
Tragedi Maut di Pelantar Minyak
Tragedi maut di pelantar minyak, seorang isteri hamil 7 bulan menangis sedih apabila suaminya disahkan menjadi korban dalam kemalangan yang turut meragut dua lagi nyawa di perairan Terengganu.
Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, yang mengandung tujuh bulan berkata, hatinya luluh apabila dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa suaminya, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, pada pukul 4 petang tadi.
“Wakil syarikat cuma beritahu suami terlibat dalam kemalangan, namun saya mendapat tahu dia sudah ‘tiada’ setelah menghubungi rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menerusi portal Kosmo!
, wanita itu berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah suaminya menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 7 pagi tadi.Dia yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, suaminya memaklumkan dia tidak sabar untuk pulang ke rumah pada 1 Jun ini untuk bertemu dengannya.
“Dia (arwah suami) selalu beritahu dia mahu kumpul cuti untuk menemani saya sepanjang berpantang selepas melahirkan anak nanti,”
katanya.Muhammad Faezuan Hakim merupakan antara tiga pekerja pelantar minyak yang maut, manakala seorang lagi cedera setelah bot yang mereka naiki dalam latihan pemindahan kecemasan terbabit dalam kemalangan di perairan Terengganu hari ini.
Sekadar info, insiden itu dipercayai berpunca apabila tali atau cangkuk (hook) yang dipasang pada bot penyelamat berkenaan tiba-tiba tercabut, menyebabkan kesemua mangsa bersama bot tersebut terjatuh ke dalam laut.
Al-Fatihah buat mangsa yang terkorban. Semoga keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian ini.