
Tragedi Penuntut IKM Kota Kinabalu: Hasrat Makan Stimboat Bersama Keluarga Tak Kesampaian. Hasrat seorang penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu untuk pulang ke kampung dan menikmati stimbot beramai-ramai bersama keluarga bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Sulaman, Tuaran, kelmarin.
Tragedi Penuntut IKM Kota Kinabalu: Hasrat Makan Stimboat Bersama Keluarga Tak Kesampaian
Mangsa, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20, merupakan seorang daripada lima penuntut IKM yang terkorban dalam nahas membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dengan sebuah lori treler pada jam 2 petang.
Empat lagi mangsa ialah Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20, Harianto Anuar, 20, Danial Sarag Jimmy, 20, dan Neil Stanley Pletinie, 20. Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang arwah, Mohd Zuhairy Mohd Zaidy, 28, berkata adiknya sempat meluahkan keinginan untuk berkumpul dengan keluarga di Tawau menerusi panggilan video pada 1 September lalu.
Katanya, keluarga mereka menaruh harapan tinggi terhadap arwah kerana dia seorang yang bersemangat dan merancang untuk mengubah nasib keluarga selepas tamat pengajian.
“Keluarga kami meletak harapan yang tinggi kepadanya… macam-macam dia rancang dan ingin buat selepas tamat pengajian di IKM. Dia merancang untuk bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan dengan mak cik saya tetapi sekarang hanya perancangan sahaja yang tinggal… itu yang buat kami sedih,” katanya hiba ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQEI), Kota Kinabalu.
Zuhairy juga berkongsi bahawa dia dan arwah berkongsi tarikh lahir yang sama.
“Sedih kerana saya dan adik saya Mohamad Zuhaikal berkongsi tarikh lahir sama pada 7 Disember. Selalunya kami sambut hari lahir bersama, tapi tahun ini saya hanya menyambut seorang diri,” ujarnya.

Menurutnya lagi, arwah seorang pelajar cemerlang yang pernah mewakili IKM dalam pertandingan Worldskills Malaysia, selain sangat berminat dalam bidang elektrik.
“Dia memang minat dalam elektrik. Bila habis belajar nanti, dia ada banyak perancangan untuk buka bisnes sendiri,” katanya sambil menambah arwah juga tidak pernah menyusahkan keluarga meskipun dalam kesempitan wang.
Rakan sekelas, Sadan Sabri, 21, menyifatkan arwah dan seorang lagi mangsa, Harianto Anuar, sebagai sahabat sejati.
“Pada Isnin lepas ketika pulang dari bersiar-siar, saya lihat mereka berpelukan sambil berjanji akan terus bersahabat biarpun selepas tamat pengajian di IKM… tetapi tidak sangka mereka maut dalam kemalangan,” katanya sebak.

Suasana pilu turut menyelubungi HQEI apabila jenazah dibawa keluar untuk disemadikan di Tawau. Rakan-rakan arwah yang hadir tidak mampu menahan tangisan ketika van jenazah beredar.
“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini. Cuma saya harap anak-anak muda yang memandu supaya berhati-hati di jalan raya, jangan terbawa-bawa emosi dan elakkan memandu laju,” katanya.
Arwah Mohamad Zuhaikal yang mengikuti jurusan Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik & Industri) dijadual menamatkan pengajian tahun depan. Namun segalanya kini hanya tinggal kenangan buat keluarga dan sahabatnya.
Sumber: Sinar Harian Sinar Harian 1 Harian Metro
Artikel lain: NGO Tawar Diri Urus Jenazah Dua Beradik Lemas Di Sungai Linggi Secara Percuma
Status Agama Dua Beradik Lemas Belum Dikenalpasti Suspek Dakwa Sudah Diislamkan Di Kelantan Tapi…
Kes Dua Beradik Lemas Di Sungai Linggi: Bapa Direman, Polis Kesan Ibu Kandung
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI