Macam-macam cerita kalau dengar bab nafkah, ada yang hulur sikit dan ada yang tak pernah bagi langsung. Semuanya lebih suka bagi alasan sebab bini pun dah kerja!
Eh… eh… betul ke kalau isteri kerja lelaki selamat daripada hulur duit nafkah? Nak bagi sedar dan tahu, baca perkongsian Doktor Mahyuddin Mohamed ini…
Beri Nafkah Bulanan
Sengaja aku menghulurkan duit nafkah bulanan buat isteriku di hadapan anak-anak kami. Tersengeh-sengeh KakLong & Nabila melihat wang yang bertukar tangan. Itu bukan pertama kali mereka melihat aku menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang suami itu.
“Kenapa Papa kena bagi duit kat Mama?” Hasif masih terlalu kecil untuk faham namun tahap curiosity beliau begitu tinggi. Dia akan sentiasa bertanya apa2 yang dia tidak faham.
“Suami memang WAJIB beri nafkah setiap bulan pada isteri tahu Hasif. Nanti Hasif dah jadi suami pun, Hasif pun kena beri duit kat isteri”. Isteriku mengajar ilmu kehidupan & kewajipan seorang suami. Hasif mengangguk faham.
“Best la jadi orang perempuan Mama. Gaji Papa dan Mama kan sama. Kenapa Papa kena bagi duit kat Mama?” Nabila pula bertanya.
“Kalau gaji suami lagi sikit dari gaji isteri dia pun, dia masih kena beri nafkah setiap bulan. Kena bagi, walaupun sedikit. WAJIB. Melainkan kalau isteri dia kata tak payah la…” Nabila sengeh. Puas hati dengan jawapan isteriku.
Pandang Remeh Soal Nafkah
Ramai suami yang pandang remeh Nafkah Bulanan buat isteri masing-masing. Ada yang TIDAK TAHU & ada yang BUAT-BUAT TAK TAHU. Ada juga LANGSUNG TAK AMBIL TAHU.
Jangan terkejut kita seorang lelaki yang bergelar suami tidak tahu yang memberi nafkah buat isteri itu WAJIB.
Ads
Ada yang tidak pernah beri wang kepada isteri. Jika isteri tidak memaafkan & menghalalkan, maka suami akan sentiasa berada dalam keadaan berdosa.
Berilah Duit Nafkah bulanan kepada isteri kita. Tak mampu banyak, beri sedikit. Tak mampu RM200, berilah RM100. Jika tak mampu juga, berilah RM50 atau RM10. Jika masih tidak mampu juga, suami perlu minta isteri halalkan perbelanjaan yang dibuat dengan menggunakan wang isterinya.
“Okay sayang, bulan ni, bil air sayang bayar, bil letrik abang bayar yer?”
“Loan kereta Myvi bulan ni Ayang bayar yer, Abang tak cukup la duit bulan ni sebab nak kena tukang baiki dapur tu”
Biasa dengar tak dialog kat atas? Atau biasa buat? Sebenarnya, kalau kita nak bahagi-bahagikan pembayaran bil letrik, air, pinjaman kereta atau rumah sekalipun, kita kena minta isteri halalkan.
“Sayang, sayang halalkan bil air yang sayang bayarkan bulan ni yer!” Cakap macam tu kat isteri anda. Kalau cakap baik-baik, pasti isteri kita gembira aje nak tolong kita dengan perbelanjaan rumahtangga.
Aku takut berdosa. Aku juga pernah TIDAK TAHU mengenai wang nafkah buat isteri dan urusan perbelanjaan keluarga.
Ads
Aku tidak malu mengakui yang kami sama2 tidak tahu perkara ini waktu mula-mula mendirikan rumahtangga 18 tahun dahulu. Masa tu student lagi. Kat luar negara pulak tu. Bila mula bekerja pada 2002, kami belanja sendiri-sendiri. Perbelanjaan dan bil pula dibahagi-bahagikan. Aku tidak beri duit nafkah kepada isteriku kerana waktu itu aku TIDAK TAHU mengenai perkara ini. Isteriku juga TIDAK TAHU. Lagi pun, sangkaku, gaji isteriku pun sama banyak dengan gaji aku. Kenapa nak kena beri lagi.
Tapi sangkaanku silap. Gaji aku hanya cukup-cukup sahaja. Cukup bulan gaji habis. Pernah terjadi, duit tinggal RM10 sahaja sehari sebelum gaji masuk.
Perkara ini berubah lebih kurang 10 tahun yang lalu (aku tak ingat tarikh sebenar) apabila kami mula TAHU mengenai Duit Nafkah seorang isteri ini. Duit untuk isteri belanja beli apa sahaja yang dia mahu & bila sahaja dia mahu.
Duit ini tidak termasuk duit belanja dapur, ikan, ayam, sayur. Tidak termasuk baju kain isteri. Tidak termasuk syampu, ubat gigi & toiletries lain. Perbelanjaan ini semuanya mesti ditanggung oleh Suami. Tapi kalau isteri tersayang nak tolong, takde salahnya kan?
Mula Memberi
Aku mula memberi Duit Nafkah Bulanan buat isteriku & aku mohon beliau halalkan setiap sen yang aku tidak lunaskan sebelumnya. AlhamdulilLah isteriku halalkan. AlhamdulilLah leganya hati. Lapangnya dada.
Pasti ada suami yang merasakan ia seakan tidak adil. Namun percayalah, terdapat keberkatan dalam memberikan Duit Nafkah isteri kita. Islam itu Adil. Percayalah.
Sejak memberi wang nafkah bulanan buat isteri, rezekiku bertambah & mencurah-curah. Kehidupan menjadi lapang & mudah. Segala keperluan sentiasa dalam kecukupan. Isteri apatah lagi, gembira sokmo. Bibir sentiasa dihiasi Senyuman manis.
Ada keberkatan dalam pemberian Wang Nafkah Bulanan isteri kita.
A Happy Wife leads to a Happy Home & Happy Family. (A grumpy wife… Anda jawab sendiri…)
Jika anda belum lakukan, mulai dengan hari ini. Berilah Duit Nafkah belanja isteri anda. Anda akan lihat perubahan positif dalam kehidupan anda sekeluarga, InsyaAllah.
Kongsikan dengan suami-suami diluar sana. Semoga beroleh keberkatan rezeki & kelapangan dalam kehidupan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Ada cara nak beri anak seronok belajar mahupun solat ketika berada di rumah. Caranya sediakan ruang khas untuk anak-anak melakukan dua ibadat tersebut.
Inilah yang dipraktikkan oleh Ainizal Abdul Latifdalam membimbing anak-anaknya agar seronok belajar tanpa paksaan. Sediakan dua ruang khas, yang mewujudkan roh belajar di tempat tersebut. Ikuti perkongsian beliau.
Saya sudah berpindah rumah beberapa kali. Namun setiap kali pindah, ada 2 ruang yang saya akan pastikan bersama suami perlu DI WUJUDKAN selain ruang asas seperti ruang tamu, dapur dan bilik, iaitu :
1) Ruang khas untuk belajar.
2) Ruang khas untuk solat / ibadah.
Ruang ini saya wajibkan untuk diwujudkan walaupun tidak besar dan luas. Apabila ruang ini di wujudkan, dan kita gunakannya secara konsisten, ia akan menghasilkan roh dan semangat yang menarik dan selesa untuk kita membuat aktiviti yang sama berulang kali setiap hari.
Mereka juga akan berubah mind set apabila berada di ruang khas mereka ini. Mereka tahu tugas mereka, melakukan tugasan tanpa di suruh-suruh dan dengan pengawasan yang minimal.
Kita ambil contoh mudah, ruang kerja yang kita gunakan setiap hari atau tempat tidur yang tidur setiap hari. Jika satu hari kita diminta untuk menukar ruang tersebut, pasti wujud ‘mood’ yang berbeza dan tidak selesa.
Kadang kala kita sukar tidur apabila hari pertama tidur di hotel atau homestay yang belum pernah kita tiduri sebelum ini. Begitulah halnya anak-anak yang hari ini belajar di sofa, esok di depan televisyen, lusa atas katil di dalam bilik, dan seterusnya di ruang yang berbeza di dalam rumah.
Mereka rasa tidak selesa, belajar di tempat yang selama ini mereka gunakan juga untuk tidur, makan atau menonton televisyen. Roh belajar tidak ada di situ.
Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai ibu bapa yang datang kepada saya dan memberitahu, anak-anak sudah ada mind set belajar hanya di sekolah sedangkan rumah ialah tempat mereka bermain, berehat dan bersuka ria. Buka buku hanyalah untuk melakukan kerja sekolah sahaja.
Berbeza jika kita wujudkan ruang ini, mereka faham, di dalam rumah, apabila mereka memasuki ruang ini, mereka akan ada tugas dan tanggungjawab belajar yang konsisten seperti juga mereka melakukan aktiviti makan, tidur dan bermain.
Namun, penglibatan dan contoh dari ibu bapa juga perlu ditunjukkan bagi menggalakkan mereka sama-sama termotivasi dengan aktiviti ini. Pemikiran mereka masih perlu dibentuk dengan tauladan bukan paksaan.
Moga perkongsian ini menjawab soalan ibu bapa kepada saya bagaimana saya menarik minat anak-anak dan kita sendiri sebagai ibu bapa untuk konsisten belajar di rumah tanpa menggunakan pendekatan jeritan dan menyuruh-nyuruh mereka belajar.
Jika berkesempatan, nanti saya kongsikan pula, bagaimana dengan mewujudkan ruang solat dan ibadah pula memberikan ruh berdoa yang luar biasa di kalangan anak-anak.
Ini bukan cerita tantrum biasa-biasa yang mana kanak-kanak buat perangai sebab nak dapatkan apa yang mereka mahu. Tetapi ini tantrum disebabkan anak autisme, jadi melompat-lompat, guling-guling dan mungkin menghantuk kepalanya di dinding.
Untuk atasi anak-anak autisme, orang luar atau mak ayah tak boleh merenung atau menyentuh si kecil autistik ini kerana kelakuan ini akan menyebabkan mereka stress.
Jika anda nak rasa lebih dekat, ketahui pengalaman seorang ayah yang mempunyai anak autisme, saudara Zulka (Faizul Khalid) ini..
Kalau korang menghadapi situasi seperti dalam video dibawah, bagaimana reaksi korang dengan jelingan kurang mesra orang sekeliling?
Mesti ada banyak jawapan kan?
Aku…
Pada awal dulu, masa zaman tak terrer mengawal situasi dan Khar9 masih berusia 2 tahun, fikiran cenderung ke arah negatif.
Malu bila orang sekeliling pandang. Nak angkat muka pun segan. Terbayang-bayang mulut jahat mengumpat walaupun sekadar perasaan sendiri sahaja.
Kepala pulak blank. Cepat marah.Tak tau nak buat apa. Sekali-sekala aku pukul betisnya nak kasi cepat diam. Tapi hakikatnya perbuatan aku hanyalah menyimbah minyak ke api. Makin marak. Haha.
Aku kerap menghadapi situasi ni ketika di Kapit dulu masa nak bawak Khar9 appoitment dengan doktor pakar dan terapi ke Kuching. Dalam sebulan paling kurang kene hadap sekali atau dua kali.
Tempat paling kerap aksi ni berlaku adalah di airport Sibu, sebab terpaksa tunggu 1-2 jam sebelum meneruskan perjalanan. Kadang-kadang ada jugaklah berlaku di shoping kompleks.
Lama-lama aku sedar, sebenarnya aku tak perlu melayani perasaan negatif ni. Jangan takut atau malu. Kalau dilayan, akan buat rasa tertekan.
Dalam situasi ni, aku mula belajar memanimulasi situasi….dari negatif kepada positif….
“Alah..dulu masa aktif main band, beria-ia nak perform atas stage. Nak orang lihat persembahan. Kalau orang tak ramai masa show, mulalah rasa tak happy. Ok! Sekarang sama je. Aku tengah beraksi tenangkan anak aku yang tengah tantrum ni. Lihatlah wahai orang sekeliling. Lihatlah dunia. Jangan korang tak tau wujud perkara macam ni. Sedarlah… sesungguhnya autism tu wujud”.
Itulah antara kata-kata aku memujuk hati.
Biarlah orang memandang jahat yang penting Allah memandang kita baik. Tu lebih utama. Mulut orang mana boleh tutup pun.
Kalau pikir balik, kita sendiri pun akan pandang kalau ada perkara macam ni berlaku kat orang lain. Akan tertanya-tanya dalam hati. “Kenapa macam tu?”. Ini adalah satu reaksi normal.
Sebenarnya, tak semua orang negatif, ada jugak yang baik hati. Pernah masa Khar9 mengamuk ada seorang bro cuba tolong pujuk kasi gula-gula. Apa yang dia buat tu buat hati kita segar walaupun kasi gula-gula tu boleh kasi power berganda buat Khar9 yang punyai asd & adhd. Sekurang-kurang dia cuba memahami walaupun dia sendiri tak faham apa itu autism.
Beberapa hari lepas, aku nonton filem Logan. Logan atau Wolverine ada satu keupayaan istimewa. Dia boleh pulihkan diri sendiri dengan cepat walau kene tembak berdas-das.
Begitulah aku cuba kaitkan dengan hati ni. Kene cepat pulih kalau kene tembak dengan kata-kata atau pun mata. Kalau nak sentap, sentaplah.. tapi jangan lama-lama. Sembuhkan secepat mungkin. Tak usah terlalu emosi. Kita ada misi yang perlu diselesaikan.
Bagi korang yang selalu memghadapi situasi ni, pasti tau betapa pentingnya persiapan awal sebelum berada dikhalayak ramai.
Pastikan anak kenyang…
Barang kesukaan kene stanby…
Pastikan ada tukang kejar…
Kene pastikan kita sehat dan berkeupayaan untuk berlari… jangan kene gout masa tu sudah…
dan banyak lagi bergantung dengan anak masing-masing.
Dulu sebelum memulakan perjalanan jauh, kami sengaja biarkan Khar9 tidur lewat.
Biar tak cukup tido. Bila masuk dalam bot ekspress ke Sibu yang sejuk dan memakan masa 3 jam, dia akan lena sepanjang jalan.
Selamat di dalam boat ekspress, bila dah sedar sampai airport, penuh pulak bateri.
Begitulah kita ni mak bapak super.
Kena sentiasa positif, kerana negatif akan melemahkan.
Tambah ilmu tentang autism dan kenali sifat semula jadi anak kita.
Belajar tangani tantrum dan meltdown.
Ok. Korang yang ada anak autism mesti banyak nak kongsi kan? Kongsikan diruangan komen supaya orang lain boleh memanafaatkan apa yang korang kongsikan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu membabitkan Zainol MacWilson kembali menjadi perhatian apabila bekas isterinya, Maslinda Yusoff, tampil membalas dakwaan mengenai anak mereka dan mendedahkan beberapa perkara mengejutkan.