
Tidak Mahu Islam Pada Nama
Kalau boleh, tidak mahu Islam pada nama sahaja dan mahu jadi muslim yang baik itulah pegangan pemuda mualaf selepas memeluk Islam sejak 11 tahun lalu.
Hubungan dengan keluarga cukup baik, Julian@Mohammad Aiman Iskandar Ennus, 31, dari Kampung Sungai Merab di sini mengakui bersyukur kerana ahli keluarganya terutama ibu, Anastassia Tanak, 76, amat menghormati jalan hidup yang dipilihnya.
Biarpun berlainan agama, kasih sayang Julian terhadap keluarganya tidak pernah berubah, malah hubungan mereka semakin erat sejak dia memeluk Islam pada 17 Julai 2015.
Bagi Julian, seperti anak lain, dia tetap pulang menziarahi ibu bapanya, Anastassia dan Ennus Agum, 77, yang kini menetap di Kampung Tegilung di Kuala Penyu, Sabah.
Menceritakan kisah penghijrahannya, Julian yang bekerja sebagai jururawat pergigian berkata, dia memeluk Islam ketika masih belajar di Tingkatan Enam dekat sebuah sekolah berasrama penuh.
Ditakdirkan, dia menerima hidayah ketika 10 malam terakhir dalam Ramadan dan keinginan itu datang dengan sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa walaupun pernah didatangi mimpi yang seakan mengajak dan menjentik hatinya untuk berhijrah.
“Dulu, saya selalu kejut rakan dan junior bangun untuk menunaikan solat Subuh. Tapi pada suatu hari, datang keinginan kuat untuk memeluk Islam hingga mengucap dua kali syahadah selepas Subuh.
“Ustaz dan rakan antara orang terawal yang tahu waktu itu. Mereka pun terkejut tapi saya buat (mengucap dua kalimah syahadah) dengan kerelaan sendiri,” katanya.
Bercerita lanjut, Julian berkata, pada mulanya dia memilih untuk mendiamkan diri mengenai penghijrahannya, namun beberapa hari kemudian mengambil keputusan untuk berterus terang dengan ibunya.
“Ketika itu, saya beritahu ada perkara penting mahu dikongsikan, namun sebelum sempat saya menjelaskan perkara sebenar, emak terlebih dahulu memberitahu dia sudah tahu, cuma mahu mendengarnya daripada mulut saya sendiri.
“Alhamdulillah, emak dapat menerima keputusan itu, namun dia berpesan supaya jangan hanya Islam pada nama dan membuktikan diri sebagai seorang Muslim yang baik,”
katanya.Julian berkata, ibunya turut berpesan supaya dia meninggalkan tabiat minum arak kerana mengetahui ini antara kegemarannya suatu ketika dahulu, selain mengingatkannya bahawa kasih seorang ibu tidak pernah berubah.
“Emak mengingatkan bahawa saya tetap anaknya sampai bila-bila. Pesanan emak itulah yang menjadi pegangan saya hingga hari ini dan syukur, saya sudah meninggalkan tabiat minum arak sejak berhijrah selain tidak lagi panas baran serta gemar melawan seperti dulu,”
katanya.Menurut Julian, perkara yang paling menyentuh hatinya adalah apabila ibunya sering mengingatkannya untuk menunaikan kewajipan sebagai Muslim terutama berkaitan solat.
Katanya, pada awal penghijrahannya, ibunya akan mengejutkannya untuk bangun menunaikan solat, terutama ketika waktu Subuh setiap kali dia pulang ke rumah.
“Daripada situ saya nampak emak benar-benar mahu saya menjadi Muslim yang baik. Hubungan kami juga menjadi semakin rapat selepas saya memeluk Islam.
“Setiap kali musim perayaan terutama Hari Natal, saya tetap pulang ke kampung untuk berkumpul bersama keluarga walaupun tidak meraikannya.
“Jadi, saya tidak nampak sebarang masalah walaupun saya dan emak kini berlainan agama. Lagipun, tiga lagi adik-beradik saya juga sudah memeluk Islam.