Andai isteri itu seorang suri rumah, janganlah memandang ringan tugas harinnya. Mungkin encik suami boleh kurangkan tekanan harian kaum mak-mak ini dengan raikan isteri waktu mereka makan.
Tak kisahlah isteri bekerja atau tidak, suami boleh sesekali bawa isteri makan luar dan bagi dia menikmati rasa jadi RATU! Haaa… bunyi macam pelik tapi inilah yang saudara Andy Sulaiman cuba kongsikan kali ini.
Sedang aku duduk tenang di warung, datang 1 keluarga.
Sepasang suami isteri bersama 3 anak. Aku anggarkan yang paling tua berumur 10 tahun.
Kedua lebih kurang 5 tahun dan paling bongsu setahun lebih mungkin 2 tahun.
Sedang meneliti set seafood grill lambak. Lalu aku terangkan pada mereka satu persatu.
Ada 2 kategori. Set RM67 mengandungi Baby Lobster, Ketam, Sotong, Kerang dan Udang Biasa atau Udang Putih.
Manakala set RM110 pula terdiri daripada 5 item yang aku jelaskan di atas dan bonusnya aku tambahkan 2 ekor Udang Galah Liar.
Mereka diam seketika, berfikir set yang mana harus mereka ambil sebagai hidangan makan malam pada malam ini.
Oh ya, kedua-dua set ini sudah termasuk sekali dengan 4 nasi ya.
Sang suami seperti keliru dan perlukan bantuan. Lalu aku, sebagai pemudahcara barisan hadapan Brojak, aku memudahkan kekusutan sang suami itu.
“Bang, benda-benda lain abang dah senang jumpa. Sotong, ketam, kerang ni semua bersepah kat pasar. Udang Galah susah bang, lebih-lebih lagi jenis liar ni.”
Sang suami diam. Si isteri turut diam menanti keputusan dari ketua keluarga tersebut.
Ads
Aku menambah ‘perisa’ lagi. Memang aku ‘beri’ sedikit demi sedikit perisa ini. Kataku,
“Bang, set RM110 ni siap ada Udang Galah bang. Abang tambah dalam RM40 lebih sikit je dapat 2 ekor bang. Biasa kalau ambil berasingan, 2 ekor ni dalam RM50-RM70 bang.”
Si suami terus tunduk akur. Set RM110 menjadi pilihan.
Setelah segalanya siap dibakar madu di atas arang yang marak membara dan nasi 4 pinggan terhidang di meja, staff aku menghantar set grill lambak ini ke meja mereka.
Bersama semangkuk kuah tom yam pedas, sos stim limau juga semangkuk sos Thai. Gabungan 3 rasa iaitu pedas, masam dan manis ini tidak pernah mengecewakan.
Lalu mereka makan bersama. Dan di sini segalanya bermula.
Si suami makan dengan bersungguh-sungguh. Aku memerhatikan betapa kusyuk dia menikmati set itu.
Terdengar bunyi dia pecahkan cengkerang ketam, dia patahkan badan baby lobster juga menghisap rasa yang ada pada sepit udang galah itu. Rasa madu!
Dan si isteri pula sambil menyuap makan ke mulut sendiri,
Ads
“Mak nak udang lagi”
“Mak nak air!”
“Nak cik! Nakk acik!” (Nak nasi! Nakk nasi!)
3 permintaan dari ketiga anaknya dalam satu masa.
Pernah anak mereka minta dari si ayah namun si emak cepat membatalkan permintaan anak itu dengan berkata,
Si ayah suap, suap dan suap. Dan si emak bergilir suap dengan si anak. Sesekali diambil gelas air dan menghulur penyedut minuman ke mulut anaknya.
Si ayah selesai menjamu selera. Bangun lantas mencuci tangan. Sesudah itu, tidak pulang ke meja. Berdiri di suatu sudut, menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan 3 benda :
Handphone, sekotak rokok dan pemetik api.
Rokok dinyalakan dan saat ini matanya tertumpu ke skrin telefon. Terdengar sedas dua bunyi sendawa beliau dek kekenyangan selepas menikmati satu set grill lambak yang ada Udang Galah, Baby Lobster, Ketam, Udang Biasa, Sotong dan juga Kerang.
Sang isteri masih bergelut suap dengan 3 anaknya. Sesekali memerhati suami yang asyik menghembus asap dan mentelaah skrin telefonnya.
Ads
Aku terfikir, apa kah puas si emak menikmati makanan yang hanya ada 1 warung sahaja di Bandar JB ini yang menghidangkan set lambak sebegini?
Adakah kenyang si ibu jika suapan beliau terganggu dek permintaan demi permintaan anak-anak?
Raikan Isteri Di Meja Makan
Wahai suami, Abang, Brother, Tuan.
Di meja makan, raikan isteri mu. Raikan anak-anakmu.
Terutama jika apa yang dimakan itu jenis makanan bercengkerang seperti ketam dan baby lobster yang keras di luar.
Tolong kopekkan ketam dan udang untuk anak-anak. Pecahkan cengkerang ketam dan keluarkan isinya, letak di pinggan isteri.
Cedokkan kuah tomyam dan siramkan nasi isterimu. Hulurkan minuman ke mulut anakmu.
Biarkan isteri menikmati hidangan seafood grill lambak itu dengan tenang. Biarkan anak-anak menikmati saat indah makan bersama si ayah yang sentiasa sibuk seharian bekerja.
Selesai makanmu, segera pulang ke meja dan bantu uruskan anak-anakmu. Biarkan si isteri menikmati makannya pula.
Baru lah kita ini suami romantis. Baru lah kita ini bapa penyayang.
Sebagaimana kami satukan segalanya di dalam satu set, sebegitu juga harapan kami anda bersatu bahagia sekeluarga di meja makan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pernah tak kita mengeluh bila gagal. Memang selalulah kan. Jarang sekali yang rasa bahagia dan tenang, bila kegagalan menguasai diri. Sebab sifat semulajadi seseorang itu, sentiasa mahu berjaya, mahu menang, mahu kehadapan dalam serba serbi.
Perkongsian daripada Dr Hasiba Kamaruddin ini menjelaskan tentang formula rasa cukup dalam hidup. Dr menjelaskan satu-persatu dengan gambaran kisah yang pernah dilaluinya.
Macam Mana Saya Nak Rasa Berjaya?
Ada orang pernah tanya aku, “Akak saya dah buat macam – macam untuk memperbaiki diri tapi saya masih rasa gagal. Macam mana saya nak rasa berjaya?”
Jawapan aku mudah, “Langkah pertama untuk berjaya adalah BERSYUKUR dengan apa yang ada sekarang. Bersyukur dengan usaha yang awak dah buat. Awak tak kan rasa berjaya sampai bila – bila selagimana awak tidak bersyukur dengan yang ada sekarang ini.
Bila awak bersyukur, awak akan rasa cukup. Bila awak rasa cukup, awak akan mudah memberi. Bila awak banyak memberi, awak akan rasa gembira. Bila awak rasa gembira, awak tidak akan rasa gagal lagi.
Kitaran ini akan berterusan hingga awak berjaya buat macam – macam lagi kesan dari awak semakin memberi.”
Aku teringat pada seorang cleaner di kondo aku ni, M. Orangnya masih muda. Mungkin sebaya aku dan Hud. Memang rajin bekerja sehinggakan setiap hari aku nampak dia di kondo ini.
Buat kerja macam – macam. Aku tertanya – tanya, gembira ke dia kerja begitu?
Hinggalah pada suatu hari aku terserempak dengan dia di lif dan aku bertanya pada dia, adakah dia bekerja juga hari Sabtu dan Ahad sebab setiap hari dia ada di kondo.
“Saya memang duduk sini kak. Management beri saya tinggal di stor kat bawah itu. Sebab tu saya ada di sini setiap masa. Akak nak minta tolong apa – apa, bagitau saya bila – bila masa saja.”
Dia menjawab dengan penuh besar hati dan tersenyum gembira seolah – olah satu kebanggaan untuk menetap di stor sebuah kondo di kotaraya ini.
M Bukan Sekadar Cleaner
Sampai sekarang aku tidak boleh lupa emosi positif yang diserlahkannya semasa menjawab soalan aku itu.
Dan sudah tentu, hanya orang yang bersyukur dan menghargai kehidupan sahaja yang boleh berasa gembira dengan stor sebagai rumah dan cleaner sebagai kerjaya.
Pun begitu, aku lihat di kondo ini kerjanya bukan hanya sebagai cleaner. Saban hari aku tengok dia ke sana sini menolong warga – warga emas dan ibu – ibu tunggal yang ramai di condo aku ini.
Petang – petang dan waktu cuti pula, dia akan turut bermain bola bersama anak – anak remaja di kondo ini. Budak – budak di sini juga senang dengannya.
Nak main badminton ajak M, nak angkat barang ajak M, nak pergi makan ajak M dan yang paling penting setiap kali waktu solat tiba, dia akan bergegas ke surau untuk solat berjemaah.
Orang seperti aku mungkin tertanya – tanya tidakkah dia ingin hidup berkeluarga seperti orang lain? Tapi jika mengambil kira caranya berkhidmat kepada masyarakat di kondo ini, soalan ini tidak lagi relevan kerana dia telah menjalankan tugas lebih dari sekadar cleaner.
Mungkin bagi mak cik pak cik di kondo ini dia seolah – olah seorang anak. Mungkin bagi ibu – ibu tunggal di kondo ini dia seolah – olah seorang pemudah pelbagai urusan.
Mungkin bagi anak – anak remaja di kondo ini dia seolah – olah seorang abang dan ayah. Lebih hebat lagi, mungkin dia menjalankan semua peranan ini lebih dari mereka yang sepatutnya – tanpa dia sedari.
Hal ini pasti mustahil jika dia tidak bersyukur dengan apa yang ada padanya sekarang. Oleh itu, pada aku, M sudah berjaya dalam kehidupannya sekarang kerana banyaknya impak yang diberikan kepada orang sekelilingnya. Dan sudah tentu, M berjaya kerana dia bersyukur.
Bersyukurlah!
Sumber/Foto : Hasiba Kamaruddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita dominan sering kali dilabelkan akan menghadapi masalah dalam rumah tangga kerana sikap mereka itu sering kali menyebabkan suami rasa tercabar. Ikuti perkongsian daripada HM TUAH ISKANDAR al-Haj yang pernah dikeluarkan di dalam majalah Mingguan Wanita(www.drtuah.com)
Bermasalahkah Isteri Dominan?
Dalam salah satu rancangan tv, saya ditanya secara langsung tentang masalah isteri terlebih bagus, dalam kata lain, isteri dominan. Melalui promo yang disediakan oleh penerbit rancangan tersebut, majoriti orang ramai yang ditemubual bersetuju untuk mengatakan isteri dominan itu bermasalah.
Mereka mengatakan wanita dominan cendurung untuk disabitkan dengan kederhakaan, kecurangan dan juga ego melampau. Mari kita lihat keadaan ini secara lebih rasional.
Berpendidikan Tinggi VS Dominan
Apabila seseorang perempuan itu belajar tinggi, biasanya akan memiliki kelulusan tinggi lantas berakhir berjawatan tinggi. Dalam keadaan begini dia dianggap dominan atau dia sendiri menganggap dirinya dominan. Dia biasanya susah hendak mendapat jodoh yang sama dominan kerana lelaki setaraf biasanya memilih wanita bawah sedikit kerana merasakan golongan itu lebih mudah dikuasai.
Pilihan yang ada ialah berkahwin dengan sebarang lelaki. Memang kelihatan janggal suami menerima arahan isteri kerana bekerja satu pejabat, lantas akan kelihatan dominanlah sikit.
Perkahwinan Harus Sekufu
Benarkah begitu? Sememangnya dalam Islam perkahwinan harus sekufu. Maksud sekufu ialah sama taraf ataupun biarlah si wanita bawah sedikit daripada si lelaki, sebab si lelaki apabila menjadi suami kelak dia wajib menjadi pemimpin kepada isterinya itu tadi dan juga keluarga yang bakal terbentuk.
Memang itulah pilihan terbaik, tetapi kalau tak dapat bagaimana? Takkanlah kita hendak suruh si wanita terlebih dominan itu membujang hingga tua. Jika dia berkehendakkan seseorang lelaki yang dirasakannya cocok, apakah dia tidak boleh berkahwin dengannya atas masalah dominan itu tadi?
Sukar Cari Lelaki Dominan Zaman Sekarang…
Realitinya hari ini memang perempuan mengatasi lelaki terutama di IPT, bukan sahaja perempuan lebih ramai, kecemerlangan turut mencatatkan perempuan mengatasi lelaki. Jika dunia sudah menjadi sebegitu rupa, bagaimana lagi perempuan hendak mencari lelaki yang lebih dominan untuk dipersuamikan? Sudah tentu sukar, bukan?
Baiklah, kahwinlah dengan lelaki biasa itu tadi dengan syarat jangan lakukan tiga hal:
i. Peri laku menghala pada kederhakaan
Dek pangkat yang tinggi, terkadang wanita dominan terbuat beberapa perkara yang menyebabkan nusuz. Apabila tingkahlaku sewaktu di pejabat dibawa balik ke rumah, terkadang tertinggi suara, percakapan lebih berbentuk arahan serta payah hendak menerima pendapat orang lain, di situ datangnya kederhakaan.
Di rumah letakkan kembali kedudukan anda iaitu isteri. Seorang isteri wajib taatkan suami tidak boleh tidak. Berikan kuasa membuat keputusan kepada suami, anda tetap wajib mematuhinya biarpun di pejabat anda adalah ketua pengarah dan suami hanyalah seorang tukang kebun.
Semua perilaku yang boleh menyebabkan suami berkecil hati, terasa hati atau kecut hati boleh dikategorikan sebagai perilaku yang menghala pada kederhakaan, dan ingat semua kederhakaan boleh menyebabkan seseorang isteri itu tidak mencium bau syurga.
ii. Kecurangan
Terkadang oleh sebab kahwin semata-mata untuk tidak dikatakan tidak laku, hubungan terlarang boleh terjadi. Puncanya apabila ada orang merendah-rendahkan suami serta menusukkan jarum cinta. Apabila terasa diri rugi kerana berkahwin dengan lelaki yang kurang dapat dibanggakan, ia membuka ruang untuk hubungan sulit terjadi. Hubungan ini jika dibiarkan ia boleh menjadi jarum pada kebahagiaan sedia ada.
iii. Ego melampau
Penyakit ini mesti dibuang seawal perkahwinan lagi, sebab ia sentiasa datang sepanjang pasangan itu hidup bersama. Terdetik sahaja perkataan, ‘Bodoh betul laki aku ni, patut pun sekolah pun tahap SPM,’ ia cukup untuk hilang rasa hormat dan sebagainya.
Kena ingat selalu, suami mungkin tidak pandai akedemik tidak semestinya dia tiada ciri-ciri kepimpinan semulajadi. Jangan ingat anda bergaji besar, rumah anda yang beli, kereta anda yang bayar, perbelanjaan dapur anda yang keluarkan; itu semua bukan tiket untuk merendah-rendahkan suami. Tidak, sama sekali tidak.
Kepada semua pasangan yang begini, buatlah yang terbaik sebagai pasangan ideal, nanti mulut orang terkunci dengan sendiri, mereka akan respek dan jadikan anda berdua contoh. Matlamatkan begitu. Anda berdua pasti dikagumi, jadikan ia cemerlang jangan asyik nampak kecundang, nanti awak juga yang ditertawakan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila berumahtangga dan mempunyai anak, suami janganlah meletakkan segala tanggungjawab urus anak pada isteri. Kenalah ringan tangan bantu isteri dalam uruskan anak. Sama-sama membantu siapkan anak.
Ringan tangan untuk bantu siapkan anak, buatkan susu, pakaikan pampers, tidurkan anak dan sebagainya. Sebenarnya, inilah cara untuk suami/ayah beli jiwa anak-anak dan dekat dengannya.
Sebab itu, selalu kita dengar, mak dan ayah ada cara tersendiri dalam melahirkan rasa sayang pada anak-anak. Kalau mak marah anak sekali pun, anak tetap datang. Anak nak permainan, mak tak sampai hati terus belikan. Tapi kalau ayah, dia buat tak tahu tapi akhirnya dia pasti akan bawa balik apa yang anak inginkan.
Rasanya, rata-rata bila tanya anak siapa paling garang, tentu jawapannya adalah ayah. Sebab, garang-garang mak, anak masih mengada-ngada. Tapi bila anak buat salah, sebut nama ayah pun mereka terus ‘behave’.
Saya pernah bertanya dengan mak, ayah dengan kami masa kecil macam mana?
Mak bagitahu,
“Ayah, dia paling ringan tangan mandikan korang semua. Tukarkan pampers. Buatkan susu.
Itulah kesukaan ayah. Umi tak pernah minta tolong, ayah akan terus buat. 11 orang anak, ayah buat semua”
Iya. Rupanya inilah ikatan hati antara ayah dan anak akan terhubung.
Saya akui, saya dulu cukup malas nak buat benda ni. Letih!
Tapi, bila paksa diri buat setiap hari, akan ada satu perasaan yang lain dalam jiwa seorang lelaki dan ayah macam saya.
1. Anak-anak akan sangat rapat. Garanglah macamana, anak-anak tetap akan datang pada ayah mereka.
2. Bila anak buat perangai, buat hal, rasa marah akan cepat reda. Tak sampai nak tangankan. Apalagi, nak pukul atau cubit.
3. Anak-anak mudah mendengar kata. Degil dan keras kepala macam mana pun, di kata dan di pujuk anak akan ikut pelan-pelan.
Saya suami dan bapa realiti.
Benar tak mudah buat perkara ini. Namun, usahalah setiap hari.
Ia menumbuh satu rasa yang akan Allah beri pada lelaki seperti kita ini.
Mingguan Wanita : Itulah beza mak dengan ayah tunjuk kasih sayang pada anak-anak. Hargailah mereka selagi masih ada.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...