Selepas beberapa hari, akhirnya isteri kepada vokalis Seventeen, Dylan Sahara, 25, ditemui mati selepas badai tsunami malam Sabtu lalu.
Orang ramai turut bersimpati apabila melihat video yang tular di media sosial memaparkan detik bagaimana ombak besar tsunami akibat dari letusan gunung anak krakatau di Selat Sunda menghancurkan pentas utama konsert yang sedang rancak berlangsung pada hari kejadian.
Kematian Dylan Disahkan Ifan Seventeen (Suami)
Berita kematian Dylan disahkan suaminya, Riefan Fajarsyah atau Ifan melalui Instagram dan meminta orang ramai mengirimkan al-Fatihah buat isterinya.
Dylan yang juga seorang pelakon dan pengacara hilang sejak Sabtu lalu selepas pentas persembahan kumpulan Seventeen di Tanjung Lesung Beach Resort dipukul gelombang tsunami.
Menurut sumber berita dari Indonesia, jenazah Dylan ditemui di Hospital Pandeglang selepas dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan).
Pengurusan Seventeen, Aconk berkata, ketika ini, jenazah sudah dibawa menuju Hospital Serang untuk dimandikan.
Ads
“Iya ditemui di Hospital Pandeglang, jamnya tidak tahu tetapi identiti sudah dikenal pasti.
“Perancangannya, sebaik dimandikan di Hospital Serang, jenazah Dylan akan diterbangkan ke kampung halamannya di Ponorogo, Jawa Timur,” katanya.
Ifan juga sudah melihat jenazah isterinya dan sama-sama menaiki ambulans menuju ke Hospital Serang.
Ads
Isteri Di Belakang Pentas Masa Kejadian
Ketika kejadian, Dylan yang berada di belakang pentas tempat Seventeen mengadakan persembahan untuk satu undangan acara himpunan sebuah syarikat elektrik Indonesia yang dihadiri 260 orang.
Ifan, satu-satunya anggota kumpulan itu yang terselamat selepas dua pemain gitarnya, Herman Sikumbang dan Muhammad Awal Purbani serta pemain dram, Andi disahkan terkorban.
Sementara itu, Juliana Moechtar, isteri kepada gitaris Seventeen masih dalam keadaan berduka.
Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian tsunami yang melanda Banten di Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 222 orang. Manakala 843 cedera dan 28 mangsa masih lagi hilang dalam tragedi berkenaan.
Semoga saudara-saudara kita disana dalam keadaan baik baik sahaja. Salam takziah buat mereka yang kehilangan insan tercinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Luah isteri ini, “separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya.” Meninggalkan luluh hati yang amat dalam.
Tiada kudrat untuk Puan Ezatul Marini pertahankan, apabila dia, suami dan anak perempuannya terlibat dalam satu kemalangan bas yang mereka naiki.
Dan akhirnya, beliau terpaksa menerima hakikat, suaminya meninggal dalam kemalangan itu. Beliau turut tercedera dan dirawat di hospital. Takdir menghalangnya melihat, bertemu jenazah suami untuk saat terakhir sebelum dikebumikan.
Wahai isteri, biar apa pun kekurangan suami, dialah jodoh terbaik yang tuhan kirimkan untuk kita. Selagi, dia masih setia, selagi dia masih kasih, selagi dia masih ada, sayangilah dirinya kerana Allah.
Semoga catatan isteri ini dapat menyuntik rasa untuk kita jadi isteri yang bersyukur.
Kami berkenalan 25 tahun yang lepas, malah kronologi yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga saya perincikan dengan jelas dalam naskah “Diva Yang Rebah” dalam antologi CLEAR.
Deraf naskah itu disemak sendiri oleh beliau. Tersenyum simpul dia kala membaca keseluruhan kisah. Bangga sungguh dia kerana saya tuliskan kisahnya. Tambah teruja bila saya maklumkan 7 “storytelling” yang saya hantar untuk projek Mrs. Papa semuanya adalah kisah tentang beliau.
Kami sangat akrab. Kami bukan hanya suami isteri, malah sudah seperti rakan karib yang sentiasa bersama. Bayangkan, kala di pejabat, beliau kerap menelefon kononnya semata- mata hendak mendengar suara saya. Begitulah akrabnya kami dalam menjalani kehidupan dari awal perhubungan hingga ke satu titik yang saya bayangkan mungkin bukan sekarang.
Bermacam perkara kami angankan, tidak terkira banyaknya perancangan yang kebanyakannya tentang anak- anak.
Dia saya kategorikan sebagai “homely type”. Dunianya hanya tempat kerja dan keluarga. Apa sahaja yang beliau rancang dan laksana semuanya berlatarbelakang saya dan anak- anak.
Beliau lah pendorong, pemberi semangat, sahabat baik, abang, pendengar setia dan penyelesai masalah dan kekusutan. Tiap kali kita tanyakan pendapatnya, jawapannya pasti,
“Kita ada Allah. Tak percaya dengan Allah ke?”
Itu pegangannya. Kerana Allah ada pada setiap masa. Dalam banyak ketika saya selalu cemburukan sikapnya yang sentiasa positif. Sedangkan saya sebaliknya, selalu risau dan banyak fikir tidak ketahuan hala.
Allah Maha Berkuasa, tanpa tanda, tanpa pesan, tanggal 23.11.2018, separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya. Luluh hati saya dipaksa menerima ketentuan perpisahan abadi yang bukan kemahuan saya dan anak- anak.
Kemalangan bas yang kami naiki untuk ke Kudat meragut nyawa suami, 3 rakan serta seorang anak rakan. Luluh hati mengenangkan saat saya hanya mampu memandang sekujur tubuh suami yang sudah tidak bernyawa.
Tambah pedih, bila mana saya terpaksa lepaskan jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman tanpa mampu saya temani.
Saya menangis semahu- mahunya menanda setiap detik perjalanan “pulang” jenazah hingga akhirnya selamat disemadikan.
Ramai tanyakan, kenapa saya kuat? Bagaimana saya boleh secekal itu menghadapi ujian getir yang tidak pernah saya bayangkan ini?
Saya bisikkan pada diri, “Apalah kudrat saya bilamana saya perlu berebut dengan Allah? Saya sayangkan beliau. Allah juga teramat sayang padanya. Maka, pastilah Allah lebih berhak mendapatkan kembali hambaNya yang disayangNya.”
Semoga itu juga mampu menjadi penguat semangat buat anak- anak yang ditinggalkan buat menemani saya hinggalah masa saya juga tiba untuk menyusul kepulangannya.
Sehingga tarikh ini, saya dan anak perempuan kami, Syahirah Nafeesa masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.
Saya telah selamat menjalani pembedahan memasukkan implan bagi menggantikan femur yang berkecai. Anak pula sedang melalui tahap prosedur terakhir rawatan iaitu prosedur “skin grafting” – menampal kulit baru di kawasan luka.
Sesekali timbul juga fikiran- fikiran jahat. Menerawang juga persoalan jahat seperti mengapa kami diuji sebegini? Kenapa seteruk ini kecederaan kami? Apa akan jadi pada masa depan kami? Namun, cepat saya sedarkan diri. Ini bukan jalan cerita ciptaan manusia. Ini jalan cerita aturan Allah. Allah letakkan kami dalam keadaan ini maka pastilah Allah juga sediakan penyelesaiannya.
Tugas saya hanya terus menanamkan rasa kuat dan redha pada diri saya sendiri dan anak- anak. Dan tugas saya juga untuk terus mempercayai Allah sebaik- baik perancang.
Dalam pada meneruskan rawatan di hospital, Puan Ezatul sebenarnya masih menulis di ruang facebooknya. Dan catatan ini turut dikongsikan untuk jadi pedoman pembaca Mingguan Wanita.
Semoga, beliau terus kuat dan bersemangat untuk menjalani kehidupan selepas ini.
Pasti dalam dunia pekerjaan, kita punya ramai kawan. Kawan lelaki, kawan perempuan, yang lebih berusia mahu pun pangkat adik- adik kita. Pasti juga ada yang kita mesra dan ada yang kawan begitu- begitu sahaja.
Seperkara yang perlu diingat dan dipasakkan dalam hati, dalam membina persahabatan dan memupuk “chemistry” di tempat kerja, jangan cuba- cuba bermain dengan api.
Pasti, di antara ramai- ramai yang baik dengan kita, ada yang mungkin nampak molek di mata, maka layanan kita kepadanya mungkin lebih mesra namun, ingat, jangan cuba- cuba menukar istilah teman tapi mesra itu menjadi kekasih gelap pula.
Andai kita seorang isteri, jujurlah dalam membina persahabatan dengan kawan- kawan. Jaga diri kita sendiri. Jangan nanti kita digelar lebih sudu dari kuah. Jangan cipta kontroversi lebih- lebih lagi yang berkait dengan hubungan lain jantina di tempat kerja. Jadilah pekerja yang memberi contoh baik kepada kawan- kawan bukan yang membawa budaya tidak sihat.
Andai kita seorang suami, hati dan kepercayaan isteri janganlah kita zalimi. Sampaikah hati kita mengkhianati tulusnya rasa percaya keluarga dan mencemarkannya dengan palitan perbuatan tidak jujur di belakang mereka.
Ingat, api semasa kecil memanglah kawan. Bila besar takut awak hangus terbakar nanti.
Setiap pasangan berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Kalau boleh biarlah mengharapkan untuk sehidup dan semati.Lebih-lebih jika tempoh perkahwinan telah melangkaui berpuluh tahun dan mencecah setengah abad!
Satu detik kematian yang indah dan ‘dicemburui’ oleh ramai pasangan, apabila pasangan suami isteri,Imam Masjid Jamek Simpang Renggam, Kluang dan isterinya meninggal dunia ketika tidur di Kampung Chokro,Simpang Renggam, awal pagi kelmarin setelah 51 tahun hidup bersama.
Bera Madiran, 78, yang menghidap diabetis dan isterinya, Siti Munah Damin, 60, menghidap kanser limfoma disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi.
Terdahulu, suami isteri berkenaan dikatakan meninggal dunia dalam tempoh selang dua jam.Anak sulung mereka Mohamad Farid, 50, berkata ibu bapanya disedari sudah meninggal dunia oleh adik bongsu perempuannya yang tidur bersama di bilik mereka.
“Biasanya ayah akan bangun awal untuk bersiap mengimamkan solat Subuh di masjid, namun pagi tadi ayah tidak bangun seperti biasa menyebabkan adik saya mengejutkannya.
“Namun, ayah tidak bergerak sebelum adik mengerakkan ibu pula tetapi tiada juga maklum balas menyebabkan adik kemudian memanggil kami (anak yang lain).
“Kami kemudian menelefon talian kecemasan sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan ibu bapa kami sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.
Menurutnya, walaupun terkejut kerana ibu bapa pergi serentak ketika tidur, namun adik-beradiknya reda dengan pemergian mereka berdua. Katanya, timbul salah faham dalam laporan awal yang tular menyatakan ibu bapanya meninggal dunia selang dua jam.
“Sebenarnya mereka berdua meninggal bersama ketika sedang tidur. Ayah dan ibu juga tidak menunjukkan perbezaan tingkah laku, malah ayah sempat menghadiri jemputan kenduri potong jambul, malam tadi.
“Ayah juga kelihatan ceria dan seronok melayan cucunya bermain apabila pulang dari kenduri, malam tadi,” katanya.
Katanya, bapanya Imam di Masjid Jamek Simpang Renggam sejak lebih 20 tahun lalu selepas bersara sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam.
“Ayah dan ibu kami adalah pasangan bahagia yang penyabar dalam mendidik sembilan anaknya. Ayah juga sering berpesan supaya kami sembilan beradik sentiasa menjaga tingkah laku, malah pernah menyatakan jika umurnya tidak panjang, kami adik-beradik perlu terus saling menyayangi dan menjaga perhubungan,” katanya.
Menurut anak kedua pasangan suami isteri ini pula, beliau bersyukur Allah permudahkan segala urusan arwah mak dan abahnya. Azlina berkata, dia bersama sembilan lagi adik beradiknya juga reda dengan pemergian arwah bapanya, Bera Madiran, 78, dan arwah ibunya, Siti Munah Damin, 66, yang disifatkan sebagai pasangan sehidup semati.
Menurutnya, sebelum ini, bapanya yang juga imam Masjid Jamek Simpang Renggam sentiasa bersama ibunya untuk ke mana sahaja termasuk ketika memberikan ceramah agama selain tidak pernah berjauhan sepanjang 51 tahun berkahwin.
“Terkejut memang terkejut tetapi kami adik beradik reda kerana apa yang berlaku ini atas izin dan kehendak ALLAH dan pemergian mak dan abah juga cukup indah kerana wajah mereka saling berpandangan di antara satu sama lain.
“Kali terakhir saya jumpa arwah mak dan abah pada dua minggu lalu dan ketika itu tiada sebarang perubahan dan arwah memang cukup suka kalau anak-anak dan cucu-cucunya berkumpul di rumah ini,” katanya
Katanya, ibunya yang menghidap kanser limfoma juga sudah selesai menjalani beberapa kitaran kemoterapi dan sudah hampir sembuh selain bapanya menghidap penyakit kencing manis dan terpaksa disuntik insulin.
Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Mohamad Farid, 50, berkata, kebetulan pada hari kejadian, seorang adiknya, Nur Shafikah, 28, yang tinggal di Kelantan pulang ke kampung dan tidur bersama-sama ibu dan bapanya di dalam satu bilik yang sama.
“Kira-kira dalam jam 5 pagi, Nur Shafikah yang sedang menyusukan anaknya terdengar nafas ibu dan mungkin ketika itu arwah ibu sedang nazak dan dia (adik) cuba pula untuk mengejutkan arwah ayah yang disangkakan ketika itu sedang tidur.
“Nur Shafikah kemudian kejut adik bongsu, Aidil Adha, 19, yang tidur di dalam biliknya sebelum menghubungi saya yang tinggal tidak beberapa jauh dari sini dan adik-adik yang lain dan ketika itu mak dengan abah memang sudah meninggal dunia,” katanya.
Mohamad Farid berkata, arwah bapanya yang juga pesara guru agama di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, di sini, juga seorang yang disegani kerana merupakan imam selain pernah menjadi juru nikah dan Penggerak Keluarga Sakinah.
Katanya, dia juga bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung, kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.
MW: Semoga roh pasangan suami isteri ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Mulianya hati seorang pramugari apabila bertindak menyusukan bayi yang menangis didalam pesawat gara-gara susu formulanya habis sejurus pesawat berlepas.
Patrisha Organo, 24, sedang bertugas dalam penerbangan awal pagi dari Filipina apabila dia mendengar tangisan bayi yang sangat kuat.Pramugari itu yang mempunyai bayi berusia sembilan bulan terus menuju ke arah ibu bayi berkenaan untuk memberikan bantuan.
“Sebaik sahaja saya mendengar bayi menangis, saya tahu ada sesuatu yang mungkin saya boleh buat untuk membantu.
“Apabila ibunya beritahu saya bahawa dia tidak mempunyai susu formula dan saya tahu dalam penerbangan tak ada seorang pun yang membawa susu, saya tahu saya harus membantu.
“Saya menawarkan susu badan saya sendiri, kerana saya memang menyusukan anak saya.
“Ibu bayi itu sangat berterima kasih kerana saya membantu, dia telah berada di lapangan terbang sejak pukul 9 malam, malam sebelumnya.
“Sebaik sahaja bayi itu mula menyusu, saya dapat lihat kelegaan di mata ibunya dan anak perempuannya akhirnya tertidur.”
Pramugari itu berkata dia tahu apa yang akan dilalui oleh seorang ibu, terutama ketika penerbangan baru sahaja berlepas.
“Sebagai seorang ibu saya sendiri tahu bagaimana tekanan yang harus dilalui.
“Saya dapat bayangkan perasaan ini. Bila kita tak dapat memberi makanan kepada anak yang sedang lapar adalah satu ‘mimpi ngeri’, jadi saya terpaksa bantu.
“Dia telah berada di lapangan terbang sejak malam sebelum itu dan susunya telah habis ketika penerbangan sebenar, menyebabkan bayi itu menangis.
“Sebaik sahaja saya dapat membantu bayi itu dan ibunya, saya berasa sangat gembira, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.”
Pramugari itu berkata wanita berkenaan sangat berterima kasih kepadanya kerana ikhlas membantu.
“Saya tahu penerbangan ini begitu istimewa buat diri saya kerana saya baru sahaja dinaikkan pangkat, tetapi saya tak sangka ia akan seistimewa ini.
“Saya menyusu bayi yang tidak dikenali dalam penerbangan dan saya sangat bersyukur mempunyai susu ibu pada masa yang amat diperlukan.”
MW: Tahniah buat pramugari ini.Sangat berjiwa besar dan sifat terpuji. Bukan sahaja lakukan demi tugas, tapi memahami dan memiliki jiwa yang penuh keibuan.
Kes sumbang mahram kakak dan adik di Besut mengejutkan negara apabila adik lelaki berusia 14 tahun dipercayai OKU lembam ditahan bagi membantu siasatan pembuangan bayi.