Bila kena kemas rumah tanpa bantuan orang lain, mak-mak cuma harapkan cara paling membantu untuk memudahkannya. Tambah musim cuti ni, kena pantas sebelum anak-anak kecil bangun dan mula ‘senikan’ rumah dengan semua barang mainanya.
Agak-agak boleh tak buat semua kerja tanpa bantuan suami atau anak yang dah besar? Haaa…
Tetapi percayalah, selepas anda membaca artikel ini, persepsi anda akan berubah.
1. Cuci mesin & teko kopi
Mesin kopi: Lumatkan roti atau nasi putih mentah untuk menyingkirkan bau lama. Kemudian kisar 1 sudu baking soda untuk membersihkan dan lap.
Teko Kopi: Kalau dah suka kopi tu, mesti sanggup buat serbuk kopi sendiri. Untuk cuci, masukkan sedikit cuka dan air. Blend dua atau tiga kali dan biarkan sekejap. Kemudian bilas dengan air.
Ads
2. Kesan gincu di baju
Hilangkan kesan kotoran dengan semburan rambut, biarkan selama 10 minit. Sapukan dengan tuala kecil yang lembap dan basuh seperti biasa.
3. Kotoran pemanggang & kuali
Pemanggang: Potong dua bawang putih dan guna garpu untuk gosok pada pemanggang yang masih panas. Betul, pemanggang anda pasti lebih bersih dan tidak berbau.
Kuali: Masukkan air dalam kuali yang hitam dan tambah secawan cuka putih. Reneh. Ambil kuali dan tambah 2 sudu baking soda. Kosongkan kuali dan gosok perlahan-lahan untuk membuang kesan terbakar.
Ads
4. Kesan di karpet
Sembur tempat kotor dengan campuran 2 bahagian air dan 1 bahagian cuka. Letakkan kain lembap, kemudian tekan sterika panas dengan tetapan stim ke kain buruk selama 30 saat. Ulangi sehingga kesan hitam itu hilang.
5. Cuci microwave dalam masa 5 minit
Potong dua beberapa lemon dan masukkan ke dalam piring kaca dengan air. Panaskan microwave sehingga air mula mendidih. Biarkan air lemon tadi selama satu minit sebelum buka. Dan anda boleh cuci kotoran dengan sapu sedikit demi sedikit. Confirm bersih dan macam baru!
6. Rak & sudu besi jadi baru
Rak: Tak perlu nak cari yang baru, anda boleh cuci dengan cara lebih mudah. Lapkan dengan air suam dan gosok dengan cuka di rak pinggan. Kemudian taburkan sedikit baking soda di bahagian bawah dan tempat kotor. Hasilnya anda pasti terkejut!
Ads
Sudu: Tambah 1/2 cawan garam dan 1/2 cawan baking soda. Rendamkan barang-barang besi anda dengan air panas. Selepas 30 minit rendam, kotoran akan hilang. Hanya bilas dan lap kering.
Yang mana satu masalah anda untuk bersihkan alatan dapur dan barang hiasan rumah? Boleh cuba satu-satu untuk tengok hasilnya, ya! Semoga membantu dan mudahkan kaum wanita untuk bersihkan rumah setiap hari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kalau sudah jodoh memang tidak akan ke mana, biarpun sudah berpisah atau membawa haluan masing-masing. Begitulah perumpamaan bagi menggambarkan perkahwinan kali kedua Nabilah Mohd Esa, 29, dengan bekas suaminya, Muhamad Isman Hadi, 31, yang berlangsung pada Rabu lalu.
Memetik laporan Mstar Online, pasangan tersebut mengikat pertunangan pada Mei 2013 dan mendirikan rumah tangga sebulan kemudian sebelum berpisah kira-kira tiga tahun kemudian pada Julai 2016.
Namun, jodoh yang kuat antara mereka telah menyatukan kembali Nabilah dan Muhamad Isman setelah hampir setahun setengah bercerai.
“Hubungan kami selepas bercerai itu memang tidak berapa baik sehingga saya merasakan kami memang tiada harapan untuk kembali bersama.
“Tapi, bekas suami pada ketika itu tidak pernah melupakan anak selepas kami berpisah dan dia akan datang melawat anak-anak pada setiap minggu biarpun terpaksa berulang alik dari Pahang ke Johor,” katanya
Kata Nabilah, suaminya hanya akan bermain dengan anak-anak di luar rumah dan tidak bertemu dengannya disebabkan hubungan mereka yang telah renggang.
Keakraban Muhamad Isman dan anak-anak akhirnya mendekatkan pasangan itu sehingga membuka hati masing-masing untuk melayari bahtera perkahwinan buat kali kedua.
“Apabila dia melamar saya buat kali kedua, saya minta dia tanyakan sendiri kepada ibu untuk mendapatkan restu kerana antara mereka memang ada masalah.
“Rupa-rupanya ibu saya sudah lama maafkan dia dan bersetuju jika kami ingin berkahwin semula,” kata eksekutif pentadbiran dan akauntan kanan itu.
Nabilah yang juga ibu kepada dua cahaya mata lelaki berusia dua dan tiga tahun itu berkata, dia dan suami berharap agar perkahwinan kali kedua ini dapat mematangkan mereka apabila berdepan sebarang masalah pada masa depan.
Posting yang dimuat naik Nabilah di Facebook tular dan menarik perhatian netizen yang turut gembira dengan mahligai yang dibina semula pasangan tersebut.
Buang yang keruh ambil yang jernih. Semoga episod perpisahan yang pernah dilalui oleh pasangan ini mematangkan lagi perhubungan yang dibina kini. Selamat Pengantin Baru, Semoga bahagia hingga ke akhir hayat.
Meja Mingguan Wanita dihujani dengan pertanyaan permasalahan seorang ibu dari Jitra Kedah yang begitu merindukan anak-anak kandungnya. Selepas berpisah, anak-anak di bawah jagaan suami. Lama-kelamaan hubungan anak beranak ini semakin renggang.
Ibu ini tak pernah tak beri ruang untuk dirinya bertemu anak-anaknya. Tapi semakin anak-anak ini membesar, ibu ini merasakan anak-anak semakin berubah jiwanya.
“Assalamualaikum. Saya memiliki tiga orang cahaya mata. Sepasang menerusi perkahwinan pertama dan seorang lelaki menerusi perkahwinan kedua.
“Saya berkahwin semula setelah bercerai dengan bekas suami pertama. Dua anak yang ketika itu berusia 9 dan 7 tahun diletakkan di bawah jagaan bekas suami.
“Ini kerana saya yang secara rela memberikan kebenaran itu kerana saya yang menuntut cerai. Waktu itu, usia saya sekitar 30 tahun dan jiwa yang masih muda membuatkan saya tidak sabar dalam mengharungi bahtera rumah tangga.
“Keengganan suami membenarkan saya bekerja selepas anak-anak semakin membesar membuatkan saya tidak puas hati dan memberontak.
“Alasannya dia masih mampu menyara kami sekeluarga dengan gajinya sebagai seorang guru. Saya pula punya impian untuk bekerja makan gaji dan memiliki pendapatan sendiri walau gaji tidak sebesar mana.
“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya pada dia. Dipendekkan cerita akhirnya kami bercerai.
“Selepas itu, saya bekerja di sebuah butik, sebagai jurujual, namun sedikit demi sedikit saya naik hingga diberikan kepercayaan oleh majikan untuk menguruskan cawangan butik tersebut.
“Selepas itu saya juga telah bertemu jodoh dengan suami saya kini.
“Saya sering menelefon anak-anak walau pun bukan setiap hari. Malah beberapa kali dalam setahun iaitu hari raya Aidilfitri dan cuti sekolah, saya akan pergi jumpa mereka.
“Bukan tak nak selalu berjumpa tapi jarak memisahkan kami. Saya di utara, mereka pula di selatan. Setiap kali jumpa, saya akan bawa mereka berjalan-jalan dan belilah hadiah untuk mereka.
“Itu cara saya menebus rasa bersalah terhadap mereka. Begitu juga bila tiap kali mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, pasti ada hadiah untuk mereka. Namun mereka tidak pernah meminta-minta malah menerima apa saja yang saya hadiahkan.
