Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Ads
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Ads
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Ads
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan. NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.
Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.
Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.
Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.
Saya Minta Anak Sulung Cerdas Dalam Pelajaran, Tapi..
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Kecewa Sampai Tak Mampu Pandang Wajah Anak
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Teralpa Dengan Qada Dan Qadar Tuhan
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
5 Tip Ini Bantu Mak Ayah Lebih Bertenang Terima Keputusan Peperiksaan Anak
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.
ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.
Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.
Saat paling sukar bagi pasangan PJJ (Hubungan Jarak Jauh), bila terpaksa berjauhan-berpisah sementara menjalani kehidupan suami isteri. Demi mencari nafkah tuntutan itu dijalani penuh kesabaran.
Itulah yang berlaku pada Sofuan Saadon, berpisah sementara dengan isteri di Semenanjung. Guru ini meneruskan bakti mendidik anak bangsa di SMK Matu, Sarawak.
Rindu usah cerita, namun perkara paling berat mahu dilakukan saat perpisahan benar-benar terjadi di depan mata. Saat melepaskan pegangan dengan yang tersayang, melepaskan si dia pergi di bawa pesawat penerbangan. Allahu..
Bila Perpisahan Benar Terjadi, Inilah Saat Yang Paling Sukar
BAGI pasangan yang PJJ (perhubungan Jarak Jauh), inilah saat yang paling sukar. Perpisahan sementara. Demi diri, pasangan, keluarga dan kerjaya.
Masih jelas dalam ingatan aku ketika pertama kali aku balik ke Sarawak tak lama selepas berkahwin. Isteri yang menghantar aku ke stesen bas sebelum aku ke KLIA2.
Aku tahu isteri sedih dan berat nak lepaskan aku tapi kami tiada pilihan. Bini nampak kuat waktu itu. Dia cuba tahan air mata dari jatuh.
“Jangan risau.. Nanti cuti abang balik. Bukan selamanya di sana,” pujuk aku buat pertama kalinya.
Isteri mengangguk perlahan. Aku renung mata isteri dalam-dalam. Sinar mata yang penuh pengharapan.
Isteri Tak Dapat Kawal Perasaan, Tangisan Dilepaskan Di Tepi Jalan
Rupa-rupanya selepas hantar aku dan bergerak tinggalkan Terminal Aman Jaya itu, isteri berhenti di tepi jalan dan menangis semahu-mahunya.
Itulah perpisahan sementara kami selepas sah menjadi suami isteri. Isteri tak dapat kawal perasannya. Dia lepaskan segalanya pada ketika itu. Apabila dia kembali tenang, barulah dia teruskan pemanduan ke rumah sewanya.
Aku perasan, dari hari ke hari, isteri seakan sudah reda dengan pemergian aku untuk mendidik anak bangsa. Dia nampak akur melepaskan aku pergi.
Namun, situasi kali ini agak berbeza.
Perpisahan Kali Ini Jauh Bezanya, Seakan Dia Tak Mahu Melepaskan
Hampir sebulan aku dengannya dan sama seperti kali pertama dahulu, dia seakan tak mahu lepaskan aku pergi. Mahu tidak mahu, aku terpaksa mengulang ayat-ayat yang biasa aku katakannya dalam dua tahun ini.
“Abang pergi bukan untuk seronok-seronok. Cari nafkah untuk keluarga kita.. ”
“Kita memang jauh, berlainan tanah. Tapi setiap hari kita boleh dengar suara. Sayang tahu abang buat apa..”
“Sekarang ni masa cepat. Nanti cuti abang balik lagi..”
Suami, isteri tanpa sedar boleh menyakiti perasaan antara satu sama lain. Sama ada melalui percakapan mahupun perbuatan tentunya kedua-dua elemen ini mampu menimbulkan ketidakpuasan hati sama ada bagi pihak suami mahupun isteri.
Sama ada suami mahupun isteri berusahalah untuk tidak menyakiti hati masing-masing. Jagalah percakapan dan perbuatan bila berkomunikasi dengan suami mahupun isteri. Dalam perkahwinan, kedua-dua sang suami dan sang isteri memainkan untuk menyemarakkan rumah tangga.
Suami & Isteri, Jagalah Kelakuan Supaya Tidak Menyakiti Perasaan Antara Satu Sama Lain
Berikut perkongsian daripada Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang merupakan bekas Naib Cancelor Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Saya ingin menekankan beberapa perkara penting dahulu tentang anda sebagai seorang isteri atau suami dan tingkah laku anda. Hanya selepas itu saya akan memberitahu bagaimana sepatutnya anda berkelakuan untuk mengekalkan hubungan yang harmoni.
Pertama, tanyakan kepada diri anda sendiri adakah anda seorang narsistik. Jangan salah faham. Tidak semua orang yang narsistik adalah jahat. Mereka mempunyai hati yang baik dan niat yang baik tetapi terkadang menjadi obses.
Stres juga timbul kerana kerja pejabat atau keadaan kewangan keluarga. Ini benar untuk suami dan isteri. Berdasarkan hasil kajian, tingkah laku seorang suami atau isteri narsistik mungkin termasuk:
1. *Kehendak Berterusan untuk Dikagumi* Seorang narsistik mungkin sentiasa mencari pengagungan dan pengesahan dari orang lain, termasuk pasangannya, untuk meningkatkan harga dirinya. Mungkin kekurangan keyakinan diri sejak kecil. Mereka menjadi berani dan berperilaku secara narsistik apabila dikelilingi oleh pasangan yang baik dan berhati mulia. Mungkin kucing di luar atau pejabat tetapi harimau di rumah.
2. *Manipulasi* Dia mungkin terlibat dalam tingkah laku manipulatif untuk mengawal dan mempengaruhi pemikiran dan tindakan pasangannya demi memenuhi keperluan dan kehendaknya sendiri.
3. *Rasa Penting Diri yang Agung* Seorang narsistik mungkin menunjukkan rasa penting diri yang besar, percaya bahawa dia lebih unggul, bijak dan layak menerima perlakuan istimewa.
4. *Kurang Empati*: Dia mungkin menunjukkan kurang empati terhadap perasaan dan keperluan pasangannya, memberi keutamaan kepada kehendaknya sendiri di atas segalanya.
5. *Sifat Bersaing*: Seorang narsistik mungkin memperlihatkan keperluan yang kuat untuk menjadi yang terbaik dalam segala-galanya, sering terlibat dalam tingkah laku bersaing dalam hubungan.
6. *Mencipta Drama* Menikmati drama dan kekacauan dalam hubungan, dia mungkin mencipta konflik dan ketegangan yang tidak perlu. Terlalu sensitive. Cepat merajuk.
7. *Tidak membenarkan pasangan bercakap* Dia akan bercakap begitu banyak sehingga pasangan terpaksa diam. Jika anda tidak bersetuju, dia akan menggunakan pemerasan (emotional blackmail)
8. *Tingkah Laku Keganasan* Terlibat dalam tingkah laku keganasan tanpa mengambil tanggungjawab, seperti penyalahgunaan lisan atau emosi, dan menyalahkan pasangannya. Mulut laser.
9. *Mencari Salah pada Pasangan* selalu mencari kesilapan pada pasangan. Apa-apa yang kurang memuaskan disalahkan.
10. *Mereka suka berdebat (ARGUE) dan kebanyakan respon mereka adalah negatif.* Mereka tidak sedar bahawa ini bukan cara yang betul dalam berkomunikasi yang berkesan.
Mereka mahu menang dalam setiap situasi. Ini membuat pasangan mereka diam untuk mengelakkan konflik. Walaupun itu kritikan yang membina, ia akan dianggap secara negatif. Terkadang, ini menyedihkan pasangan mereka. Tingkah laku ini boleh memberi impak besar kepada dinamika dan kesejahteraan hubungan.
Sekarang biar saya terangkan bagaimana anda sepatutnya berkelakuan agar tidak menyakiti pasangan anda. Jika anda narsistik, perlahan-lahan hentikan tingkah laku tersebut dan ubahlah menjadi seorang isteri atau suami yang lebih baik. Kemudian ikuti nasihat berikut.
Berikut adalah beberapa contoh cara berkomunikasi dengan pasangan untuk membantunya menjadi seorang rakan hidup yang lebih baik tanpa menyakitinya:
1. Tanyakan soalan ini Bagaimana saya boleh mencintaimu dengan lebih baik minggu ini?” Pendekatan ini menunjukkan kesediaan anda untuk memahami keperluannya pada masa kini dan menyesuaikan diri dengannya. Sebagai contoh, pasangan anda mungkin menyatakan keperluan untuk lebih banyak masa berkualiti bersama, dan anda boleh merancang aktiviti yang dia gemari.
2. Dengar dengan teliti kepada pasangan anda Mendengar dengan aktif kepada pasangan menunjukkan bahawa anda menghargai pemikiran dan perasaannya. Contohnya, apabila dia berkongsi kebimbangan tentang keadaan rumah, anak anak, kerjanya, berikan perhatian penuh dan tawarkan sokongan atau nasihat jika diperlukan. Jangan berpaling dan menyalahkan dia.
3. Tawarkan kata-kata dorongan. Ungkapkan penghargaan anda terhadap sifat positif dan tindakan pasangan anda. Anda boleh memberitahunya betapa anda kagum dengan kekuatan dan ketabahan beliau menghadapi cabaran, yang boleh meningkatkan semangatnya dan memotivasinya untuk terus menjadi seorang rakan hidup yang baik. “Turunkan ego anda dan jadilah seorang pasangan yang baik”
4. Bercakap tentang perasaan anda dengan jujur Apabila pasangan anda bertanya tentang hari anda, kongsi butiran khusus tentang perkara yang membuat anda gembira, kesal, atau marah. Ini membolehkannya memahami pengalaman anda dan mengukuhkan komunikasi terbuka, memperkukuhkan ikatan anda.
5. Usaha untuk kurangkan mencelah. Dengan aktif berusaha untuk kurang mencelah semasa berbual, dengan berbuat demikiann anda menunjukkan rasa hormat terhadap pemikirannya dan menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki komunikasi dalam hubungan anda. Kalau dia tak bersetuju atau mempunyai pandangan berlainan jangan merajuk atau paksa untuk bersetuju.
6. “Kawal perasaan dan sifat marah anda. Pasangan anda bukanlah sandaran untuk anda meluahkan emosi. Pagi-pagi semasa pergi bekerja pergilah dengan suasana hati yang gembira. Apabila pulang, masuk rumah dengan hati yang gembira. Ini sangat penting yang ramai tidak mengikutinya. Bad mood akan menghancurkan kebahagiaan.
Contoh-contoh ini menggambarkan bagaimana berkomunikasi dengan pasangan secara sokongan dan konstruktif, bertujuan untuk meningkatkan hubungan anda tanpa menyebabkan kesakitan dan kesedihan.
Berhati-hati, tingkah laku narsistik dengan perubahan mood yang buruk boleh menyebabkan gangguan mental yang lebih berbahaya yang dipanggil BIPOLAR. Tajam mulut itu, laser. Jaga baik-baik apa yang keluar dari mulut. Allah beri kita dua telinga dan satu mulut. Gunakan sebaik mungkin. Dengar lebih dan kurangkan bercakap.
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!