Pantang ada menjual atau menawarkan produk yang mampu menurunkan berat badan, menyembuhkan masalah kesihatan dan sebagainya.Terus beli tanpa memikirkan kesan bahayanya pada jangka masa panjang.

Memanglah pengambilan produk ini membantu. Tetapi sejauhmanakah keberkesanannya Dalam jangka masa pendek ia boleh membantu tetapi untuk apa yang berlaku pada kesihatan diri pada masa akan datang. Sesal dahulu pendapatan.

Dalam perkongsian oleh Khairul Naim Zainal Abidin, Pegawai Farmasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia ada menyuarakan pendapat berkenaan hal ini.

Lambakan Produk

Selaras dengan perkembangan teknologi, produk tradisional dan suplemen mudah didapati daripada pelbagai platform seperti laman media sosial, e-dagang, laman sesawang individu, blog dan forum perbincangan.

Namun, di sebalik lambakan produk ini, terdapat sesetengah produk yang telah dicampur dengan bahan tambahan yang tidak dibenarkan dalam produk tradisional dan suplemen.

Kebiasaannya, bahan tambahan tersebut merupakan ubat terkawal seperti steroid, ubat penahan sakit, ubat kencing manis dan sebagainya. Masyarakat perlu mengetahui bahawa ubat terkawal hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan yang bertauliah seperti doktor dan ahli farmasi.

 Petua Dan Testimoni

Lazimnya, ubat tradisional diamalkan secara turun-temurun berdasarkan petua dan testimoni pengguna. Namun, testimoni bukan bukti yang kukuh ke atas keberkesanan ubat tradisional yang berada dalam pasaran. Ubat tradisional juga selalunya mengambil masa yang lama sebelum menunjukkan kesannya.

IKLAN

Terdapat juga ubat tradisional yang tidak mempunyai sebarang nilai perubatan, sebaliknya kesan yang dialami oleh pengguna merupakan kesan plasebo (sesuatu bahan atau rawatan dengan tiada kesan terapeutik aktif).

Begitu juga dengan suplemen. Suplemen adalah tambahan kepada diet harian. Oleh kerana ubat tradisional dan suplemen mempunyai kekangan dari segi pembuktian keberkesanan, terdapat segelintir pengusaha yang tidak bertanggungjawab telah mencampurkan ubat terkawal ke dalam produk mereka dan membuat tuntutan yang tidak munasabah demi melariskan produk tersebut.

Sesetengah penjual produk tradisional dan suplemen kerap mengiklankan produk mereka dengan dakwaan seperti “mampu menurunkan berat badan dengan mendadak”, “mampu meningkatkan tenaga batin” dan “mampu menyembuhkan luka dalam tempoh yang singkat”. Orang awam dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis pengiklan yang tidak berasas.

Risiko Kesan Sampingan 

Penggunaan produk tradisional dan suplemen yang dicampur ubat terkawal mungkin mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada kesihatan pengguna seperti peningkatan risiko kesan sampingan ubat, risiko terlebih dos dan risiko interaksi dengan ubat-ubatan yang sedia diambil.

Steroid merupakan sejenis ubat terkawal yang sering didapati dicampur dalam produk tradisional dan suplemen oleh penjual produk yang tidak bertanggungjawab. Pengambilan produk tersebut boleh mendedahkan pengguna kepada kesan sampingan yang tidak diingini terutamanya jika diambil untuk tempoh masa yang panjang.

Contoh kesan sampingan yang mungkin dialami sekiranya mengambil steroid tanpa kawalan adalah peningkatan tekanan darah, sembab, pengumpulan air dalam badan, tulang menjadi rapuh dan sebagainya. Ubat steroid perlu diambil di bawah pemantauan doktor yang mana dos, kekerapan, tempoh penggunaan dan kesesuaian setiap jenis steroid tersebut adalah berbeza berdasarkan keadaan pesakit dan jenis penyakit yang dialami.

Pengambilan produk yang dicampuri ubat terkawal juga mendedahkan pengguna kepada risiko pengambilan dos ubat yang berlebihan. Sebagai contoh, ubat untuk rawatan mati pucuk (sildenafil dan tadalafil) sering didapati dicampur dalam produk tradisional dan juga produk makanan seperti kopi dan gula-gula. Ini boleh mendedahkan pengguna kepada risiko terlebih dos kerana tiada pemantauan dilakukan ke atas kualiti dan kuantiti ubat yang dimasukkan ke dalam produk tersebut. Dos yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan yang memudaratkan kesihatan pengguna. Ubat dalam rawatan mati pucuk perlu diambil pada dos dan kekerapan tertentu atas arahan dan pemantauan doktor.

 Semak Status

Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap status pendaftaran sesuatu produk tradisional dan suplemen sebelum membeli. Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang NPRA (https://www.npra.gov.my) atau laman sesawang Program Perkhidmatan Farmasi (https://www.pharmacy.gov.my). Pengguna juga dinasihati agar tidak membeli produk tradisional dan suplemen yang tidak berdaftar dengan KKM kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya adalah tidak terjamin.

Bagi iklan yang mempunyai tuntutan perubatan, pastikan iklan tersebut mempunyai kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU) dan nombor KKLIU. Ini adalah penting bagi memastikan fakta atau tuntutan perubatan yang digunakan dalam iklan tersebut diakui sahih, benar dan bukannya direka-reka demi melariskan sesuatu ubat.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

MW: Jangan terlalu mengikut perasan dan ingin mencuba. Sebab kita tak tahu apa kandungan dan kesan sampingan bila kita mengambilnya.