Tragedi Sungai Korok, 10 nyawa terkorban sejak 2018 termasuk enam sekeluarga. Sungai Korok di Jitra, Kedah terus mencatatkan angka korban apabila 10 nyawa telah terkorban sejak tujuh tahun lalu, termasuk kejadian paling memilukan pada Sabtu lalu yang meragut enam sekeluarga.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim, sepanjang tempoh dari 2018 hingga kini, tiga insiden maut telah dikenal pasti berlaku akibat kenderaan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai yang memiliki panjang kira-kira 15 kilometer itu.
“TRAGEDI YANG BERLAKU SABTU LALU MERUPAKAN KEJADIAN PALING MENYAYAT HATI SETAKAT INI. ENAM AHLI KELUARGA MAUT SELEPAS KENDERAAN YANG MEREKA NAIKI DIPERCAYAI TERBABAS DAN JATUH KE DALAM SUNGAI,” KATANYA.
Tambah beliau, antara kejadian lain yang turut meragut nyawa termasuk insiden pada Disember 2021 membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pada Disember 2022 pula seorang lagi kanak-kanak berumur 12 tahun maut selepas kereta dipandu bapanya terjunam ke dasar sungai.
@kedah_kini suasana senja yang tenang di jalan Sungai Korok, Jitra, Kedah.. #kedahkini ♬ original sound – Kedah kini
“Bagi tahun 2023 dan 2024, tiada kes kemalangan direkodkan. Namun, awal tahun ini, berlaku satu lagi insiden membabitkan empat pelajar universiti yang nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka turut terhumban ke dalam sungai tersebut.
“Bagaimanapun, kesemua pelajar berjaya menyelamatkan diri selepas keluar dari kenderaan jenis Perodua Viva dan berenang ke tebing sungai,” jelasnya.
Mohd. Radzi turut menjelaskan, punca utama kejadian dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan serta permukaan jalan yang licin, selain faktor kecuaian manusia turut menjadi penyumbang.
“Orang ramai telah menyuarakan keperluan untuk pihak berwajib memasang penghadang keselamatan di laluan berisiko berhampiran sungai ini memandangkan beberapa kes lemas dan nahas telah berlaku,” katanya.
Beliau memaklumkan, cadangan yang akan dikemukakan termasuk pemasangan penghadang jalan yang lebih tinggi dan kukuh di lokasi berisiko serta penambahan papan tanda amaran seperti tanda jalan licin dan pemantauan berterusan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Selain itu, kempen kesedaran juga akan dipertingkatkan, terutamanya kepada pemandu yang menggunakan laluan berhampiran sungai secara bersendirian atau bersama ahli keluarga, lebih-lebih lagi pada waktu malam atau ketika hujan,” katanya lagi.
Sumber: Kosmo online dan Kedah Kini
Baca artikel lain juga: