‘Untunglah Hari-hari Pandang Muka Isteri’ Suami Ini Pula Jauh, Bila Orang Rumah Keguguran

Beruntung suami yang dapat pandang muka isteri itu hari-hari. Beza suami isteri ini yang terpisah beribu kilometer. Isteri di Ipoh, Perak suami di Matu, Sarawak.

Jarak lautan memisahkan keduanya. Ketika berdepan emosi kehilangan selepas keguguran kali kedua, isteri terpaksa melalui sendirian. Suamilah insan paling diharap tiada di sisi.

Segalanya perlu dilalui demi menggalas tugas masing-masing. Kerjaya guru di Sarawak, memungkinkan suami cuma mampu memberi kata semangat dari corong telefon.

Sungguh! biarpun nampak isterinya kuat dan tabah. Suami sentiasa sedar, bukan mudah untuk isteri sorok perasaan hibanya sendiri.

Catatan lalu untuk isteri dikongsi Sofuan Saadon, betapa tak mudah untuk menjalani sebuah hubungan PJJ, namun tak mustahil untuk berjaya. Syaratnya percaya hikmah yang tuhan mahu berikan.

Isteri Keguguran Kali Kedua, Laluinya Tanpa Suami Di sisi

Menjadi lumrah, setiap pasangan yang telah berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai penyeri dalam rumahtangga.

Ada pasangan yang sabar bertahun-tahun untuk ini sehinggalah hadir ketika saat tak dijangka. Ada pula yang belum dikurniakan rezeki cahaya mata walaupun telah pelbagai usaha dilakukan.

Aku dan isteri tidak terkecuali.

Alhamdulillah, minggu lepas, isteri menjalani pemeriksaan kehamilan di klinik ditemani rakan dan telah sah hamil enam minggu. Syukur pada tuhan.

Namun, sememangnya dah nama manusia, kita hanya mampu merancang tetapi tuhan jua yang menentukan segala.

Baru tadi, aku dapat perkhabaran daripada isteri sendiri berserta esak tanggisnya bahawa telah keguguran selepas pemeriksaan dijalankan untuk kali kedua. Itupun selepas berasa kurang selesa pada bahagian dalam perutnya sebelum itu.

Sejak berkahwin, isteri banyak melakukan perkara seorang diri.

Dia memang seorang yang berdikari. Malah, sebelum berkahwin pun.

Lima tahun di Kelantan tanpa saudara terdekat. Mujur ramai kawan di sana yang banyak membantu memudahkan urusan isteri apabila setiap kali ditimpa masalah.

Sekarang di Ipoh masih tinggal seorang diri. Namun, kali ini lebih baik kerana ada kakaknya di sana walaupun tidak tinggal sekali.

Beruntung Mereka Yang Dapat Pandang Muka Isteri Hari-hari

Aku pernah cakap dulu.

Perempuan ini kuat dan tabah. Tapi mereka tak pandai nak sorok perasaan sendiri.

Jika mereka gembira, tidak sekadar tunjukkan mereka gembira, tapi mereka akan beritahu orang lain perasaan bahagia itu.

Begitu jika ketika mereka sedang bersedih. Air mata menjadi peneman yang paling setia.

Isteri diberikan cuti selama dua minggu untuk proses pemulihan.

Aku? Masih di sini. Berpisah beribu kilometer. Hanya mampu menelefon dan memberi kata-kata semangat menerusi mesej.

Beruntunglah mereka yang dapat menatap wajah orang tersayang setiap hari. Kami? Insya Allah, saat itu akan hadir suatu hari nanti.

Tujuh minggu yang memberi pengharapan, makna dan bahagia. Seketika cuma. Insya Allah, ada hikmahnya.

Tak semua sesuatu itu kita akan kita peroleh mengikut masa yang kita mahukan. Kita tak dapat hari ini, bukan bermaksud kita tak akan dapat selamanya. Allah sebaik-baik perancang. Lebih banyak rezeki lain yang dikurniakan kepada kita tanpa kita pernah sedari.”

Nota MW : Oleh itu wahai suami, janganlah pernah sekali kau kata bosan setiap kali memandang wajah isteri. Kerana bila tuhan menguji kau terpaksa berjauhan dengan isteri beribu batu.. lama pula itu. Percayalah, kata-kata ‘bosan’ itu akan makan diri.

Sumber/Foto : Sofuan Saadon

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI