Tak ramai menantu yang mampu duduk serumah dengan mak mentua. Risau lama-lama makan hati dalam diam. Sebab biasanyaa mak mentua ada cara lama. Menantu pula hidup dengan cara sekarang.
Susah Kalau Serumah
Ads
Paling ketara bab didik anak. Realitinya kemahiran dan cara besarkan anak pun boleh buat gaduh kalau silap gaya. Yang menantu sebab dibesarkan dengan keluarga berbeza, maka mestilah caranya tak akan sama.
Belum lagi masuk bab beli sesuatu, kemudian tanya harga berapa. Lama-lama rimas lah si menantu. Macam mana nak bertahan duduk sebumbung kalau semua hal kena soal selidik?
Bila sebut nak duduk asing, ada sesetengah mentua masih belum rela melepaskan anaknya duduk dengan pasangan. Kemudian mula lah terbawa-bawa emosi. Satu rasa dirinya dah banyak berkorban dulu. Satu lagi cuma nak hidup tenang untuk masa depan.
Yang pening kepala, suami! Masalahnya kedua-dua perempuan ini penting dalam hidup seorang lelaki.
Mak adalah wanita yang besarkan kau waktu susah. Isteri pula wanita yang akan teman kau sampai tua.
Tengok contoh bila masuk dapur, mentua masak ikut cara lama dan menantu pula ada tip sendiri. Ini kalau jenis boleh terima apa yang ditegur tak apa. Risau sebaliknya.
Awalnya nampak isteri mula berdiam, lama-lama meletup dan bawa diri. Ini bahaya! Adakah memilih untuk berdiam diri lebih selamat daripada betulkan keadaan?
Tetapi bila suami cuma diam, konflik kecil mula jadi dendam besar. Nak tak nak, suami kena ambil peduli. Pasang telinga dan belajar memujuk si ibu untuk berlapang dada dengan keadaan.
Seperti yang dikongsi oleh Adawiah Ishak, perlunya duduk asing kalau nampak wujud situasi tegang. Kadang bukan sebab benci. Cuma masing-masing terlalu berbeza untuk tinggal dalam satu ruang yang sama. Sebelum makin parah, lebih baik baiki keadaan.
Dan akhirnya, lelaki tetap kena buat pilihan. Begitulah hidup. Nak selamat, suami kena mainkan peranan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bahagia di usia emas, penyanyi legenda Zaiton Sameon tidak lagi mengimpikan kemewahan atau kemasyhuran. Menurutnya, dia hanya memasang satu doa terbesar dalam hidup, iaitu menjadi tetamu Allah di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Ujar Zaiton yang mesra disapa Kak Ton itu, selepas dua kali berpeluang menunaikan umrah, kerinduannya terhadap Mekah semakin menebal dan berharap impian tersebut menjadi hadiah paling bermakna sempena pertambahan usia.
“Untuk hari lahir kali ini, saya berdoa semoga Allah mengizinkan saya menunaikan ibadah haji pula. Memang teringin sangat hendak ke sana kerana sebelum ini saya hanya berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.
“Kalau boleh, saya mahu pergi bersama anak angkat yang selama ini menjaga serta membela saya dengan penuh keikhlasan. Dia sangat baik dengan saya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur dan terus memberikan saya kekuatan.
“Terima kasih kepada semua yang masih meminati saya. Alhamdulillah, sampai hari ini orang masih mengenali Zaiton Sameon,” katanya.
Pelantun lagu Menaruh Harapan itu turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya semakin baik meskipun masih berdepan kesan kecederaan lama pada kaki akibat terjatuh di dalam lif.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Saya banyak berdoa ketika berada di Tanah Suci.
“Untuk kaki pula, keadaannya masih sama seperti dahulu. Kecederaan ini berlaku selepas saya terjatuh di dalam lif,” ujarnya.
Meniti usia 70-an seorang diri tanpa pasangan, pemenang utama AJL 2 itu menolak kemungkinan untuk kembali mendirikan rumah tangga meskipun sering diajukan soalan sedemikian.
“Umur-umur macam ini, kahwin itu saya tidak mahu. Daripada ada suami, lebih baik ada adik. Saya hanya mahu berseronok menikmati hidup.
“Biarlah saya begini, cukuplah dua kali berkahwin sebelum ini. Saya cuma mahu hidup dengan tenang.
“Senang cakap, saya memang tidak perlukan lelaki sebagai teman hidup,” tegasnya.
Begitulah perkongsian hatinya, apa yang penting pelantun lagu Terimalah Aku ini tetapi bahagia dengan cara tersendiri walau tanpa pasangan hidup.
Kasih sayang seorang suami bukan sekadar terucap ketika lafaz akad nikah tetapi dibuktikan apabila pasangan diuji dengan kesakitan. Itulah yang dilalui oleh Nurul Fatihah Noor Aslam atau lebih dikenali sebagai Nuie bersama suaminya, Muhammad Saifudin Salleh apabila mereka berganding bahu melawan dugaan barah tulang tahap empat.
Terbaharu, Muhammad Saifudin berkongsi perkembangan terkini isterinya yang kini sedang melalui proses pemulihan selepas menjalani pembedahan rekonstruksi wajah akibat penyakit tersebut.
Menerusi perkongsian terbaru di media sosial @saifudingams, beliau mengakui perjalanan mereka masih jauh, namun tetap yakin setiap ujian yang diberikan Allah SWT pasti terselit hikmah.
“Masih jauh lagi perjalanan. Insya-Allah ada manisnya nanti. Percaya je dengan ketentuan Ilahi. Kita manusia hanya merancang.”
Menurut Muhammad Saifudin, pembedahan sekitar Januari baru ini dilakukan dengan mengambil sebahagian tulang serta tisu daripada paha Nuie untuk membina semula tulang pipi dan lelangit yang terjejas akibat ketumbuhan barah.
Perkongsian tersebut mengundang rasa syukur dalam kalangan pengikut mereka yang mengikuti perjalanan Nuie sejak awal lagi. Ramai turut menitipkan doa agar wanita berusia 25 tahun itu terus diberikan kekuatan untuk meneruskan rawatan sehingga sembuh.
Menerusi foto terbaharu yang dimuat naik, Nuie dilihat mengukir senyuman walaupun kesan pembedahan masih jelas kelihatan pada wajahnya. Senyuman itu menjadi simbol kekuatan seorang isteri yang tidak pernah berhenti berharap meskipun sudah melalui pelbagai fasa rawatan yang menyakitkan.
Perjuangan Nuie mula mendapat perhatian umum pada tahun 2025 apabila kisahnya disiarkan media selepas beliau disahkan menghidap barah tulang tahap empat.
Menurut Muhammad Saifudin, semuanya bermula sekitar Oktober 2024 apabila isterinya mengadu kebas pada bahagian bawah mata dan tulang pipi.
Mereka mendapatkan rawatan di sebuah klinik sebelum Nuie dirujuk ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut.
Pada mulanya, keputusan pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang masalah serius. Namun pemeriksaan kali kedua membawa khabar yang tidak pernah mereka jangkakan apabila doktor mengesahkan Nuie menghidap barah tulang.
Lebih menyedihkan, ketumbuhan itu semakin membesar sehingga menutup mata kanan selain merebak ke bahagian hidung dan mulut.
Keadaan tersebut menyebabkan Nuie perlu menjalani beberapa siri kemoterapi terlebih dahulu sebelum doktor dapat meneruskan rawatan pembedahan.
Di sebalik kesakitan yang ditanggung Nuie, Muhammad Saifudin memilih untuk menjadi kekuatan terbesar buat isterinya.
Beliau sanggup mengambil cuti daripada pekerjaan demi menjaga Nuie sepenuh masa. Bermula daripada menyuapkan makanan, membantu isteri mandi, menguruskan keperluan harian sehinggalah menemaninya mendapatkan rawatan, semuanya dilakukan tanpa merungut.
Ketika ditemui Harian Metro pada tahun lalu, Muhammad Saifudin mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk meninggalkan isterinya walaupun berdepan ujian yang begitu berat.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk tinggalkan isteri dan biarkannya sendirian dalam kesakitan. Saya akan temaninya selagi diizinkan Allah SWT.”
Kata-kata itu bukan sekadar luahan, malah dibuktikan melalui setiap pengorbanan yang dilakukan sepanjang isterinya menjalani rawatan.
Dalam tempoh tersebut, pasangan itu turut diuji dengan cabaran kewangan. Muhammad Saifudin mengakui mereka bergantung kepada wang simpanan selain memohon bantuan daripada beberapa pihak bagi menampung kos rawatan dan keperluan harian.
Pada masa sama, mereka turut mempunyai seorang anak perempuan yang masih kecil dan dijaga oleh ahli keluarga ketika Nuie menjalani rawatan di hospital.
Selepas beberapa kitaran kemoterapi, Nuie akhirnya menjalani pembedahan rekonstruksi wajah yang telah lama dirancang oleh pasukan perubatan.
Prosedur itu bukan sesuatu yang mudah kerana doktor perlu mengambil sebahagian tulang dan tisu daripada paha untuk membina semula struktur tulang pipi serta lelangit yang rosak akibat ketumbuhan.
Walaupun proses pemulihan mengambil masa yang panjang, Muhammad Saifudin tidak pernah berhenti berkongsi perkembangan isterinya sebagai tanda penghargaan kepada semua yang sentiasa mendoakan mereka.
Setiap perkembangan positif yang dikongsikan disambut dengan ribuan doa daripada orang ramai yang mengikuti kisah perjuangan pasangan tersebut sejak awal.
Hari ini, Nuie mungkin masih belum menamatkan perjuangannya melawan barah. Masih ada proses pemulihan yang perlu dilalui dan masih ada cabaran yang menanti di hadapan.
Namun jika ada satu perkara yang tidak pernah berubah sejak diagnosis itu diterima pada penghujung 2024, ia adalah kasih sayang Muhammad Saifudin terhadap wanita yang dinikahinya.
Di saat penyakit mengubah wajah isterinya, lelaki itu tidak pernah mengubah cara dia memandang wanita yang dicintainya. Dia tetap menggenggam tangan yang sama, menemani setiap langkah menuju kesembuhan dan menjadi tempat bergantung ketika Nuie berdepan hari-hari paling sukar dalam hidupnya.
Kisah mereka menjadi bukti bahawa cinta sejati bukan sekadar hadir ketika segala-galanya indah. Sebaliknya, cinta sebenar ialah apabila seseorang memilih untuk terus setia, memikul beban bersama dan tidak pernah berpaling walaupun diuji dengan kesakitan yang tidak pernah dipinta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bertahan dengan masalah tulang belakang bengkok, remaja perempuan, Arissa El Zahra Reduan perlukan sumbangan RM10 000 untuk kos pembedahan skoliosis yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 September ini.
Bapanya, Reduan Saad, 41, berkata dia hanya menyedari Arissa El Zahra, 13, menghidap penyakit itu ketika anak perempuannya berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahunya tidak seimbang dan tulang belakang mula membengkok.
“Pada mulanya, saya nampak dia macam membongkok sedikit, tetapi lama-kelamaan saya perasan tulang belakang anak saya senget sebelah dan kedua-dua bahunya juga tidak seimbang.
“Perubahan itu menyebabkan saya dan isteri membawanya berjumpa dengan pakar ortopedik di HRPB pada 5 Jun 2024 dan mereka mengesahkan bahawa anak saya menghidap penyakit itu,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata selepas disahkan menghidap skoliosis, Arissa El Zahra terlebih dahulu diberi rawatan menggunakan pendakap belakang bagi mengawal tahap kebengkokan tulang belakangnya sebelum pembedahan dapat dilakukan.
Reduan yang bekerja sebagai pembantu jualan berkata doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan ketika itu kerana Arissa El Zahra masih terlalu muda dan perlu menunggu masa yang lebih sesuai berdasarkan perkembangan fizikalnya.
“Arissa El Zahra mula memakai pendakap tulang belakang itu sejak September tahun lepas dengan kos kira-kira RM2,500. Pendakap ini perlu dipakai hampir 24 jam sehari kecuali ketika mandi bagi membantu mengawal keadaan tulang belakangnya daripada terus membengkok.
“Walaupun agak tidak selesa pada peringkat awal, Arissa El Zahra tetap mengikut arahan doktor dan tabah memakainya setiap hari kerana dia faham rawatan ini penting sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Reduan berkata sepanjang tempoh memakai pendakap berkenaan, Arissa El Zahra perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala bagi memantau perkembangan keadaan tulang belakangnya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terkini mendapati tahap kelengkungan tulang belakang anaknya telah mencecah kira-kira 70 darjah, menyebabkan rawatan menggunakan pendakap tidak lagi mencukupi dan pakar ortopedik mencadangkan agar pembedahan dilakukan segera.
“Doktor nasihatkan supaya pembedahan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana kami bimbang jika dibiarkan terlalu lama, lengkungan tulang belakangnya akan menjadi semakin teruk dan boleh memberikan kesan kepada fungsi organ dalaman, terutama apabila dia semakin membesar.
“Sekarang pun kami nampak perubahan pada Arissa El Zahra. Dia mudah letih, pergerakannya semakin terbatas dan tidak boleh melakukan aktiviti seperti biasa. Sebagai ibu bapa, kami risau melihat keadaan dia dan berharap pembedahan ini dapat membantu membaiki kehidupannya,” katanya.
Reduan berkata dia amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan berkenaan ekoran kemampuan kewangan keluarganya yang agak terhad.
“Saya bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dengan pendapatan bersih kira-kira RM2,100 sebulan. Jumlah itu agak terhad kerana perlu menampung keperluan dua lagi anak yang masih bersekolah selain perbelanjaan harian keluarga, memandangkan isteri saya tidak bekerja,” katanya.
Selain itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga boleh menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 158284021706 atas nama Mohd Reduan Saad.