Untitled design (11)

Jangan terkejut jika suatu hari suami terdengar isteri menjerit dan marah-marah pada anak. Mungkin waktu itu, isteri terlalu penat dan tidak tahu pada siapa yang patut diluahkan. Dengan keadaan rumah bersepah dan suami pula tidak sedikit pun membantu membuat kerja rumah. Akhirnya anak-anak menjadi mangsa.

Kalau suami faham, dia akan membantu dan sama-sama membuat kerja rumah. Jika suami tidak faham, boleh makan hati para suami. Jangan ingat,isteri minta tolong baru nak buat. Sepatutnya kenalah sama-sama tolong.

Satu lagi, isteri seharian berada di rumah, hanya rileks dan uruskan anak. Sedangkan mak-mak yang berada di rumah umpama tidak berhenti urus rumah. Ada shaja perkara yang nak di buat. Jika keadaan ini berterusan boleh stres mak-mak.

Ikuti perkongsian daripada Zaim Zain yang boleh membuka mata para suami di luar sana.

Bawa Isteri Keluar Berjalan

Saya balik kerja, isteri cakap, “Abang, jom keluar jalan-jalan. Stress la”

Banyak kali macam tu. Pelik betul. Stress apa, duduk rumah jaga anak-anak tercinta yang comel-comel tu. Kalau ikutkan, keluar rumah, lagi la stress dan penat.

Bila fikir semula, saya bawa juga pusing-pusing naik kereta. Kadang-kadang, singgah pasaraya. Selalunya tak beli apa pun, window shopping je. Tapi dia punya teruja, macam anak kecil diajak pergi Disneyland.

“Terima kasih abang, bawa jalan-jalan!”, isteri saya akan ucap ini setiap kali dapat berjalan.

Saya teringat satu pesanan, “Emosi perempuan ni macam belon kecil, tak boleh tampung banyak sangat tekanan. Nanti meletus. Beza dengan kita orang lelaki”

Bertukar Sikap

Dulu isteri saya lemah lembut je, sejak ada anak ni, kalau tak kena masa, kalah raja rimba. Macam nak makan orang. Pelik juga. Kemana perginya kelembutan dan kemanjaan beliau yang dulu?

Kita baru pegang handphone pun, tiba-tiba boleh kena serang. Mengejut je. Tiba-tiba meletus.

Saya cuba untuk faham situasi ini. Ya, kami para suami susah nak faham.

Rupanya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri.

Tiada Ruang Sendirian

Anak menangis nak susu, anak yang lain berkelahi menjerit-jerit, sorang lagi mendesak nak tengok kartun, rumah dah macam tongkang pecah. Tak masuk lagi bab masak, bisnes, kurang tidur, lapar, basuh baju, kemas, layan perangai customer barang tak sampai. Ini berlaku setiap hari, hampir setiap masa.

Tengok la gambar ni, nak tidur pun, nak dengan mama dia sahaja. Tak ada ruang mama dia bersendiri. Terpaksa saya sarung tudung isteri untuk kelirukan budak ni.

Asakan-asakan ni mendesak isteri secara fizikal, mental dan emosi.

Siapa lagi tempat isteri nak mengadu dan harapkan? Kita la, partner dia. Sebab tu kalau emosi mereka tidak ditenangkan, boleh meletop!

Nasihat untuk Suami

Jadi, nasihat ini untuk diri saya dan suami-suami sekalian. Isteri adalah amanah Allah pada kita.

1. Dengar cerita dia. Jika isteri mahu bercerita, dengar dengan cara pandang muka dia, atau peluk dia. Tunjuk yang kita prihatin dan sokong dia. Apabila kita abaikan dia nak luah kepenatan dia, dia makan hati. Tau-tau dah merajuk acik tu. Lagi teruk kalau kita sinis dan rendah-rendahkan pula perasaan dia. Jangan pelik kalau isteri pandai melawan.

2. Urus rumah adalah kerja kita juga. Tak ada istilah ‘tolong isteri buat kerja rumah’. Kalau ikutkan, itu memang kerja kita juga. Kita masak sebab nak makan, kita basuh baju dan pinggan sebab dah pakai. Itu rumah kita dan itu anak kita. Kita ada tanggungjawab. Ringankan tulang.

3. Kerja isteri tiada office hour. Dia bukan robot, jadi, bagi masa untuk dia berehat dan ‘me time’. Dia pun memang kurang rehat, sejak mengandungkan anak pertama.

Pada saya, mengurus rumah tangga ni ada dua school of thought. Satu, isteri kena layan suami macam raja. Kedua, urus rumah bersama-sama. Dua-dua betul. Sesuaikan lah dengan cara kita.

Para isteri sekalian, maaf ya, jika tidak memahami kalian, bagi para suami peluang. Kita jaga kita. Benda boleh bincang. Mulakan dengan bercakap baik-baik dengan pasangan.

Maafkan, jika ada kesilapan dan kesalahan. Kita manusia biasa. Kenapa suami ada kekurangan? Sebab awak adalah pelengkap dia.

Kita bukan terbaik, tetapi izinkan kita berusaha jadi yang terbaik.

MW: Hidup berumah tangga, suami jangan lepas tangan dan mengharapkan isteri buat semua kerja rumah. Tolonglah isteri dan tak perlulah sampai isteri nak cakap baru nak tolong.

Sumber: Zaim Zin

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI