Tak perlu tandatangan isteri pertama pun, peguam kongsi ramai lelaki nak kahwin dua salah faham. Isu bab kahwin dua ini memang hal yang sangat sensitif bagi seorang isteri. Mereka rasa dikhianati, dicurangi, disakiti dan berbagai perasaan lain.
Cukuplah kita melihat bagaimana sensitifnya isu berkahwin dua ini seperti yang terjadi dalam rumahtangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof. Memeritkan lagi bila pengarah itu mengakui sudah menikahi Ira Kazar bersaksikan bapanya di Songkhla, Thailand.
Di sebalik isu kahwin dua atau lebih ini, ramai lelaki melihat prosedur menyulitkan dalam negara di mana, mereka perlu mengisi borang, perlu dapatkan tandatangan isteri pertama yang pastinya akan melenting dan berbagai prosedur lain perlu diikuti hingga dilihat hal renyah dan meremehkan.
Tak Perlu Tandatangan Isteri Pertama Pun
Tak hairanlah ramai memilih nikah di seberang kerana dikatakan lebih mudah walau isteri pertama tidak tahu.
Namun tahukah, segala kerumitan yang dianggap lelaki sebagai hal remeh itu adalah prosedur perlu diikuti demi menjaga hak masing-masing dalal hal berbangkit kelak.
Namun benarkah untuk berkahwin dua memerlukan suami membawa balik borang ke rumah dan perlukan tandatangan isteri pertama?
Mingguan Wanita menemuramah Peguam Syarie, Nor Mazidah Husain berkaitan isu yang mana ramai lelaki salah faham mengenainya.
Menurut peguam syarie ini, isu lelaki berkahwin dua ini diakui hal sangat sensitif. Ia banyak melukakan hati isteri yang sukar menerima berita sebegini.
Ads
Jelasnya, hakikat yang ramai lelaki salah faham di mana ada berfikiran perlu membawa balik borang ke rumah dan mendapatkan tandatangan isteri pertama adalah tidak diperlukan sebenarnya.
Peguam Kongsi Ramai Lelaki Nak Kahwin Dua Salah Faham
“Keizinan berpoligami di negara ini tidak memerlukan kebenaran isteri pertama. Bahkan suami tidak perlu membawa balik borang, suruh isteri tandatangan adalah salah faham sahaja.
“Sebaliknya kalau benar ingin berpologami, mampu memahami hakikat beristeri dua atau lebih, berkemampuan dan lain-lain kriteria, hakim syarielah yang akan menentukan segala-galanya.
“Menurut Seksyen 23, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, memberi izin atau tidak, segalanya terletak kepada keputusan hakim syarie berdasarkan dokumen yang bawa suami ke mahkamah.
Ads
“Selepas segalanya lengkap di isi, di mana dalam permohonan itu, maklumat peribadi isteri sedia ada dan apa alasan untuk berpoligami. Hakim akan meneliti dengan sewajarnya, kalau perlu memanggil isteri pertama, akan dipanggil dan lain-lain prosedur sebelum kebenaran itu diberi,” katanya memaklumkan, dalam menjaga silaturahim pasangan, jika benar suami ingin berkahwin lain hormatilah isteri pertama.
“Nyatakan kenapa dan sebab kukuh selain kenapa hal ini terjadi. Insya Allah jika memang benar berlaku adil dan mampu, tak perlu pun sorok-sorok kahwin di sempadan kerana ia akan menjadikan situasi itu rumit baik di pihak isteri pertama dan kedua yang dinikahi andai tidak mengemukakan dokumen pernikahan di seberang.
Jadi bagi lelaki yang berhajat menikahi dua atau lebih, tak perlulah ke negara seberang kerana ia mungkin nampak mudah tetapi menyulitkan situasi kalau pernikahan tidak didaftarkan di negara ini. Foto :- Gambar hiasan.
Pantas sungguh masa berlalu, kurang dari 100 hari umat Islam akan menjalani ibadah puasa di Bulan Ramadan yang dijangka pada pertengahan bulan Mei tahun ini.Bagi wanita yang belum mengganti puasa pada tahun lepas, mahupun tahun-tahun yang sebelumnya, diharap dapat menunaikannya segera.Takut nanti bila tiba hampir bulan Ramadan tak sempat pula dan boleh dikenakan Fidyah!
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
HUKUM FIDYAH
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).”
(Al-Baqarah: 184)
KADAR FIDYAH
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Nilai fidyah bagi satu hari tidak berpuasa boleh dikira berdasarkan nilai Zakat Fitrah yang telah ditetapkan.
Zakat Fitrah bagi seorang ialah bersamaan 1 gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram.
Fidyah bagi satu hari ialah 1 cupak beras iaitu 675 gram.
Bermakna, kadar fidyah ialah ¼ daripada kadar fitrah pada tahun tersebut.
Oleh yang demikian, jika kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00, secara langsung kadar Fidyah ialah RM1.75 atau RM1.80 (1/4 X RM7.00).
TAKSIRAN FIDYAH
1. Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah (cupak)
2. Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
*Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Hanya setelah tiba Ramadan berikut jika masih tidak berganti, barulah fidyah dikenakaN
Contoh :
Tidak berpuasa kerana haid pada Ramadan 1436H (2014) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1438H (2016).
Maka tahun gandaan ialah 1438H – 1436H – 1 = 1 TAHUN, ini adalah kerana dari Syawal 1436H hingga Syaaban 1437H hinggalah tempoh satu tahun yang diperintahkan untuk mengganti puasa.
SIAPAKAH YANG DIKENAKAN FIDYAH ?
1.Uzur Menunaikan Puasa Wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah dikenakan pada tahun Ramadan yang sama.
Contoh : Haji Karim pengidap Diabetes yang menjalani dialysis sepanjang Ramadan tidak mampu menunaikan puasa. Maka, fidyahnya dikira sebaik habis Ramadan tersebut pada kadar :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
30 hari X RM1.80 = RM54.00
2.Wanita Hamil Yang Tidak Berpuasa Kerana Bimbang Keselamatan Bayi Dalam Kandungan
Tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Sepanjang kehamilan anaknya, Puan Rina tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan pada tahun itu selama 7 hari. Beliau bimbang keadaan bayi yang dikandungnya. Maka sebaik sahaja Ramadan, Puan Rina dikenakan fidyah pada kadar :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
7 hari X RM1.80 = RM12.60
Jika Puan Rina DAPAT MENGGANTIKAN PUASA TERSEBUT SEBELUM RAMADAN BERIKUTNYA, maka TIADA FIDYAH dikenakan ke atas Puan Rina.
Tetapi, jika Puan Rina TIDAK MAMPU MENGGANTIKAN PUASA HINGGA TIBA RAMADAN BERIKUTNYA, maka dia DIKENAKAN FIDYAH sehinggalah dia menggantikan puasa tersebut. Katakanlah, Puan Rina hanya dapat menggantikan pusa tersebut 4 tahun kemudian, maka fidyahnya dikira :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
7 hari X (4 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM37.80 (FIDYAH)
***Fidyah hanya akan berhenti dikira apabila puasa itu digantikan.
3.Wanita Hamil Yang Tidak Berpuasa Kerana Bimbang Keselamatan (kesihatan) Dirinya
Hendaklah menggantikan puasa. Jika masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, Cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
10 hari X (3 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM36.00 (FIDYAH)
4.Ibu Yang Menyusukan Anak
Tidak berpuasa kerana merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah kerana lewat menggantikan puasa.
Contoh : Puan Hani mempunyai bayi yang baru berusia 3 bulan dan menyusu penuh. Sepanjang bulan Ramadan, beliau tidak mampu berpuasa selama 15 hari kerana kekurangan susu. Beliau hanya mampu menggantikan puasa ini selepas 2 tahun. Fidyah yang dikenakan ke atas Puan Hani sebaik sahaja habis Ramadan pada tahun itu ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
15 hari X RM1.80 = RM27.00
Fidyah yang dikenakan kepada Puan Hani kerana lewat menggantikan puasa ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
5. Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris -warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.
Contoh : Puan Rahmah ialah seorang warga emas yang telah terlantar sakit bertahun-tahun dan tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan. Pada 13 Ramadan beliau telah meninggal dunia. Maka, fidyah beliau dikira :
Bilangan hari tidak berpuasa X Kadar fidyah pada tahun tersebut.
13 hari X RM1.80 = RM23.40
6.Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Contoh : En Jamal telah tidak mampu berpuasa selama 3 hari di dalam bulan Ramadan kerana corak pekerjaannya yang berat. Beliau hanya menggantikan puasanya selepas 10 tahun. Maka fidyah yang dikenakan ke atas beliau ialah :
Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)
3 hari X (10 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM48.60 (FIDYAH)
Siapa sangka, dalam usia 24 tahun, dia sudah memulakan karier yang cukup hebat dalam bidang Perundangan dan memegang jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Tidak dinafikan, kerjaya sepenuh masa ini adalah atas pilihan sendiri, pejabat yang selesa dan gaji yang lumayan. Namun semua itu tidak mampu memberi kepuasan dalam dirinya.
Akhirnya, selepas dua tahun membina karier professional dengan jawatan sebagai Peguam Persekutuan gred L44 di Jabatan Peguam Negara, akhirnya Siti Nor Aishah Mohamed Huri, atau lebih dikenali sebagai Aishah Huri, 33 tahun meletak jawatan untuk memberi dirinya peluang dalam menikmati kebebasan hidup, masa dan kewangan dengan memulakan perniagaan online produk Sahajidah Hai-O.
Keputusan Sendiri
Menurut Aishah Huri, dia mengambil tindakan untuk memulakan perjalanan perniagaan online separuh masa atas keputusan dirinya sendiri.
“Satu prinsip yang saya pegang waktu itu adalah saya tidak perlu persetujuan orang lain untuk berjaya. Tetapi yang lebih penting persetujuan diri sendiri untuk buat sehingga mengecapi kejayaan cemerlang,” katanya.
Selama dua tahun, Aishah Huri menjalankan perniagaan separuh masa hanya dua jam sehari, walaupun pada masa yang sama dia tetap memberi fokus kepada kerjaya tetapnya.
“Pada Oktober 2015, penat lelah terbalas apabila berjaya mencapai pangkat tertinggi sebagai Crown Diamond Manager. Tahun berikutnya merangkul Excellence Award 2016 dan Excellence Award 2017. Sehingga 2019, saya telah melahirkan lapan orang Crown Diamond Manager dalam pasukan,” katanya yang beruntung kerana mendapat kehebatan ilmu dan sistem daripada hasil acuan pasangan Mentor yang berjiwa besar dan berhati Mulia CDM Norazlin Nordin dan CDM Arifin Shah.
Malahan, sejujurnya apa yang diperolehi oleh Aishah Huri sepanjang tujuh tahun dalam bidang ini bukanlah pada Pin Pangkat atau ‘Award’ yang diterima tetapi yang lebih penting adalah jumlah orang yang peroleh kebahagiaan dan kenikmatan hasil dari keuntungan niz dan peningkatan kualiti diri mereka sepanjang terlibat dalam perniagaan ini.
Terima Kritikan
Sebelum ini, Aishah Huri pernah memegang jawatan yang berkredibiliti tinggi dalam masyarakat dandianggap sudah menjamin masa depan. Namun, tiada siapa yang boleh menduga, dia akhirnya memilih untuk terjun ke dalam perniagaan MLM tanpa mempedulikan tanggapan skeptikal tentang perniagaan ini.
“Peguam buat MLM?? Saya banyak menerima kritikan berbanding dengan dorongan positif. Namun, saya sangat berterima kasih kepada mereka yang memilih untuk menolak kejayaan saya ke depan dengan cara melemparkan suara kritikan. Dari situ, saya belajar memperbaiki diri dan berfikiran matang untuk lebih optimis dan kuat dalam membuktikan kejayaan itu benar-benar ada di depan sana,” katanya yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Lebih membanggakan buat Aishah Huri apabila hasil yang diperolehi dan dikongsi daripada perniagaan jualan langsung ini dapat membiayai perubatan buah pinggang dan jantung ibunya. Pada masa yang sama, memastikan dua orang adiknya mendapat pendidikan tertinggi Sarjana dan Sarjana Kedoktoran, menghadiahkan masing-masing sebuah kereta import kepada ibu bapa mentua dan suami serta pakej umrah pada tahun 2017.
“Inilah yang membuatkan saya sangat terharu kerana daripada cabang perniagaan yang dianggap picisan telah berjaya membina masa depan yang besar untuk orang yang saya kasihi dan sayangi,” katanya yang mempunyai rekod pendapatan sehingga enam angka setahun.
Peluang Besar
Tanpa sedari, Aishah Huri telah lapan tahun dalam industri MLM ini. Dalam jangka masa ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya ia lebih mencabar kerana perlu fikir terus mengekalkan dirinya dalam top rank.
“Bagi saya untuk kekal lama dalam industri ini kena ada minat dan disertai dengan kesungguhan. Kita buat apa yang perlu bukan sekadar apa yang kita suka,” katanya yang menggunakan kemahiran semasa karier terdahulu untuk menyakinkan pelanggan dan rakan kongsi sehingga mencapai jualan tujuh angka sebulan.
Dia yang dilahirkan dalam keluarga yang sederhana dan diberi pendidikan sewajarnya oleh ibu bapa telah menggunakan kelebihan dirinya untuk mengecapi kejayaan memeperolehi pendapatan lima angka sebulan. Paling mengujakan adalah peluang melancong ke luar negara dengan pakej mewah secara percuma. Dengan dua hingga tiga kali setahun bersama ratusan lagi rakan bisnes dalam Smart Tycoon Group.
“Sejak 2013 hingga 2019, saya telah mengaut kesemua tiket secara percuma bagi Pelancongan VVIP ke15 buah negara yang tidak mungkin saya dapat tinggalkan jejak kaki dengan duit simpanan sendiri. Paling teruja kerana dapat pergi bersama-sama rakan kongsi. Inilah kejayaan yang sangat manis buat saya,” kata isteri kepada Azizan bin Abrahim, 34 tahun dan ibu kepada Amrina Rasyada, 6 tahun mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Minyak wangi sememangnya aksesori penting untuk lelaki mahupun wanita untuk tampil berkeyakinan di khalayak ramai. Wangian yang mempersona mampu membangkitkan rasa dan memberi keselesaan buat si pemakai.
Komited untuk meneroka pasaran minyak wangi tempatan termasuk di peringkat antarabangsa, jenama Ameer Safone baru-baru ini melancarkan tiga rangkaian wangian eksklusif sebagai tanda pengenalan kepada semua penggemar wangian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures , Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, tiga wangian tersebut iaitu Baiduri, Srikandi dan Mahkota dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut selera masing-masing.
Menurut Amirul, jenama Ameer Safone diyakini mampu menjadi sebahagian daripada kejayaan integral Malaysia dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2023.
Dalam berkongsi mengenai motivasi diri dan sumber inspirasi, Amirul menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menganggap ketidakupayaan atau statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan. Mengekalkan pemikiran yang positif, Amirul yakin bahawa tiada yang mustahil, dan kejayaan boleh digapai dengan semangat dan tekad yang kuat.
‘‘Terlibat dalam kemalangan pada tahun 2020 secara drastik telah mengubah hidup saya. Daripada menjalani kehidupan biasa, saya terlantar di katil hampir dua (2) tahun. Walau bagaimanapun, saya enggan membiarkan kekurangan fizikal saya menjadi penghalang untuk saya berjaya.
Sebagai seorang Muslim, saya berpandukan kepada kepercayaan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita mempunyai daya tahan untuk berkembang maju. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bantuan zakat, institusi korporat serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya dalam pemulihan,’’ katanya.
Amirul percaya bahawa terdapat banyak lagi pengalaman dan pencapaian yang masih belum diraih. Justeru, beliau berazam untuk terus bangkit dan cuba mengejar kejayaan walaupun di sebalik kekurangan dirinya kini. Beliau mendapat inspirasi daripada ramai individu kurang upaya yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Percaya Diri
‘‘Satu perkara yang saya percaya adalah, kita harus kreatif dalam kehidupan ini. Kini terdapat pelbagai pelbagai kemudahan teknologi yang boleh membantu daya kreativiti kita walaupun dengan batasan fizikal, dan saya menggunakan kesemuanya.
Ramai berkata, bidang keusahawanan mempunyai banyak risiko yang bakal dihadapi, tetapi hakikatnya semua perkara ada risiko dalam hidup ini. Perkara yang menarik dalam dunia keusahawanan ini adalah anda boleh mengawal dan melakar perjalanan anda sendiri,’’ katanya.
Amirul juga tidak menafikan kekuatan dan keberanian yang dimiliki selama ini diwarisi daripada Allahyarhamah ibunya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mencurahkan ilmu pengetahuan yang kini dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Kekurangan Satu Kelebihan
‘‘Bagi saya, Allahyarhamah ibu memang seorang pejuang. Mesikipun beliau diuji dengan kanser tahap empat (4), beliau masih boleh kekal tenang dan positif, manakala ayah saya sentiasa menjadi penyokong utama. Atas sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,’’ tambahnya.
Ameer Safone memperkenalkan tiga (3) haruman minyak wangi dalam koleksi sulung iaitu ‘‘Srikandi’’, ‘‘Bahaduri’’, dan ‘‘Mahkota’’. Setiap haruman unik dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut citarasa masing-masing, menggunakan bahan semula jadi.
‘‘Srikandi’’ menampilkan aroma manis yang melambangkan keanggunan, keyakinan dan feminin. ‘‘Bahaduri’’ bercirikan lelaki moden yang tampan bergaya, melambangkan kekuatan, keberanian, serta ketenangan. ‘‘Mahkota’’ menawarkan haruman yang diilhamkan oleh budaya Timur Tengah, membangkitkan unsur kemewahan dan misteri.
Pembangunan Malaysia Madani
Malah, Amirul berkata, jenama Ameer Safone juga diyakini mampu menjadi sebahagian daripada teras pembangunan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Berkongsi mengenai cetusan perniagaan, Amirul yang memulakan langkah dalam bidang keusahawanan sejak setahun lalu mengakui bahawa dunia wangian tidak asing bagi dirinya memandangkan sejak sekian lama merupakan penggemar dan pengumpul koleksi minyak wangi dari seluruh dunia.
Peminat Minyak Wangi
“Idea ini datang kerana saya sendiri sebenarnya adalah peminat minyak wangi. Saya mempunyai banyak koleksi wangian daripada pelbagai jenama terkemuka dunia. Malah, minyak wangi juga membuatkan saya sentiasa teringat akan Allahyarham ibu tersayang.
“Saya percaya bahawa wangian juga mampu menjadi ‘mesin masa’ yang membawa kita kepada memori atau nostalgia lalu,”katanya.
Menurut Amirul, meskipun sedar bahawa wujud persaingan sengit dalam dunia perniagaan minyak wangi khususnya bagi produk tempatan, ia bagaimanapun bukan satu halangan untuknya mengambil peluang untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan.
“Memang pada awalnya ramai yang skeptikal sebab saya tak pernah menjalankan perniagaan minyak wangi. Bagaimanapun, saya memiliki latar belakang dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan sebelum ini.
“Jadi, kepakaran dan ilmu dalam bidang itu saya suntik dalam dunia baharu yang saya cuba terokai kini. Saya sedar, ada banyak persaingan sebab ramai sahaja pengeluar minyak wangi yang menguasai pasaran tempatan.
“Bagi saya, mengapa tidak? Saya juga mendapat banyak sokongan daripada pelbagai agensi termasuk usahawan lain. Ini memberikan saya semangat untuk meneruskan cita-cita,”katanya.
Jelas Amirul, menerusi kempen keutamaan dan pembelian barangan lokal yang sedang rancak dilakukan oleh pengguna juga dilihat sebagai satu bonus buat usahawan tempatan sepertinya sekali gus diyakini mampu menjadikan rangkaian minyak wangi Ameer Safone sebagai pilihan ramai.
Malah, kata Amirul, menerusi pengenalan tiga rangkaian wangian ini, ia sejajar dengan hasratnya untuk mengangkat nilai produk jenama tempatan setanding dengan jenama terkemuka antarabangsa.
“Antara inspirasi saya adalah untuk membuktikan kepada semua bahawa produk tempatan juga mampu berada setanding dengan produk luar negara terutama dari sudut kualiti. Persaingan bagi saya adalah normal untuk mana-mana produk.
“Permintaan pasaran untuk minyak wangi berjenama mewah pun sentiasa sahaja ada. Tetapi saya yakin jenama tempatan seperti Ameer Safone ini juga mampu mendapat tempat di hati penggemar wangian kerana kita juga menjaga kualiti dan eksklusiviti.
“Tiga rangkaian wangian kita juga unik dengan notasi haruman berbeza yang mampu memikat jiwa sesuai dengan personaliti masing-masing. Kita juga menggunakan bahan semula jadi untuk membangkitkan haruman segar dan istimewa tiga wangian ini,”katanya.
Amirul berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Wangian Ameer Safone; ‘Celebrating Resilience, the New Beginning’ di Worq KL Sentral, di sini, baru-baru ini. Majlis telah dirasmikan oleh mantan pengerusi kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak.Turut hadir ialah Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Dr Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Percutian hujung tahun merupakan saat paling dinantikan oleh seisi keluarga, di mana kenangan manis dapat dicipta bersama orang tersayang. Namun, untuk memastikan percutian berjalan...