
“Mak ayah, kalau ada anak jangan terlalu yakin yang anak-anak akan jaga anda bila tiba waktu tua. Anak anda anak yang baik tetapi pasangan mereka mungkin lain perangainya.”
Ini antara perkongsian Hafiz Mustapge CuteCarry (Certified Image Consultant DLKM (JPK) Tahap 5, yang akan buat anda berfikir dalam-dalam. Kerana, dalam soal masa depan sememangnya amat sukar untuk diduga.
Awak Tiada Anak, Esok Tua Siapa Hendak Jaga?
Seorang wanita tanya saya “awak tiada anak esok tua siapa hendak jaga?”
Saya ketawa tanya dia balik “puan confident ke bila dah tua esok anak-anak puan akan jaga puan?”
Saya dah biasa diajukan soalan ini dan oleh itu sedikit pun tidak sentap. Serious saya okay je.
Saya pernah ke Pusat Penjagaan Orang Tua. Bila ditanya 90% daripada warga tua tersebut ada anak. Mana pergi anak mereka dan kenapa dihantar ke rumah orang tua?
Jika ada anak jangan terlalu yakin mereka akan menjaga anda bila tua nanti. Anak anda anak yang baik tetapi pasangan mereka mungkin lain perangainya.
Simpanlah duit untuk hari tua. Betapa ramai warga tua yang sudah pencen kena bekerja kembali kerana duit habis sebab bagi anak.
Seorang pakcik berusia 65 tahun pinjam sana sini sebab duit pencen habis bagi modal anak buka kedai runcit. Tapi anaknya jenis budak main-main buat business. Habis duit sampai tutup kedai.
Jika Anak Jaga Waktu Tua, Itu Bonus
Kisah lagi satu ialah makcik yang semua anak perempuan. Masa muda makcik dan arwah suami susah payah habis duit untuk anak-anaknya untuk universiti. Tapi semua anak kahwin awal dan tak bekerja jaga anak. Makcik tu pun nasib baik survive dengan duit pencen. Simpanan pun takde sangat. Taklah merasa senang sangat bila dah pencen.
Jangan belanja habis tau duit gratuiti, golden handshakes, KWSP dan sebagainya. Simpanlah.
Waktu tua sepatutnya relaks bukan stress duit tak cukup sebab anak-anak.
Jika anak anda jaga waktu tua itu adalah bonus. Saya tidaklah anak yang baik sangat.
Setakat ini saya hanya mampu beri my parents rumah semi D sebiji, kereta sebiji dan duit poket empat angka seorang untuk ibu bapa. Cukuplah untuk mereka belanja hari-hari. Bapa pun ada pencen. (mungkin lebih dari cukup kut).
So ingat lah jangan obses confident ada anak. You’ll never know your future.
Tapi jika orang tanya anak berapa janganlah meroyan mungkin dia hanya nak bersembang. Rezeki keturunan akan datang tepat pada masanya.
Positif tau. Saya pun positif yang perempuan tu hanya concern about my future. Jangan marah-marah tau.
Ada pengalaman ditanya soalan macam tu?
Share sikit.
Love Hafiz #cutecarry
Baca sini : Jaga mak ayah dah tua tak perlu diingatkan, sendiri kena sedar
Sumber/Foto : CuteCarry , instagram CuteCarry
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Inilah Jelmaan Sad Parenting..’ Elakkan Anak Lalui Krisis Kehidupan Seorang ‘Joker’

Realitinya mak ayah.. membesarkan anak dengan ’sad parenting’ itu sememangnya wujud. Watak Joker adalah jelmaan ‘sad parenting’. Iaitu sejak kecil, anak melihat malah melalui krisis kehidupan yang bermacam, dan akhirnya itulah yang membentuk keperibadiannya.
Puan Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) ini memberi penjelasan detail bagaimana krisis ‘sad parenting’ dalam diri seorang anak membuatkan masa depannya jadi lebih kelam.
Moga keluarga kita dijauhkan dari semua ini. Ambil ikhtibarnya ya.
KRISIS DALAM HIDUP SEORANG ‘JOKER’
Watak Joker bukanlah terhasil dari ‘BAD PARENTING’.
Bagi saya Joker adalah jelmaan ‘SAD PARENTING’ dan pelbagai krisis yang dialami dalam hidupnya dari kecil.
Ibu Arthur hidup dalam kesedihan dan kemurungan selama 30 tahun membesarkannya dan selama itu jugalah Arthur juga hidup dalam kesedihan dan kemurungan yang perlu dinafikan dan dipakaikan topeng.
1. KRISIS KETIADAAN BAPA
Dalam dunia realiti, Amerika Syarikat sedang mengalami krisis ketiadaan bapa (father absence crisis) yang buruk dalam sejarah negara mereka. Menurut U.S Census Bureau 2017, 19.7 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat, iaitu lebih dari 1 daripada 4 kanak-kanak, tinggal di dalam rumah tanpa figura seorang ayah, baik ayah kandung, ayah tiri ataupun ayah angkat.
Bukan itu sahaja, dalam hampir kesemua masalah sosial yang berlaku di Amerika Syarikat, faktor ayah menjadi penyebab utamanya.
Watak ‘Arthur’ yang akhirnya menjadi penjenayah tegar dikenali sebagai ‘Joker’ mewakili mereka yang membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Walau apa jua masalah kesihatan mental yang dihadapi Arthur, dia mendambakan kehadiran figura ayah yang memeluknya, yang prihatin tentang dirinya, seperti yang diluahkan kepada Thomas Wayne: yang menghargai, dan yang sanggup berkorban apa sahaja kerananya seperti yang diucapkan Murray Franklin dalam delusi Arthur.
“You know this stuff, the lights, the show, the audience, all that stuff, I’d give it all up in a heartbeat to have a kid like you.”
Seumur hidupnya semua ini tidak pernah dirasainya sehingga membawa kepada kesakitan yang tidak mampu diluahkan.
Krisis sebegini bukan hanya masalah di Amerika Syarikat ataupun dalam dunia fiksyen komik DC semata-mata. Ketika Wacana Khas Gejala Sosial: Isu Anak Tak Sah Taraf yang diadakan di tanah air kita pada tahun 2011, pengukuhan kepemimpinan bapa atau golongan lelaki dalam keluarga menjadi fokus utama wacana kerana faktor kelemahan kepimpinan seorang ayah adalah penyumbang utama gejala anak luar nikah di negara kita.
2. KRISIS PENAFIAN EMOSI
Apabila ibu Arthur menceritakan kepada Pakar Psikiatri tentang Arthur yang sentiasa gembira semasa kecil dan dia tidak pernah melihat anaknya menangis, saya terus terfikir itu bukanlah sifat seorang anak yang seharusnya melegakan bagi seorang ibu.
Anak yang tidak menangis belum tentu menggambarkan anak yang sihat perkembangan mental dan emosinya. Setiap kanak-kanak akan menangis dan perlu menangis. Menangis bukanlah sesuatu yang negatif baik bagi anak perempuan ataupun anak lelaki.
Menangis bukanlah lambang kelemahan tetapi menangis adalah luahan emosi yang perlu diizinkan dan dibimbing kerana anak sedang membina kekuatan dalaman.
Bagi saya, menggelarkan Arthur dengan nama panggilan ‘HAPPY’ adalah satu cubaan oleh ibunya untuk memaksa Arthur supaya menyembunyikan perasaan dan memendam kedukaannya.
Memendam perasaan tidak akan menyahkan perasaan itu, sebaliknya memendam perasaan hanya akan merobek-robek jiwa dan kewarasan secara perlahan-lahan dari dalam diri.
Penafian emosi akan melahirkan masyarakat yang tiada empati, yang tidak dapat memahami perasaan orang lain, yang tidak peduli dengan kesengsaraan dan kedukaan orang lain yang akhirnya akan meruntuhkan masyarakat sebagaimana yang berlaku di Gotham City.
3. KRISIS KEPERCAYAAN
Arthur mengalami krisis kepercayaan yang sangat kritikal dalam hidupnya. Arthur diabaikan dan didera fizikal, mental dan emosi oleh individu yang rapat dengannya sewaktu kecil. Usia awal adalah fasa di mana seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekelilingnya dan membina kepercayaan kepada kemampuan dirinya sendiri. Penderaan semasa kecil akan meninggalkan kesan yang berpanjangan sekiranya anak yang didera tidak mendapat bantuan dan intervensi yang sewajarnya.
Seumur hidupnya dia tercari-cari individu yang boleh dipercayainya.
Hilangnya kepercayaan ini jugalah yang menyebabkan dia membunuh ibunya sendiri iaitu satu-satunya insan yang dipercayainya selama ini dan telah mengkhianatinya.
Kemarahan Arthur memuncak menjadi satu kegilaan apabila Murray Franklin, individu yang dibayangkan sebagai figura seorang ayah dan dikaguminya selama ini juga telah mengkhianati kepercayaannya. Arthur dimalukan oleh Murray di kaca tv untuk tontonan semua.
Plot ‘PUBLIC SHAMING’ sebegini mengingatkan saya kepada kejadian di tanah air kita sendiri di mana seorang ayah tergamak memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah anak itu dipukulnya. Begitu juga seorang ibu yang sanggup memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah ‘mengajarnya’ dengan melukis mata panda.
Tiada bezanya public shaming di dunia realiti di tanahair kita ini dengan public shaming dalam filem Joker ini.
4. KRISIS PERHATIAN
In my whole life, I didn’t know if I even really existed. But I do. And people are starting to notice.” Luah Arthur.
Apabila kewujudan seseorang diberikan perhatian hanya setelah dia melakukan kesalahan (atau jenayah), maka individu tersebut akan terus melakukan jenayah kerana hanya dengan cara itu dia menjadi perhatian dalam masyarakat.
Anak-anak kita juga begitu.
Sekiranya dengan melakukan kesalahan, kesilapan, tidak mendengar kata, sepah, melawan, degil anak mendapat perhatian kita sedangkan apabila dia berbuat kebaikan kita langsung tidak hargai dan endahkan, maka dia akan terus melakukan perkara yang negatif itu kerana hanya dengan begitu dia mendapat perhatian.
NEGATIVE ATTENTION IS ATTENTION
Semoga krisis ketiadaan bapa, krisis kepercayaan, krisis penafian emosi, krisis perhatian dan ‘sad parenting’ tidak berlaku dan berleluasa dalam negara kita ini kerana kita belum tentu dapat melahirkan BATMAN untuk berhadapan dengan Joker tersebut.
Sumber/Foto : Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy
Kredit foto: Niko Tavernise.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kita Bukanlah Mak Terbaik, Ada Hari ‘Down’ Tapi Percayalah Anak BANGGA Dengan Maknya!

Bohonglah kalau mak tak pernah rasa nak marah, ‘down’ dan tiba-tiba rasa dirinya bukanlah mak terbaik untuk keluarga dan anak-anak. Mesti ada walaupun hanya sekelumit.
Sebabnya, kita bukanlah mak terbaik. Ada hari, kita rasa nak marah dengan peel anak-anak yang tak nak dengar kata. Setiap hari juga rutin mak-mak adalah perkara yang sama. Dalam sebulan mesti akan ada perasaan ini.
Beruntunglah mak-mak yang tak pernah lalui semua ini. Rasanya boleh digelar mak terbaik. Tak pernah rasa penat, gembira sepanjang masa, tak ada stres dan sebagainya. Apakan daya ini mungkin dalam mimpi.
Hakikatnya, inilah terjadi pada kebanyakan mak. Dia bukanlah terbaik. Namun, dalak kemarahan, rasa down ini, anaklah yang paling bangga melihat kecekalan ibunya dalam uruskan rumahtangga.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Jangan Rosakkan Sel Otak Anak, Elakkan Bagi Air Manis Waktu Pagi
“Nak Mak Dan Ayah Bersama Balik”, Inilah Hadiah Harijadi Permintaan Anak Pada Ayahnya
Info Lebih Menarik DI SINI
Bukan Mak Terbaik Kerana Kita Semua Sempurna
Bila jadi mak ni,
Ada hari yang kita rasa down, rasa bukan mak yang terbaik, rasa teruk.
Rasa loser.
Bila kita bekerja, kita tertekan dengan kerja. Nak uruskan rumahtangga lagi. Sama juga yang surirumah. Bukan duduk saja sambil goyang kaki. Setiap hari tak sempat dan terlupa lansung untuk fikir emosi sendiri. Akhirnya, kita marah anak-anak bila tak dapat kawal lagi diri.
Ada masa, kita fikir tak henti. Overthinking untuk benda yang tak pasti. Bila anak buat bising, habis kita jerit sana sini. Silap-silap ternaik tangan sebab sabar tak ada lagi.
Memang ada hari yang begitu kan?
Hari yang kita lansung tak waras lagi.
Hari Paling Teruk
Dalam 30 hari,
Pasti ada hari yang kita akan rasa diri sangat teruk.
Pasti ada hari kita rasa nak larikan diri dari semua masalah.
Pasti ada hari yang kita menangis tanpa kita sendiri tak tahu kenapa.
Pasti ada hari yang kita tidur keletihan di sofa sambil berlinangan air mata.
Ingatlah, Kita semua, mak yang hebat
.
Bila terlalu sayangkan anak-anak dan keluarga, kita sanggup buat apa saja untuk mereka,
Kita pulas habis kudrat yang ada asalkan mereka bahagia. Bukan bermakna kita teruk bila marah mengamuk begitu.
Rutin Yang Sama
Ada hari kita juga lelah dan tak berdaya,tak henti-henti salahkan diri dan rasa tak berguna.
Kalian tahu kenapa rasa begitu? Kerana setiap hari kita ulang buat rutin yang sama.
Kita terlalu penat, itu saja. Superhero pun bukan sentiasa menang kan? Inikan pula kita yang biasa-biasa.
Kita manusia biasa, You are not alone,
Kita semua pernah merasainya.
Please be easy to yourself,
Please forgive yourself,
Please love yourself.
Ada masa kita rasa terlalu marah dan kecewa. Tak apa, kita pasti boleh lalui semua ni, Allah kan ada.
Ada masa kita terlalu takut. Menangislah, Allah sentiasa ada dengan kita.
Ada masa kita rasa lost, rasa tak ada lagi erti hidup,
Pandanglah mata anak anak, Lihat bertapa besar jiwa mereka,
Betapa mereka bangga dengan kita dan sayangkan kita.
Ingatlah, kita sangat kuat walaupun jatuh terduduk lelah dengan urusan dunia.
Kita masih tetap bersinar, walaupun ada hari kita mendung, gelap gelita.
Ingatlah, kita sangat hebat sebenarnya.
Kita semua sama. Forgive yourself.
Kerana kita semua tak sempurna.
Hari ini kita rasa gagal,
Insya Allah esok, lusa pasti kita bangkit semula.
Mingguan Wanita : Kita bukanlah mak yang terbaik tapi akan cuba sedaya upaya menjadi terbaik untuk suami, anak dan keluarga.
Sumber: Syahirah Omar
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Sebumbung Tapi Tak Sekatil’ Ada Sebab Kenapa Tak Boleh Anggap Tidur Berasingan Suami Isteri Satu Kebiasaan

Biasa dengarkan suami isteri, yang tinggal sebumbung, tapi tak tidur sekatil. Dengan kata mudahnya, tidur berasingan. Kebiasaan ini normal bagi pasangan yang dah berusia. Banyak alasan yang mereka beri.
Tapi, tahukah wahai suami mahupun isteri, inilah kebiasaan yang boleh merenggangkan kasih sayang antara suami isteri. Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan apa perlunya suami isteri tidur bersama.

Tidur Berasingan Suami Isteri, Ini Kebiasaan Yang Melonggarkan Kasih Sayang
Dalam jangka panjang, apabila suami isteri tidur berasingan ikatan hubungan akan longgar dan kasih sayang akan sedikit demi sedikit menjadi pudar. Ini berlawanan dengan konsep dan tujuan perkahwinan.
Dalam ajaran agama Islam matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) danRahmah (rahmat Allah SWT). Kita amat memerlukan generasi yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika isu ini tidak diselesaikan di peringkat suami isteri dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku anak-anak yang akhirnya tiada erti keluarga bahagia yang boleh memberi jaminan kepada masa depan negara.
Jika Tak Boleh Elak, Ini Syarat Tidur Berasingan
Hukumnya harus bagi suami isteri tidur berasingan. Namun adalah lebih baik dan afdhal suami isteri tidur satu bantal di atas satu tempat tidur di dalam satu bilik. Walaupun tidur berasingan adalah wajib bagi isteri melayan suami pada waktu malam terutamanya hubungan kelamin kerana ada hadith sahih mengenainya.
Cuma Dibenarkan 3 Hari Tidur Asing
Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Ini bermakna pasangan berkongsi kasih sayang, berkongsi perasaan, berkongsi masalah, berkongsi pengalaman seharian, berkongsi tempat tinggal, berkongsi anak-anak dan berkongsi aspek lain.
Jika suami isteri tidur berasingan hanya kerana protes perkara kecil sehingga mementingkan diri sendiri, ianya akan mendatangkan konflik rumah tangga. Hidup mementingkan diri tanpa memikirkan keperluan dan keselamatan keluarga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta perlu dielakkan.
Walau bagaimana pun dalam ajaran Islam salah satu cara untuk mendidik isteri yang tidak taat adalah mengasingkan tempat tidur dengan isteri jika suami telah berbincang dan menasihati isteri untuk taat dengan permintaan suami (yang tidak bercanggah dengan syariat Islam).
Itupun hanya dibenarkan selama 3 hari sahaja. Jika lebih dari 3 hari selepas mengasingkan tidur bersama isteri, suami boleh pergi ke Mahakamah Syariah untuk menuntut isteri kembali taat sebelum mengisytihar isterinya Nusyuz.
Kenapa Suami Isteri Pilih Tidur Berasingan
Pertama : Selisih Faham
Pasangan yang mengalami konflik akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan kadangkala ego yang tinggi di antara keduanya ketika menghadapi masalah rumah tangga boleh menjadi salah satu punca.
Masalah rumah tangga tersebut disebabkan oleh pelbagai masalah seperti masalah komunikasi, masalah kewangan, masalah seksual, masalah akhlak dan lain-lain lagi. Akibat daripada itu, pasangan akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Kedua : Terlalu Penat Bekerja
Oleh kerana keadaan kewangan keluarga mendesak disamping kehendak sosial yang berlebihan, suami dan isteri berkerja keras untuk menambah pendapatan sehingga tidak mengira waktu siang atau malam.
Akibat keletihan akhirnya pasangan tidak begitu kisah jika tidur berasingan kerana faham masing-masing penat dan letih. Contohnya suami sering pulang lewat malam sedangkan isteri telah tidur terlebih awal.
Suami menonton televisyen sehingga tertidur di ruang menonton. Kesan daripada rutin tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak kisah tidur berasingan kerana selesa tidur tanpa diganggu.
Ketiga : Inginkan Privasi
Ia bergantung kepada cara hidup yang diamalkan oleh pasangan. Pasangan yang terdidik sebelum berkahwin mempunyai ruang privasi boleh menjadi salah satu punca tidur berasingan.
Ini kerana mereka telah selesa mempunyai bilik sendiri, cara tersendiri dan meluangkan masa di bilik sendiri walaupun hubungan suami isteri masih tetap berjalan seperti biasa.
Keempat : Suami Atau Isteri Ada Penyakit
Isu penyakit juga boleh jadi salah satu sebab terutamanya suami atau isteri mengalami penyakit penyakit berjangkit, penyakit fizikal (contoh kes suami pernah mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan sakit pinggang, isteri pula tidur lasak sehingga banyak kali tertendang pinggang suami) serta penyakit berkaitan psikologi (perangai dan tingkah laku) dan penyakit psikiatri (emosi dan perasaan).
Isteri Pilih Tidur Dengan Anak Kerana..
- Isteri telah merajuk dengan suami kerana berselisih faham
- Isteri telah terbiasa tidur dengan anak sejak melahirkan anak
- Isteri telah berasa risau dengan keperluan anak di tengah malam (anak mahu susu, mahu buang air kecil, anak demam, dan sebagainya)
- Isteri telah menunaikan permintaan anak untuk tidur bersama kerana berasa takut tidur berseorangan
Fakta Ini Memang Mengejutkan
Menurut Ustazah Maryam, “Belum ada statistik spesifik kepada kes berpisah ranjang. Namun kebiasaanya pasangan yang berpisah ranjang adalah disebabkan konflik rumah tangga yang bermula daripada masalah akhlak yang buruk.”
Berdasarkan statistik Aduan Kekeluargaan di Jabatan Agama Islam Selangor, masalah tertinggi pada tahun 2016 ialah Masalah Akhlak iaitu sebanyak 19,255 aduan.
Ada sebanyak 42 jenis aduan dalam Masalah Akhlak dan yang paling tinggi ialah Suka Menyakiti Hati Pasangan iaitu sebanyak 1,192 aduan mengenainya dalam tahun tersebut.
Manakala pada tahun 2017, Masalah Akhlak juga merupakan tertinggi daripada 10 jenis aduan (Masalah Tidak Bertanggungjawab, Masalah Kurang Penghayatan Agama, Masalah Campur Tangan Pihak Ketiga, Masalah Perbezaan Latar Belakang, Masalah Seksual, Masalah Ekonomi, Masalah Komunikasi, Masalah Kerjaya, Masalah Kesihatan dan Masalah Akhlak).
Masalah akhlak mencatatkan jumlah sebanyak 15,440 dan Suka Menyakiti Hati Pasangan merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 973 aduan.
Norhayati Othman/Netty Ah Hiyer
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI