Majlis pernikahan pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu ini mendapat perhatian apabila Muhammad Hawari Hashim, 28, dapat memenuhi syarat nikah isterinya. Syarat nikah itu adalah menghafal lima surah iaitu Al Fatihah, tiga Qul dan Al-Asr dalam bahasa isyarat beserta terjemahan.
Sejak Sabtu lalu, video mereka telah tular di media sosial malah mendapat liputan umum yang meluas. Di sebalik usahanya itu, rupanya suami ini telah mengambil masa 3 bulan belajar al Quran sehingga mampu memenuhi permintaan isterinya, Safiyyah Tang Xie Li (OP Muallaf).
Bukan sekadar membaca, Muhammad Hawari juga dapat menjelaskan maksudnya dengan baik sebelum mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.
Sesi itu dipersembahkan sebelum majlis akad nikah versi isyarat. Yang mana hafazan itu dinilai oleh Ustaz Mohd Zaid dari FAQEH Training Consultancy dan dibantu oleh Cikgu Meeze, Pensyarah UKM sebagai jurubahasa isyarat.
Dalam majlis berkenaan, pengantin lelaki ini dinikahkan oleh ayah angkat Safiyyah, Hj. Norakyairee Mohd Raus dan disaksikan bapa kandung isterinya, Tang Beng Tee sekeluarga.
Acara berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.
Ads
Isteri Peluk Islam Dan Hafal Surah Terlebih Dulu
Muhammad Hawari merupakan anak ketiga daripada 5 beradik. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang cukup istimewa. Akuinya, 4 orang daripada 5 beradiknya mempunyai kelainan upaya pendengaran.
“Saya bersekolah di Sekolah Rendah dan Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang dari tahun 1997 hingga 2008. Isteri saya pula berasal dari Selangor dan pernah bersekolah yang sama dengan saya.
“Perkenalan selama hampir 10 tahun sejak dari bangku sekolah telah membawa kami ke jinjang pelamin pada 17 Mac lalu.”
Safiyyah memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu. Beliau telah diberi pendedahan mengenai selok belok agama Islam dan pengajian Al-Quran serta ibadah melalui usaha Yayasan FAQEH dan Kelab Sukarelawan Sahabat FAQEH USIM.
Terutamanya melalui keluarga angkat beliau sendiri (Hj Norakyairee Mohd Raus dan Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas).
“Jadi secara tak langsung, isteri saya yang telah mahir menghafal beberapa surah pilihan. Lalu dia menetapkan syarat nikah. Yang mana saya perlu menghafal 5 surah iaitu Al Fatihah, 3 Qul dan Al-Asr.”
“Sejak itu, saya mula belajar. Alhamdulillah mampu menguasai hafazan surah tersebut dan terjemahannya dalam masa 3 bulan melalui kaedah dan teknik khusus yang dibangunkan oleh Yayasan FAQEH.
“Keluarga angkat Safiyyah juga mengajarnya mendalami Islam dan Al Quran berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar dalam komuniti OKU Pekak.”
Keluarga angkat Safiyyah ini juga mengusahakan dan terlibat dalam kerja-kerja NGO Islam iaitu Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) yang bertempat di Nilai Impian, Negeri Sembilan.
“Saya dikenalkan dengan Ustazah Fathiyah Zakaria, Alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM yang juga mantan guru di Yayasan FAQEH.”
Beliau turut mengusahakan kelas pembelajaran Quran dan Ibadah bagi OKU Pekak di Akademi QurANIS al-Husni bertempat di Pusat Dakwah & Tarbiah Wadi an-Nasr (Penempatan sementara) beralamat, NO. 20, Kampung Sungai Seluang Bawah, 09600 Lunas, Kulim, Kedah.
“Di sini, saya dilatih untuk mengenal Quran, menghafaz menggunakan Kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, membaca Quran menggunakan Huruf Arab versi Isyarat dan menjelaskan maksud ayat menggunakan terjemahan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Ads
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kesabaran, saya berjaya membuktikan bahawa Quran tidak pernah menolak hak OKU untuk mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
“Cuma kadang-kadang masyarakat kita khilaf dan kurang meneroka keindahan Quran yang Allah janji pahalanya yang berganda dan memberi kelonggaran serta kemudahan untuk mempelajarinya. Sebagaimana jelas tuntutannya hingga diulang sebanyak 4 kali dalam Surah al-Qamar:54: 17, 22, 32 & 40.”
Kelas Agama Bagi OKU
Yayasan FAQEH turut membangunkan kurikulum khas iaitu QurANIS bertujuan memberi ruang dan peluang OKU Pekak dan Pembelajaran dididik menerima tuntutan Islam.
Ia turut memodelkan kelas agama bagi OKU dan menawarkan khidmat latihan dan konsultasi ke arah melahirkan sukarelawan Dakwah OKU dan guru berkemahiran yang mendidik dengan hati.
Yayasan FAQEH turut berkolaborasi dengan Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), Universiti Malaya dan Kluster Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia.
Kini, kurikulum QurANIS telah diaplikasi lebih 20 pusat pendidikan OKU di serata tanah air termasuk di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu Sabah sebagai rakan afiliasi.
“Justeru, mewakili komuniti senasib dengan saya, saya menyeru pihak berwajib khususnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), untuk memainkan peranan aktif dalam membantu pusat-pusat pendidikan agama bagi OKU.
“Sama ada yang diusahakan secara sukarela dan menawarkan kelas atau sekolah agama bagi OKU sebagaimana wujudnya penawaran kelas KAFA dan Sekolah Agama Rakyat bagi golongan tipikal.
Sekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashidtak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.
Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.
Anak kedua pasangan suami isteri ini disahkan hidapi CdLS, sindrom penyakit satu dalam 10 000 orang. Ketika akhir trimester kehamilan, doktor mengesan saiz kepala bayi yang dikandungkan kecil sedikit.
Ikuti kisah pasangan Fadli Ramli, 34 dan isterinya, Fauzan Azima Mohamad, 32 (Jaja) menjaga anak keduanya, Fateh Fadli, 7 bulan yang dilahirkan istimewa.
“Kehamilan kali kedua ini cukup menguja. Anak sulung saya Maryam Fadli, 2 tahun 7 bulan pun gembira dan tak sabar mahu bermain bersama-sama dengan adiknya nanti.
“Sepanjang mengandungkan Fateh, saya tak mengalami apa-apa masalah serius dan tugas saya sebagai isteri dan ibu tetap berjalan seperti biasa.
Namun, ketika kandungan di trimester ketiga, doktor beritahu saiz kepala anak dalam kandungan sedikit kecil. Walau bagaimanapun, kata doktor ia tak menimbulkan sebarang isu kerana kadang-kadang keadaan ini boleh terjadi.”
Sepanjang 9 bulan Jaja menempuhi alam kehamilan, bayi dalam kandungan tak menimbulkan sebarang masalah.
Pada 5 Ogos 2017, anak keduanya, Fateh selamat dilahirkan dengan berat tiga kilogram di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
“Selepas bersalin, saya hanya berpeluang melihatnya pada hari kedua kerana Fateh ditempatkan di unit SCN (special care nursery) dan saya pada masa itu perlu melakukan pembedahan hematoma (blood clot).
Bila masuk dua hari baru dapat tengok baby, naluri Jaja sebagai ibu mula merasakan sesuatu.
“Sebaik kami suami isteri sampai dekat unit itu, terus doktor pakar ingin berjumpa. Dalam unit itu, cuma ada jururawat dan doktor saja. Waktu itulah, naluri saya kuat memberitahu ada ‘sesuatu’ yang penting ingin doktor beritahu.”
Bila doktor maklumkan sindrom yang Fateh alami, Jaja lakukan ini agar dirinya terus positif membesarkan Fateh.
Mata Jaja tak lepas dari memandang Fateh. Sarat kasih sayang yang mendalam.
“Saya redha dan tetap sayang anak saya walau apa pun keadaan Allah tentukan dan Fateh adalah hadiah untuk kami dan sekalipun tidak akan menganggap kehadiran Fateh sebagai ujian.”
Dalam masa yang sama, Jaja mula membaca dan mendapatkan maklumat tentang CdLS di Internet.
“Saya buat research dan menghantar e-mel kepada CdLS Foundation di USA untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sindrom ini. Syukur. mereka membantu saya berhubung dengan ibu bapa yang mempunyai anak-anak CdLS di Malaysia.”
Waktu penulis Mingguan Wanita hubungi ibu Fateh, anak kecil ini baru berusia 7 bulan. Jadi, Jaja tidak dapat mengulas lebih lanjut tentang perubahan pada anaknya kerana Fateh masih kecil dan tidak dapat melihat perubahan sikap.
“Cuma, saya boleh kategorikan Fateh sebagai mild syndrome iaitu sindrom yang tidak terlalu serius. Jika dilihatkan fizikalnya, Fateh sedikit kecil dan kepalanya juga lebih kecil dari saiz normal.
“Doktor beritahu kami, kemungkinan Fateh akan mengalami kelewatan dalam perkembangan otak atau kelewatan dari segi pemikiran tidak sejajar dengan peringkat umurnya. Tapi kami akan terus berusaha memberi yang terbaik kepada Fateh supaya dia dapat belajar mengikut cara yang sesuai,” kata Jaja lebih lanjut.
Setakat ini, Fateh tiada masalah yang membimbangkan dan diberi kesihatan yang baik. Malahan, Fateh perlu menjalani fisioterapi setiap bulan dan syukur kerana pakar terapi mengatakan perkembangan fisio Fateh sejajar dengan anak-anak normal yang lain.
“Setiap bulan kami bawa Fateh ke di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Fateh juga perlu lakukan beberapa ujian seperti ujian mata, ujian telinga, echocardiogram, head ultrasound dan temu janji berkala dengan pakar kanak-kanak.
“Sebagai tambahan, kami bawa juga Fateh ke terapi berenang. Ini akan bantu perkembangan anak-anak istimewa dengan lebih cepat.”
Membawa Fateh ke mana-mana tak pernah mengundang perasaan segan dalam diri Jaja dan suami. Malah mereka bersyukur kerana terpilih untuk menjaga Fateh.
“Mungkin anak inilah yang akan memberi rezeki melimpah ruah kepada kami. Mungkin anak inilah yang akan mengajar kami erti sebenar kasih sayang, pengikat cinta keluarga kami.
“Siapa tahu anak ini jugalah yang akan menyayangi kami hingga ke akhir hayat kami tanpa mengenal erti putus asa.”
Tiada yang diharapkan bagi Jaja sekeluarga selain ingin melihat Fateh membesar dengan sihat, dapat belajar seperti kanak-kanak normal yang lain, berdikari dan berdiri dengan dua kakinya sendiri suatu hari nanti.
“Bagi ibu-ibu di luar sana, janganlah biarkan anak-anak istimewa ini tanpa didikan dan tunjuk ajar yang bersesuaian kerana mereka ini memerlukan orang yang arif.
“Jika ibu bapa tidak mampu untuk membawa ke sekolah berbayar, negara kita banyak menyediakan kelas-kelas percuma bagi kanak-kanak istimewa.
“Ada juga bengkel dan taklimat tentang bagaimana untuk mengurus anak istimewa. Apa yang penting adalah, jangan kita abaikan kebajikan dan bezakan anak istimewa ini dengan anak-anak yang lain.”
Rujukan info: www.cdlsusa.org
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki ini tak boleh mendengar. Tetapi itu bukan alasan kepada Amril Nurman bin Lokman untuk menggapai kejayaan seperti insan normal lain. Dia ada satu kelebihan yang tak semua OKU pekak mampu lakukan, iaitu boleh bercakap.
“Sejak kecil, ibu saya Rabeah binti Hussain melatih saya untuk bercakap. Dia memilih kaedah paling susah iaitu kaedah oral-aura untuk saya belajar dalam berkomunikasi sebab dia mahu saya bermula dari atas. Dia juga mahu saya sama seperti insan lain.
“Saya belajar kaedah oral-verbal, bahasa isyarat, bacaan bibir dan bahasa gerak badan. Dan saya belajar melatih pendengaran dan pertuturan kiu. Sebab itu juga saya boleh bercakap.”
Cuma bila bercakap, dia perlu bertutur dengan perlahan-lahan. Agar orang yang mendengarnya dapat memahami percakapannya.
“Saya hanya mampu bercakap tetapi tak boleh mendengar. Sebab itu, saya memerlukan alat bantuan pendengaran untuk membantu saya bercakap.”
Amril menggunakan bahasa isyarat apabila berbicara dengan OKU pekak lain dan insan normal yang mahir berbahasa isyarat.
Tahu bahasa gerak badan dan membaca gerakan bibir dalah caranya berkomunikasi dengan adik-beradik yang lain.
Anak ketiga dari 4 orang adik beradik yang kesemuanya lelaki ini mengakui menggunakan cara ini membantunya belajar lebih banyak cara bercakap dengan betul.
Tahap kepekakan yang dialami juga sangat teruk dan dia memerlukan alat bantuan pendengaran sejak berumur 4 tahun. Penggunaan alat bantuan pendengaran ini yang membantunya untuk bercakap dalam nada yang terlalu kuat.
Bagaimana pun, ketika temu ramah ini dijalankan dengan wartawan Mingguan Wanita, Amril mendapat bantuan Penolong Kanan 1, Puan Suhaila yang akan menterjemahkannya dalam bahasa isyarat.
Amril, 26 tahun, bukan calang-calang OKU. Pencapaiannya dalam bidang pendidikan boleh dibanggakan bagi mereka yang bergelar OKU. Dia mendapat 3A dalam UPSR. Manakala 3A, 4B dan 1C adalah keputusan yang dicapainya dalam peperiksaan SPM.
Kini sudah hampir 2 tahun lebih Amril bergelar seorang guru di Sekolah Pendidikan Khas Kampung Baru Kuala Lumpur. Dia berjaya melunaskan cita-citanya sebaik menamatkan pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di Kuala Lumpur.
Beliau juga merupakan Bendahari Persatuan Guru-guru Pekak Malaysia.
Dorongan ibu buatkan Amril akhirnya menjadi guru.
“Waktu dapat tawaran masuk ke IPG Ilmu Khas, minat jadi guru itu memang tak ada.Akhirnya minat itu terpupuk dengan sendiri setelah saya belajar dengan lebih mendalam terhadap kursus yang ditawarkan.”
“Bertuah saya kerana dapat jadi guru terutamanya guru kepada pelajar OKU. Boleh dikatakan keseronokan saya menjadi guru itu semuanya semata-mata kerana saya dapat mengajar pelajar-pelajar OKU yang senasib saya.
“Saya lebih bersemangat apabila dapat mengajar mengikut kemampuan pelajar-pelajar. Saya selalu juga berkomunikasi dengan ibu bapa pelajar.”
Bagi ibu bapa yang tidak boleh berbahasa isyarat, setiap hari Sabtu selama dua kali sebulan Amril akan memberi kelas bahasa isyarat kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU pekak.
“Saya harap cara ini dapat membantu ibu bapa dapat memahami anak mereka dengan lebih baik.”
Amril juga mampu mengajar dan menggunakan bahasa isyarat Melayu dan bahasa isyarat Inggeris.
Tidak mudah bergelar OKU terutamanya dalam menimba ilmu. Ujar guru yang mengajar bahasa Inggeris, bahasa isyarat komunikasi, pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan ini, sejak kecil lagi dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan memahami apa yang diajar oleh guru ketika mengajar.
“Semasa belajar di IPG Ilmu Khas disebabkan ada masalah komunikasi, saya susah faham apa yang pensyarah ajar.
“Nasib baik saya mendapat bantuan kawan-kawan sekelas. Mereka akan cuba menterjemahkan apa yang diajar pada saya dalam bahasa Isyarat.
“Sebab itulah saya mengajar bahasa sewaktu mengikuti kursus pendidikan kerana saya sedar penting bagi OKU pekak untuk belajar bahasa. Orang pekak suka menghafal tetapi mereka tidak suka ejaan.
“Harapan saya, dengan cara menjadi guru ini dapat membantu pelajar-pelajar menjadi lebih pandai daripada apa yang saya dapat selama ini. Saya mahu pelajar-pelajar dapat lebih banyak A daripada saya.”
Foto: Nurul Akmar Azimi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.