Tamparan Hebat Hilang Suami & 7 Anak, Reda Satu Keluarga Diuji Hidap KANSER! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Besar sungguh ujian buat keluarga ini, masakan tidak satu keluarga diuji dengan penyakit kanser, malah seorang demi seorang telah meninggal dunia.
Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anak dilahirkan hidup sihat, begitu juga Che Noorsiah Abdul Rashid apabila menerima kehadiran lima anak yang menjadi penyeri hidup bersama suami.
Namun, takdir Allah SWT ‘menuliskan’ sebaliknya apabila semua anaknya bersama tiga anak tiri serta suami diuji penyakit kanser, malah dirinya dan seorang cucu lelaki juga diuji penyakit sama.
Lebih menyedihkan tujuh anak dan suaminya kini sudah meninggal dunia kerana penyakit mereka.
Suami, Abdul Latif Md Jali yang menghidap kanser paru-paru dan tumor otak meninggal pada 1998 manakala anak kandungnya, Nur Hidayati Ayu yang menghidap kanser adrenal meninggal dunia pada 1995, Irfan Effendy meninggal dunia pada 2013 kerana kanser limfoma dan Nur Aqilah Atiqah menghidap kanser payudara yang meninggal dunia pada 2019.
Seorang lagi anaknya, Shaheedy Effendy yang meninggal dunia kerana jangkitan bakteria salmonella tahun ini juga mempunyai ketulan di tulang selangka namun tidak sempat membuat ujian dan pemeriksaan lanjut.
Tiga anak tirinya, Noraini meninggal dunia pada 2002 akibat kanser payudara, Mohd Jefri menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 2018 dan Mohd Musa meninggal dunia pada 2016 kerana kanser darah.
Kini hanya tinggal Che Noorsiah, 69, dan anak bongsunya, Nur Alia Wahidah, 32, yang masih berjuang melawan kanser payudara manakala cucu lelakinya Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy, 11, kanser limfoma, tulang dan leukemia.
Tamparan Hebat Kehilangan Anak & Suami
Bercerita kisahnya, Che Noorsiah berkata, kehilangan suami dan tujuh anak termasuk tiga anak tiri boleh dianggap satu tamparan hebat buatnya, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
“Apabila semua anak sakit kanser, hati saya seolah-olah hancur biarpun tiga anak lain cuma anak tiri, tetapi saya tidak pernah membezakan kasih sayang buat mereka. Rasa itu tetap sama.
“Bagaimanapun saya sentiasa kuatkan semangat dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana perjalanan hidup kita seperti menaiki kereta api yang akan berhenti di hentian stesen, apabila tiba masa kita akan ‘pergi’ dan sakit cuma asbab.
“Kini hanya tinggal saya bersama anak bongsu dan cucu bersama-sama melawan penyakit ini. Bagi saya selagi ada hayat saya akan berjuang dan hidup dengan gembira, malah sokongan ahli keluarga lain sangat menguatkan kami,” katanya ketika ditemui.
Bernasib Baik Kanser Dikesan Awal
Pesara kerajaan itu berkata, dia bernasib baik apabila kansernya dapat dikesan awal dan kini berada di tahap awal namun sudah melakukan pembedahan membuang payudara kanan pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia disahkan menghidap penyakit itu pada November 2020 dan mengakui keluarganya tiada sejarah penyakit kanser, namun penyakitnya itu bukanlah penamat kehidupannya.
Ads
“Ketika disahkan kanser payudara saya memang terkejut kerana keluarga saya tiada sejarah penyakit kanser. Ini dugaan keluarga saya apabila kami semua diuji dengan penyakit ini.
“Sebagai pesakit kanser dan ada anak dan cucu yang mempunyai penyakit sama kami perlu positif dan menjalani kehidupan dengan gembira selain melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi diri.
“Tiga elemen penting untuk lawan kanser adalah kuatkan semangat, makan makanan berkhasiat dan buat rawatan disyorkan pakar. Hidup dan mati kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Tidak Salahkan Takdir
Bercerita lanjut, saat paling sukar yang dilaluinya adalah anak perempuan yang lama ditunggu, Nur Hidayati Ayu disahkan menghidap kanser adrenal ketika berusia empat tahun.
Katanya, sejarah keluarga suaminya memang ada yang sakit kanser tetapi dia tidak menyalahkan takdir kerana baginya semua aturan Allah SWT mempunyai hikmah.
‘Hayyan Ada ‘Super Power’ Kuat Lawan Sakit’
“Hayyan, wan (Che Noorsiah) dan mummy (Nur Alia Wahidah) ada ‘super power’ jadi kami kena kuat lawan sakit,” kata pesakit kanser tahap empat, Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy.
Haleef Hayyan Effendy, 11, atau mesra disapa Hayyan diuji penyakit kanser limfoma seawal usia lima tahun sebelum kanser itu merebak ke tulang dan kini turut disahkan mempunyai leukemia pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika disahkan kanser kembali dia menangis, terdiam dan kecewa tetapi sokongan ibu, Mimi Zarina Omar, 48, membuatnya kuat.
“Masa usia lima tahun, Hayyan tak tahu kanser itu apa cuma tahu ABC sahaja dan sakit macam arwah ayah.
Ads
“Bila doktor cakap Hayyan ada kanser lagi baru-baru ini saya menangis dan terkedu sebab kena buat rawatan lagi.
“Masa buat rawatan memang sakit tapi Hayyan ada mummy yang selalu temankan di hospital tapi Hayyan harap sangat Hayyan, wan dan mummy terus kuat dan sihat,” katanya.
Kekal Positif Sembuh Daripada Penyakit
Sementara itu ibunya, Mimi Zarina berkata, kekuatan sebenarnya adalah melihat kekuatan anak bongsu kesayangannya kekal positif untuk sembuh daripada penyakitnya.
Menurutnya, Allahyarham suaminya, Irfan Effendy Abdul Latif, 39, meninggal dunia kerana kanser limfoma pada 2013.
“Biarpun ‘sakit’ melihat Hayyan sakit tetapi saya tidak menyalahkan takdir atau genetik sebaliknya menerima dengan reda kerana ini ujian Allah SWT untuk saya dan keluarga kami.
“Sebelum ini saya berjuang bersama suami yang melawan kanser selama tujuh bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan kini bersama Hayyan pula untuk berjuang melawan penyakit.
“Pada mulanya saya tidak kuat tetapi melihat betapa positifnya anak buat saya juga jadi kuat. Kita perlu kuat dan positif untuk menjaga pesakit kanser bukan mereka sahaja kena kuat,” katanya.
Kekal Cekal Lepas Hilang ‘Mahkota’ wanita
Kehilangan ‘mahkota’ kewanitaan dan melalui 12 sesi kemoterapi dan 15 kali radioterapi, tidak membuatkan wanita ini ‘gentar’ untuk berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Nur Alia Wahidah Abdul Latif, 32, menjalani pembedahan membuang payudara kanannya dan kini bakal kehilangan satu lagi ‘mahkota’ apabila akan menjalani pembedahan membuang ovari.
Ads
Nur Alia Wahidah berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser payudara selepas baharu tujuh bulan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan bersama suami.
Menurutnya, biarpun mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit kanser tetapi ujian genetik yang dibuat pada 2018 mengesahkannya bukan pembawa gen P53 seperti dua adik beradiknya.
“Pada mulanya kanser berada di tahap dua dan ia berpunca daripada hormon. Saya mengambil keputusan membuang payudara kanan dan ‘membinanya’ semula supaya ia tidak serius. Itu satu keputusan berat kerana ia adalah ‘mahkota’ kita sebagai seorang wanita.
“Kemudian doktor beritahu kanser saya berulang pada Mei lalu dan sudah berada di tahap empat selain merebak ke paru-paru,” katanya yang kehilangan kerja kerana penyakitnya itu.
Menurutnya, dia kini sudah membuat enam sesi kemoterapi dan menunggu untuk membuat pembedahan membuang ovari bagi mencegah kanser kembali kerana ia membabitkan hormon.
“Pembedahan ini akan melenyapkan hasrat saya memiliki anak sendiri. Ini realiti yang dilalui biarpun saya sendiri teringin mahu punya anak sendiri dan ia memang membuatkan saya sedih.