“Saya bersyukur kerana bekas suami menjaga anak-anak dengan baik walau pun sudah berkahwin baru. Malah isteri barunya itu baik dengan anak-anak saya lebih-lebih lagi dia disahkan tidak dapat mengandung kerana masalah kesihatan.
“Saya dapat rasakan anak-anak semakin renggang dengan saya. Semakin mereka meningkat remaja, semakin mereka ‘jauh’ daripada saya. Kini usia mereka sudah menjangkau 17 dan 15 tahun.
“Kalau jumpa, mereka tak banyak cakap dengan saya. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Tapi mereka tetap hormat saya sebagai seorang ibu, melayan adik mereka dengan baik dan suami saya sebagai ayah tiri mereka.
“Puan, saya rindukan kemesraan mereka. Mungkin ada silap saya tapi bagaimana saya boleh meraih kembali kasih sayang mereka. Bantulah saya.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dengar pesanan ibu usia 49 tahun ini. Yusni Binti Mintol yang dikurniakan anak autisme. Demi anaknya, ibu ini rela menjadi guru pada anak-anak autisme yang lain selama 12 tahun di National Autism Society of Malaysia (NASOM).
Hayati perjalanan inspirasi ibu yang kini anak autismenya yang dijaga dari kecil itu sudahpun berusia 24 tahun.
Yang mana, anak ini sedang belajar membaca dan menghafal Al-Quran di Akademi Faqeh yang juga merupakan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa.
Ketika anak autismenya dilahirkan, maklumat berkaitan autisme amat berkurangan. Sungguh pun sumber rujukannya terhad, ibu ini cukup tabah dan kental semangatnya membesarkan anak autismenya, Dinie Edry Bin Badrul Hisham.
“Kami telah menerima seadanya keadaan Dinie. Ketika berusia enam bulan, Dinie diserang sawan. Sejak itu dia kerap keluar masuk di hospital. Disebabkan sering kena sawan itulah, kami mula lihat perbezaan kesihatan Dinie.
“Doktor beritahu, dia mengesyaki anak kami itu mengalami masalah disebabkan tingkah lakunya yang hiper.
“Akhirnya kamu rujukkan pada doktor pakar. Pemeriksaan MRI dilakukan dan hasilnya, Dinie disahkan alami masalah austisme sejak umur dua tahun setengah,” ujar Yusni memulakan perbualan dengan wartawan Mingguan Wanita.
Mengetahui anak mengalami masalah autisme dan ADHD menjadi satu cabaran baru pada Yusni dan suaminya Badrul Hisham pada ketika itu.
“Ketika itu kelengkapan dan maklumat mengenai austisme masih kurang. Kami mendiagnosis Dinie pada usia awal tetapi kami tak dapat intervensi di kawasan tempat tinggal kami di Seremban.
“Jadi kami daftarkan Dinie dengan National Autism Society of Malaysia (NASOM) di Seremban. Umur dia enam tahun barulah Dinie dapat masuk.
“Waktu itu memang sukar mencari maklumat. Demi Dinie saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai technical assistant. Saya beritahu suami, biarlah saya jaga Dinie sendiri. Saya sedar, sukar untuk mencari orang untuk menjaga anak istimewa sebegini.
“Sukar sebenarnya membesar dan mendidik anak autisme pada ketika itu. Saya tak tahu dekat mana hendak belajar mengenai autisme.
“Menguruskan Dinie agak sukar kerana dia tidak pandai bercakap. Dia hanya menggunakan gerakan (gesture) sahaja jika mahukan sesuatu. Saya tidak pernah dengar dia mengucapkan perkataan ‘Mama’ atau ‘Papa’ pada ketika itu.
“Macam-macam dah kami tuturkan dekat dia tetapi tidak ada bunyi yang keluar daripada mulutnya.
“Hanya setelah diterima masuk ke NASOM, banyak perubahan telah berlaku pada Dinie. Dia sudah boleh bercakap dan saya bersyukur dengan perubahan tersebut,” tambah Yusni penuh kesyukuran.
Keputusan menghantar Dinie belajar di NASOM juga membuka peluang baru dalam hidup Yusni. Peluang di hadapan mata diterima dengan tangan yang terbuka.
“Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu NASOM mencari guru sementara. Saya tanya, bolehkah saya memohon. Setelah ahli lembaga bersetuju, saya telah diterima masuk menjadi guru sementara di NASOM Seremban.
“Jadi guru di sana amat bagus kerana saya dapat tahu cara berkomunikasi dengan Dinie. Saya boleh nampak perkembangan Dinie di depan mata. Tetapi saya tidak mengharap sangat dia mampu melakukan lebih daripada kemampuannya.
“Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada Dinie. Cukuplah sekadar dia dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya juga sering memberikan kesedaran dan cara bagaimana menguruskan Dinie kerana jika ditakdirkan kami telah ada di dunia ini, ada orang yang boleh menjaganya.”
Yusni bekerja selama 12 tahun di NASOM dan baru empat tahun dia berhenti kerja.
Kini dengan masa yang ada dia menggunakan ilmu yang dipelajari dahulu untuk terus mendidik dan menguruskan anak keduanya itu selagi hayat dikandung badan.
“Sekarang saya buat ‘freelance talk’ untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka didiagnosis mengalami masalah autisme.
“Kami juga mempunyai grup Whatsapp ibu bapa anak istimewa autisme di Negeri Sembilan. Tugas saya banyak membantu dari segi apa yang perlu dibuat, persediaan sebelum masuk sekolah dan juga memberi motivasi.”
Akui Yusni, dia sentiasa melibatkan Dinie dalam apa sahaja aktiviti keluarga.
“Kami tidak akan meninggalkan Dinie di rumah seorang diri. Kami juga sering cuba berkomunikasi dengan dia. Walau dia tidak tahu bercakap, Dinie akan cuba memberikan tindak balas.
“Dinie tidak duduk di sudut bermain sendirian. Sebaliknya dia bermain dengan adik-beradiknya juga. Pada mulanya adik-beradiknya sukar menerima keadaan Dinie. Namun lama-kelamaan mereka juga menganggap Dinie itu normal.
“Saya sering menasihati anak-anak lain jangan anggap Dinie itu istimewa. Layan dia seperti orang normal. Saya juga menasihatkan anak-anak agar jangan malu dengan orang kerana Dinie. Saya bersyukur anak dapat faham.”
Sebagai ibu yang berpengalaman dalam membesar dan mendidik anak autisme, Yusni berharap masyarakat lebih menerima kelainan upaya autisme dalam komuniti.
“Memang susah hendak educate people but insya-Allah jika dengan usaha yang tidak mudah putus asa, mungkin akan boleh juga.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang baru ada anak autisme, agar jangan bersedih lama-lama. Jangan denial lama-lama.
“Jangan hendak mencari silap dan juga jangan mencari alternatif yang merugikan masa serta wang kita sebab ini akan melambatkan proses intervensi anak kita.
“Sekarang zaman amat canggih, tidak seperti zaman anak saya. Tiada sumber untuk dirujuk. Carilah terapi yang sesuai untuk anak, jika tidak dapat yang percuma, usaha untuk yang berbayar.
“Insya-Allah akan ada rezeki untuk kita. Jika tidak juga mampu, google dan carilah cara-cara home schooling untuk anak tersebut, jangan tunggu peluang datang tapi cari peluang yang ada.
“Lebih Cepat kita mulakan intervensi, insya-Allah lebih banyak perubahan anak kita akan nampak walau segala terapi tidak akan mengubah autisme pada diri anak kita.
“Tapi sekurang-kurangnya kita dapat cover tiga masalah autisme iaitu dari segi komunikasi, tingkah laku dan juga sosial.”
Yusni berbangga walaupun Dinie tidak cemerlang dalam akademik tetapi dia boleh menghafal dan mengingat terutama perkara berbentuk muzik.
Lagu pertama dia hafal dengan hanya mendengar adalah nasyid kumpulan Raihan walau sebutan tidak berapa jelas sebab Dinie adalah non verbal sebelum usia enam tahun.
Foto: Yusni Mintol
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!