensyukuri nikmat Allah dan mahu Allah gembira dengan kita. Kita “reconnect” dengan Al-Quran, dengan hal-hal rohani. Kita sedar kita sangat kecil.

IKLAN
  1. SAYANG SEMUA ORANG

Masa kita di dunia semakin pendek. Rugi kalau selama ini kita ada bermasam muka, kecil hati atau tak bertegur sapa. Entah berapa lama lagi masa yang kita ada. Takkan kita nak menangis meraung mengenang orang yang sudah tiada sedang semasa hidupnya kita kurang kenangan indah dengan beliau.

  1. ALLAH TAKKAN ZALIM PADA HAMBANYA

Itu yang utama. Apa yang Allah buat tidak akan pernah menyusahkan hamba-Nya. Pandang hikmahnya. Mungkin tak nampak sekarang tapi pasti suatu hari kita akan dapat. Tiada yang salah pada takdir Allah.

  1. ALLAH GANTI APA YANG KITA HILANG DENGAN YANG LEBIH BAIK

Allah bila ambil sesuatu dari kita, tidak akan pernah ganti dengan yang sama atau kurang. Allah pasti akan ganti dengan yang lebih baik. Buat setakat ini, saya nampak Allah gantikan dengan saya kembali berhubung dengan-Nya dan Al-Quran dan saya berusaha menjadi hamba-Nya yang musleh. Belum boleh dikatakan saya sudah 360° berubah tapi saya sedang usahakan In sha Allah.

Buat kawan- kawan yang barangkali melalui perjalanan yang hampir sama, jangan bersedih. Tenang- tenang aje ye.

Sumber: Ezatul Marini

MW: Semoga kita menjadi insan yang lebih tenang dalam menghadapi setiap ujian yang datang dari Allah SWT. Ujian itu tandanya Allah sayangkan kita dan ingin kita semakin dekat dengan-Nya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI