
Soal mencari jodoh ini bukan boleh dibuat main-main. Bukan hari ini seronok bercinta, bila rasa tak sesuai tinggalkan. Ianya soal masa depan sampai bila-bila. Bak kata orang, hidup dan mati itulah kita pertaruhkan.
Dan dalam pada mencari jodoh, janganlah kemewahan semata-mata yang jadi ukuran. Orang kata paling baik biar susah sama-sama dari mula, bersenang-senang pun berdua kelak.
Inilah yang dikongsikan Aien Suraya ketika mana berkongsi kisah hidupnya yang dilalui ketika masa mula-mula memilih cinta hati untuk dijadikan imam dalam hidupnya.
Bukan kemewahan semata-mata menjadi ukuran pencarian ‘imam’nya, sebaliknya keikhlasan sebenar itulah yang jadi sandaran. Baik dirinya sebagai wanita, dia pun perlu terima bakal suami dengan apa juga keadaan dirinya.

Kisah Aien kongsi,
Kalau korang nak tahu ini la kereta PROTON ISWARA DAA6464 yang suami saya ada sebelum kami kawin. kereta ni menjadi saksi percintaan kami cewahh!! hahaha..
Ini lah yang di panggil susah senang bersama!! dari zaman kami bercinta lagi memang kami berdua orang susah, tak sia sia saya tolak cinta lelaki HONDA dan pilih lelaki ISWARA ni.
Wahai wanita pilih la hati yang ikhlas bukan pilih kemewahan yang ada di depan mata. Kenapa nak pilih jalan mudah kan kalau boleh usaha sama sama. Lagi best perjalanan hidup macam tu. Dapat kenal layanan manusia masa kita susah macam mana.
Masa kita senang macam mana pulak layananya, dapat kenal siapa kawan sebenar. Dapat tahu siapa yang ada time kita susah dan senang. Memang banyak pengalaman kita akan dapat.
Pesan Aien lagi,
Jangan risau kalau boyfriend kamu sekarang tak ada apa apa. Ikhlas lah terima dia sekarang. One day kamu akan senang kalau kamu sama sama usaha ingin ubah hidup dan percaya rezeki Allah.
Rezeki Allah ni tidak cepat tidak lambat tapi tepat pada masa nya.
MW : Jadi dalam menempuhi ujian Ilahi ini, teruslah berdoa dengan cara yang betul dan konsisten. Sebab rezeki Allah ini tak pernah pun salah alamat. Dia akan sampai tepat pada masa, sesuai untuk keperluan hambaNya.
Sumber/Foto : Aien Suraya
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas Helikopter Terhempas, Jenazah Noor Rahiza Akan Dibawa ‘Pulang’ Ke Rumah Untuk Penghormatan Terakhir

Nahas helikopter terhempas, jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar dijangka dibawa pulang ke kediaman keluarganya terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat selepas solat Asar.
Tragedi Helikopter Terhempas
Abang sulungnya, Abdul Latif Anuar, 46, berkata, berdasarkan maklumat awal, jenazah adik ketiga daripada lima beradik itu dijangka tiba pada jam 4 petang.
Artikel lain: 2 helikopter terhempas ketika raptai di Pangkalan TLDM Lumut

Jenazah Noor Rahiza Akan Dibawa ‘Pulang’ Ke Rumah Untuk Penghormatan Terakhir
Beliau berkata, jenazah Noor Rahiza, 39 akan dibawa ke rumah di Taman Perumahan Awam 2, Jalan Pantai Murni, di Yan, Kedah.
“Ia bagi membolehkan ahli keluarga terutamanya bapa kami, Anuar Hassan,70-an, membuat penghormatan terakhir.
“Jenazah akan dibawa ke Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Jalan Tambun, Ipoh (selepas selesai bedah siasat) untuk solat jenazah,” katanya.
Dijangka dikebumi selepas Asar
Beliau memaklumkan, jenazah adik perempuannya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat untuk dikebumikan selepas solat Asar.
Abdul Latif memberitahu, suami Noor Rahiza, Azinor Azizan, 40-an masih berada di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak menunggu urusan bedah siasat selesai.
Anak sulung Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor, 16, mendedahkan jenazah ibunya masih sempurna dengan kecederaan di muka selepas proses pengecaman.
Baca lagi: Nahas Helikopter TLDM, Indvidu Buat Komen Biadap Askar Lain Semua Mati Masa Perang
Pelajar Tingkatan Empat itu memaklumkan hanya rahang di wajah ibunya patah selain itu tiada kecederaan serius lain pada jenazah.
“Rahang mama patah tapi Alhamdulilah jenazah sempurna,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Nur Qistina Awliyah berkata kali terakhir dia bertemu ibunya pada pagi sebelum pergi ke sekolah yang berhampiran dengan rumah di kuaters dalam Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

“Sejak akhir-akhir ini mama memang sibuk, kadang-kadang balik sampai malam, mama cuma pesan belajar rajin-rajin,” katanya sebak.
Bercerita mengenai kenangan bersama arwah, Nur Qistina Awliyah tidak menyangka keterujaan ibunya menyambut lebaran merupakan petanda akhir dia akan meninggalkan mereka sekeluarga
“Masa hari raya lepas, dialah yang paling teruja untuk tangkap gambar. Sampai ayah pun pelik.
“Lepas itu, mama cakap tak mengapalah mungkin ini akan jadi kenangan terakhir boleh simpan buat kenangan,” katanya menambah baju raya ibunya akan menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.
Lagi artikel: Kakak Tak Sangka Ikan Masin Telur Goreng Menu Terakhir Permintaan Adik, Salah Seorang Mangsa Nahas Helikopter TLDM
Menurut Qistina Awliyah lagi, ini merupakan kali pertama ibunya mengikuti program sempena Sambutan Hari TLDM.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Yan, Kedah.
Noor Rahiza, 39, merupakan seorang daripada 10 mangsa korban nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan suami dan empat anak berusia antara enam hingga 16 tahun.
Sumber: Sinar Harian Sinar Harian 1
Lagi artikel: Nahas Helikopter Terhempas, Suami Sepupu Eyra Hazali Antara Terkorban
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Serangan Jantung Itu Datang Tiba-tiba Tanpa ‘HINT’, Bila Sesak Nafas Cepat Ke Klinik

Jangan ingat orang sihat, aktif lagi cergas itu tak boleh kena serangan jantung. Penyakit ini antara pembunuh senyap, jadi segeralah buat pemeriksaan menyeluruh, kalau anda ada tan-tandanya.
Wanita ini, Cik Puan Ammy antara ibu yang aktif, bersukan malah peniaga yang tak kenal erti diam. Bila mana dia tiba-tiba alami serangan jantung, panik seketika keluarganya.
Pengalaman cemas itu dicatatkan agar menjadi panduan buat pembaca Mingguan Wanita

Orang Sihat, Aktif Bersukan Boleh Kena Serangan Jantung?
Sebelum ni aku hairan dan tertanya-tanya bagaimana dan kenapa seorang yang sihat, bersukan dan aktif boleh kena serangan jantung atau heart attack tanpa ada tanda-tanda sebelum ianya menyerang sehingga membawa kepada kematian.
Tetapi selepas aku laluinya sendiri baru aku tahu ianya datang dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang ‘hint’.
Ahad lepas, jam 5 petang, elok jer aku jalan-jalan dengan anak-anak dan suami tanpa ada rasa sakit. Galak jer shopping di kedai RM2.10 beli barang-barang plastik untuk sangkar kucing. Habis shopping segera balik rumah dan kemas dapur pula bersama anak-anak.
Tiba-tiba terasa sakit di bahagian belakang bahu (belikat) berdenyut-denyut. Aku minta tolong suami urutkan. Selesai urut aku masuk bilik untuk rehat.
Bila letak kepala di bantal tiba-tiba rasa sesak nafas dan sakit di bahagian dada kiri serta tegang di bahagian leher dan sekitar rahang.
Minta suami urut lagi.
Cuma Fikir Dah Nak Mati..
Nafas semakin pendek dan dada rasa seperti ditekan-tekan. Suami bawa pergi klinik swasta.
Setelah buat ECG, doktor meminta suami segera bawa aku ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut kerana simptom-simptom menunjukkan aku ada masalah jantung.
Masa dalam kereta, denyutan jantung aku amat laju seolah-olah ianya akan pecah. Hanya kalimah syahadah sahaja yang keluar daripada mulut aku tanpa henti.
“AKU DAH NAK MATI…” Hanya itu saja yang aku fikir.
Entah apa yang berlaku, bila mana aku sedar, aku sudah berada di hospital. Dikelilingi oleh beberapa orang doktor.
Ada yang cucuk tangan pasangkan jarum branula, ada yang tekan-tekan dada aku, ada yang gosok-gosok belakang aku dan ianya berlaku dalam masa yang amat pantas.
Jelas dipendengaranku hanya kata-kata,
“Puan…terus bernafas jangan tidur…”
“Puan kami nak tolong puan…”
“Puan tarik nafas dalam kiraan 10 kemudian lepas…” Dan pelbagai lagi.
Selepas beberapa jarum ubat dimasukkan. Nafasku yang kencang seolah-olah sedang berlari itu mula reda. Denyutan jantung semakin perlahan dan tenang.
Doktor kata aku hampir mendapat serangan jantung dan ‘lucky’ kerana segera dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.
Setelah pelbagai ujian dibuat. Alhamdulillah, doktor sahkan aku sihat. Tiada tekanan darah tinggi, kolestrol terkawal dan gula dalam darah juga normal.

Ada Rahmat Di Sebalik Ujian Tuhan
Kenapa boleh dapat serangan jantung jika semuanya sihat?
Kuasa Allah SWT untuk menguji hambaNya. Tapi yang penting, aku tahu di sebalik ujian itu, ramai yang sayangkan aku.
Buat suami tercinta. Terima kasih kerana bersusah payah mendukung isterimu yang berat ni bawa masuk ke hospital tanpa mengharap bantuan kaki tangan hospital.
Terima kasih juga pada mak mertuaku, abang ipar, kakak ipar dan adik iparku sanggup datang jauh-jauh melawatku walaupun hari dah lewat malam.
Mak, ayah dan adik beradik di kampung yang tak putus berdoa untukku serta anak-anakku yang setia di sisi membantu aku uruskan rutin harian. Sayang kamu semua.
Buat kalian para pembaca, sihat tidak bermakna kita bebas daripada serangan jantung. Ianya datang secara tiba-tiba dan itulah yang paling bahaya.
Kata Doktor, Tekanan Perasaan Dan Emosi Juga Boleh Jadi Punca
Menurut doktor yang merawat aku, selain daripada penyakit darah tinggi atau kolestrol, keletihan yang keterlaluan, tekanan perasaan dan emosi juga boleh mengakibatkan serangan jantung secara tiba-tiba.
Jika ada simptom-simptom yang aku sebutkan di atas. Segeralah mendapatkan rawatan sebelum terlambat…
Mati itu pasti, tetapi selagi kita mampu berjuang untuk hidup, jangan cepat mengalah, teruskan berusaha untuk bernafas demi insan-insan yang masih memerlukan kita.
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bagaikan Hidup Dirundung Malang, Lukisan Bantu Pulihkan Ingatan Md Norazwari

Sememangnya bukanlah satu perkara mudah apabila seorang yang normal tiba-tiba hilang keupayaan. Kali ini, personaliti yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan OKU Cemerlang 2016, Md Norazwari Md Yusof, 36 yang berasal dari Johor Bahru sebelum ini bekerja sebagai Jurutera ICT. Namun dek kerana penyakit angin ahmar, dia terpaksa berhenti kerja dan berehat.
“Saya pernah bekerja sebagai Jurutera ICT. Kemudian setelah saya sakit akibat serangan angin ahmar ketika itu berlakunya pendarahan di otak kiri, badan saya lumpuh seluruh badan selama lapan bulan, saya berhenti kerja dan cuba berehat dan rasa rendah diri. Semasa saya sakit ketika itu, ibu saya pula meninggal dunia disebabkan sakit gout.
“Saya rasakan diri saya dirundung malang. Malah saya tidak bersemangat dan rasa cukup rendah diri. Kemudian saya mendapat ilham untuk cuba melukis atas nasihat isteri kerana ada salah seorang sahabat yang tinggal di luar negara pernah menasihati saya untuk berlatih melukis.
“Ini kerana dengan melukis akan memulih ingatan kita semula. Saya cuba melukis menggunakan tangan saya yang sakit. Setiap hari saya berlatih melukis dan membaca kisah-kisah motivasi. Selain itu saya juga banyak melakukan fisio dan juga menjaga pemakanan dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan,” terang Md Norazwari yang memiliki Diploma Elektronik, UTM dan kini memiliki pelbagai kemahiran seperti kemahiran bercakap, kemahiran fotografi dan kemahiran berniaga.

Menjadi Tenaga Pengajar
Memandangkan kehidupan dahulu merupakan seorang yang normal dan sekarang agak terbatas namun Md Norazwari tidak pernah patah semangat untuk berjaya seperti rakan normal yang lain.
“Zaman sekolah hingga kini, perjalanan hidup saya sangat berbeza. Dulu hidup seperti normal sekarang agak terbatas tapi saya tidak patah semangat. Saya juga boleh buat seperti org lain. Sekarang ini saya menjadi guru tuisyen lukisan, matematik, penceramah motivasi dan penghantar makanan di kawasan berhampiran kediaman saya. Isteri saya dan kawan-kawan adalah penggerak dan inspirasi untuk saya berjaya dalam hidup. Sekarang saya banyak melibatkan aktiviti kemasyarakatan dikawasan sekitar. Tugas harian saya sekarang seawal jam 8 pagi saya mulakan kerja penghantaran makanan untuk sarapan pagi kepada pelanggan disekitar kediaman hingga pukul 11.30 pagi. Kemudian waktu tengahari dan petang. Tidak kurang juga ada yang meminta perkhidmatan saya pada malam hari. Malah saya juga adakan kelas tuisyen bagi subjek lukisan dan matematik. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan,” akui Md Norazwari yang sangat rajin bekerja.

Terima Banyak Anugerah
Sifat rajin yang dimiliki ini tidak dipandang sepi, malah Md Azawari juga telah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Azam Muafakat Berpotensi 2018 Johor , Anugerah Johor Brand 2017, Anugerah Khas Sultan Haji Ahmad Shah 2017 , Tokoh Usahawan Oku Cemerlang 2016, Mentor Zero To Hero Untuk Usahawan Oku MARA Johor dan Mentor Peserta Jauhar Johor.
“Syukur kerana segala usaha saya mendapat pengiktirafan. Minat dalam pelbagai bidang ini datang setelah saya menyertai kursus-kursus anjuran Agensi kerajaan. Banyak ilmu yang saya perolehi dalam kursus-kursus yang mereka anjurkan. Disitu saya mendalami ilmu dan membaiki kekurangan saya.
“Keistimewaan saya sekarang ialah saya boleh mengajar tuisyen untuk kelas melukis dan mewarna. Saya juga boleh mengadakan kelas fotografi menggunakan telefon pintar. Beberapa gambar yang saya ambil mendapat anugerah fotografi. Saya juga turut mengadakan kelas motivasi kepada masyarakat diluar sana akan sakit stroke ini dan motivasi bagaimana cara menghadapinya. Saya juga meyediakan tempat melukis yang diberi nama Bobscozyhut.
“Alhamdulillah masyarakat memberi pandangan yang positif. Kita juga melakukan kerja dengan baik dan paling penting jangan sombong dengan masyarakat, sentiasa bertegur sapa dengan mereka. Jika ada tersilap kerja segera meminta maaf kepada mereka. Isteri dan diri saya sendiri yang banyak beriinspirasi kepada saya. Sebabnya saya dapat membantu masyarakat di luar sana dengan kudrat saya yang ada.
“Azam saya untuk membantu lebih ramai masyarakat diluar sana dengan khidmat penghantaran saya dan beri pengetahuan akan penyakit stroke dan bagaimana untuk hadapinya. Saya juga menjual produk Baitee Waree iaitu Selendang Dan Sapu Tangan Lukis Tangan Abstrak Johor dan mendapat Anugerah Johor Brand dari Kerajaan Johor,” kata Md Norazwari yang sering menghabiskan masa mengambil gambar ditepi pantai atau diwaktu matahari terbenam. Disitulah dia memperolehi ketenangan. Dan pada waktu malam pula dia akan menghabiskan masa dengan melukis.
Ternyata semangat yang ada pada Md Azawari seharusnya dijadikan contoh yang terBaik. Walaupun kurang upaya namun dia tetap memiliki semangat yang cukup kental untuk menjadi seorang yang berjaya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