“Semua yang ada pada kita adalah milik Allah SWT dan apabila sedikit yang dipinjamkan itu diambil saya tetap bersyukur kerana Dia masih memberikan peluang saya bernafas.
“Siapa saya untuk mempersoalkan ketentuan-Nya jadi saya perlu positif dan bersemangat untuk melawan sakit ini. Allah SWT mahu lihat saya bersabar dan menerima ujian-Nya. Lagipun saya fikir dugaan mana lebih hebat dan jika dia boleh melaluinya kenapa tidak saya,” katanya.
Mingguan Wanita: Masya Allah, sungguh hebat dugaan buat wanita ini. Bukan mudah untuk berdepan sengan ujian sebegini, kehilangan suami dan anak-anak tersayang akibat penyakit kanser yang cukup ‘digeruni’. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat wanita ini dan diberikan kesembuhan buatnya.
Masanya dah sampai. Inilah yang boleh dikatakan tentang jodoh, pertemuan mahupun rezeki. Tidak terlewat dan tidak terlalu cepat. Semuanya sudah diatur olehNya.
Mungkin disebabkan dia selebriti, ramai yang mempertikaikan betapa cepat mendapat pengganti. Serasa masih lagi baru, pasangannya meninggal dan sekarang sudah ada orang lain. Tak kurang juga yang mengharapkan cepat dapat jodoh supaya anak-anak dapat kasih sayang dari seorang ibu.
Lumrah kehidupan. Macam-macam boleh dikatakan. Sedangkan empunya diri saja yang tahu betapa strugglenya hidup tanpa orang tersayang, lebih-lebih lagi anak yang masih kecil.
Perkongsian daripada Khairul Abdullah ini boleh membuka mata dan ruang pada orang luar agar tidak mudah melatah bila suami atau isteri meninggal terus pasangan ada pengganti lain. Jodoh yang telah ditetapkan dan masanya dah sampai untuk bina keluarga bahagia.
Kesian Shuib, bertunang pun kena kata macam-macam.
Dah jodoh dia kan, siapalah kita nak menidakkannya ye tak? Komen murni-murni dan doalah yang baik-baik untuk dia.
Tapi ramai juga yang kau komen pastu tag aku. Suruh tengok aku, contohi aku, konon setia, tak kahwin, fokus pada anak, yada-yada.
Janganlah gitu. Tak usahlah nak bandingkan aku dengan dia. Dia bertunang, nak kahwin bukan sebab tak setia, tapi keperluan dan jodoh. Kita tak tahu pun struggle dia macam mana. Aku ni yang tak kahwin-kahwin ni janganlah kau label setia hujung nyawa.
Bukan macam tu weh. Bukan soal setia. Kita setia dengan yang hidup ni, yang dah mati dia tak peduli dah pasal setia kita ni.
Isteri aku sebelum meninggal pun pesan suruh aku kahwin bila dia dah takde. Dia ok jer, syarat dia kena cari yang lebih baik dari dia serta boleh bantu aku jaga anak-anak dia.
Mulanya aku taknak, tapi bila aku stress dan letih sangat aku rasa nak kena cari bini. Tapi bila aku dah ok, aku rasa taknak pulak. Malas okeh waktu umur macam aku ni nak start new relationship.
Tapi kan, masuk tahun kedua struggle jaga anak sorang diri ni, aku jatuh sakit.
Waktu tu malam pukul 9 lebih, anak-anak baru tidur. Aku tak boleh bernafas, rasa nak tumbang, dunia rasa gelap then terus terfikir mungkin inilah saatnya. Dah sampai masa untuk aku mati dah kot.
Dalam dok tahan sakit di dada, tercungap-cungap mencari nafas dan dunia rasa gelap tu, aku minta tuhan bagi aku chance, jangan bagi aku mati malam ni sebab anak-anak tengah tidur tu.
Bukan apa, takut anak-anak aku nanti esok bangun tengok aku dah keras kejung.
Menangis diorang nanti tak tau nak buat apa. Dah ler masih kecik. Baby tu esok pagi nangis nak susu, macamana? Siapa nak buat? Sampai macam tu lah ku punya fikiran.
Terus jumpa doktor esoknya, tidur hospital dua malam. Buat segala prosedur, full checkup termasuk buat angiogram. Alhamdulillah semua clear. Doktor kata aku stress, aku anxiety, aku kena Gerd.
Lepas tu aku rasa eloklah aku kahwin. At least kalau aku mati tengah malam, ada orang yang boleh tengokkan aku dan jaga anak-anak aku.
Jodoh Itu Kerja Allah
Jadi, aku pun usahalah, jumpa-jumpa, kenal-kenal. Ada yang tak berkenan, ada yang suka sangat, ada yang dah macam nak jadi sangat dah, tapi tulah, dah belum jodoh.
Tak kahwin juga sampailah hari ni. Kesian aku kan? Jodoh ni kerja tuhan beb, kita usaha sahaja tapi tuhan tentukan.
Macam aku lepas kahwin dulu.
Nak sangat anak, usahlah kami laki bini. Tak dapat jugak. Pergi jumpa doktor pakar sana sini, doktor sah kami berdua ok, sihat dan subur yakmat keduanya. Tapi tak dapat juga. Buat segala prosedur, tak lekat juga.
Sampai dah rasa memang takdir takkan ada anak, tup-tup Dia bagi, 3 pulak tu. So
Dia bagi bila sampai waktu dan masa yang dah Dia tetapkan, selepas 10 tahun berkahwin.
Samalah si Shuib tu, masa dia dah sampai.
Kita happy lah untuk dia. Kenapa nak bitter atas kebahagiaan orang lain. Tak baik macam tu tau.
Kalau bulan depan ke, tahun depan ke misalnya dah sampai giliran aku, janganlah kau bitter jugak yer. Doakanlah semoga anak-anak aku ni dapat rasa kasih sayang ibu juga.
Bila kena marah, semua pergi sembunyi belakang sofa atau tekup muka dengan bantal, sedih. Takde mak untuk dia mengadu. Kesian tau.
Mingguan Wanita : Doakan yang baik-baik untuk kebahagiaan mereka. Kita bahagia cara kita.
Sumber: Khairul Abdullah
https://www.facebook.com/729777276/posts/pfbid02Tg7DByqZwi3Z1bPqdcnLwNneF8RKumC2Mq6qbRhY6mUtE1CEYFsPVhSRNqxz7rkMl/?mibextid=DcJ9fc
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Terkejutkan bila baca cerita murid ponteng sekolah 53 hari sebab malam main game sampai tak boleh bangun pagi. Nak dijadikan cerita, pihak sekolah pun sampai minta bantuan polis untuk kejutkan anak tadi.
Dari catatan itu katanya ibu ayahnya tak sampai hati nak kejutkan anak pagi hari. Apa pun alasan itu, cuma merekalah yang memahami hakikat sebenar kisah dalam keluarga mereka. Kita yang membaca terkesan sebenarnya dengan cerita-cerita sebegini.
Rasa betapa semakin sukarnya mahu mendidik anak di zaman sekarang. Inilah yang turut dialami Puan Ina Mohd, ibu 4 orang anak perempuan dan seorang lelaki yang pernah satu ketika berdepan dengan kerenah anak degil yang bukan biasa-biasa punya nakal.
Tapi lihat cara ibu ini tangani salah laku anaknya. Yang mana akhir cerita nanti akan buat anda sayu dan rasa bahagia. Kerana anak yang berusia 33 tahun ini akhirnya berubah menjadi orang berjaya.
Viral Anak Main Game Sampai Tak Boleh Bangun
Susahkan nak didik anak sekarang. Pengalaman saya pun sama. Seorang je anak lelaki. Masa umur 11 tahun dia dah terpengaruh dengan game sampai ponteng sekolah. Ambil duit tanpa pengetahuan.
Basikal yang saya belikan untuk ke sekolah dijualnya untuk main game. Lepas itu dia bagitau basikal hilang kena curi. Nakalnya Ya Allah.
Sampaikan kita kunci pintu depan tak bagi keluar rumah, dia boleh terjun ikut pintu belakang dari tingkat dua dengan tali. Hanya DIA je yang tahu.
Tapi masa tu saya tak percaya anak saya sampai tahap tu pengaruhnye. Sehinggalah suatu hari Kak Long mengadu yang abang ni tak pergi sekolah. Kena rotan kat perhimpunan. Macam-macam di usia baru 11 tahun.. huuu ape lagi. Mengamuk laaa si mama ni.
Pintu Saya Rotan Sampai Pecah
Ujar ibu ini lagi, waktu zaman anaknya permainan video game cuma ada di kedai. Tak macam sekarang yang mudah search di handphone.
Saya pergi kedai game warning jangan sampai anak saya masuk lagi. Kat rumah saya rotan (acah-acah rotan). Tak cukup rotan dia, pintu saya rotan sampai pecah pintu (sebetulnye).
Sehinggalah suatu pagi tu dia cakap (ALLAH bukakan pintu hati dia).
“Mama kalau nak abang jadi baik, hantar abang kat sekolah tahfizlah.”
Pada mulanya terkesima juga tapi demi untuk menjadikan dia seorang manusia, saya pejam mata cari sekolah tahfiz.
Di usia 13 tahun dah berpisah dengan dia. Walaupun ada mulut-mulut yang berkata anak tak ada akademik nak kerja apa. Hati remuk tak payah nak cakap sebab satu-satunya anak lelaki.
Hari-hari tanpa dia tak tidur juga malam-malam. Tapi Alhamdulillah bila tengok dia seperti selesa dapat jugalah pujuk hati saya untuk lepaskan dia.
Cumanya tiap-tiap minggu akan ke sekolah dia. Sehinggalah tamat pengajian tahfiz kat Shubro Mesir.
Sujud Syukur Ibu PadaNya
Waktu dia di Mesir tu, 2 minggu juga saya kat sana temankan dia. Balik Mesir baru ambil SPM tanpa belajar di usia 23 tahun. Dan Allah bersamanya. Alhamdulillah sekarang dia merupakan seorang anak yang berjaya dengan bisnesnya serta kelas Al-Qurannya. Sujud syukur padaNYA. Umur dia pun dah 33 tahun sekarang. Adik Kak Long.
Pengajaran kat sini kita boleh je rotan anak yang degil tapi rotanlah dengan lafaz bismillah kerana Allah bukan dengan perasaan nafsu amarah. InsyaAllah Allah akan bantu kita. Pandanglah syurga di wajah mereka.
Bukan nampak kenakalan mereka semasa merotan. Ingatlah ibu adalah guru pertama untuk mencorakkan mereka.
“Mama akan sentiasa mendoakan abang untuk menjadi seorang insan jutawan dunia akhirat dan dapat bersama-sama KakLong untuk tarik tangan Mama..Aamiin.. Mama bangga dengan abang sekarang.”
Nota: Waktu Mingguan Wanita meminta keizinan siar semula kisah Puan Ina di web kami, beliau mohon agar sama-sama memberi sedeqah Al-Fatihah untuk bidadarinya, Kak Long yang telah kembali ke kampung akhirat.
Pesakit wanita cabut lari insurans tak ‘cover’ bil rawatan hospital. Gara-gara insurans diambil tidak melindungi penyakitnya, seorang pesakit wanita melarikan diri dari wad sebuah hospital swasta semalam tanpa membuat pembayaran.
Berikutan itu, jururawat hospital berkenaan membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata pesakit berkenaan yang berusia 32 tahun pada mulanya mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit jam 6.40 petang kelmarin sebelum dimasukkan ke wad.
“Bagaimanapun, pada 9.30 malam pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insuransnya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.
“Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi,” katanya ketika dihubungi.
Tidak Buat Pembayaran
Menurutnya, pada 10.40 malam pesakit berkenaan didapati tiada dalam wad dan dikesan tidak membuat pembayaran serta mendaftar keluar dari hospital.
“Kakitangan hospital cuba menghubunginya namun pesakit berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan satu laporan polis dibuat jururawat.
“Susulan itu, polis menghubungi pesakit terbabit namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci,” katanya.
Alami Sakit Perut
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memberitahu dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk wad.
“Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan,” katanya.
Mingguan Wanita:Macam-macam hal. Pesanan bagi yang mengambil sebarang polisi insurans, pastikan ambil tahu dulu jenis-jenis penyakit yang pihak insurans lindungi, bagi mengelakkan perkara sebegini. Jika ingin mudah hubungi sahaja agen yang kita berurusan untuk pengesahan lanjut.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.