
Suasana hening bertukar pilu di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor apabila seorang lelaki berusia 20 tahun, Sir Ahmad Al Faruq Mohamad Fatihur Rahman, maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian semalam.
Lebih menyayat hati, mangsa merupakan pekerja kepada usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim, yang juga pengasas kepada Jamu Ratu Malaya (JRM).
Dalam satu perkongsian penuh emosi di Instagram, Bonda meluahkan rasa hiba dan kehilangan mendalam terhadap pemergian pekerjanya itu yang disifatkan sebagai anak muda baik, rajin dan bersemangat mencari rezeki halal.
View this post on Instagram
“Hujan lebat yang memilukan. Staf bonda teresak-esak menangis, tak percaya apa yang mata sendiri menyaksikan. Dalam sekelip mata, pokok besar jalan utama menuju ke Genting tumbang menghempap Hilux milik syarikat Bonda.
Nyawa staf kami masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun diragut dalam tragedi ngeri ini,” tulisnya penuh sebak.
Aspek Keselamatan Terabai
Bonda Rozita turut membangkitkan isu pokok dikatakan telah reput di kawasan kejadian sekali gus meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan. Malah, katanya, kejadian pokok tumbang sehingga meragut nyawa pekerjanya bukan sekadar takdir, tetapi kelalaian manusia apabila keselamatan diabaikan.
“Sampai bila nyawa manusia mahu dipandang ringan? Mana pihak yang sepatutnya memantau keselamatan jalan utama pengunjung? Pokok-pokok reput dibiarkan berdiri menunggu masa menimpa mangsa seterusnya.
“Pelbagai isu keselamatan sering diabaikan, orang awam bebas berkelah tanpa pengawasan, kawasan parkir pula terlalu sesak setiap hujung minggu. Semuanya bom jangka yang menunggu masa untuk meragut nyawa,” katanya.
Anak Muda Yang Pergi Sebelum Meniti Dewasa
Menurut Bonda Rozita, arwah Sir Ahmad Al Faruq merupakan antara pekerja muda yang penuh semangat, datang bekerja dengan niat mencari rezeki halal untuk membantu keluarga.
“Penuh semangat, belum pun sempat meniti dewasa, kini pergi dijemput Ilahi. Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Sir Ahmad Al Faruq,” katanya.
Sebagai majikan, Bonda mengakui ini merupakan kali pertama beliau berdepan kehilangan pekerja akibat tragedi, dan walaupun berada di luar negara, majlis tahlil tetap diadakan oleh pengurusan JRM dan Rumah Hutan Bonda sebagai tanda kasih dan doa tidak putus buat arwah.
“Kami semua sebagai rakan sekerja dan saya sendiri sebagai majikan turut merasainya… sebab saya juga seorang ibu.
Bila kehilangan itu menyentuh seorang anak muda sebaik Sir Ahmad Al Faruq, hati kami semua terasa sayu. Tak tertahan air mata bila melihat rintihan dan pelukan ibu ayah arwah di tanah perkuburan,” luahnya.
Salam Takziah Buat Keluarga Arwah
Tragedi ini bukan sekadar berita duka, tetapi satu peringatan bahawa keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama.
Semoga roh arwah Sir Ahmad Al Faruq Mohamad Fatihur Rahman ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, dan semoga keluarganya dikurniakan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
“Sesungguhnya, kehilangan anak muda seperti ini bukan hanya satu berita, tetapi luka yang merentap hati setiap insan bergelar ibu dan ayah.”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!