
Tempe sememangnya sinonim dengan masyarakat Malaysia, namun seorang usahawan tempatan berjaya membawa makanan tradisional ini ke satu dimensi baharu. Pengasas Acik Vegan, Lia Ahmad Ramli, tampil dengan inovasi menghasilkan tempe Malaysia menggunakan pelbagai jenis kekacang yang menawarkan rasa, tekstur dan nilai nutrisi berbeza.
Menerusi jenama Acik Vegan, Lia memperkenalkan lima variasi tempe yang dihasilkan daripada kacang selain soya. Usaha tersebut bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah membuktikan bahawa tempe Malaysia masih mampu berkembang melalui inovasi tanpa menghilangkan identiti tradisionalnya.
Produk Acik Vegan mula mendapat perhatian ramai selepas dikongsikan oleh pengguna Threads, Mohamad Jamalee, yang memuji keunikan produk tersebut serta misi sosial yang dibawa oleh perusahaan itu.
Lima Variasi Tempe Untuk Pilihan Pengguna
Menurut Lia, setiap jenis kekacang mempunyai kandungan nutrisi yang berbeza. Atas sebab itu, beliau mengambil masa berminggu-minggu menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan setiap produk mempunyai rasa, tekstur dan proses fermentasi yang terbaik.
Antaranya ialah:
- Tempe Edamame

- Tempe Soya Putih

- Tempe Soya Hitam
- Tempe Kacang Kuda
- Tempe Lima Jenis Kacang (5-Color Beans)

Menurut beliau, pengguna bukan sahaja dapat menikmati kepelbagaian rasa, malah memperoleh manfaat nutrisi yang berbeza mengikut jenis kekacang yang digunakan.
“Different beans have different nutrition profiles.”
Pendekatan ini menjadikan tempe bukan sekadar makanan tradisional, tetapi pilihan makanan sihat yang boleh disesuaikan dengan gaya hidup moden.
Ambil Masa Berminggu Untuk Hasilkan Resipi Terbaik

Menghasilkan tempe Malaysia yang berkualiti memerlukan penelitian yang tinggi.
Lia menjelaskan setiap jenis kekacang mempunyai kadar kelembapan, tekstur dan tempoh fermentasi yang berbeza. Oleh itu, beliau perlu menjalankan pelbagai ujian sebelum memperoleh formulasi yang benar-benar sesuai untuk dipasarkan.
Hasil penyelidikan tersebut membolehkan Acik Vegan menghasilkan tempe dengan tekstur yang baik, rasa yang konsisten serta mengekalkan kualiti produk.
Usaha itu turut membuktikan bahawa inovasi dalam makanan tradisional memerlukan kesabaran, ilmu dan komitmen yang tinggi.
Sokong Komuniti Orang Asli Dan Petani Tempatan

Selain menghasilkan tempe Malaysia yang lebih inovatif, Acik Vegan turut membawa misi sosial melalui perniagaannya.
Lia menjelaskan perusahaan ini bekerjasama dengan komuniti Orang Asli yang membekalkan daun bagi membungkus tempe secara tradisional.
Selain itu, bahan mentah juga diperoleh daripada petani tempatan bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

Menerusi perkongsian Mohamad Jamalee di Threads, beliau turut berkongsi pengalaman melihat sendiri proses mendapatkan bekalan daun daripada komuniti Orang Asli serta menggalakkan orang ramai menyokong produk tempatan.
Anda mungkin berminat dengan
Menurut beliau, setiap pembelian bukan sahaja membantu usahawan tempatan, malah memberi manfaat kepada komuniti yang terlibat dalam rantaian pengeluaran produk tersebut.
Kini Mudah Didapati Di Jaya Grocer

Bagi mereka yang ingin mencuba tempe Malaysia dengan variasi unik ini, produk Acik Vegan boleh didapati melalui penghantaran terus ke rumah atau di beberapa cawangan Jaya Grocer sekitar Kuala Lumpur.
Sambutan yang diterima semakin menggalakkan apabila lebih ramai pengguna mula mengenali keunikan produk tersebut.
Usaha Lia Ahmad Ramli membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya mengubah sesuatu makanan secara keseluruhan, sebaliknya boleh memperkayakan warisan sedia ada melalui idea baharu yang lebih lestari.
Dengan menggabungkan inovasi makanan, penggunaan bahan organik, pembungkusan mesra alam serta sokongan kepada komuniti Orang Asli dan petani tempatan, Acik Vegan berjaya mengangkat tempe Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sebagai produk tempatan yang membanggakan
Sumber: Threads @mohamadjamalee & Facebook Acik Vegan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

