kaum wanita

Kulit berkedut, badan gempal, rambut gugur, wajah kerepot macam hantu mak Limah yang menyeramkan, seteruk itukah bayang-bayang wajah anda ketika beranjak tua wahai kaum wanita?

Wanita cantik yang sentiasa dipuja-puji peminatnya mesti tersangat takut jika kecantikan itu pudar dikikis usia. Malahan pusat-pusat kecantikan kian subur di sana-sini. Mereka menjual pelbagai produk yang bertujuan untuk kekal muda, cantik dan sihat. Padahal tiada siapa yang boleh melawan qada dan qadar Allah SWT. Sebagaimana Al-Quran mengingatkan:

“Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Surah Yasin ayat: 68)

Bila Suami Mula Cerita Tentang Cantik Orang Lain….

Ada  juga wanita akan risau jika suami cerita tentang perempuan cantik yang dijumpainya, apatah lagi jika dia sudah tidak muda dan jelita lagi. Lebih-lebih lagi kalau mendengar kawan-kawan suami ada yang berpoligami, bukan main takutnya dia hingga senang-senang boleh dengan tak sedarnya diperbodohkan penjual produk kecantikan.

Apa saja yang didengar tentang awet muda semua mahu dicuba hingga ramai yang menjadi mangsa. Bukan cantik dan muda tapi penyakit yang datang efek daripada pengambilan ubat bebas di pasaran. Tiada siapa yang mahu suami lari mengikut perempuan yang lebih muda dan cantik. Tetapi jika anda mesti membayar dengan harga mahal dan mengorbankan kesihatan sendiri apakah ia berbaloi?

Banyak cara lain mengekalkan cinta dan keintiman bersama suami, ia bukan semata-mata masalah fizikal. Tetapi persefahaman dan komunikasi sihat yang mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ibadah dan pegangan agama yang kukuh adalah lebih mempengaruhi kesucian hati dan cinta suami isteri.

IKLAN

Jadi kepada para wanita yang sudah mula merasa tak menarik lagi cubalah duduk berbincang dengan suami tentang kerisauan anda dan dengarkan pandangan suami tentang hal itu.

Sepatutnya Ini Yang Berlaku

Usia tua hendaklah disambut dengan perasaan syukur kepada Allah SWT yang masih memanjangkan umur dan menjaga kesihatan kita, melindungi daripada mara bahaya dan kerugian harta benda. Jika hidup untuk mengejar kecantikan sampai pada tahap ratu dunia di hati suami, bilakah peluang nak beribadah sepenuh hati? Kalau wanita zaman Aisyah r.a takut amalan mereka tidak diterima tetapi zaman sekarang wanita takut wajah kerepot dan nampak tua!

IKLAN

Rasulullah s.a.w bersabda ketika ditanya tentang ayat:

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka beri dengan hati yang takut. (surah al-Mukminun ayat: 60)

Baginda bersabda: Mereka adalah orang-orang yang berpuasa, solat, bersedekah sedang mereka khawatir amalan-amalan itu tidak diterima.” (hadis Tirmizi disahihkan oleh al-Albani)

IKLAN

Terlalu berghairah merubah diri agar kelihatan muda telah mengalahkan ghairah beribadah kepada Allah SWT bahkan tidak segan silu lagi mendedahkan aurat melanggar yang haram semata-mata nafsu nak cantik. Kecantikan yang dimiliki akan menjadi bahan bakar api neraka bagi mereka yang sengaja mempergunakan kecantikan untuk menggoda lelaki.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang, meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium dari jarak jauh.” (Hadis riwayat Muslim)

Sepatutnya para wanita yang takut kelihatan tua berasa gerun dengan amaran yang diberitakan Rasulullah s.a.w ini. Mengapa seorang wanita perlu menanamkan rasa takut pada Allah melebihi daripada takutnya pada tua ? Tua bukan punca hilangnya kenikmatan, kerana boleh jadi tua itu membawa pelbagai perubahan positif dalam hidup kita.

Tua Itu Boleh Buka Hati Dalam Diam

Ramai yang menikmati hidayah Allah pada masa tua. Oleh itu takutlah daripada rasa lalai pada masa tua sehingga membawa diri kita terus menerus menjauhi Allah SWT. Takutlah pada nasib diri yang kita sendiri tidak tahu di destinasi mana langkah akan berhenti. Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripada Nya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Simpanlah rasa takut tua itu dan cuba belajar memiliki perasaan takut yang lebih bermanfaat untuk kehidupan dunia dan akhirat. Rasa takut yang boleh menyelamatkannya daripada musibah, rasa takut yang meninggikan darjat kita pada pandangan Allah. Takutlah mati dalam keadaan tua dan bermaksiat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI